Home ]

Ambil tindakan terhadap penyeleweng demokrasi

Back ] Next ]

 


Ambil tindakan terhadap penyeleweng demokrasi: Nik Aziz

KOTA BHARU, 24 Mac (Hrkh) - Kerajaan diminta turut mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang menyeleweng amalan demokrasi, bukan hanya serius mengenakan dakwaan kepada penyalahgunaan agama Islam sahaja.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairan pihak tertentu yang bersungguh-sungguh untuk mengharamkan perkataan Islam, kononnya menyelewengkan agama, namun mendiamkan diri terhadap pihak yang mencabul prinsip demokrasi.

"Saya kadang-kadang merasa pelik juga ditimbul sangat penyelewengan mengenai Islam, sedangkan pihak yang memperjuang demokrasi sendiri tidak pernahkah menyeleweng.

"Kalau sibuk sangat membincang mengenai penyelewengan Islam, kenalah sibuk juga bincang mengenai penyelewengan demokrasi, kami (dituduh) tak pandai jaga Islam... yang dia (Umno) pandai ke jaga demokrasi?" katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, petang semalam, selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-188 di Istana Negara.

Tuan Guru Menteri Besar memberi contoh kerajaan Pusat pernah menghenti pemberian subsidi baja kepada petani di Kelantan sebaik PAS diberi mandat pada 1990.

"Kami terpaksa mengeluar RM3.5 juta setiap tahun untuk memproses baja untuk diagih kepada petani akibat tekanan yang dikena kerajaan Pusat.

"Bukti kedua yang lebih jelas lagi ialah di Terengganu, elok-elok saja PAS pegang Terengganu royalti minyak ditarik balik.. ini demokrasikah?" soalnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, berdasar sejarah perjuangan PAS, tidak timbul masalah parti menyeleweng agama Islam untuk kepentingan politiknya.

Katanya, sebagai jemaah Islam, parti itu sentiasa bergerak berlandaskan prinsip sebagaimana terkandung dalam ajaran Islam.

"Bila kita letak Islam sebagai dasar, maka seboleh-bolehnya kita berusaha supaya tidak menyeleweng," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar semalam berhubung keputusan Majlis Raja-Raja kelmarin yang tidak menghalang penggunaan perkataan Islam pada mana-mana pertubuhan dan parti politik.

Akhbar semalam memetik kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bahawa Majlis Raja-Raja tiada halangan kepada penggunaan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malahan digalakkan.

Mengenai tindakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap pihak yang menyalahgunakan perkataan Islam untuk mengeliru dan selewengkan akidah masyarakat beliau berkata:

"Kalau fatwa mengenai penyelewengan Islam ada, maka perlu juga ada fatwa mengenai penyelewengan demokrasi.

"Memanglah tak ada fatwa mengenai penyelewengan demokrasi kecuali rakyat, rakyat yang memberi fatwa dalam masa pilihan raya, insya-Allah," tambahnya.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates