Make your own free website on Tripod.com

Home ]

 

MENTERI BESAR KELANTAN JAHAT?

 

   Tentu keterlaluan namanya bila Persatuan Karyawan menyebut bahawa langkah Menteri Besar Kelantan menyekat 30 artis dari mengadakan persembahan di Danau Toban pada 21 September 2002 ini adalah jahat ( lihat B.Harian 12 September 2002).

Jika saya bertanyakan apa itu jahat dan baik dalam Islam, tentunya ukuran dan jawapan perlu dicari di dalam Al-Quran . Baik dan jahat sering diistilahkan dengan ma’ruf dan mungkar .

 

    Dari hal persembahan artis di Malaysia khususnya artis wanita, ia banyak melibatkan perkara pendedahan aurat , pergaulan bebas , penari iringan , suara yang lunak , merayu, bertempik  malah melalak kadang-kalanya . Semuanya boleh dikatakan bercanggah dan tidak selari dengan panduan Al-Quran . Ambil sahaja dua terjemahan ayat Al-Quran.  “Katakanlah kepada wanita beriman : hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya ,kecuali yang(biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami, ayah ,ayah suami , putera-putera mereka …”

(sebahagian dari ayat 31 Surah An-Nur .)

 

(Hai Nabi) katakanlah kepada isteri-isterimu , anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya keseluruh tubuh  mereka . Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal kerana itu mereka tidak diganggu . Dan Allah  adalah  Maha Pengampun lagi Maha Penyayang .

(Surah Al-Ahzab ayat 59.)

 

   Dalam semangat inilah Enekmen Kawalan Hiburan 1998 yang diluluskan dan dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan harus dilihat . Ia bersemangatkan prinsip kawalan . Tidakkah mengurus dan mengawal  (to manage and control) adalah perkara lazim ? Selaku sebuah kerajaan yang diberi amanah untuk mentadbir dan mengurus muka bumi Kelantan dengan penduduk yang melebihi 1.2 juta orang  ,  tentunya hukum

Allah adalah  panduan  yang terlalu penting untuk ditekankan . Jika keliru di sini, maka kelirulah keseluruhan  cara berfikir  kita . Penilaian –penilaian yang terbit dari kekeliruan ini akan  terus  bercelaru dan menjadi irreleven  untuk dilayan  kerana ia sudah tidak meletakkan Islam  di paksi  yang sebenar .

 

    Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang konsert asalkan ia mematuhi syariat Islam . Bukti konsert dan  pertunjukan pentas yang telah diizinkan cukup banyak . Cuba perhatikan tiga contoh di bawah :

 

i)                    Pertunjukan fesyen pakaian-pakaian Islam sedunia yang telah diadakan pada 11 September 2002 di Dewan Teratai Kota Bharu , Kelantan .

ii)                   Malam Puisi Muzika Merdeka anjuran GEMA yang diadakan di Dewan  Perkumpulan Perempuan , Kota Bharu , Kelantan pada 2 September 2002 .

iii)                 Forum Perdana bertajuk “ Akhlak Cemerlang”  anjuran Markaz Siswazah Kelantan yang telah diadakan di Padang Perdana Kota Bharu , Kelantan pada 14 September 2002 .

 

Semuanya diizinkan . Dikir barat dibenarkan . Pementasan drama dan pentomen tidak disekat . Malah wayang kulit pun tidak pernah dihalang asalkan tidak mengambil plot cerita yang  penuh  dengan mitos  dan tidak  berpijak  di bumi nyata . Apa  lagi dengan pertunjukan seni silat cantik , permainan gasing , pertandingan congkak dan wau , perlawanan perahu , pertandingan seni taman , fesyen show pakaian-pakaian yang menutup aurat , festival nasyid , majlis pembacaan puisi , peraduan bercerita , pertandingan bahas , tilawah hafaz Al-Quran dan berbagai-bagai lagi . Ia kegiatan seni yang sentiasa disuburkan.Nabi s.a.w. turut mengiktirafkan perkara keindahan melalui isyarat yang dapat dikesan oleh sepotong hadith yang bermaksud :

 

Diantara banyak perkara yang ada dalam dunia kamu itu , terdapat tiga perkara yang aku suka atau jatuh hati , iaitu  rupa yang cantik  ,  air yang  berlari dan suasana pokok yang hijau . Walaubagaimanapun , puncak kesukaanku lebih tenang ketika bersembahyang.

(maksud hadith.)

 

   Walaupun keindahan dan seni itu dihargai oleh Islam tetapi tidaklah pula sampai boleh membawa kepada pemujaan hawa nafsu . Sememangnya Allah itu Maha Indah dan Dia suka kepada keindahan . Bagaimanapun keindahan di sini tidak pernah menghalalkan batas-batas syariat itu dilanggar sesuka hati  .  Kalau sekadar mahu memburu “pleasure” dan mengapresiasi  seni semata-mata untuk seni tanpa ikatan makruf mungkar ,maka ini bukan Islam . Hatta Plato  pun memandang keindahan dari teori metafizika di mana keindahan itu ditakrifkan sebagai realiti yang sungguh-sungguh ; sejenis hakikat yang abadi dan tidak berubah-ubah . Begitu juga dengan Hegel yang mengemukakan pandangan metafizika di mana beliau mengiktiraf  bahawa agama itu  adalah tingkat-tingkat yang tertinggi dari perkembangan roh . Ruskin pula menekankan faktor simetri , kemurnian dan perimbangan sebagai kesatuan yang menentukan keindahan  . Ia merupakan bentuk-bentuk atribut Ilahi . Saya sengaja mengambil pandangan filosuf bukan Islam ini untuk  membuktikan bahawa keindahan dan kesenian itu disepakati sebagai suatu perkara yang suci dan wajib bebas dari nafsu syahwat .

 

   Semua yang kita perkatakan ini adalah panduan . Ia menjadi  rencah atau “ingredient” dalam penentuan makruf atau mungkarnya sesuatu kegiatan seni . Sungguh memalukan apabila pihak Karyawan menuduh Menteri Besar Kelantan sebagai jahat tanpa sebarang dasar ilmu . Hujjah sesungguhnya perlu bertapak  di atas ilmu . Oleh kerana soal baik atau jahat itu adalah ukuran agama , sila jelaskan ayat atau hadith yang menghalalkan apa yang dibuat oleh persembahan para artis terkini di serata tanahair . Lihatlah majalah “MANGGA” , “HAI!” atau “URTV” . Segmen-segmen liputan hiburan dalam akhbar-akhbar perdana setiap hari juga boleh turut membantu kita dalam menghayati cara hidup , cara pakai dan cara gaya artis-artis kita . Tanpa perlu diulas, semua orang diminta membuat penilaian . Mahu kemana industri hiburan kita dan akan ke mana sudahnya .

 

   Jika seniman yang kurang peka dengan amanah Islam cuma memikirkan aspek seni dan keindahan , sementara golongan saudagar pula memikirkan  perkara keuntungan sahaja ; apa agaknya yang mesti difikirkan oleh sebuah kerajaan yang takutkan Allah ? Ya…kita sememangnya perlu akomodatif  tetapi tidaklah pula sampai melanggar segala etika makruf mungkar yang ditetapkan oleh Islam . Walupun kita “insyallah “ faham tentang apa itu seni dan mustahaknya membangun serta mencari laba dari sektor pelancongan; tetapi janganlah  diajar Kerajaan Negeri untuk memecat pancang sempadan halal haram demi tamakkan pembangunan . Itu pendirian orang lain . Kami mahu bangun dengan terkawal .  Kami berdiri dengan merangkul Islam untuk dijulang secara bersama . Kami percayakan janji Allah yang bermaksud “ jikalau penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa , pasti Kami akan melimpahkan keberkatan dari langit dan bumi kepada mereka . Tetapi mereka mendustakan ayat-ayat Kami , maka Kami seksakan mereka terhadap apa yang mereka usahakan .

“ (Surah Al –A’raf ayat 96) .

 

    Dengan jaminan taqwa sajalah rezeki akan melimpah . Bermula dari taqwa , kita telah meletakkan sekeping batu-bata 12 tahun yang lalu . Pembangunan rohaniah dan keinsanan sedang bertapak secara beransur sederap dengan naiknya pembangunan kebendaan yang sedang berlaku di mana-mana di Kelantan . Walaupun kita tidak cepat tetapi tidaklah pula kita terlalu lambat . Pokoknya , pembangunan di sini tidak menghilangkan identiti baik keislaman , kemelayuan , kesenian dan keindahan alam tempatan . Ini amat berbeza dengan apa yang dialami oleh Kuala Lumpur , Ipoh , Johor Bahru dan Pulau Pinang . Krisis moral , krisis identiti , krisis ekonomi , krisis hak kemelayuan , krisis bahasa dan krisis tempat berteduh sedang berada dalam keadaan yang cukup gawat . Cuba kita bertanya secara kritikal unsur ketaqwaan yang terlibat dalam persembahan-persembahan artis terkini . Ada atau tidak? Sila jawab dengan  jujur . Saksi jelas dapat diikuti dalam pelbagai gelagat persembahan artis di Malaysia .  Sebahagian besar tidak dipandang serius oleh Kementerian Penerangan dan RTM . Malah , adakalanya ia ditaja sendiri oleh Kerajaan di atas nama kesenian dan pelancongan!

 

   Pendek kata Islam tidak perlu meniru sesiapa .Islam ada kod etikanya yang tersendiri . Jika New York menjemput kumpulan rock Uriah Heep untuk “berdoa”  di tapak tragedy peristiwa 11 September 2001 semalam ; kita ada cara kita . Jika mahu merasai kelainannya , rakyat Malaysia dinasihatkan mencuba di dalam pilihanraya yang akan datang .  Jawapan kepada masalah kegawatan sosial ada semuanya di dalam Islam . Sudah 12 tahun Kelantan telah mencuba resepi ini secara perlahan-lahan . Alangkah lebih mujarab jika usaha untuk menangani masalah sumbang mahram, rogol, zina, rasuah , curi , rompak dan samun jika Enekmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan dan Enekmen Hudud dan Syariah di kedua-dua buah negeri dapat diaktakan di Parlimen untuk diuji keberkesanan kuatkuasanya di seluruh Malaysia .

 

   Kelantan dan Terengganu sahaja yang nampaknya bersungguh-sungguh cuba menutup lubang . Yang lain asyik gali , gali dan gali . Tutup cuma sekali-sekala . Itupun cuma batuk di tangga . Maka , dalam purata setiap dua tahun “interval” , masyarakat  Malaysia boleh melihatlah ledakan sandiwara kekecewaan yang diluahkan oleh Menteri atau menteri-menteri  berkenaan . Setiap kali ledakan  berlaku , media cetak dan elektronik mula menjadikan keluhan menteri sebagai berita utama . “Crash programme”  pun lalu diisytihar dan dilancarkan . Belum kering lipstik , ia diranapkan dengan mudah di malam Festival Filem Asia atau  pertandingan “battle of the band”  atau konsert detik 12 malam Ambang Kemerdekaan yang kadang-kadang dirasmikan sendiri oleh Menteri yang  sama.

 

   Demikianlah nasib apabila tumpuan penyelesaian UMNO adalah kepada “symptom” penyakit dan bukan  dicari punca  dan pangkal masalah .  Memang begitupun nasib lingkaran ganas masalah moral di tangan pemimpin-pemimpin sekular . Naik turun dan tenggelam timbul masalah serta penyelesaian ; semuanya bercorak sementara . Dia berputar dan terus berputar hala ke bawah yang akhirnya mencarik-carik dan mengorbankan Islam itu sendiri  .

 

   Saksikan sendiri nada penyesalan dan keluhan kegagalan Perdana Menteri dalam Perhimpunan Agong UMNO yang lalu . Terus-terang beliau  telah mengaku tidak tahu apa lagi yang nak dibuat dengan orang Melayu (lihat Utusan Malaysia 20 Jun 2002) .  Jika pemimpin UMNO yang selincah Dr. Mahathir pun tidak menemui formula , jangan diharaplah  pemimpin-pemimpin ganti dalam UMNO yang mampu membuat pemulihan . Penyakit yang ditimbulkan oleh sistem  sekular  tidak akan menemui penawar dalam gudang ubat doktor nasionalis yang pragmatis .

 

   Jadi majlis yang dirancang oleh UMNO dengan kerjasama Manis F.M di Danau Toban, Pasir Mas, Kelantan pada 21 September 2002 ini adalah rentetan dari rentak sumbang UMNO yang sekular untuk terus memberi sumbangan bagi mempopularkan amalan sumbang di kalangan anak- anak muda di Kelantan . UMNO sesungguhnya kekeringan modal . Tidak ada langsung komitmen moral dari segi rasa tanggungjawab yang mendalam untuk memulihkan akhlak generasi melalui rentak hiburan alternatif . UMNO hanya meraba-raba dalam sebuah samar tarian lilin bersumbukan gerak nafsu amalan pragmatiknya yang sesat. Tidak lebih dari itu . Kata cerdik pandai ; “ it takes a fool to appreciate a fool.”

 

 

 

ANUAL BAKHRI HARON

SETIAUSAHA POLITIK MENTERI BESAR KELANTAN

14 SEPTEMBER 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates