Make your own free website on Tripod.com

Home ]

Apa dah jadi dengan kenyataan PM lawat Kelantan

Back ] Next ]

 

KENYATAAN AKHBAR INI MERUJUK KEPADA BEBERAPA PERKARA YANG TELAH DISENTUH OLEH YAB PERDANA MENTERI PADA LAWATANNYA KE NEGERI KELANTAN, JUMAAT LALU .

I) Tumpat dan Negeri Kelantan tidak ada pembangunan :

Antara lain YAB Perdana Menteri menyatakan bahawa pembangunan yang ada di Tumpat hanyalah berupa kompleks Imigresen dan Kastam, Pengkalan Kubur. Tanggapan sedemikian perlu dilihat dari segi realitinya. Realitinya ialah projek di Tumpat dan di Kelantan amnya, tergendala kesan daripada exploitasi dasar Kerajaan Persekutuan. Yang nyata sekali Kerajaan Pusat tidak menunjukkan komitmen sebagaimana  yang ditunjukkan terhadap negeri-negeri lain. Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubur misalnya masih tidak terlaksana seperti sepatutnya dengan segala kemudahan yang diperlukan. Cuba bandingkan Pengkalan Kubur dengan Langkawi. Di Langkawi Kerajaan Pusat melalui agensinya LADA menyalurkan berpuloh juta ringgit setahun untuk pembangunannya. Cuba bandingkan berapa jumlah yang diberikan kepada Pengkalan Kubor. Begitu juga kesnya dengan pembangunan Pelabuhan Tumpat.  Cukuplah dengan factor komitmen sebagai “indicator, bandingkan dengan komitmen Pusat kepada projek Pelabuhan Barat (West Port), Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kuantan. Sikap Kerajaan Pusat yang ‘double standard’ inilah yang menghambat  kemajuan dan menyusahkan rakyat Kelantan sebenarnya.

 

Sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan, Kelantan berhak menikmati faedah-faedah sebagaimana negeri-negeri yang lain. Hakikatnya, tiada Kerajaan Negeri yang tidak bergantung kepada Kerajaan Pusat. Ini boleh dilihat melalui rekod hutang negeri-negeri kepada Pusat. Dan memang menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat mengikut Perlembagaan untuk menolong Kerajaan Negeri. Namun yang menyedihkan ianya tidak begitu kepada Negeri kelantan. Misalnya projek-projek mega di negeri-negeri lain adalah ‘phenomena’ biasa. Selangor dengan KLIA, Putrajaya, Cyberjaya, MSC, Kedah dengan pembangunan seluruh  Langkawi, Pulau Pinang dengan Jambatannya, Johor dengan ‘Second Linknya’.  Projek-projek sedemikian adalah ditunjangi oleh Kerajaan Pusat. Malah kebanyakannya dibiayai dengan wang rakyat jua. Untuk Negeri Kelantan, adakah Kerajaan Pusat hanya akan merancang sesuatu projek yang besar, hanya selepas Umno/BN memerintah kembali Kelantan?

 

Hatta dalam projek-projek yang tidak diperlukan pertimbangan politikpun ( seperti bantuan kepada program golongan termiskin ) Kerajaan Pusat masih mengamalkan diskriminasi. Ini boleh dilihat dalam pemberian 2 keping cek yang bernilai RM2.1 juta sedikit masa dulu,  yang telahpun tiba di Pejabat Risda Negeri, tetapi dihalang dari “dicairkan” untuk kegunaan para pekebun kecil di Negeri Kelantan. Walaupun, halangan ini tidak datang dari YAB Perdana Menteri sendiri, tetapi ianya dilakukan oleh pemimpin Umno negeri. Maknanya, diskriminasi bermula dari program yang sebesar-besar sehinggalah projek kampung yang sekecil-kecilnya.

 

II) PAS suka memaki hamun

 PAS adalah parti yang menjadi pilihan rakyat Kelantan kini. Pendekatan maki hamun bukanlah pendekatan PAS. Sekiranya, maki hamun pendekatan PAS, sudah tentu ditolak rakyat Kelantan yang arif dan matang soal politik. Sebaliknya, maki hamun ini banyak sekali digunakan oleh segelintir pemimpin Umno, sehingga mereka sentiasa ditolak rakyat pada pilihanraya. Contoh terkini : 25 Jun 2001, di sesuatu majlis di Padang Garong seorang pemimpin Umno telah memaki hamun YAB Menteri Besar dengan kata-kata yang sungguh tidak wajar untuk disebut oleh seorang pemimpin terhadap seorang Tuan Guru. Contoh di luar Kelantan ialah apabila seorang pemimpin Umno di Negeri Sembilan telah menyatakan bahawa YAB Tuan Guru telah menggosok-gosok belakang seekor babi ketika melawat ke Bukit Pelanduk.

 

Dengan bukti-bukti ini jelas bahawa Umnolah yang banyak menggunakan pendekatan memaki hamun dan melempar fitnah terhadap PAS.

 

III) Ceramah PAS gugat keselamatan

Ini lagi satu mitos yang cuba dibawa oleh Umno. Ceramah PAS tidak menggangu ketenteraman atau mengancam keselamatan. Sebaliknya, ceramah-ceramah PAS yang berjaya menarik pulohan ribu penonton di seluruh pelusuk negara itulah, yang menakutkan Umno. Kejayaan ceramah PAS, berbanding program Umno sendiri, itulah yang menggerunkan Umno dan YAB Perdana Menteri sebenarnya.

 

Yang kedua, kerja-kerja memberi penerangan serta  pandangan kedua adalah sesuatu yang lazim bagi mana-mana parti pembangkang di mana-mana negara demokrasi. Tidak mengemukakan bangkangan dan teguran kepada pemerintah adalah satu kegagalan sebenarnya kepada sesebuah parti pembangkang. Tanpa kritikan dan teguran itu, tidak akan berlaku “check and balance’ di dalam sesebuah negara.

 

Oleh itu, YAB Perdana Menteri dan Umno tidak perlu melihat ceramah PAS sebagai menggugat keselamatan. Gunakanlah media massa yang dikuasai sepenuhnya oleh parti pemerintah untuk menangkis hujah-hujah yang dilemparkan oleh pembangkang. Itu lebih adil dan demokratik.

 

Yang Ketiga – PAS bukannya menentang polis. Malah bersimpati dan memahami dengan masalah polis yang terpaksa mengikut arahan. Cuma kesal kerana arahan yang dikeluarkan tidak selari dengan hak-hak dan prinsip kebebasan rakyat yang telah terjamin di bawah Perlembagaan. Kepada Umno diharapkan lebih bersifat gentlemen dan berjiwa besar dalam hal-hal kebebasan bersuara.

 

( Anual Bakhri Haron)

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 1 Jamadil Awal 1422 bersamaan 22 Julai 2001

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates