Home ]

Pembangunan. Untuk Siapa?

Back ] Next ]

 

 PEMBANGUNAN.   UNTUK SIAPA?

          Mana lebih baik.  Bertanya pembangunan dari siapa atau pembangunan untuk siapa.     Jika pertanyaan “pembangunan dari siapa” yang menjadi pilihan, maka dikhuatiri kita masih belum lagi terlepas dari berfikir secara sedikit kebudak-budakan.   Malah jika kita mengaji secara tasauf, sifat mengaku itu dari saya dan ini dari saya, adalah sebuah kehinaan.  Dia masih berada dalam makam nafsu yang rendah.    “Satu lagi projek BN” adalah contoh mudah yang dapat dilihat dimana-mana.

           Kalau kita bersifat lebih dewasa, kita tentu lebih berminat untuk bertanyakan “pembangunan untuk siapa”.   Kedewasaan dan kematangan kita akan lebih menyerlah apabila menjawab soalan ini.   Jika jawabnya untuk rakyat, maka tidak perlu timbul lagi soal siapa yang menyediakannya.   Pokoknya dari kerajaan.   Sama ada Kerajaan Persekutuan atau Negeri, itu menjadi sedikit “immaterial”.   Bukankah kita ingin membangunkan rakyat? Jika rakyat sedang dibantu untuk membangun, soal siapa yang menatang dan menatih rakyat untuk berdiri, berjalan dan berdikari tidak lagi begitu penting.   Demikianlah jika kita dewasa dan tidak berpolitik dalam agenda bersama untuk membangunkan rakyat.  Tanggungjawab membangun adalah tanggungjawab bersama.

           Masalah timbul apabila percubaan dilakukan untuk meremehkan pembangunan  oleh  Kerajaan  Negeri.    Dilihat  tanggungjawab bersama ini dalam sebuah dikotomi yang disengajakan.   Natijah dihujung yang sentiasa disogok  kepada  orang  ramai  ialah  “Kerajaan Negeri tidak buat apa”  dan Kerajaan Persekutuanlah yang mencurahkan peruntukan.   Kesimpulan yang dibuat dan akan diulang ialah Kerajaan tidak berbuat apa. Soalnya, produktifkah kita untuk terus menyogok pemikiran rakyat agar berfikir cara begini?

           Pilihanraya masih jauh tetapi trompet yang meniup rentak nampaknya sedang mengatur rakyat untuk berpecah.   Kemudian diseru seluruh rakyat bersatu tetapi saban hari rakyat Kelantan diajar untuk membenci Kerajaan Negerinya.  Tidakkah ini bertujuan perpecahan?   Inilah ironinya. Pembangunan yang sememangnya telah dan sedang berjalan sengaja dinafikan dengan perkataan-perkataan seperti “tidak nampak”.     Masakan tidak boleh nampak Jambatan Sultan Yahya, Jambatan Salor, sekolah, klinik, jalanraya, hotel, pasar, surau, masjid, muzium, taman rekreasi, projek-projek bekalan air dan elektrik, kemudahan telekom, pelaburan dibidang perladangan, industri kecil dan sederhana, kompleks perikanan, kilang dan hampir segala sesuatu di atas muka bumi Kelantan yang seluas 14,922 km persegi ini.   Bukankah ini pembangunan?   Tidak cukup dengan pembangunan fizikal, ada lagi input-input non fizikal yang berbentuk pembangunan akhlak, moral dan kemanusiaan.   Bukankah inipun satu bentuk pembangunan?    Buku-Buku Huntington, Maslow atau Ibn Khaldum turut boleh mengesahkan definisi ini.   Teori-teori seperti tajaan W. Arthur Lewis yang berbunyi  “our subject matter is growth, and not distribution” (Persoalan kita adalah pertumbuhan dan bukan pengagihan)  harus  dilontar jauh agar mampu melihat persoalan pembangunan dalam perspektif yang lebih adil.  Pembangunan harus mencerminkan kemakmuran keinsanan yang seutuhnya agar kesejahteraannya terjamin baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.   Membangunkan manusia adalah lebih prioriti sebelum manusia yang berjaya itu diletakkan di atas tilam keselesaan material.

           Bagaimanapun, jika kita hanya mencari “pembangunan oleh siapa” untuk akhirnya bertujuan mendabik dada dan mencemuh sesiapa, maka mulai dari itulah kita telah menurunkan darjat persoalan pembangunan ke tahap yang sedikit dangkal.   Cukuplah “to whom” ditanya untuk lebih mewaraskan kita dalam melihat persoalan pembangunan.   Jika tidak, maka sahlah bahawa pihak-pihak yang sering mendakwa semuanya dari ‘dia’ itu sedang bermain politik kekampungan.

           Disebalik kita berlatih untuk bersifat matang dan berlapang dada untuk benar-benar membangunkan rakyat Kelantan dengan ikhlas, ‘dia’ yang kita maksudkan ini, rupanya mahu ‘dia’ sahaja dilihat sebagai “messiah”, “saviour” dan “provider”.   Sebab itu perkataan-perkataan sinis yang menyindir malah akhir-akhir ini terlalu berterangan dilontarkan dengan tanpa berselindung.   MasyaAllah.   Sampai hati membutakan fikiran untuk menafikan apa yang ada untuk dikatakan tiada.

            Apa  yang  waras  ialah,  berikanlah  sumbangan  peruntukan  seperti  yang pernah diberikan di Kedah, Selangor, Johor, Melaka atau Pahang. Mustahil ada pihak mahu nafikan bahawa Langkawi lahir dari banjiran peruntukan Kerajaan Persekutuan.   Begitulah juga dengan Second Link, Putrajaya, MSC, Stadium Bukit Jalil, KLCC, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang.    Kenapa tidak dibina ini semua di Kelantan?   Kelantan juga perlukan lebuhraya.   Kelantan juga dahagakan bekalan  air  bersih yang mencukupi.   Kelantan juga memerlukan sebuah pulau pelancongan yang berinfrastruktur dari Kerajaan Persekutuan.  Kelantan juga perlukan pelabuhan.  Kelantan begitu mengimpikan sebuah Pusat Dakwah serantau bagi kelahiran Mubaligh yang meluas.   Kelantan turut juga menginginkan peruntukan raksaksa untuk menjadi pusat pengeluaran makanan halal bagi menjadi pembekal di dunia sebelah sini.   Kenapa harus dijeruk Kelantan dalam tempayan diskriminasi semata-mata untuk melemaskan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat.   Inilah soalan-soalan tindan yang wajar disusuli dalam menyusuri punca dan sebab Kelantan yang dikatakan mundur.   Walau bagaimanapun, itu manusia yang merancang tetapi apa yang berlaku mungkin tidak semestinya. 

          Buat permulaan, mungkin ada baiknya kita hentikan amalan yang suka mengaku (claim) yang projek ini adalah projek BN.  Projek itu adalah projek PAS.  Bukankah lebih matang untuk berkongsi hak bahawa ia milik bersama.   Manfaatnya  adalah  untuk  rakyat  tanpa  mengira  parti.   Itulahpun hakikat yang sebenarnya.   Kalaupun sebuah sekolah yang dibina dari  Peruntukan  Persekutuan,  tidakkah  ia  perlu  dibina  di atas tanah milik Kerajaan Negeri.   Ini ada disebutkan di dalam Seksyen 40 Kanun Tanah Negara.  Melalui Kuasa Pelupusan, Seksyen 42 pula, Pihak Berkuasa  Negeri (PBN) dibolehkan membuat pelupusan tanah kerajaan menurut Seksyen 76 kepada Kerajaan Persekutuan apabila PBN berpuas hati bahawa tanah itu akan digunakan untuk tujuan awam (for public purpose).   Ini mengesahkan bahawa  tanah  adalah  hak  negeri dan kuasa pelupusan adalah kuasa negeri.   Kemudian timbul pulalah perkara balasan pembayaran premium oleh Kerajaan Persekutuan kecuali PBN fikirkan patut untuk diberikan kekecualian.   Contoh ringkas ini sengaja diambil untuk menunjukkan unsur kepentingan bersama (common interest) dan kesalingan (reciprosity) yang begitu padu dalam sesebuah projek pembangunan.   Itu belum lagi dihubungkan dengan hakikat yang setiap warganegara termasuk rakyat Kelantan yang turut membayar cukai kepada pihak Lembaga Hasil dalam Negeri.   Cukai tidak dikutip oleh Kerajaan Negeri.   LHDN membuat kutipan tanpa mengira parti.   Hasil pungutan yang terkumpul itulah yang digunakan untuk membiayai pelbagai program/projek pembangunan dimana-mana negeri termasuk Kelantan.   Jika begitu, wajarkah papan tanda menamakan “satu lagi projek BN”.   Kan anih namanya!   Lagipun tiada yang luar biasa apabila seorang bapa memberikan sedikit belanja kepada anaknya.   Yang menjadi keluarbiasaan ialah apabila seorang bapa cop setiap helai baju atau basikal sekolah anaknya dengan kata-kata “satu lagi pemberian ayah”.   Tak sangka.   Mentaliti  “Malaysia boleh” sudah menjadi bahan tertawa yang semakin kebudak-budakan sifatnya! 

          Tidakkah boleh kita sama-sama bersetuju bahawa segala kemudahan dan projek pembangunan yang disediakan dipelbagai sektor adalah dari kerajaan untuk rakyat.   Pencapaian hasil usaha kedua-dua pihak dipelbagai bidang dan sektor adalah kejayaan bersama.   Oleh kerana pencapaian itu berada  atas  bumi  Kelantan  dan  kerajaan  yang memerintah Kelantan pada waktu ini adalah Kerajaan PAS, maka apa salahnya kredit itu “be given to the government of the day”.   Itupun jika kita mahu bercakap dari segi pembangunan itu “dari siapa”.     Pokoknya, untuk menidakkan jasa Kerajaan Negeri disepanjang 11 tahun memerintah Kelantan sebagai “tidak nampak apa-apa” adalah sedikit keterlaluan.

           Oleh kerana nampaknya keperluan seakan-akan timbul untuk membuktikan yang dakwaan tersebut kurang tepat, barangkali boleh juga kita senaraikan sedikit ringkasan dari usaha-usaha Kerajaan Negeri selama ini:

i)Pembangunan Infrastruktur Kemudahan Asas

Projek pemulihan Perlindungan - Pantai PCB

- RM 3.1 juta

Pemasangan paip air utama bekalan air Kg. Jeribong, Kuala Balah

- RM 63,640.00

Bangunan Baru Tambahan Bilik Darjah SMU Maahad Muhammadi di Jalan Pengkalan Chepa

- RM 1 juta

Projek Pembinaan Tangki Air dan sistem agihan di Taman KiaraTanah Merah

- RM 835,134.00

Projek Bekalan Air Skim Chicha

- RM 77.9 juta

Bekalan Air Skim Kg. Putih

- RM 29.82 juta

Menambah punca, membaiki tangki mempertingkatkan keupayaan dan membaiki sistem bekalan air seluruh Jajahan Tahun 2000

- RM 2.9 juta

Menyelenggara jalan-jalan seluruh negeri sehingga 31 Ogos 2001

- RM 2.70 juta 

Menyelenggara jalan-jalan seluruh negeri Tahun 2000

- RM 19.20 juta

Menyelenggara jalan-jalan negeri Tahun 1999

- RM 11.99 juta

 

ii)Pembangunan Pendidikan

Terdapat sejumlah 92 buah sekolah di bawah YIK dengan jumlah pelajar seramai 40,066 orang.   Dari tahun 1995 – 2000 jumlah pelajar yang berjaya memasuki Universiti dalam dan luar negeri adalah seramai 1,797 orang orang.   Dari segi Maahad Tahfiz pula, YIK telah berjaya melahirkan 80 orang tahfiz dalam tempoh 2 tahun 1999 – 2001. 

Dari segi pencapaian akademik, rekod menunjukkan ditahun 2000, peratus yang mendapat tahap cemerlang A mengikut jenis peperiksaan adalah seperti berikut:

STPM

- 89.31%

STU

- 67.14%

SPM

- 95.54%

SMU

- 66.47%

PMR

- 42.94%

     

iii)Sektor Pelaburan Ladang Hutan dan Pertanian Komersil

Berjaya membuka ladang kelapa sawit Secara Usahasama melalui YIK, YAKIN, PKINK Perbadanan Menteri Besar dan MAIK

- 100,698 ekar

  

iv)Memproses dan Melupuskan Tanah kepada rakyat

Meluluskan permohonan tanah sebanyak 51,938 geran disepanjang tahun 1990 – 2001

- 1.005 juta ekar

 

v)Pembangunan Sektor Pertanian Dan Perikanan

Usaha ternakan udang galah dan dusun buah-buahan seluas 110 ekar oleh Syarikat KAGO  Plantation 

- RM 10 juta

Pelaburan asuhan benih ikan dan orkid di Kuala Krai

- RM 34 juta

Pelaburan ikan talapia oleh RSPSB di atas kawasan seluas 2 hektar di Tasik Pergau

- RM 100 juta 

Ternakan ikan dalam sangkar oleh Esa b. Su di Lagoon Sri Tujuh, Tumpat

- RM 300,000

Ternakan ikan Md. Isa Othman di Pasir Mas melibatkan 28 kolam ikan air tawar

- RM 200,000

Pembangunan perikanan akuakultur termasuk ikan dalam sangkar, rakit tiram, tangki simen dan kolam dari tahun 1993 - 2000

- RM 8 juta

Pembukaan ladang sayur-sayuran

- RM 9.3 juta (5,122 hektar)

Pembukaan kebun buah-buahan komersil

- RM 19.4 juta (55,667 hektar)

Meningkatkan keluasan dan pengeluaran hasil padi

- RM 21.78 juta (75,031 hektar)

  

(semua maklumat adalah bersifat kumulatif diambil dari tahun 1990 – 2001 dari agensi pelaksana.   Sumber peruntukan adalah dibiayai oleh Negeri.   Cuma komponen-komponen yang agak sukar dipisahkan yang melibatkan peruntukan Negeri dan Persekutuan diakui ada juga dimuatkan khususnya untuk projek jalan, JPS dan RISDA.   Bagaimanapun seperti yang disebutkan, tekanan “dari siapa” tidak sangat mahu dipentingkan). 

Bagaimana agaknya.  Nampak atau masih tidak nampak? 

Jika benar-benar serius untuk memantau pencapaian prestasi mengikut negeri-negeri, kenapa tidak diberikan “financial treatment” yang sama dari awal.   Kelantan dalam banyak hal sentiasa menerima diskriminasi.   Contoh nyata ialah penerimaan geran-geran wajibnya yang sentiasa dilambat-lambatkan.   Sehingga rencana ini ditulis, Kelantan baru menerima RM19 juta dari RM120 juta yang patut diterimanya secara keseluruhan bagi tahun ini.   Kenapa harus ditangguhkan.   Sedangkan geran wajib diberikan mengikut jadual kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain. 

          Kemudian kenapa tidak dibina Universiti Islam di Kelantan sedangkan tapaknya telah pernah dikenalpasti malah pengambilan balik tanah telah selesai dilakukan di Tangok, Bachok satu ketika dahulu.   Ia dipagar tetapi akhirnya hanya dibina sebuah kompleks sekolah-sekolah sahaja.   Apakah kerana PAS menang, lalu dibatalkan?   Sila jawab; ya atau tidak! 

          Kenapa tidak mewujudkan sebuah Lembaga untuk memajukan Pengkalan Kubur seperti yang telah dibuat di Langkawi?    Kenapa pula Pusat tidak bersungguh untuk mencurahkan peruntukan di Pelabuhan Perikanan Tok Bali.   Jika Pelabuhan Kuantan boleh dibantu dengan mudahnya, kenapa hal yang sama tidak boleh dilakukan?   Kenapa harus dihentikan cadangan pembinaan lebuhraya setakat Pahang sahaja?   Pendek kata,  mana ada sebuah negeri yang boleh mendakwa “fully financially autonomous”  tanpa  bantuan  Kerajaan  Persekutuan.    Itulah  pun  konsep Federalisme yang mengikat premis semua pihak semasa mengikrarkan kemerdekaan.  Ia terpancar dengan jelas dalam senarai Persekutuan, senarai Negeri dan senarai bersama (concurrent list)  Perlembagaan Persekutuan.

          Jika Malaysia pernah menegur amalan diskriminasi dan menindas oleh Kuasa-Kuasa Besar keatas negara-negara lemah baik di Bosnia Herzogovina, Pakistan, Palestin atau India sebagai contoh, tidakkah terasa bahawa Kuala Lumpur pun turut dengan asyiknya menindas penduduk Kelantan yang 94.5%  terdiri dari orang Melayu yang beragama Islam.   Diatas nama UMNO sebagai parti Nasionalis Melayu pun amalan ini sudah jauh tersilap.   Sepatutnya jika mahu bercakap diatas nama Melayu, maka Kelantanlah negeri pertama yang perlu dibantu.   Lebih-lebih lagi benar apabila disedari bahawa tahap kemiskinan di Kelantan diwar-warkan sebagai mencatat 18.9%.   Soalnya, kenapa harus menunda hajat untuk menolong semata-mata kerana pengundi di Kelantan memilih PAS.   Tidakkah  demokrasi mengizinkan manusia membuat pilihan.   Pilihan yang disahkan melalui peti undi tidak pernah menghalalkan mana-mana pihak di Pusat untuk memicit, menindas, mendera dan mengkhianati saluran bantuan dari diputuskan.   Jika terjadi juga,  tentu ada sesuatu yang amat tidak kena sedang berlaku dengan demokrasi kita.    Jika diambil sikap Kuala Lumpur dalam menukar royalti yang menjadi hak Terengganu kepada Wang Ehsan untuk ditadbir oleh JPP, sekali lagi semua orang tercengang.   Jika UMNO/BN yang masih menang di Terengganu ditahun 1999, tentu kepelikan ini tidak akan berlaku.Bahaya yang timbul dari pemesongan demokrasi melalui amalan diskriminasi ini ialah manusia secara perlahan dipaksa untuk menyembah manusia.   Siapa yang mengikutiku akan mendapat kesenangan.   Siapa yang engkar buruk padahnya.   Slogan-slogan bersyukur dan hanya berterima kasih kepada manusia disogok-sogok untuk dibudayakan.   Dari  situ,  rakyat diajar untuk meniatkan sesuatu kerana yang selain dari Allah.    Hidup kerana apa, mati kerana siapa, terima kasih untuk…   syukur kepada…    Apa pula ajaran Islam dari segi aqidah, batas-batas iman dan kufur? 

“Sekiranya bagi orang zalim itu diberi khazanah bumi dan ditambah lagi sekali ganda, nescaya mereka itu akan menggunakan harta itu semua untuk menebuskan diri dari api neraka dan mereka akan berdepan dengan azab Allah yang mereka tidak terfikir sebelum ini.” 

                                                            (Surah Az Zumar:  Ayat 47)

 

           Demikianlah sebuah penjelasan mengenai pembangunan.   Semoga kita termasuk orang yang melihat dan menyaksikan apa yang diperhatikan!

 

ANUAL BAKHRI BIN HARON

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh:15 Rejab 1422 bersamaan 3 Oktober 2001

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates