Home ]

Siapa sebenarnya mahu balas DENDAM

Back ] Next ]

 

SIAPA SEBENARNYA YANG MAHU BALAS DENDAM?

 

Oleh

Annual Bakri Haron

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

 

Merujuk kepada kenyataan Tengku Razaleigh di dalam akhbar-akhbar tempatan pada 28 April 2001 bahawa kononnya cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meminda perlembagaan negeri itu adalah merupakan cubaan untuk membalas dendam terhadap Sultan Kelantan, terdapat beberapa perkara penting berkaitan dengannya yang perlu dijelaskan kepada beliau:

 

Pertama, Tengku Razaleigh selaku seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO seharusnya berterima kasih di atas usaha Kerajaan Negeri Kelantan ini kerana tujuan pindaan ini dibuat adalah semata-mata untuk menyelaraskan perlembagaan di peringkat negeri dengan pindaan yang telah dibuat oleh parti yang didokonginya di peringkat pusat pada tahun 1994 itu.

 

Kedua, Tengku Razaleigh tentu tahu bahawa salah satu aspek penting yang ingin dipinda di dalam perlembagaan negeri ialah yang berhubung dengan maksud nasihat yang membawa konotasi bahawa pindaan akan mewajibkan nasihat dari Menteri Besar diterima dan inilah yang sedia wujud di peringkat pusat di mana nasihat Perdana Menteri mesti dipatuhi oleh Yang di-Pertuan Agung.

 

Ketiga, Sekiranya Tengku Razaleigh mahu mengaitkan pindaan perlembagaan ini dengan dendam, tolong jelaskan apakah sewaktu Perdana Menteri mencadangkan pindaan ini di peringkat pusat pada tahun 1994 dulu pun ianya dilakukan kerana dendam juga kerana Kerajaan Negeri Kelantan hanyalah sekadar mahu mengikut apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

 

Keempat, Bagaimanakah kami dikatakan berdendam sedangkan isu campur tangan pihak istana di dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri telah berjalan sejak zaman pre-1990 lagi, hatta Tan Sri Mohamad Yaakob pernah diharamkan memasuki istana dan Tan Sri Hussein Ahmad pernah di tarik balik bintang kebesarannya di waktu pemerintahan UMNO/BN lagi.

 

Kelima, Tengku Razaleigh membayangkan bahawa kemungkinan Sultan tidak akan menandatangani perkenan, tetapi tidakkah dengan ini Sultan telah tidak bertindak mengikut perlembagaan. Apakah ini yang Tengku Razaleigh mahu?

 

Keenam, Tidak timbul soal Kerajaan Negeri Kelantan tidak melaksanakan pindaan ini justeru ia menentang Perdana Menteri sebelum ini kerana pada hakikatnya kesemua Ahli Parlimen PAS menyokong pindaan ini di dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Mei 1994 dan di dalam sidang Dewan Negara pada 17 Mei 1994.

 

Ketujuh, Sebagai pemegang amanah parti yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak, YAB Menteri Besar Kelantan telah lama mahu menunaikan kehendak parti yang mahukan pindaan ini dibuat, tetapi hanya setelah memenangi majoriti 2/3 di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada penghujung tahun 1999 barulah kehendak parti itu dapat insya'allah direalisasikan.

 

Kelapan, Hasil daripada kemenangan ini, desakan-desakan supaya pindaan ini disegerakan telah ditimbulkan oleh berbagai-bagai pihak, khususnya Muktamar Agung PAS Ke 46 pada 4 Jun 2000, dan, di atas arahan Pejabat Agung PAS, usul daripada muktamar agung ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Harian PAS Negeri Kelantan pada 13 Februari 2001.

 

Kesembilan, Kesemua urutan ini memberikan gambaran tentang sejarah berbangkitnya kesedaran pindaan perlembagaan post-1999 yang sekaligus mengenepikan peranan emosi di dalamnya, di mana hanya setelah agak lama menantikan suasana perang dingin yang tidak produktif apatah lagi menguntungkan sesiapa itu berlalu barulah pindaan ini dilaksanakan.

 

Kesepuluh, Kita juga mahu menanyakan Tengku Razaleigh sama ada beliau sendiri yang sebenarnya mahu melepaskan dendamnya apabila beliau mengeluarkan kenyataan sebegini kerana apabila beliau menyatakan penentangannya kepada cadangan pindaan ini tidakkah ini bermakna yang beliau kini masih lagi menentang pindaan asal di peringkat pusat dahulu?

 

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates