Make your own free website on Tripod.com

Home ]

* SAR : Siapa Berpolitik?

Back ] Next ]

 

SAR : SIAPA BERPOLITIK?  

 

Melihat  surat arahan bertarikh 8 Januari 2003 yang meminta kehadiran semua  Ketua Sektor Pengurusan, Ketua Penolong Pengarah Pusat-Pusat Sumber, Pejabat Pendidikan Daerah, Pegawai Jabatan Pendidikan Kelantan, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, Pengetua-Pengetua Sekolah, Guru-Guru Besar, semua guru sekolah-sekolah Kelantan dan semua staf sokongan di segenap peringkat hadir ke majlis menyambut Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional menjemput di SIC di Kota Bharu pada 15 Januari 2003, jam 3.30 petang, jelaslah bahawa  seluruh jentera kerajaan di sektor pendidikan  berada dalam dua keadaan.   Sama ada satu, sedang berpolitik atau kedua sedang dipaksa bermain politik.   Apapun kemungkinan, ia jelas menampakkan penyelewengan.   Surat  Arahan itu berakhir dengan perisytiharan Cuti Am di semua sekolah hari yang berikutnya.  

 

SAR yang dituduh berpolitik sedangkan bila diminta bukti, tidak satupun bukti yang dapat dikemukakan sampai ke hari ini,  baik tuduhan guru yang mengajar membenci pemimpin atau tuduhan guru SAR menakutkan murid yang akan pergi ke Sekolah Kebangsaan  sebagai  akan  masuk  neraka.    Bukti  yang  kita maksudkan mesti menyebut siapa, di mana dan bila yang boleh dibutir dan disabitkan kesalahannya di Mahkamah.   Jika sekadar mengulangi dan menyogok SAR yang bertentangan dengan Islam dalam ucapan sehala yang tidak berjawab maka ini bukan hujah.   Tuduhan seperti “tidak ikhlas”,  “bukan Islam yang sebenar” dan “lukis bendera bulan” adalah diantara “sweeping statement” yang meleret-leret tanpa sebarang graviti dari segi bukti dan hujah.  Bukti yang jentera Sekolah Kebangsaan berpolitik atau dipaksa menghadiri majlis politik UMNO sebaliknya pula  amat jelas.   Surat Arahan berkenaanlah buktinya.   Penyertaan sebahagian dari warga pendidikan dan dirakamkan di kaca TV di padang berkenaanlah menjadi saksinya. Jika orang bertanyakan salahkah penjawat awam terlibat dalam  politik, maka jawapannya ada terkandung di dalam Perintah Am  Bab D.  Ia berbunyi:

 

(2)    Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perintah  Am 19 (4) seseorang pegawai dalam Kumpulan “A” adalah dilarang mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan politik atau memakai mana-mana lambang sesuatu parti politik.   Pegawai itu hendaklah mengecualikan dirinya dalam hal-hal politik, dan khususnya ia tidak boleh  -

  

a)      membuat pernyataan kepada orang ramai sama ada secara lisan secara bertulis yang menyebelahi mana-mana parti politik mengenai sebarang perkara yang menjadi pertikaian diantara parti-parti politik;

 

b)      Menerbitkan atau mengedarkan buku artikel atau risalah yang mengandungi pandangannya jika pandangannya itu menyebelahi mana-mana parti politik;

 

(Lihat Perintah Am Bab D muka surat 327  - 328)

 

Apa lagi apabila kita hubungkan dengan matlamat untuk “memasyarakatkan sekolah” seperti yang turut menjadi matlamat Kementerian Pendidikan dari dulu hingga kini.   Sekolah hendaklah menjadi satu jentera yang berkecuali.   Begitu juga dengan lain-lain jabatan kerajaan.   Jika ditanya Ketua Setiausaha Negara sekalipun, jawapannya akan tetap sama.

 

          Jika orang masih persoalkan bahawa majlis itu ialah pertemuan para  guru  dengan  Perdana Menteri  Malaysia untuk menghalalkan tindakan, rakyat juga masih boleh persoalkan bahawa surat-surat jemputan tidak membawa tajuk sedemikian.   Begitu juga dengan perkataan di sepanduk-sepanduk dan kain rentang.   Jika ia majlis perhimpunan rakyat Kelantan bersama pemimpin; kenapa tidak sekepingpun bendera Malaysia yang kelihatan berkibar melainkan bendera UMNO dan BN.   Ini terang-terang melambangkan majlis itu adalah majlis politik.  Guru-guru dan staf seluruh jentera pendidikan negeri telah berpolitik atau dikerah berpolitik.    Di sini SAR kah yang berpolitik atau sekolah-sekolah kebangsaan?    Itu belum lagi disentuh tentang kedudukan siaran langsung yang menggunakan “air time” yang dibayar oleh rakyat untuk satu majlis sebuah parti bernama UMNO yang hampir seratus peratus adalah menyerang lawannya iaitu PAS!

 

          Apabila diperincikan ucapan Presiden UMNO yang dikononkan sebagai “amanat yang amat keramat” oleh  juruacara TV1, maka semakin sahlah ia sebuah pidato politik yang bulat.   Ia bulat sebulat bulan.   Sepenuhnya ia telah menggunakan kesempatan yang ada untuk meracau fikiran rakyat dan sekaligus menghasut rakyat membenci pemimpin sebuah Kerajaan Negeri yang sah.    Apa kata jika andainya PM pergi ke Johor atau Pahang lalu meminta rakyat Johor menolak YAB Dato’ Hj. Abdul Ghani bin Othman di Stadium Larkin atau YAB Dato’ Seri Adnan Yaakob di Stadium Darul Makmur di Kuantan.  Wajarkah dan maniskah?   Jawapannya mungkin  “tetap manis”   dan  “tidak apa”. Perlu  Permitkah?  Menghasutkah?  Menimbulkan kegelisahankah?  Memfitnahkah?

 

          Apa yang  dikata?  “Kelantan kotor”.   “Air tidak boleh diminum?    Ia tidak boleh diminum?    Demikian tuduhan seorang Perdana Menteri.    Sedang Tukang Karut dikir barat yang diupah pula menyebut dengan nyaringnya kata-kata “Tok Guru bawa ajaran salah”.     Perdana Menteri Malaysia telah ditunjukkan dalam siaran langsung itu.   Kadang kala beliau kelihatan mengikuti lirik sambil bertepuk dan senyum ketawa.   Jika seluruh penduduk Malaysia menonton siaran itu, maka bererti 23 juta rakyat Malaysia telah diminta untuk percaya bahawa Tok Guru yang sedang memimpin sebuah negeri sedang membawa ajaran salah.   Demikianlah hebatnya penghinaan ke atas seorang Menteri Besar dan  Presiden UMNO selaku Perdana Menteri Malaysia, tidak berkata apa-apa.   Beliau seakan-akan merestuinya.   

 

          Saya sebenarnya khuatir  “backlash” ke atas UMNO.   Kita jangan sampai dilihat oleh rakyat Kelantan sebagai seorang Melayu yang cuba mengajar Benggali roti  untuk menguli roti canai.    Apa yang dicanang ialah yang salah adalah pembangkang.   Yang memecah belah ialah PAS.  Yang menyeleweng dari Islam ialah PAS.   Yang ikhlas berjuang untuk Islam ialah UMNO.   Yang kata Islam itu agama untuk individu ialah UMNO, yang mempertahankan Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu dipinda ialah UMNO.   Setelah merosakkan Bahasa Melayu, quota Melayu, peluang-peluang Melayu melalui senjata meritokrasi dalam pelbagai cara, UMNO kini beralih pula kepada agamanya sendiri.

 

          Dari mahu mengharamkan penggunaan perkataan Islam untuk digunakan oleh pertubuhan, kini UMNO menekan SAR pula;   sebuah Institusi yang berkaitan dengan agamanya Islam.   Ada juga orang bertanya, Negara Islam macam mana jika mengancam Sekolah Agama (Islam). Semestinya   diatas   nama   pembelaan.     Demikianpun   apa   yang berlaku ke atas nasib tulisan jawi 30 tahun yang lalu.    UMNO juga yang berjasa dalam meminggirkan tulisan jawi yang begitu sinonim dengan orang Melayu.    Perihal seriusnya kesan langkah ini sehinggakan akhbar Utusan Melayu (versi jawi) kini sedang tercungap-cungap dan menunggu masa untuk dihentikan penerbitannya kerana tiada pembaca.   

 

          Demikianlah sedikit senario gelagat Presiden UMNO di Padang SIC Kota Bharu Kelantan yang penuh cita-cita.    Jika diamati dan dibedahlah ucapan Presiden UMNO itu untuk diperiksa kandungan arseniknya,   ia terbukti amat defensif.   Ia kelihatan sesak nafas dan semput bertahan untuk mewajarkan tindakan ke atas SAR yang sampai bilapun diperhatikan akan terbukti ketidak wajarannya.    Dr. Mahathir sedang mengajak UMNO untuk mendaki gunung tinggi lagi mendongak.   Kesian!    Tidak cukup dengan kuasa dan lamanya berkuasa di Pusat, ucapan itu memancarkan sebuah “embition orang lama” yang masih bernafsu untuk menggugat kekuatan PAS yang berviagra.   UMNO mabuk untuk kembali di tengah-tengah suasana  penolakan  yang cukup nyata isyaratnya.  “Tubuh ucapan” beliau  keseluruhannya cuba memperagakan body UMNO sebagai pejuang Islam.   Mampukah dia mempengaruhi khalayak yang tidak melebihi 7,000 orang itu dan penonton di luar sana?   Berjayakah UMNO membuang lencana “Islamic mover”  dari dada keyakinan majoriti orang  Melayu yang telah mengiktiraf PAS?.   Ucapan itu sesungguhnya cuba memalingkan sejarah mengikut orientasi baru bagi mengislamkan UMNO yang sekular.  Aaah!  betapa sukarnya!

 

          Mampukah ia meninggalkan kesan kebencian kepada pemerintahan yang dipimpin oleh seorang ulama’ bernama Nik Abdul Aziz bin Nik Mat melalui gimik dan cakap-cakap politik “demi membela agama lalu  menindas  Sekolah-Sekolah Agama”.  Sungguh keliru tetapi itulah UMNO.   Isytihar Negara Islam tetapi tidak mahu Membangun Bersama Islam.Semoga dikir orang UMNO yang berdepan dengan zikir orang Islam keseluruhan akan menyerlahkan wajah UMNO yang sebenar.   UMNO tidak akan  mampu bertopeng dalam semua ketika.

 

 

 

 

 

HJ. ANUAL BAKHRI BIN HARON

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh:  13 Zulkaedah 1423 / 16 Januari 2003.

 

 



www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates