Make your own free website on Tripod.com

Home ]

 

Perjanjian Air  Dan  Pulau Batu Putih

 

Setelah beberapa pusingan rundingan mengenai harga air dengan Singapura gagal, Perdana Menteri Malaysia mahu menghentikan perbincangan.  (Lihat Utusan Malaysia 25 Disember 2002).    Jika dipadankan dengan sikap Kuala Lumpur atas isu penafian  royalti di Terengganu sebaik-baik sahaja naiknya PAS sebagai Kerajaan yang sah kita akan menjadi kehairanan.  Sewaktu keputusan dibuat untuk mengambil royalti, Kerajaan Terengganu tidak pernah diajak  ke meja perundingan.   Sudah 3 tahun ia berlalu dan menunggu keputusan di Mahkamah.   Jika benarlah sikap Perdana Menteri yang mahu merujuk kes perjanjian air dengan Singapura itu ke badan penimbangtara, maka benar jugalah Menteri Besar Terengganu yang telah membawa kes royalti ke Kamar Undang-Undang.

 

            Apa yang aneh ialah perbezaan layanan Perdana Menteri Malaysia terhadap kedua-dua pemimpin.   Singapura bertaring dan gigitannya berbahaya manakala Terengganu yang hanya tinggal gusi boleh dibuat apa saja.   Itulah jawapan.   Kerajaan Terengganu di bawah PAS telah dinafikan hak tanpa sepatahpun rundingan.   Terengganu dihukum melalui penjelasan di media cetak dan elektronik perihal adilnya royalti itu dirampas dan dibahagi-bahagikan semula oleh Kerajaan Pusat kepada penduduknya.   Barangkali peristiwa pihak Singapura yang menghalau rondaan Pasukan Polis Marin Kapal PA41 Malaysia dari Pulau Batu Putih pada 24 Disember 2002 adalah herdikan kifarat Tuhan ke atas UMNO yang selalu menghina PAS di segenap ceruk Malaysia. 

 

          Buat PAS, memorandum bantahan yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi Republik Rakyat Singapura pada 27 Disember 2002 lalu adalah reaksi jujur untuk bersama dalam soal dasar luar Malaysia.   Kita tetap membantah kebiadaban Singapura dalam melayan Pasukan Polis Marin kita yang menjalankan tugas.   Dengan langkah demikian Singapura telah mengkhianati  semangat persefahaman ASEAN yang mendukung prinsip kesetiakawanan dalam sumpah pengisytiharan zon yang aman, bebas dan berkecuali.   Selaku negara anggota yang memahami konsep ZOFPAN, Singapura  wajar menghormati proses pengadilan yang bakal dipertimbang dan diputuskan oleh ICJ nanti.   Jika waras dan tinggilah daya kesabaran kedua-dua pihak tentunya masalah tidak akan berbangkit.   Tidak akan ada bangunan tambahan selain daripada Rumah Api yang sedia dibina.   Sepatutnya sebaik-baik saja kes diusung ke ICJ di tahun 1988, masing-masing pihak menggencatkan sebarang usaha fizikal di pulau itu.   Soal lambat sungguh pertimbangan dibuat oleh “The Hague” walaupun tetap dikesali tetapi memulakan usaha-usaha pembangunan termasuk menghalau Pasukan Marin Malaysia dari berkawal di perairan perbatasan adalah amat bertaraf biadab dan jelas berunsur provokasi.     Ini mengherdik jiran dan seakan-akan ingin membuka kancing di dada untuk mengukur badan dan lengan siapa yang lebih besar!

 

          Dalam hubungan ini kita masih ingat bagaimana pemuda PAS telah dikecam ditahun 1991 apabila PAS bercadang untuk memacak  Bendera Malaysia di Pulau Batu Putih oleh Perdana Menterinya yang bernama Datuk Seri  Dr. Mahathir.    Ini  telah  seakan-akan  menghantar  mesej  penafian  

 

Malaysia terhadap pemilikan dan hak legitimasi ke atas pulau rebutan berkenaan.    Kadang-kadang rakyat Malaysia menjadi serba salah dalam menentukan pendirian sokongan atau penentangan terhadap kerajaannya. 

 

          Sebagaimana Musyidul Am PAS boleh kelihatan bersama dengan PM dalam menghadapi George Soros satu ketika dahulu, sebegitulah juga kita harus membaca sokongan PAS dalam menangani  tindak tanduk Singapura di Pulau Batu Putih.   Memerhatikan gerak geri Lee Kuan Yew akhir-akhir ini samalah seperti memerhatikan  persahabatan yang terjalin antara seekor ayam dengan musang.   Malaysia harus berhati-hati.   Usaha melobi di pentas antarabangsa wajar ditingkatkan untuk menyegerakan keputusan di Badan Timbangtara Mahkamah Keadilan Antarabangsa itu.   Kita tidak mahu terperangkap dalam satu perbalahan yang bukan-bukan.    Kebaikan tentunya lebih banyak jika dapat keputusan disegerakan.

 

          Apa yang lebih penting ialah orang mahu melihat UMNO mengemukakan input hasil penyelidikan yang sehabis terperinci untuk menyokong dakwaan bahawa pulau itu milik kita.   Ini dunia fakta.  Tidak cukup dengan hanya memasang songkok tinggi sedangkan asas akademik, hujah dan dasar tuntutan masih belum ditelaah dengan sesungguh-sungguhnya.

 

          Semoga tidak begitu kerana Malaysia ini milik kita.   Ia milik rakyat bersama. Kita mahu melaungkan syabas dan Alhamdulillah sebagaimana kita telah berbuat dalam menyambut kepulangan Ligitan dan Sipadan.   

 

Kita mahu laungkan sebuah “Allahu Akbar” yang lebih lantang di Pulau Batu Putih tidak lama lagi.

 

 

 

Anual Bakhri Haron

Bertarikh:25 Syawal 1423 / 30 Disember 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates