Make your own free website on Tripod.com

Home ]

Siapa Cah Keting Siapa?

Back ] Next ]

 

SIAPA CAH KETING SIAPA?

Mendengar gesaan Ku Li supaya semua ahli UMNO menghentikan politik cah keting benar-benar mengesahkan kroniknya penyakit tersebut dalam UMNO Kelantan.    Permintaan terbuka beliau ada dimuatkan dalam Berita Minggu bertarikh 3  Muharam 1423/17 Mac 2002.   Rupanya amalan cah keting adalah budaya UMNO.   Ia telah sebati.   Tidakkah Anwar Ibrahim tercampak keluar kerana cah keting.   Begitulah Ghafar Baba dan Musa Hitam.   Ku Li yang hampir menang sebagai Presiden UMNO dipemilihan Agung UMNO pada tahun 1987 dengan kekalahan tipis 43 undi juga telah menjadi mangsa cah keting selepas itu oleh orang yang kini dipujanya.

          Malah, sejarah cah keting dalam UMNO turut boleh dilihat dalam amalan Ku Li sendiri.   Sejarah Ku Li dalam karier politik beliau adalah dipenuhi dengan episod  nakal cah keting demi cah keting.

          Dia pernah cah keting PAS setelah diberi tempat dengan penuh hati-hati tetapi rela hati.    PAS yang tidak sampai hati melihat ‘Putera Kelantan’ yang tercunggap-cunggap kelemasan telah menarik bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu ketepi untuk menaiki perahunya.   Sebuah ‘Bahtera Besar’ lalu dibentuk dan diberi nama  Angkatan Perpaduan Ummah (APU) untuk disesuaikan dengan perjuangan Islam.    Mungkin kalau tidak kerana simpati dan murah hati PAS, Ku Li dah lama terpadam dari kamus politik negara.   Rupanya galah yang dihulur ke tangan Ku Li telah diguna dengan penuh bernafsu untuk menahan keting PAS agar jatuh tersungkur kemudiannya.     Mulia  sungguh  hati  Yang  Berhormat  Mulia  Tengku Razaleigh Hamzah!     Keting siapa lagi yang dicah kalau tidak keting Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.    Bagaimanapun, adat orang berpencak dan lama berguru sehingga dipanggil Tuan Guru, Nik Abdul Aziz adalah Nik Abdul Aziz.    Walaupun Ku Lipun hebat orangnya tetapi amalan cah keting beliau tidak ke mana.   Usahkan jatuh, tercalarpun tidak.   Luka jauh sekali.   Kita boleh saksikan sendiri Ku Li akhirnya membubar parti yang dia sendiri menjadi presiden.   Kini PAS menang ditahun 1999 dengan lebih mantap dan lega bergaya tanpa Ku Li.    Brek Tok Guru makan.   Jangan dipermainkan.

          Babak cah keting Ku Li seawalnya pernah dapat dikesan melalui percaturan sesama sendiri dipemilihan jawatan Naib Presiden UMNO ditahun 1978.   Walaupun persefahaman telah dicapai antara Musa Hitam dan Ku Li iaitu perwakilan dari Kelantan dan Johor masing-masing memberi undi secara timbal balik,  tetapi keputusannya menunjukkan sesuatu yang sebaliknya.     Hanya perwakilan dari Johor sahaja yang memberi undi yang solid kepada Ku Li diperingkat akhir.   Ramai pemerhati politik membaca ini sebagai unsur cah keting Ku Li yang sangat mengecewakan UMNO.

          Sewaktu MAGERAN diisytiharkan di Kelantan ditahun 1977, unsur cah keting Ku Li keatas Kerajaan PAS turut terserlah.   Beliaupun sering berbangga dengan ‘jasa’  ini untuk merampas Kelantan.

Kini, tinggallah Ku Li di lubang gelap disebuah gua yang amat terperosok di Ulu Kelantan.  Nasib.  Nasib.     Sekali sekala keluar dengan betis (keting) bergalur dalam pendirian yang sentiasa tidak tetap.    Sekali seakan-akan nak sokong Musa kembali dan ada ketikanya kelihatan seakan-akan nak cah keting Presiden UMNOnya sendiri.   Sekali nak jadi Menteri, sekali nak jadi kuli, sekali nak jadi gurka dan sekali olok-olok pakai cincin gurka.   Kesian!

          Ku Li juga pernah dilihat mahu cah keting Dr. Joseph Pairin Kitingan dalam pembentukan Gagasan satu ketika dahulu.   Dia cah keting orang dan begitulah juga keting beliau turut dicah dalam permainan bola sepak yang pragmatik, serba boleh dan sentiasa tidak menentu akhlak, disiplin dan peraturannya.

          Kini, beliau sibuk pula menyeru UMNO Kelantan supaya hentikan politik ‘cah keting’.    Ini kerana Ku Li terlalu mahir dalam permainan ini.   Dia sudah lama memahami ragam pemain dan fasih benar dalam membaca “body language”   orang kanan, kiri, atas, bawah, belakang dan lapisan depan UMNO di Kelantan.    Kenyataan beliau di Dewan Sek. Men. Bachok pada 16 Mac 2002 adalah manifestasi jujur beliau walaupun kelihatan sedikit latah dalam mengharapkan perubahan amalan ahli-ahli UMNO di Kelantan.   Dia sedang menyaksikan satu penyakit tambahan yang bersifat “acute”.  Dia sedang ketakutan demi  melihat tidak mungkinnya UMNO untuk menang di Kelantan dalam tempoh terdekat.   A yang cantas B dan B yang dicantas C lalu dibela oleh D yang sedang berpakat dengan B untuk mencantas A.   PAS bukan tidak kenal siapa Ibrahim Ali, Mustapha Mohamed, Zainal Abidin Ab. Kadir, Shukri Mohamad, Ahmad Shahibuddin Mohd. Nor, Ilani Ishak, Ahmad Rastom, Aziz Derashid, Anuar Musa, Abdullah Ahmad,  Ahmad Rusli Ibrahim  dan  Ahmad  Rujhan.   Mereka sedang hidup dalam sebuah curiga.   Nampak sahaja tidur sebantal tapi sentiasa tidak lena dari ketakutan mati dicekik  pasangan  sendiri  dalam  permainan  bernama  ‘cah keting’.    Keris bersilangnya yang siap terhunus tidak mengenal erti kasih, kawan dan kasihan.    Islam, kebenaran dan keadilan adalah mainan di tirai-tirai wayang di PWTC menjelang setiap perhimpunan agung sahaja.   Tidak lebih dari itu.   Pendek kata mengharapkan tiadanya cah keting dalam UMNO samalah seperti mengharapkan kucing bertanduk.  Bukan UMNO kalau tiada cah keting.   Semuanya nak cepat berkuasa dan duduk di Kota Darulnaim atau Wisma Darul Iman atau Putrajaya untuk mengaut apa jua kepentingan.   Tikam menikam baik dari arah rusuk, depan atau belakang adalah UMNO yang sedang tembus dan tenat dari semua arah.  Dia mustahil untuk dipulihkan.   Ku Li, UMNO Kelantan  dan UMNO Malaysia adalah parti sesat yang sudah tersilap haluan dan jauh terlajak.    Dia enggan undur.   Dia terlalu malu.   Dia bagaikan seekor harimau yang luka.   Dia sudah hilang punca dalam percubaan akhir untuk bangun.   “Political Viagra”  UMNO ialah Islam dan Melayu.    Malangnya diatas nama demokrasi yang dikhianati kedua-duanya telah diperkosai UMNO dengan sepenuh-penuhnya.    Yang tinggal hanyalah sebuah UMNO yang rompong, yang cuma hanya tinggal gigi dan tulang.   Dia hidup diatas rasukan jelmaan ‘hantu raya’.   Dia  bagaikan polong bermata merah dan pucat sebiru mayat.   Dia telah lama mati!    Kita saksikan takdir Allah S.W.T. dalam menguasai tadbir dan ikhtiar akhir mereka.  Pada lazimnya takdir Allahlah yang akan mengatasi.

          Ingatlah kita akan sepotong maksud Firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

"Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan Kami merencanakan makar(pula), sedang mereka tidak menyedari."

                                                                   (Ayat 50  Surah An Naml)

Anual Bakhri bin Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh:4 Muharam 1423 / 18 Mac 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates