Home ]

MUNGKINKAH RAIS TERSILAP LAGI?

Back ] Next ]

 

MUNGKINKAH RAIS TERSILAP LAGI?

 

(Jawapan Berfakta Mengikut Petikan Di Akhbar)

 

Kenyataan Datuk Seri Dr. Rais yang terlalu longgar mengenai adanya beberapa orang pegawai awam yang berkaitan dengan siasatan/penguatkuasaan memohon tanah telah menimbulkan banyak kekeliruan.   Ini yang mendukacitakan Menteri Besar Kelantan.   Jika diteliti laporan Utusan Malaysia pada 5 Ogos  2002, amat jelas tentang kenyataan Datuk Rais yang meracau itu.   Mari kita hayati petikan kata-kata beliau:

 

i)                   Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika mendedahkan kegiatan itu berkata bilangan mereka yang mendapat habuan itu belum diketahui.

 

ii)                 “Perkara itu berlaku sejak dua tahun lalu dan pihak saya telah menyerahkan nama-nama pegawai awam yang disyaki terbabit kepada ketua masing-masing.”

 

iii)               Dr. Rais mengakui perbuatan seumpama itu sukar dibuktikan tetapi “ia sememangnya berlaku.”

 

iv)              Adalah tidak wajar untuk mendedahkan nama pegawai-pegawai  yang dipercayai terlibat atau nama pengadu.  

 

v)                Pada hakikatnya memohon tanah bukanlah satu kesalahan.  

 

(Lihat dalam Utusan Malaysia 5 Ogos 2002).

 

          Berasaskan segala kelonggaran fakta seperti yang terdapat di akhbar Utusan Malaysia itulah, Menteri Besar Kelantan meminta Rais mengemukakan bukti.    Mengikuti teks sidang akhbar Datuk Rais, aduan yang konon diterima oleh beliau banyak bertaraf “belum diketahui”  dan  “sukar dibuktikan”.   Jika  status kes masih belum diketahui, wajarkah beliau membuat kenyataan akhbar selepas satu majlis Forum Perdana di Kota Bharu itu.     Tidakkah lebih bijaksana untuk beliau membuat   “fact findings”  yang  lebih jitu daripada mengeluarkan kenyataan yang bersensasi tetapi penuh dengan keraguan.

 

          Apa yang lebih menarik, Pengarah BPR Negeri telah menegaskan bahawa  “BPR Kelantan tidak terima maklumat berhubung perkara itu.”    Tambah beliau lagi  “berdasarkan rekod sepanjang tiga tahun beliau bertugas di negeri ini, tidak ada pegawai-pegawainya memohon tanah, malah, tidak ada yang menerima tanah daripada mana-mana pihak.”

    (Lihat Utusan Malaysia 6 Ogos 2002) 

 

            Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Kelantan telah menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama jika benar-benar Datuk Rais mempunyai bukti yang cukup.   Tentunya kurang manis bagi seorang bertaraf Menteri bercakap perkara yang masih samar-samar.   Ia menjejaskan kredibiliti beliau sebagai seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.   Pada saya ia terlalu “premature”  untuk beliau mengeluarkan kenyataan.   Kalaupun dalam muka depan Akhbar Berita Harian bertarikh 6 Ogos 2002, Datuk Rais ada sebutkan Pegawai  Persekutuan yang terlibat, sekali lagi (jika ianya betul), kes memohon tanah kerajaan bukan dibuat oleh Pegawai Kerajaan Negeri.    Itupun jika betul.  Jika ianya dilulus mengikut prosidur melalui Jawatankuasa tertentu yang diberi kuasa setelah mendapat kebenaran secara bertulis dari pihak Berkuasa Tatatertib,  inipun tiada masalah.  Perintah Am (Bab D) 9 Ceraian 3 berbunyi:

 

“Jika seseorang pegawai atau isterinya atau anaknya bercadang hendak memperolehi apa-apa harta sama ada secara langsung atau secara tidak langsung, sama ada alih atau tak alih, dan perolehan yang dicadang itu adalah tidak sejajar dengan peruntukan-peruntukan Perintah Am 4, perolehan itu tidak boleh dilakukan tanpa pegawai itu terlebih dahulu mendapat kebenaran secara bertulis daripada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan.”         

 

Ringkasnya di sini, Datuk  Rais akan lebih nampak bijaksana jika beliau belajar untuk bersabar sedikit.   Kalaulah takdirnya ada keraguan dalam amalan pemberian tanah kepada pegawai/kakitangan di negeri ini, beliau perlu membuat “homework” yang lebih terperinci.   Malanglah, jika ditengah-tengah dakwaan Rais tentang aduan amalan “malpractice”  berkaitan, tiba-tiba BPR  yang menjadi  “core player  mengenai pembasmian rasuah tidak tahu menahupun mengenai maklumat yang diperkatakan.

 

Mungkinkah Rais tersilap?

 

 

 

Anual Bakhri bin Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh: 26 Jamadil Awal 1423 / 6 Ogos 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates