Make your own free website on Tripod.com

Home ]

Pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan

Back ] Next ]

 

RIADAH MINDA

PINDAAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI KELANTAN:

ANTARA ADAB, LEGITIMASI DAN KEBIADABAN

 

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengatakan bahawa bukan Sultan Kelantan sahaja, Sultan Kedah dan Sultan Johor juga tidak menandatangani pindaan perlembagaan di negeri-negeri mereka. Tetapi Perdana Menteri perlu sedar bahawa 'belum' dan 'tidak' adalah dua keadaan yang berlainan. Benar, Sultan Kedah dan Sultan Johor tidak tandatangani, tetapi ini berbeza dengan Sultan Kelantan yang belum tandatangani. Bagaimana boleh timbul persoalan Sultan Kelantan enggan tandatangani dalam keadaan pindaan yang telah diluluskan pada 25 Jun 2001 itu pun masih belum dihantar, malah masih jauh lagi dari tempoh 30 hari?

 

Belum dihantar bermakna belum dilihat. Tidakkah terlalu awal untuk diisytiharkan Sultan Kelantan enggan tandatangani? Malah pihak yang menjadi "pengisytihar" nampaknya menunjukkan bahawa mereka telah "over-react" di dalam hal ini. Dalam hubungan inilah Menteri Besar Kelantan mengatakan kalaulah pada akhirnya Sultan Kelantan benar-benar tidak tandatangani, rakyat boleh baca tindakan Baginda ini disebabkan tekanan sebuah parti politik. Walaupun Dato' Rais Yatim kata ini sukar dibuktikan, tetapi tidak cukupkah lagi bukti bahawa Sultan Kelantan belum pun lihat lagi pindaan itu kerana ia belum pun dihantar, tetapi telah siap sebuah reaksi "tidak akan menandatangani" dari Tengku Razaleigh.

 

Berbalik kepada Johor dan Kedah yang tidak tandatangani, kenapa pula boleh didiamkan perkara ini? Keadaan tidak tandatangani ini telah berlaku bertahun-tahun lamanya. Aspek-aspek pindaan pun sama, iaitu takrif "bertindak mengikut nasihat" dan rang undang-undang menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari ia diluluskan. Tetapi kenapa Kelantan diberikan "highlight", tumpuan, diandai-andaikan dengan krisis perlembagaan, diletakkan pelbagai bacaan mengenai niat yang bukan-bukan, tidak Johor dan Kedah, sedangkan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru sahaja meluluskan rang undang-undang itu pada 25 Jun 2001 yang lalu. Nampak sangat beragenda! Apa lagi perlunya diteka-tekikan dengan kemungkinan mempunyai niat yang lain? Niat itu sendiri letaknya di hati, bukan di dahi. Niat adalah kerja Tuhan dan bukan kerja makhluk untuk membacanya.

 

Ada juga orang mempersoalkan ianya sebagai tidak sah. Kita tidak tahu lagi apakah tahap tertinggi sah atau tidak sah ini apabila sidang ini telah dihadiri sendiri oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri di sepanjang tempoh persidangan pada 25 Jun 2001 lalu. Malah keseluruhan "exercise" pindaan ini telah dinasihat, dipandu, direstu dan diberikan "lampu hijau" yang senyata-nyatanya, bukan hanya dari YB Penasihat Undang-Undang Negeri sahaja, bahkan dari YA Peguam Negara sendiri. Jika sudah "Mufti" dalam Mahkamah Sivil, yakni YB Penasihat Undang-Undang Negeri, dan "Ketua Mufti"nya, yakni YA Peguam Negara, telah memimpin pindaan ini, apa lagi daya upaya mana-mana pihak untuk mempersoalkan legitimasinya?

 

Reda dengan penjelasan ini, pihak-pihak ini beralih pula kepada soal kurang beradab. Tanpa terlalu banyak mahu melayan, cukuplah jika ditanya--mana lebih biadab antara Kerajaan Negeri yang mahu meminda perlembagaan undang-undang tubuh negeri di atas dua perkara yang telah termaklum tanpa mengungkit kesahihan takhta KDYMM Al-Sultan dengan pihak yang konon begitu prihatin dan "caring" dengan Baginda Al-Sultan sehingga telah dengan "beradabnya" sanggup menabalkan YAM Tengku Ibrahim Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru? Ini sejarah. Ia masih hangat dan tetap terpahat dalam ingatan setiap rakyat Kelantan yang masih hidup hingga kini. Apa pula hal jika kita lihat sikap Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas yang telah dengan jelasnya membangkitkan tentang tidak sahnya takhta kesultanan Kelantan kini yang disemayami oleh KDYMM Al-Sultan yang ada sekarang. Pada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, ada "orang lain" yang lebih berhak di atas takhta tersebut. Ini pun ada tercatit dengan jelas dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Ogos 1993. Kita mahu tanya, apakah ini beradab atau biadab?

 

Terbawa-bawa dengan emosi, mereka lalu beralih kepada sejarah nenek moyang pula. Sikap mengubah-ngubah kiblat dan perkiraan adalah tidak profesional, sungguh dikesali dan sungguh-sungguh memalukan. Entah esok apa pulak yang nak diungkitkan. Begini sajalah, jika nak pakai nenek moyang, ambillah waad Demang Lebar Daun yang telah diakad dengan Baginda Tri Seri Buana seperti yang boleh diikuti dalam ucapan usul pembentangan YAB Tuan Guru Menteri Besar (Tolong baca sikit). Di sana ada syariat yang disandarkan dalam membina konsep "taat-durhaka". Jika masih kurang jelas, bacalah Hikayat Sejarah Melayu yang masyhur itu. Bukankah UMNO parti Melayu?

 

Anual Bakri Haron,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh: 9 Julai 2001.

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates