Make your own free website on Tripod.com

Home ]

 

UMNO Masuk PAS?  Apa Kata!

 

 

Pelawaan Perdana Menteri untuk membuka pintu BN kepada Parti-Parti Pembangkang di dalam akhbar-akhbar perdana bertarikh 3 November 2002 benar-benar menjelaskan dimanakah letaknya status kekuatan UMNO/BN terkini.     Ia sama ada lemah atau amat lemah.  Tekalah satu diantara dua petak  jawapan.   Anda akan benar!

 

          UMNO/BN yang sentiasa berhidung tinggi biasanya duduk diam bila dia “secure”.    Ini isyarat.   Ini bacaannya.    Dia sudah meminta tongkat pada 3 November yang lalu.  Masihkah perlu diragukan?

 

          Dalam respon segera, Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan dan Pemangku Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu telah menolak pelawaan tersebut.   Begitu juga dengan Parti Keadilan, PRM dan DAP; masing-masing bersatu pendirian dalam melihat UMNO/BN sebagai musuh bersama yang sedang tenat dan akan ditumbangkan tidak lama lagi.

 

          Aneh juga melihat sikap Presiden UMNO.   Tidak terfikirkah bahawa sewaktu mereka merasa kuat, apa yang tidak dilakukan keatas pihak yang kini dipelawa masuk ke rumahnya.   Ramai penyokong parti pembangkang yang disembur dengan gas pemedih mata.   Ramai yang dipukul dengan belantan.   Ada yang dikejar dengan anjing.   Ada yang diceroboh dan digeledah rumah.    Ada yang ditelanjangkan.   Tidak kurang yang dihantar ke kandang ISA tanpa sebarang bukti dan keputusan bersalah oleh Mahkamah.

 

          PAS pula sering dianggap sebagai pengganas, pelampau, penghasut, anti pembangunan, Taliban, ekstrim, pemecah belah perpaduan, taksub, fanatik, berfikiran sempit, tidak patriotik, dinafikan hak berceramah dan berhimpun secara aman, kumpulan yang sesat dan mati besok masuk neraka.

 

          Sementara itu, Keadilan pula dituduh cuba bersekongkol dengan anasir luar untuk menjatuhkan negara, mengatur percubaan merampas kuasa dengan kekerasan, cuba mengumpul bom, pelancar roket, molotov cocktails dan ball bearings, ditahan reman dan dizalimi dalam pelbagai teknik dan kaedah.

 

          Jangan ditanya bukti kerana buktinya terlalu banyak dalam pelbagai keratan akhbar dan majalah.

 

          Semasa mengherdik pembangkang, macamlah harga BA itu tidak ada guna barang satu sen.   Kini, apa sudah jadi?    Kalau ya pun berselisih faham politik sekalipun, jagalah akhlak dan berpada-padalah dalam menghukum perbezaan.   Mentang-mentang berkuasa,  apakah  wajar  dizalimi  rakyat  dengan  pelbagai  akta, tekanan, paksaan dan penindasan.   Wang, kupon, subsidi dan kontrak hanya bagi yang menyokong manakala ISA, gari, fitnah dan diskriminasi adalah bagi mereka yang memilih pembangkang.    Kasihan DSAI…, beliau adalah contoh lengkap rupa wajah pengkhianatan UMNO/BN yang kita sedang perkatakan ini.

 

          Dalam hal ini, PAS selalu ingatkan UMNO supaya jangan sombong.   Jangan hanya asyik mendongak ke langit biru kerana bumi yang dipijak berumput hijau.  Sedangkan warna langit biru itupun khayalan sahaja.  

 

          PAS menolak tawaran bergabung dengan beralasan.   Perjuangan UMNO sia-sia.  UMNO tiada dasar dan sebuah parti yang tidak berdasar.   Pragmatik adalah mengikut kepentingan.  Ini bukan prinsip.   Ia satu pengisytiharan yang UMNO tidak bertulang belakang.   Kepentingannya hanyalah untuk menentukan kemenangan UMNO dalam pilihanraya.   Ini sering diulangi oleh para pemimpin UMNO dengan kata-kata “kepentingan parti mengatasi segala-galanya.”    Islam, Melayu, kebenaran dan keadilan adalah hanya kata-kata.   Ia tidak boleh mengatasi parti.   Jika demikian, apa bezanya dengan faham facist Itali dan Nazi di German dimana kepentingan negara bangsa (nation state) mengatasi segala-galanya?  Agama dan bangsa kini bagi UMNO bagai melukut di tepi gantang.    Ini disahkan lagi  melalui  pelbagai  tindak  tanduknya.    Lihat  sahaja  isu bahasa.    

 

Sekali mahu didaulatkan Bahasa Melayu.    Kini bagaimana?   Dulu UMNO dianggap sebagai tonggak dan tongkat orang Melayu.   Kini, bagaimana?   Dulu negara sekular.    Kini ‘Negara Islam’  yang masih memakai Undang-Undang Sekular.   Tanpa pindaan undang-undang,  Negara Islam Sekular”kah Malaysia ini atau bagaimana?    Tiga contoh berkenaan sudah cukup.    UMNO tidak mempunyai dasar.   UMNO hanya kayu lampung yang naik turun mengikut paras pasang surut sokongan rakyat.    Dia tidak membela apa-apa kerana akarnya tiada.   Sekarang, apabila terasa belang permainannya diketahui dan ditolak oleh rakyat, dia mempelawa musuh-musuh yang ditempeleng dan dikhianatinya cukup-cukup tanpa timbang rasa disatu ketika sebelumnya.   Saya lihat syarat yang wajar untuk membuat pelawaan ialah dengan berhenti di stesyen seperti yang dikatakan oleh Pemangku Presiden PAS.   Semua barang-barang yang menjadi milik kepunyaan rakyat perlu diturunkan dari keretapi UMNO/BN dan dikembalikan.   Pulangkan royalti Kerajaan Negeri Terengganu, bebaskan tahanan ISA yang dizalimi tanpa perbicaraan atau bawa mereka ke Mahkamah.   Kembalikan hak bersuara rakyat seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.   Satu persekitaran yang lunak  perlu diwujudkan terlebih dahulu sebelum dihantar Kad Jemputan Kenduri Kahwin.   Bersihkan segala semak samun di halaman rumah dan sediakan padang lapang keislaman dalam maruah demokrasi dan keadilan yang sivil dengan secukupnya.   Barulah buat ‘rumah terbuka’. 

 

          Sekadar menyertai BN, kemudian bersekongkol untuk hanya mencemarkan tangan demi menyempurnakan lagi sebuah kezaliman UMNO keatas rakyat adalah satu harapan yang mustahil dicapai sampai bila-bila.  BN yang harus ikhlas menghentikan amalan kronisme dengan serta merta.   BN yang mesti terlebih dahulu kembali kepada pangkal kemuliaan demokrasi dengan menghormati hak bersuara dan berbeza pendapat.   BN yang wajib setia kepada prinsip-prinsip keadilan.   BN yang harus berani menentang rasuah walaupun ia melibatkan Menteri atau bekas Menterinya.   BN yang perlu ikhlas menghentikan projek-projek mega yang membazir.   BN yang terlebih dahulu perlu bertaubat dan kembali semula kepada Al-Quran dan Hadith.    Hentikan semua sandiwara yang telah menggerhanakan BN itu sendiri.

 

          Ini semua adalah asas-asas yang sudah hilang dari UMNO.  UMNO/BN telah lama kehilangan keadilan, arah kebenaran, haluan demokrasi, harga kemanusiaan, nilai keinsanan dan maruah keMelayuannya.   Charles de Montesquieu ada mengungkapkan keadaan ini dalam bukunya  ‘The Spirit of the Law’ dengan kata-kata:

“The deterioration of every government begins with the decay of the principles on which it was founded.”

 

UMNO sedang reput dalam keadaan ini.  

 

          Sebenarnya orang-orang PAS pula adalah mereka yang cuma mahu hidup dengan Al Quran dan Sunnah.  Dimana salahnya?    Inilah  premis keadilan, demokrasi dan kebenaran yang diimaninya.   Formula penyatuan cukup mudah.   UMNO/BN perlu membuat deklarasi untuk kembali kepada kedua-dua sumber ini secara ikhlas dalam bentuk bertulis.    Usahlah diseru BA untuk ikhlas.   Kita tidak perlu lagi membuang masa untuk bertengkar dan bertelingkah.   Kita perlu dokong perjuangan ini secara bersama.   Biarpun akan memakan waktu yang panjang, itu tidak mengapa.   Tidakkah kita sedang menumpang dunia yang dicipta oleh Allah S.W.T.?   Nikmat dunia perlu ditangani dengan betul melalui segala peraturan yang digariskan oleh pemilikNya.   Tiada apa yang  cacat dalam peraturan ini kerana Yang Mencipta lebih mengetahui apa yang terbaik buat makhluk yang dicipta.  (Ringkasan maksud Surah Al Mulk:  Ayat 14).   Rahmatnya adalah untuk sekalian alam tanpa mengira bangsa, agama, warna kulit dan paras rupa.  Jika UMNO kembali kepada Al Quran,  kiambang akan bertaut di tengah-tengah bulan yang sentiasa mengambang demi keadilan rakyat Malaysia seluruhnya.   Jika tidak, kita kembalilah ke peti undi dan rakyat akan tentukan segala-galanya.

 

          Antara hanyirnya sebuah kezaliman dengan wanginya sebuah keadilan; mari kita bertarung di gelanggang demokrasi walau bagaimana sukar sekalipun peraturan permainan.   Untung sabut kami timbul, untung batu kamu yang tenggelam!

 

 

 

 

Anual Bakhri bin Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:29 Syaaban 1423 / 5 November 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates