Make your own free website on Tripod.com

Home ]

* Apabila Ustaz Bermain Drama

Back ]

 

APABILA USTAZ BERMAIN DRAMA

(Menjawab tulisan Dato’ Dusuki Ahmad yang bertajuk

‘Apabila ulama’ menjadi orang politik berparti’

Mingguan Malaysia, 19 Januari 2003)

 

Tulisan Dato’ Dusuki Hj. Ahmad yang dimulakan dengan petikan “Sesiapa yang menentang ulama’ … akan dihukum  seksa di akhirat kelak dan diturun bala di dunia” sangat memalukan.    Selaku seorang intelektual, mustahil beliau tidak faham bahawa mengambil “quotation” tanpa menyebut siapa yang berkata, bila, kenapa dan di mana atau bagaimana adalah satu kesalahan akademik yang serius. Lebih-lebih lagi sesuatu yang disebut berupa tuduhan yang berlaku di masjid-masjid dan surau-surau.   Mengambil petikan kononnya, diambil daripada kandungan kuliah-kuliah agama di masjid-masjid dan surau-surau di Negeri kelantan tanpa sokongan kaedah ‘4W 1H’ (what, when, where, who and how) adalah pemborongan yang amat menghampiri  sebuah pembohongan.   Manusia alaf baru kurang menghormati cakap-cakap seperti ini.   Ini lebih-lebih lagi terasa apabila bahan yang bertaraf  “hear say”  dipanjangkan oleh seorang yang berpangkat Setiausaha Politik kepada  Perdana Menteri Malaysia.   Esei Dusuki semakin menghampiri sebuah skrip drama apabila dialog anak : bapa dirangka oleh beliau dalam bentuk pertanyaan dan jawapan.   Beliau cuba menyogok kecelaruan melalui dialog yang dibinanya.  Ia bertaraf  “fiction”;  lebih kurang sebuah drama berjodol ‘Zulaikha’  yang ditayangkan secara bersiri di Bulan Ramadhan kira-kira 5 tahun yang lalu.    Dusukilah penulis skripnya.   Kini beliau menulis lagi untuk barangkali mengajak masyarakat pembaca terlena dalam drama ciptaan beliau.

 

            Jika diperincikan unsur ugutan yang kononnya sedang berleluasa  di lakukan  oleh  orang  PAS,  bahawa  menentang  ulama’  akan diseksa di akhirat, saya  mahu  bertanya  siapa  orang  pencen  itu  dan siapa  anaknya.  Alamatnya? Dusuki semakin tersasul apabila cuba memburuk-burukkan PAS kerana mempolitikkan agama.   Soalnya  di sini,   tidakkah  politik  itu  sebahagian daripada agama?   Dr. Yusof Al Qardhawi terang-terang menyebutkan bahawa Islam dan politik itu adalah sama.   Jika Islam tidak ada politik,  itu agama Buddha dan Nasrani.   Ini boleh ditemui dalam Kitabnya bertajuk Fiqhu’ Daulah.    Malah Imam Al Ghazali sendiri dalam Ihya Ulumudin Juzu’ I  menyebutkan agama itu umbinya.   Kuasa politik itu adalah  pengawal.   Maka  yang tiada  umbi  akan runtuh.   Yang tiada pengawal  akan lenyap.   Nabi  kita S.A.W.  pernah mengasas Perlembagaan Madinah.   Baginda adalah seorang Nabi, seorang pemerintah dan sekaligus seorang pemimpin.   Melalui kuasa dan kepimpinan itulah politik dalam Islam terserlah sebagai salah satu daripada komponen penting  Islam itu sendiri.   Elemen Syura dan Musyawarah, unsur-unsur perdamaian dan peperangan, amalan menghantar misi-misi dakwah dan melantik gabenor di wilayah-wilayah taklukan Islam menurun Cop atas Surat-Surat Perjanjian adalah diantara bukti  bagaimana pentingnya kuasa politik  untuk menentukan pengembangan Islam dan pendaulatan undang-undang, peraturan dan  hukumnya.   Mustahil Ustaz Dusuki mahu mengurung Islam di kamar sempit  -  Mengucap,  Sembahyang, Puasa,  Zakat dan Haji, darah haidh dan darah nifas semata-mata.   Saya tidak akan percaya bahawa Ustaz Dusuki  memahami Islam dalam kerangka sebegini.

 

            Perihal syumulnya perjuangan PAS mendaulatkan Islam dalam  pelbagai aspek hidup khususnya menggunakan saluran politik inilah  yang menjadi sebahagian besar alim ulama’ berpihak kepada PAS.     Kalaupun mereka tidak menentang, mereka mengambil sikap mendiamkan diri.   Hal inipun turut diakui oleh Dusuki.   Mereka mengambil pendirian berkenaan dengan penuh kefahaman.

 

            Saya mahu bertanya apa maksud sebenar Ustaz Dusuki dengan kata-kata “Ulama’ yang memiliki ilmu agama dan dengan pengetahuan tersebut timbul rasa takut dan tunduk kepada Allah”.    Setelah mengesahkan yang  “orang ramai mendapat faedah daripada ilmunya itu”,  Dusuki beralih pula kepada petani dengan kerja sawahnya dan nelayan dengan tugas-tugas di laut.   Pertama, saya ingin bertanya apakah tuntutan susulan  keatas  ulama’ apabila timbul rasa takut kepada Allah? Tidakkah  kerana takut itulah ulama’ wajib menjelaskan apa yang difahaminya mengenai maaruf dan mungkar.   Dia wajib memberi bimbingan kepada manusia dengan menggalakkan maaruf dan menentang kemungkaran.  Faedah ilmu bukan setakat terletak kepada ajaran dan kegiatan mengajar.   Ia perlu disusuli dengan pelaksanaan oleh orang yang mengajar dan orang yang diajar.   Islam bukan sampel kaku bagai ikan hiasan.    Ia bukan jenis  ‘flower horn’   yang dimakan suap untuk diperaga buat tontonan.    Secara positif, setelah takutkan Allah, ulama’ dituntut menegakkan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara di segenap cabang dan ruang lingkupnya.   Islam yang syumul;  inilah bendanya.    Orang yang terlibat dalam usaha dan perjuangan ini disebut orang beriman dan beramal soleh yang percaya kepada Allah dan pembalasan di Hari Kemudian.     Mereka akan sentiasa berusaha untuk berikhlas.     Hanyasanya, mereka yang takut kepada Allah ialah para ulama’.    Ulama’ dari klon dan jenis ini yang mengingati Tuhan dalam keadaan  berdiri, duduk atau baring.      Mereka yang gementar hatinya apabila disebut nama Allah.     Bukan ulama’ dan Ustaz namanya jika sekadar mengajar dan mengajar tetapi masih tetap menyokong kezaliman dan mendiamkan diri apabila melihat kemungkaran dan ketidak adilan kerana tindakan ulama’ sebegitu bukan jenis amal soleh.

 

            Perkara kedua ialah siapakah ketua atau turus ulama’ di muka bumi ini jika tidak Nabi Muhammad S.A.W.   Adakah Nabi S.A.W  hanya mengajar di Masjid dan Surau sahaja sehingga wafat tanpa terlibat sedikit pun dalam soal politik dan pemerintahan?   Jika Ustaz Dusuki mengatakan ‘ya’,   maka saya mahu tanya bagaimana dengan usaha yang diatur oleh Nabi dalam Perjanjian Aqabah Pertama dan Kedua.   Sahabat Nabi pernah berhijrah ke Habsyah.   Bagaimana Dusuki mahu kategorikan penglibatan Baginda dalam hijrah ke Madinah.   Baginda juga turut mempersaudarakan kaum Aus dan Khazraj dan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar.   Persefahaman selanjutnya dibentuk melalui Perlembagaan Madinah dalam merangka penyatuan seluruh penduduk  Madinah  yang  mengandungi  kaum  Yahudi  dari Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Quraizah.    Bagaimana Dusuki mahu menjustifikasikan penglibatan Baginda dalam berpuluh-puluh siri perang.   Tidakkah Perjanjian Hudaibiyah  (Al Fathan Mubina  -  kemenangan yang jelas) yang membawa kepada pembukaan Kota Mekah adalah keputusan strategik yang dibuat oleh seorang pemerintah dan membuktikan Nabi  S.A.W. seorang ahli politik dan negarawan yang terbilang.     Dusuki akan menjadi semakin payah jika beliau mahu menafikan bahawa Undang-Undang Hudud telah dilaksanakan sepenuhnya dizaman Nabi.   Beliau akan kesukaran untuk menafikan bahawa segala transaksi jual beli,  sosialisasi Nikah Kahwin dan segala peraturan mengenai arak, judi, riba, berhala dan bertenung nasib telah menggunakan peraturan Islam dan dijelmakan pelaksanaannya ditengah-tengah pemantauan seorang pemimpin yang bernama Rasulullah S.A.W.     Ini tidak syak lagi menjadi sunnah secara keseluruhannya.   Apa pilihan Dusuki untuk mengingkarinya?

 

            Ketiga,   jika Dusuki berpegang sangat dengan definisi ulama’ bawaan beliau ini, maka bagaimana beliau mahu jelaskan penglibatan Nabi S.A.W. dalam pelbagai aspek dan bidang kehidupan.     Sesungguhnya,  sebagaimana contoh  teladan  yang ditunjukkan oleh Nabi, sebegitulah seharusnya  tingkahlaku  “ulama’ yang menjadi pewarisnya”.   Ini  selaras dengan Hadith Sahih riwayat Bukhari yang turut dipetik oleh Dusuki.    Diatas premis kefahaman yang original inilah juga masyarakat Malaysia sedang melihat keterlibatan Nik Abdul Aziz bin Nik Mat dan Haji Abdul Hadi bin Awang di arena politik nasional  bersama lain-lain ulama’ melalui PAS.   Mereka mengajar di Masjid dan Surau.   Mereka juga berpolitik dan memerintah.   Mereka bermuamalat dan bermasyarakat.    Mereka berjuang menggalakkan maaruf dan menentang kemungkaran dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri  dengan kekuasaan yang diamanahkan oleh rakyat melalui keputusan  Pilihan Raya.    Mereka  mengalahkan  UMNO  di gelanggang demokrasi secara sah di Kelantan dan Terengganu dan beberapa Kerusi lain di seluruh negara.   Mereka menyertai politik kerana percaya bahawa kuasa politik boleh menjadi alat untuk menentang kemungkaran yang dibuat oleh  puak sekular.

 

            Jika benar sangatlah saranan Ustaz Dusuki yang ulama’ hanya perlu menyebar ilmu agama di Masjid dan Surau sahaja seperti ulama’ dahulu kala, maka kenapa Ustaz Dusuki sendiri masih bertanding?   Sepatutnya beliaulah orang yang pertama mengajar di Masjid dan Surau-Surau dari dahulu, kini dan selamanya.    Tak payahlah Ustaz mencampuri urusan politik.   Sekarang inipun beliau adalah Setiausaha Politik  kepada Perdana Menteri Malaysia.   Bolehkah Ustaz berpolitik? Sedangkan Ustaz juga kira-kiranya macam ustaz juga.    Atau ustaz UMNO boleh berpolitik tetapi ulama’ PAS haram?  Selaku Setiausaha Politik, mustahil Dusuki tidak berpolitik.   Nampak sangat beliau sedang berkontradiksi dengan definisi buatan sendiri.   Jelas di sini, skrip drama Dusuki akan menjadi bahan ketawa.   Unsur  “self contradictory”  beliau menjadi semakin sulit apabila Dr. Mahathir yang sepatutnya menjadi Doktor di Klinik  telah memasuki tahun ke 21 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.    Malah ketiga-tiga bekas Perdana Menteri Malaysia sebelumnya adalah Peguam.

Jika mengikut logik Dusuki mereka telah menyeleweng dari profesionnya.     Dusuki …  Dusuki…   tuan telah mempersendakan diri tuan sendiri!

 

            Saya melihat apa yang ada pada Dusuki dalam dua kemungkinan.    Sama ada beliau adalah seorang Ustaz yang memang keliru dengan Islam atau sengaja beliau buat-buat keliru dan mahu mengelirukan orang ramai mengenai Islam.   Apapun kemungkinan sama ada pertama atau kedua,  Dusuki telah, sedang dan sudah jauh berada dalam  kesilapan.     Dengan ulasan ini saya akan bersalah jika tidak menyeru Ustaz Dusuki untuk kembali ke pangkal jalan.    Saya telah menunaikan tanggungjawab saya berasaskan semangat tegur menegur seperti anjuran Surah Al Asr.   Kembalilah melihat Islam dari lensanya yang asal.

 

Soal asal usul Dusuki yang terpaksa  bersusah payah menggalurkan profail beliau yang menyentuh asal keturunannya,  saya kira menjadi sungguh tidak relevan.   Kalaulah beliau sekadar mahu membuktikan bahawa Tok-Tok Guru tersohor dahulu kala tidak mengadakan Sembahyang Hajat beramai-ramai di Stadium, jawapannya mudah sahaja.   Orang Islam sebelum munculnya UMNO adalah orang yang berpegang teguh kepada Islam dan ajaran Islam.   Pemimpinnya adalah Raja-Raja yang mendaulatkan Islam.   Kita ada Hukum Kanun Melaka, kita ada Raja-Raja yang begitu mulia akhlaknya.   Rakyat jelata hidup aman  yang menjalani proses pendidikan yang tenang tanpa sebarang kacau ganggu dari kalangan pemimpin sekular seperti yang sedang dibuat oleh UMNO hari ini.     Sudah mencukupi bagi mereka untuk beribadat dan bermuamalat secara kecil-kecilan.    Mereka tidak payah turun ke padang atau Stadium  untuk bermunajat bagi menentang kezaliman kerana Raja-Raja selaku pemimpin  di ketika itu tidak  mendera rakyat.   Lagipun zaman itu mana ada Stadium?

 

Kini pemimpin Islam yang memerintah orang Islam mengasingkan Islam dalam petak sekular.   Politik suku, agama suku.   Tidak perlulah saya berkhutbah panjang mengenai apa itu sekular kerana Dusuki boleh mencari pengertian dan keterangannya dalam buku-buku  tulisan Al Maududi atau Dr. Yusof Al Qardhawi dan dalam tafsir-tafsir Fizilla lil Quran karangan Syed Qutb.   UMNO yang sekular meminggirkan Islam.   Isu terkini mengenai Sekolah Agama Rakyat (SAR) cukup menjelaskan wajah UMNO  yang  sebenar.   Hukum Hudud yang menjadi satu juzu’ penting dalam pemerintahan Islam telah diputar belit isunya seakan-akan pelaksanaannya bersikap elektif.  Tidakkah penggunaan perkataan ‘Islam’  telah diputuskan untuk diharamkan oleh UMNO.   Nasib baik ianya diselamatkan oleh campur tangan Majlis  Raja-Raja Melayu.    Inilah diantara perkembangan yang meresahkan  umat  Islam.    Inilah  juga  yang  mendorong  mereka  untuk keluar beramai-ramai  Bersembahyang Hajat di padang terbuka.    Salahkan bagi umat Islam untuk bermohon hajat  dan mengadu kepada Allah S.W.T.  diatas apa jua tekanan dan ujian yang sedang mereka hadapi.   UMNO tidak perlu risau dalam berhadapan dengan situasi ini.   Lagipun  bukankah Dato’ Dusuki sendiri yakin sebagaimana yakinnya Presiden UMNO bahawa UMNOlah pejuang Islam.   Apa ditakutkan kepada bala dan siksaan daripada Allah yang kononnya dicanangkan oleh kuntai-kuntai  PAS?   Bukankah Sembahyang Hajat orang PAS yang telah disesatkan oleh UMNO tidak akan diterima oleh Allah.   Logiknya  tak perlulah UMNO risaukan  penyeksaan di akhirat atau  turunnya bala di dunia yang akan menimpa kepala UMNO.

 

            Dato’ Dusuki juga enak sekali menyentuh konsep kepaderian dan kesamian yang tidak ada dalam Islam.      Bagaimanapun memperlekeh-lekehkan istilah ‘berkat’  yang ada pada alim ulama’ adalah keterlaluan.    Semua orang tahu bahawa dalam Islam ada tempat berkat, doa yang berkat, masa yang berkat dan orang yang berkat.   Tempat yang berkat termasuklah Kaabah dan Masjid-Masjid serta Surau-Surau.   Orang yang berkat termasuklah  Rasul-Rasul, Nabi-Nabi, para Siddikin, para Ulama’, para Syuhada  dan para Solihin.     Doa Qunut dalam lafaz   “Waba rik lana”  yang sama-sama kita pohon  kepada Allah setiap pagi adalah bukti tentang pentingnya keberkatan. Soal Dusuki mengheret isu  ‘air tawar’  yang disebut beliau mempunyai keberkatan kalau ianya ditiup oleh Tok Guru,  maka itu dipanggil orang “pandai-pandai Dusuki”.   Tidak pernah ada seorang Tok Guru pun yang  mendakwa  bahawa  ‘air tawarnyalah” yang penuh berkat.   Soal orang percaya  dan mahu mendapatkannya sebagai ‘air penawar’  daripada Tok Guru dengan siap membawa air daripada rumah masing-masing adalah soal keyakinan orang ramai.  Nabi sendiri pernah meludah ke dalam mulut, dada dan anggota sahabatnya sebagai ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit.    Jadi soal berikhtiar adalah soal biasa dalam Islam.

 

Kenapa mereka tidak membawa air untuk  ‘ditawarkan’ oleh pemimpin UMNO, tidaklah pula saya arif tentang sebab musababnya.    Tok Guru adalah satu gelaran yang datang tanpa dipinta.   Ia bukan anugerah.   Ia bukan juga diraih secara   “self claim”.   Ia semacam pengiktirafan massa secara   “consensus”   yang berlaku melalui faktor-faktor tarikan semula jadi.

 

            Akhir kata,  saya kira Dusuki perlu kembali mentelaah semula esei beliau.  Terlalu banyak kekaburan dan keraguan.  Jika dikatakan orang sebagai terlalu berunsur “malicious” dan “evil minded” pun, ada munasabahnya.   Beliau menulis dalam kelabu dan menimbulkan fitnah kepada dirinya dan sekaligus kepada Tok-Tok Guru yang diserangnya.   Kembalikan kewarasan dalam berhujah.   Mengikuti tulisan Dusuki sama seperti mengikuti sebuah skrip sandiwara.   Jika dikunyah dan dihafal bodoh tanpa berfikir,  nescaya anda akan menjadi seorang ahli UMNO yang sempurna.    Bagaimanapun,  jika dihadapi tulisan beliau dengan pemikiran kritikal,  kita akan menjumpai jawapan yang berlainan.   Kita menemui Dusuki yang manipulatif dan tidak jejak di bumi nyata.    Beliau cuba membina “back drop” dan menyesuaikan setting  untuk dipaksa drama khayalannya  dimainkan di lakon layar tanpa memahami audien pembaca  yang telah berminda.

 

            Jika beliau masih berkeras juga dengan keyakinan esei beliau, maka saya tidak mempunyai daya upaya.   Jika boleh saya bernasihat, maka elok juga  Dusuki kemaskinikan skrip drama tersebut untuk dijadikan sebuah siri suka ramai di Radio Televisyen Malaysia.   Saya ingat TV1  berminat dengan jalan ceritanya.   Cubalah.   Mana tau.    Biasanya rezeki seorang Ustaz UMNO murah menjelang pilihan raya!

 

            Dan berkatalah seorang William Shakespeare dalam   ‘As You Like It’,  “The fool don't think he is wise, but the wise man knows himself to be a fool”.   Selaku seorang yang minat berdrama,  Dusuki tentu lebih maklum maksud Shakespeare.

 

 

 

 

ANUAL  BAKHRI  HARON

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh:19 Zulkaedah 1423 / 22 Januari 2003.

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates