Make your own free website on Tripod.com

Home ]

PAS, UMNO, AURAT DAN MAKSIAT

Back ] Next ]

 

PAS, UMNO, AURAT DAN MAKSIAT

 

 

Sikap Menteri Pelancongan nampaknya semakin menarik dari segi Islam.   Mungkin beliau “over exited” dengan anugerah peringkat antarabangsa yang diterimanya beberapa bulan lalu.    Sikap “over” ini amat jelas dalam 2 perkembangan mutakhir. Ia kebetulan mempertembungkan 2 kepentingan yakni antara kepentingan dunia dan kepentingan hukum hakam.

 

 

          Dalam hal Terengganu yang baru berura-ura untuk adakan semacam kod pakaian untuk dihormati oleh pelancong asing, beliau mengulas iaitu:

 

“Kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit berikutan arahan Kerajaan PAS Terengganu mengharamkan pemakaian bikini manakala wanita tidak boleh mandi bersama lelaki di negeri itu.”

 

(Utusan Malaysia 29 April 2002)

 

Dalam hal Penutup Pesta Air yang diadakan di Tok Bali pula pada malam 11 Mei 2002, beliau dilaporkan sebagai berkata:

 

“Persembahan tarian dan nyanyian melibatkan wanita di tempat awam tidak bertentangan dengan ajaran Islam atau undang-undang duniawi.

 

Tidak ada salahnya diperdengarkan suara wanita di khalayak ramai.”  Jelasnya.

 

(Utusan Malaysia 15 Mei 2002)

 

 

 

            Jelas sungguh kelirunya Menteri UMNO itu dalam hal beramal dengan Islam.  Dalam kes pertama, ia melibatkan soal aurat.  Kalau sektor pelancongan terbukti berpotensi sekalipun, tidakkah boleh beliau lebih berhati-hati.   Seorang Menteri Penuh beragama Islam tentunya kelihatan janggal apabila menaikkan hujah “negara rugi berjuta-juta ringgit”  jika ura-ura kod pakaian kepada pelancong asing dikuatkuasakan.   Berhati-hati boleh bermaksud mengambil sikap “reserve” terlebih dahulu sementara menanti draf kod berkenaan siap.   Sikap mengulas terlalu awal mungkin nampak pro aktif tetapi dibimbangi terlalu “premature”  dan terlebih ke hadapan.  “You might need to walk back later”.

 

 

            Berhati-hati juga menyentuh semangat beragama Dato’ Abdul Kadir dan penganut Islam yang melebihi  50.18% penduduk  Malaysia.  Jika  soal  negara  akan  rugi  berjuta-juta  ringgit menjadi satu-satulah perkiraan, sekali lagi dikhuatiri yang negara kita cuma bertuhankan wang.   Bukankah negara ini adalah negara Islam mengikut Perdana Menteri.   Islam bertuhankan Allah S.W.T.    Segala sesuatu dalam Islam wajib berpusatkan kepentingan Allah.  Islam tidak larang untuk wang tetapi jangan sampai lupakan dosa pahala.  Jika diikutkan hujah beliau, nampaknya kiblat perkiraan hanya berpusatkan material semata-mata.

 

         

Menyentuh tentang Islam, kita wajar memahami punca kenapa perlu  adanya  kawalan berpakaian baik lelaki,  lebih-lebih lagi wanita.

Tanpa perlu berkhutbah, buku-buku yang menyenaraikan kebaikan menutup aurat amat banyak.   Keburukan pendedahan aurat di khalayak ramai telah terbukti amat mudharat.  Tidakkah kegawatan sosial seperti bersekedudukan, zina, rogol dan sumbang mahram adalah fenomena yang ada kaitan dengan amalan ini.   Masakan beliau gagal menjangkaui maksud tersirat dari langkah yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.         

 

 

Jika Islam yang kita rujuk adalah Islam yang berlandaskan wahyu, tentu kita tidak dapat elak dari berbicara mengenai Ayat-Ayat ini.   Ini nasnya.  Saya kutip:

 

“Katakanlah kepada  wanita yang beriman:   “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.  Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau (budak-budak yang mereka miliki), atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.   Dan janganlah mereka menghentak kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.   Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”

 

                                                                              (Surah An Nuur, Ayat 31)

 

 

“Hai Nabi Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu’min:    “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke tubuh mereka”.   Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.   Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

 

                                                                                    (Surah Al-Ahzab, Ayat 59)

 

 

 

Sy. Jarier R.A.  berkata:

“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W.  dari hal melihat wanita yang tidak dengan sengaja, beliau bersabda:  “Palingkanlah mukamu!”

 

(Riwayat Imam-Imam Muslim, Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Nasaai).Hadith Nabi

 

 

Sy. Buraidah R.A. berkata:

“Bahawa Rasulullah S.A.W.  pernah bersabda kepada Sy. Ali R.A.:   “Ya Ali !   Janganlah kamu ikutkan satu pandangan dengan satu pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya bagi kamu pandangan yang pertama dan tidak bagi kamu pandangan y ang kedua.”

 

(Riwayat Imam-Imam Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Al-Hakim) Hadith Nabi

 

 

           

Beliau kena faham bahawa mulai 29 September 2001, Malaysia sudah menjadi Negara Islam.  Beliau setuju atau tidak, itu tidak  boleh  menahan  Dr. Mahathir  dari  membuat  pengisytiharan. Kira-kiranya, mulai tarikh tersebut, segala  sesuatu  perlu  melalui  neraca  Islam  terlebih dahulu untuk menentukan benar salahnya atau lebih tepat dosa pahalanya.   (Melainkan pengisytiharan itu semata-mata mainan politik).  Jika diukur dari 2 petikan  Ayat dan 2 maksud hadith  di atas,  Dato’ Ab. Kadir  bolehlah  nilai  beliau  sedang  atau sudah berada  jauh di mana ketika dan sesudah mengeluarkan kenyataan itu.   Adakah beliau berfakta, bersandarkan ilmu atau hanya lemas dalam kekeliruan nafsu?   Takkanlah   ‘wang’  adalah segala-galanya.   Jika tuan lemas adakah selaku nakhoda, tuan mahu lemaskan orang yang dipimpin?   Di sinilah wajibnya pemimpin yang beriman dan beramal untuk dipilih.   Parlimen akan rosak apabila majoriti pemimpin yang memenuhi Dewan Rakyat keliru sekelirunya beliau.

 

         

Kes kedua ialah persembahan tarian dan nyanyian membabitkan wanita di tempat awam yang kononnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.   Dalam hal ini, jawapan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Anuar Tan bin Abdullah merupakan satu bidasan yang cukup mengenai batang hidung. Beliau mengajak Menteri Pelancongan  ke Majlis  Fatwa  Kebangsaan  atau  ke mana-mana pejabat Mufti Negeri untuk mengesahkan kebenaran.

(Berita Harian 12 Mei 2002  serta  Utusan  Malaysia  15  Mei  2002).

 

 

Tegas beliau:

“Sepanjang pengetahuan saya yang muallaf ini, saya merasa kesimpulan hukum yang dibuat oleh Menteri itu amat tidak tepat dan mengelirukan.”

 

 

Dalam kesempatan inilah, TV3 seperti biasa mula mengeruhkan air supaya kelihatan berselut.   Dengan sedikit kacau ganggu di liputan-liputan akhbar di antara 13 – 17 Mei 2002, TV3 telah memasukkan sebuah klip video pada malam 19 Mei 2002 untuk mencelarukan kefahaman rakyat.  Ia bertujuan menyalahkan PAS sekali lagi agar rakyat melihat PAS sebagai berfikiran sempit, anti budaya, anti kesenian dan anti pelancongan.   Demikianlah sebuah pengkhianatan.   Pementasannya adalah stereotaip dan mudah diteka oleh sesiapa.   Lihat sahaja ulasan Pengarah IKIM iaitu Dato’ Dr. Ab. Munir Yaakob yang seolah-olah tidak terjumpa nas yang melarang wanita mengadakan persembahan di pentas tanpa menutup aurat.   Sampai hati beliau menurunkan darjat ilmunya.   Sungguh menjijikkan apabila seorang Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia tidak boleh faham maksud larangan Nas dalam Surah An Nuur Ayat 31 dan Al Ahzab Ayat 59 serta Hadith-Hadith  larangan pandang memandang.  

 

Kita sungguh hairan, jika suara wanitapun sudah menimbulkan khilaf di kalangan ulama’ apatah lagi jika ia melibatkan persembahan lagu yang berlirik, bersenikata, berirama dan bercampur dengan suasana keceriaan lelaki dan perempuan.   Kita sedang menghadapi gejala sosial yang merumitkan.   Masihkah kita wajar mengambil sikap sambil lewa dalam mengawal  persembahan hiburan atau kita mematuhi sebuah enakmen yang mempunyai “moral fibre” yang tinggi?

 

Demi memandang serius kepada gejala keruntuhan akhlak dan percayakan yang majlis itu boleh menyuburkan maksiat, pergaulan bebas dan pendedahan auratlah, Tok Guru Nik Ab. Aziz dan Kerajaan Negerinya menunjukkan komitmen beliau dimalam berkenaan.   Tidak hadir beliau sesungguhnya bersebab.   Kalau UMNO cuma percaya untuk mengubat penyakit setelah parah, PAS melihat faktor pencegahan “at source” lebih utama dalam menjauhkan penyakit.  “Prevention is better than cure”.  Siapa lebih bijaksana dan lebih berpandangan jauh?

 

Kepentingan akhlak dan moral juga ada unsur untung ruginya di akhirat.   Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab wajib mendidik rakyatnya  ke arah ini;  bukan  setakat fikirkan kerugian di dunia yang berjuta-juta di sektor pelancongan sahaja.    Kos untuk memulihkan akhlak seperti membiayai penjara, pusat serenti, sekolah-sekolah pemulihan dan merawat pesakit HIV dan AIDS turut mengorbankan berjuta-juta wang rakyat.

 

          Dalam suasana beginilah kita melihat tidak lojiknya kepercayaan yang cuba disogokkan oleh Pak Lah Badawi iaitu pembangkang sudah tiada isu.   Hairan! Jika  dipadamkan  lampu  dan  diminta  mana-mana  rakyat  Malaysia yang akil baligh untuk menyenaraikan isu-isu terkini dalam tempoh 3 minit dia akan mampu menyenaraikan 10 fakta seperti di bawah:

 

 

i)                   Isu DSAI yang dituduh liwat sedangkan tidak pernah ada 4 orang saksi.   Kini merengkoklah bekas TPM itu di penjara sepanjang 15 tahun;

 

 

ii)                 Isu dakwaan Azalina yang dikatakan mempunyai hubungan asmara secara lesbian dengan Datin Sabrina.  Anehnya PM meminta ianya dibiarkan begitu sahaja tanpa perlu dinafikan atau diakui atau dibawa ke Mahkamah;

 

iii)               Isu dakwaan amalan-amalan rasuah seorang Dato’ Seri di Negeri Selangor Darul Ehsan;

 

 

iv)               Isu dakwaan kehilangan wang PPRT sebanyak RM36.5 juta yang melibatkan seorang bekas Menteri dari Peringat, Kelantan;

 

 

v)                 Isu kehilangan Wang Tabung Haji berjumlah RM200 juta;

 

 

 

 

vi)               Isu PM Malaysia yang menghukum “suicide bombers” di Palestin sebagai menempa mati secara sia-sia dan jauh dari mati syahid.   Sedangkan ini bertentangan sama sekali dengan fatwa Ulama’-Ulama’ masyhur sedunia;

 

 

vii)             Isu menangkap musuh-musuh politik menggunakan senjata ISA yang dikecam oleh seluruh dunia;

 

 

viii)           Isu Ops Warta II yang menimbulkan keraguan dan keresahan rakyat tentang kesahihan tindakan Polis mengenakan saman berganda walaupun pesalah tidak diberikan Notis Pemberitahuan;

 

 

ix)               Isu yang mengkhianati perkembangan Bahasa Melayu yang telah diperjuangkan selama 30 tahun untuk dimartabatkan.   Tiba-tiba setelah Bahasa Melayu melalui proses evolusi dan terbukti memantapkan kedudukannya di segenap bidang, kita mempersoalkan pula kemampuannya.   Bijakkah?  Tidak ada cara lainkah untuk mengatasi kelemahan berbahasa Inggeris? Apakah Jepun, Thailand dan Perancis ketinggalan dan menyesal dengan langkah memartabatkan bahasanya sendiri?

 

 

x)                 Isu dasar meritokrasi yang kononnya berjaya sedangkan ia  menyekat  peluang  pemegang Diploma untuk ke IPTA

negara.  Kalau dulu pelajar bumiputera mendapat keistimewaan dari sistem kuota, kini sistem meritokrasi hanya  memberi  laluan  kepada  4  orang  sahaja  untuk mengikuti  Kursus Pentadbiran  Perniagaan  di Universiti  Malaya.  Ini contoh.  Jika diikutkan kuota bumiputera sebelum ini, terdapat 88 tempat untuk kursus berkenaan di Universiti tersebut.    Ini terkandung dalam gesaan GPMS yang mahukan Sistem Merit dikaji semula. 

 

 (Utusan Malaysia 17 Mei 2002).

 

 

          Ini belum lagi disentuh tentang isu perpecahan UMNO di Kelantan.   Isu Negara Islam yang diisytiharkan tanpa perbahasan.    Isu 12 rahsia besar yang ada di tangan Ustaz Taib Azamuddin, bekas Imam Besar Masjid Negara.   Isu dakwaan amalan salah laku Tan Sri Khalil Yaakub oleh Dato’ Fauzi Abd. Rahman, ADUN BN Beserah.   Isu pembohongan laporan Ahli PAS yang kononnya 124 orang memasuki UMNO di Bukit Kechil, Pasir Puteh sedangkan hanya 4 keluarga sahaja (Berita Harian 14 Mei 2002).   Isu Presiden Bush yang mengatakan bahawa pendirian Amerika Syarikat tidak berubah yang Anwar Ibrahim adalah “tahanan politik”  dan isu pindaan Akta Pilihanraya yang amat tidak masuk akal.   (Mungkin ia perlukan protes sedunia dari segi demokrasi).

 

Pendek kata, barisan pembangkang mempunyai isu yang melimpah ruah .   Cuma kesempatan sahaja yang tidak diberikan.   Semuanya ditutup.  Kononnya takut pecah belah!   Takut pecah belah ke atau takut kalah?

 

 

          Jarang sekali kita melihat UMNO dengan jujurnya menggunakan panduan Al-Quran dan Hadith atau demokrasi dari permulaan untuk menentukan sesuatu dasar yang hendak digubal.  Perkataan-perkataan Dato’ Ab. Kadir di kedua-dua isu adalah representasi dan manisfestasi yang amat jelas tentang “outright rejection”  UMNO  terhadap  Islam.      UMNO  kini  semakin  jelas bagaikan tidak mengiktiraf wahyu dari langit.  Berita tohmahan keji tentang kelakuan DSAI misalnya telah digendangkan dengan seriuh-riuhnya dibulan September 1998.   Hingga kini pun ia masih enggan berhenti.   Sikap Islam tidak suka tersebarnya berita keji apa lagi jika berita itu tidak benar.  Ini  jelas di dalam Surah An-Nuur Ayat 19:

 

“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka  azab yang pedih di dunia dan di akhirat.  Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.”

 

(Surah An-Nuur Ayat 19)

 

          Dalam isu Anwar, ia diumpat semahu-mahunya, sedangkan dalam isu Azalina, ia ditutup serapi-rapinya.   Inikah cara Islam dan itukah cara demokrasi?   Pembawa berita yang bernama Khalid Jafri diberikan lampu hijau untuk membongkar kisah Anwar dalam bukunya berjudul   ’50 dalil’  tiga tahun yang lalu.  Kini,  pengarang yang sama tiba-tiba dianggap berfikiran bankrap pula oleh PM yang sama.   Jelaslah UMNO sudah putus hubungannya dengan langit.   UMNO tidak bertanya khabar untuk mendapat isyarat dan pimpinan wahyu.   Dia nyata kehilangan kiblat. 

 

Presidennya  hidup dengan kepalsuan kekuatan yang dibuat-buat.  Kononnya generasi muda yang dipunggah ke Stadium Melawati di Shah Alam hasil kerja Dato’ Seri Khir Toyo pada hari sambutan UMNO kali ke 56 itu adalah petunjuk tentang sokongan  generasi  muda.   

 

UMNO hanya tertipu dengan bayang-bayangnya. Jangan-jangan 15,000 orang itu termasuk belon-belon campakan  Khir Toyo sahaja.   Jangan-jangan kerana nak lihat artis dan penyanyi sahaja.   Tidak binasa si Luncai melainkan kerana labu-labunya.   Kita hanya mahu ingatkan sahaja yang pilihanraya tahun 1999 menyaksikan hampir 70% pengundi Melayu berada dalam BA.   Setengah penganalisis menyimpulkan  yang  ia  faktor  Anwar.    Kini,  adakah  ‘hero’  yang menjadi kesayangan rakyat Malaysia itu bebas dan sihat walafiat?  Adakah fakta ini masih kukuh?.   Satu soalan yang cukup sentimental untuk dijawab oleh setiap hati para pengundi dalam Pilihanraya Umum akan datang.   Pulihkah Malaysia dengan hanya lambungan belon atau kibaran bendera?   Satu Syair dari India ada menyebut:

 

 

 

“Mawar kertas tidak akan semerbak wangi walau bagaimana indah rupanya.”

 

 

 

 

Anual Bakhri Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:7 Rabiul Awal 1423 / 20 Mei 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates