Home ]

UMNO main kasar

Back ] Next ]

 

UMNO main kasar

PAS akan kekal selagi Umno kekal dengan sikapnya Oleh Mazlan Jusoh PASIR MAS

 - PAS yakin akan terus diberi amanah oleh rakyat memerintah Kelantan dan Terengganu selagi sikap Umno sekarang tidak berubah. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pendekatan yang digunakan Umno tanpa mengandungi unsur-unsur psikologi menyebabkan rakyat semakin lari dari parti itu.

 Menteri Besar Kelantan itu berkata, Umno selalu menggunakan pendekatan kasar terhadap musuh politiknya sehingga rakyat sudah hilang kepercayaan. "Keadaan ini boleh dilihat dengan jelas apabila Barisan Nasional (BN) tumbang di Kelantan pada 1990, selepas itu mereka segera menubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk mentadbir negeri ini dari segi projek pembangunan.

"Begitu juga di Terengganu apabila BN tumbang pada pilihan raya 1999, mereka tidak lagi mengiktiraf wang royalti yang diberi kepada Terengganu sejak sekian lama," katanya pada ceramah di Stadium Mini Pasir Mas, malam tadi. 

Ceramah itu turut dihadiri bekas-bekas penyanyi terkenal termasuk, Akil Abdul Hai Rawa dan Ito (bekas kumpulan Blues Gang). Ribuan rakyat Kelantan hadir biarpun keadaan padang berair dan becak. Hujan dua hari dua malam menyebabkan padang tersebut dipenuhi air sehingga orang ramai yang hadir terpaksa berdiri sepanjang ceramah diadakan. 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, perangai tidak menarik yang ditunjukkan Umno menyebabkan tidak ada lagi pihak sayang terhadapnya. Beliau juga membidas tindakan Umno yang mengarahkan polis untuk mengambil tindakan terhadap orang ramai yang hadir pada perhimpunan aman dianjurkan Barisan Alternatif. Begitu juga sekatan untuk berceramah agama di masjid dan di tempat terbuka tidak lagi dibenarkan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang. "Ini jelas menunjukkan Umno tidak mengggunakan pendekatan psikologi (halus) untuk berdepan dengan musuh politiknya," katanya. 

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, Umno bukan sahaja mendapat tentangan dari luar, malah rakyat bukan Islam turut menentang parti itu secara terang-terangan. Katanya, penentangan pertubuhan-pertubuhan mewakili masyarakat Cina terhadap penubuhan sekolah wawasan secara jelas menggambarkan parti itu tidak disukai mana-mana pihak. 

Sementara itu, Akil berkata, ramai artis yang pernah terlibat dengan dunia hiburan sekarang semakin sedar dan kembali ke jalan benar. Menurutnya, rakan-rakan artis sekarang ramai yang sudah sedar dan meninggalkan dunia mereka yang melalaikan.

 "Begitu juga dengan bekas-bekas artis wanita sekarang sudah ramai yang menutup aurat," tambahnya. Orang ramai yang hadir tidak kering gusi mendengar ceramah Akil yang serba berkebolehan. Begitu juga Ito bijak berceloteh di depan rakyat Kelantan dengan pelbagai isu-isu semasa.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates