Home ]

Amanat Hadi VS Nakhaei

Next ]

 

DI ANTARA AMANAT HAJI HADI DAN AMANAT HAJI NAKHAEI DAN…

           

Oleh

Annual Bakri Haron

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

 

Merujuk kepada cadangan pihak tertentu untuk mengkaji kemungkinan mengambil tindakan perundangan ke atas YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di atas "amanat" yang telah beliau ucapkan di Banggol Peradong, Terengganu, pada 7 April 1981 yang didakwa telah mengkafirkan UMNO, saya suka menarik perhatian semua pihak bahawa sebenarnya tiada sebarang ungkapan pun di dalam ucapan YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang itu yang telah mengkafirkan UMNO kerana apa yang ada di dalamnya hanyalah sebuah ungkapan umum, iaitu "kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku."

 

            Sehubungan dengan ini, sekiranya pihak yang berkenaan benar-benar mahu menghukum mereka yang dikatakan telah mengkafirkan UMNO, maka orang yang sepatutnya perlu dihukum adalah bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS yang juga merupakan Yang Dipertua YADIM sekarang, iaitu Datuk Haji Mohd. Nakhaei Ahmad, kerana beliau ini telah dengan berterangan menyifatkan UMNO sebagai sebuah partai syirik di dalam ucapan yang telah dibuat oleh beliau di Kok Lanas, Kelantan, pada satu tarikh yang lebih terkini dari ucapan yang telah dibuat oleh YAB Tuan Guru Haji abdul Hadi Awang, iaitu pada 23 Mac 1986.

    "Amanat" Datuk Haji Mohd. Nakhaei Ahmad berbunyi begini:

            "Ini adalah program, program perjuangan kita, iaitulah ia mengandungi usaha-usaha mengukuhkan aqidah umat Islam, usaha-usaha membersihkan pegangan dan keyakinan umat Islam dari sebarang bentuk syirik"

            "Perjuangan kita berlandaskan kepada tauhi, dan jangan siapa yang mengatakan bahawa perjuangan PAS ini sama dengan perjuangan UMNO kerana UMNO melalui pemimpinnya yang membuka persidangan Perhimpunan Pemuda UMNO berkata bahawa UMNO bukan partai tauhid. Kalau tidak partai tauhid, partai apa saudara-saudara? Partai syirik! Kalau tidak partai tauhid, kalau mereka tidak memperjuangkan tauhid, maka mereka memperjuangkan syirik!"

            "Kita mesti mengingatkan Allah dan mengukuhkan keazaman kita, perjuanagan kita, matlamat kita, iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Kita berjuang bukan untuk mengabdikan diri kepada rakyat sebagaimana yang diucapkan oleh Dr. Mahathir Mohamad, tetapi kita adalah suatu jemaah yang tujuan dan matlamat kita ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT."

           "Ini perjuangan kita, dan kita menolak bahawa orang yang hendak menyamakan kita dengan UMNO kerana UMNO dengan terang-terang dia kata bahawa dia berjuang untuk mengabdikan diri kepada rakyat, bagi kita tidak ada matlamat dan pilihan selain daripada kita mengabdikan diri kepada Allah SWT di dalam perjuangan ini."

            Malahan, jika kita perhatikan kandungan Amanat Haji Hadi, ia ternyata tidak mengandungi sebarang cabaran kepada pihak kerajaan berbanding dengan Amanat haji Nakhaei yang telah dengan berterangan mencabar pihak kerajaan supaya membuktikan di manakah salah dan silapnya anjuran supaya umat Islam memilih untuk mati syahid dengan brjuang menentang kerajaan yang engkar untuk melaksanakan hukum Allah dan menghalang para ulama' yang berjuang untuk menegakkan Islam melalui sambungan amanat beliau tadi yang berbunyi begini:

            "Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kertas putih yang sebenarnya kertas hitam kerana lahir dari hati yang hitam dan niat yang tidak ikhlas, niat yang tidak jujur, hati yang busuk terhadap Islam."

"Kertas putih kerajaan itu cuba menggambarkan sikap pelampau kerana menyebarkan ajaran yang dikatakan ajaran dan semangat mati syahid, padahal ajaran ini adalah daripada ajaran Islam yang diajarkan oleh Allah, yang diajarkan oleh Rasul-Nya. Sebab itu mereka berkata bahawa apabila Ustaz Almarhum Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud mengembangkan ajaran mati syahid, mereka berkata ia mengajarkan suatu ajaran yang sesat dan songsang. Tetapi bagi mereka yang sedar, bagi mereka yang tahu, bagi mereka yang faham, bahawa percubaan-percubaan itu adalah percubaan yang gagal."

 

            Setelah dihadapkan dengan kandungan Amanat Haji Nakhaei ini, rakyat tentunya menjadi begitu keliru, bagaimana mungkin seorang pemimpin yang telah menghukum UMNO sebagai sebuah partai yang syirik kini telah memasuki partai yang dikatakannya syirik itu? Ironinya pula ialah bagaimana mungkin para pemimpin dan juga ahli-ahli partai yang telah dihukumkan sebagai syirik oleh Datuk Haji Mohd. Nakhaei Ahmad itu masih boleh menerima malah menjulang orang yang sekeliru beliau ini pada satu kedudukan yang tinggi di dalam barisan pimpinan parti mereka?

 

Sebelum kita menjadi lebih-lebih keliru lagi, cukuplah kita menanyakan seluruh rakyat Malaysia dengan empat soalan ini, iaitu:

 

Pertama: Pernahkah Presiden UMNO menghina peribadi Nabi sebagaimana yang pernah dilakukannya ke atas janggut Nabi di dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar pada penghujung tahun 1997 itu?

 

Kedua: Pernahkah Presiden kamu mengikrarkan untuk tidak melaksanakan hukum hudud kerana ia dikatakan tidak adil dan akan mendatangkan huru-hara sebagaimana yang turut didakwanya di dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar pada penghujung tahun 1997 itu?

 

Ketiga: Pernahkah Presiden UMNO menggesa supaya al-Qur'an itu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan semasa sebagaimana ianya dilaporkan di dalam akhbar-akhbar tempatan pada 15 Oktober 1994, 10 Januari 1995 dan 24 September 1996 itu?

 

Keempat: Pernahkah Presiden UMNO menggesa supaya umat Islam tidak bersyukur kepada Nabi Muhammad kerana kalau Baginda tiada sekalipun tetap ada orang lain yang akan menyampaikan mesej Islam sebagaimana ianya dilaporkan di dalam akhbar-akhbar tempatan pada 12 Mei 2000 itu?

 

Jika jawabnya "ya" dan "pernah", maka soalnya amanat siapa yang lebih berbahaya, Haji Hadi atau Haji Nakhaei atau Haji Mahathir, dan apa pula sikap JAKIM dan IKIM dalam mengamati dan menekuni amanat-amanat berpandangan jauh Perdana Menteri ini?

 

Sekali sekala betul juga untuk bersifat terus-terang seperti yang disebutkan oleh orang Inggeris sebagai "let us call a spade a spade, and a spoon a spoon."

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates