Home ]

SURAT TERBUKA BUAT DATUK DR RAIS YATIM

Back ] Next ]

 

SURAT TERBUKA BUAT DATUK DR RAIS YATIM

 

Anual Bakri Haji Haron,

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan,

Pejabat Menteri Besar Kelantan,

Kota Darulnaim,

15050 Kota Bharu.

Bertarikh: 24 Jun 2001.                                                                                                   

 

Datuk Dr Rais Yatim,

Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

Jabatan Perdana Menteri,

Aras 3, Blok Barat,

Bangunan Perdana Putra,

62503 Putra Jaya.

           

Awak,

Sebagaimana awak mengharapkan Menteri Besar Kelantan tidak akan tersinggung dengan penggunaan ganti nama "awak" kepada diri beliau, saya juga mengharapkan awak tidak akan tersinggung dengan penggunaan ganti nama "awak" ini kepada individu yang berjawatan seorang menteri seperti awak. Tetapi sedarkah awak bahawa apabila awak menyatakan yang Menteri Besar Kelantan perlu menjaga peradaban bangsa Melayu dengan mengadap Sultan Kelantan bagi memaklumkan mengenai pindaan perlembagaan negeri Kelantan, awak sebenarnya mungkin telah menghina Perdana Menteri awak sendiri. Sudahkah awak semak sama ada Perdana Menteri awak telah dengan beradabnya mengadap Raja-Raja Melayu pada tahun-tahun pindaan perlembagaan 1993 dan 1994 dahulu?

 

2.         Saya tidak dapat menjangkaui maksud kesungguhan awak untuk memperbesar-besarkan isu perlunya Menteri Besar Kelantan mengadap Sultan Kelantan bagi memaklumkan kepada Baginda mengenai pindaan perlembagaan negeri Kelantan kerana awak sendiri menjelaskan bahawa keperluan ini bukanlah keperluan perundangan (dan ini turut dinyatakan juga oleh Presiden Majlis Peguam Malaysia), sebaliknya hanyalah bagi menjaga peradaban bangsa Melayu. Walaupun begitu, sebagai menghormati Sultan Kelantan, Menteri Besar Kelantan sebenarnya telah membekalkan maklumat kepada Baginda berhubung dengan pindaan perlembagaan ini selaras dengan peruntukan Perkara XV(1) perlembagaan negeri Kelantan.

 

3.            Kenyataan awak bahawa Menteri Besar Kelantan perlu mengemukakan dan memberi penjelasan kepada Sultan Kelantan mengenai butir-butir pindaan perlembagaan ini kerana ia menyentuh kebesaran, kedudukan dan kedaulatan Baginda pula, selain daripada bertentangan dengan kenyataan awak di para 2, adalah bertentangan dengan kenyataan rasmi Peguam Negara yang bernaung di bawah bumbung awak sendiri di dalam surat beliau kepada Menteri Besar Kelantan bertarikh 5 Jun 2001 dalam mana beliau bersetuju dengan penjelasan dan pandangan rasmi Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan bahawa pindaan yang dicadangkan ini tidak menyentuh keistimewaan, kedudukan dan kedaulatan Baginda.

 

4.            Kenyataan awak bahawa usaha untuk meminda perlembagaan negeri ini akan menjadi sia-sia sekiranya ia tidak diperkenankan oleh Sultan Kelantan setelah kelulusan Dewan Undangan Negeri diperolehi juga adalah bertentangan dengan kenyataan seorang pakar perundangan negara yang bersifat neutral, iaitu Prof. Shad Faruqi, bahawa:

"Under the existing law in Kelantan, no enactment can be passed unless His Majesty has given assent: Articles 28, 39(1) and 39(3) of Part I of the state constitution. However, the Federal Constitution, in Section 11(2A) and 11(2B) of the Eighth Schedule, provides for the Ruler to be bypassed 30 days after the Bill is presented to him if he fails to sign it within this time. This law was inserted by the Constitution (Amendment) Act 1994 (Act A885). Its existence could be used by the Kelantan government to bypass the Sultan in the legislative process as and when necessary."

 

5.            Kenyataan awak bahawa ironi tindakan kami ini ialah kami cuba mengurangkan kuasa Sultan apabila ia sesuai dengan keperluan politik kami sedangkan Menteri Besar Kelantan serta rakan-rakan beliau merupakan antara golongan pertama menentang apabila Kerajaan Persekutuan meminda undang-undang berhubung kuasa Raja-Raja pada tahun 1994 juga adalah bertentangan dengan fakta kes yang sebenar. Fakta kes yang sebenar ialah sementara Ahli-Ahli Parlimen dari parti yang awak terajui ketika itu (S46) menentang dengan bertindak keluar daripada membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1994 di Dewan Rakyat pada 10 Mei 1994, Ahli-Ahli Parlimen dari parti kami (PAS) menyokong Rang Undang-Undang tersebut.

 

6.            Berdasarkan kepada hujjah-hujjah ini, apakah tidak munasabah jika ada di kalangan kami yang menganggap bahawa awak tidak mempunyai walau secebis kredibiliti untuk menjadi seorang menteri yang menguruskan soal perundangan negara. Ini kerana awak jelas tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang sesuatu isu; mengingkari nasihat dari kakitangan bawahan awak sendiri; mengingkari "precedent" Menteri Undang-Undang sebelum awak, iaitu Datuk Seri Syed Hamid Albar, bahawa pindaan perlembagaan asal dahulu tidak menyentuh soal status, hak dan keistimewaan Raja-Raja di negara ini, sebaliknya ia hanya menyentuh aspek demokrasi berparlimen dan sistem monarki di negara ini; malahan, mengingkari pendirian Perdana Menteri awak sendiri di dalam isu ini. Beliau berkata: "Jika kerajaan diakui terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menentukan rakyat berkuasa, tetapi nasihat kerajaan berkemungkinan tidak diterima, ini bererti demokrasi berparlimen tidak wujud dan rakyat tidak berkuasa sepenuhnya."

 

Bagi memastikan agar awak atau mana-mana pihak pun juga tidak akan memutarbelitkan pindaan ini bagi menuduh kami cuba menggugat keistimewaan, kedudukan dan kedaulatan Sultan Kelantan, saya perturunkan di sini kenyataan Perdana Menteri dan bekas Timbalan Perdana Menteri awak sendiri sewaktu mereka membentangkan pindaan-pindaan perlembagaan 1993 dan 1994 dahulu. Kata Perdana Menteri awak: "Pindaan yang dicadangkan ini bertujuan mengelak atau menghalang daripada meningkatnya perasaan benci kepada Raja yang boleh membawa kepada tuntutan untuk menghapuskan Sistem Beraja. Pindaan ini adalah  untuk menyelamatkan Raja-Raja sendiri dan sistem Raja Berperlembagaan." Kata bekas Timbalan Perdana Menteri awak: "Tujuannya (pindaan perlembagaan ini) ialah sekadar memaktubkan prinsip-prinsip yang disepakati iaitu kedaulatan rakyat dan kewibawaan institusi legislatif yang mewakili kehendak rakyat. Kemulian raja-raja akan terus dipertahankan dalam konteks raja berperlembagaan."

 

Sememangnya awak tidak perlu memohon maaf, tetapi cukuplah dengan bersifat "gentleman" untuk sekurang-kurangnya mengakui kesalahan.

 

Sekian, terima kasih.

 

Yang Benar,

 

Anual Bakri Haji Haron.

 


 

SENARAI RUJUKAN

1.      Ucapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semasa membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 pada 18 Januari 1993.

2.      Ucapan Timbalan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semasa membentangkan Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994 pada 9 Mei 1994.

3.      "Pindaan tidak perlu restu Majlis Raja-Raja" dlm. Berita Harian, 10 Mei 1994.

4.      "Facets of the Malaysian Constitution: Kelantan issues may clarify the law" dlm. Sunday Star, 18 Februari 2001.

5.      "Nik Aziz perlu perjelas kepada Sultan: Dr Rais" dlm. Berita Minggu, 17 Jun 2001.

6.      "Sultan tak perlu tandatangan pindaan jika tidak berkenan" dlm. Mingguan Malaysia, 17 Jun 2001.

7.      "Isu pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan: Perlu perkenan Sultan" dlm. Utusan Malaysia, 19 Jun 2001.

8.      "Saya tidak perlu minta maaf--Rais" dlm. Utusan Malaysia, 23 Jun 2001.

 

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates