Home ]

* 2002/08/25::: Hamid mengaku

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

HAMID MENGAKU

 

 

PAS tidak pernah membincangkan agama secara keterlaluan sampai masyarakat keliru.   Entah bagaimana Tan Sri Dr. Abdul Hamid boleh berilham dengan dakwaan seperti yang dilaporkan dalam akhbar Berita Harian pada  21 Ogos 2002.  Adakah meminta masyarakat mengikuti landasan Islam (Al-Quran dan Hadith) itu keterlaluan?

 

Majlis ilmu dan tazkirah yang saya atur dari masa ke semasa dimana-mana adalah usaha untuk membetulkan apa yang menyeleweng dan memperkukuhkan amalan umat apa yang sudah terlandas.   Ini biasa.   Kita perlu jujur di sini?   Siapa yang membuat eksploitasi dengan mengambil klip video mengenai kuliah saya dalam TV dan diulang-ulang tayang, jika tidak TV Malaysia.  Daripada sesuatu yang biasa ia disengajakan untuk menjadi seolah-seolah satu kekeliruan.   Siapa yang mulakan?   Mustahil diluar pengetahuan Tan Sri Dr. Ab. Hamid!    Klip video ini berniat serong sejak awal.   Ia cuma mahu menimbulkan fitnah.   Ia dimulakan oleh UMNO.   Perkara ilmu yang begitu biasa telah digemparkan.   ‘Bola tanggung’ yang dilambung kemudian siap untuk di “smash” dalam skrip yang telah siap disediakan.   Ia menjadi bagai api malam yang liar membakar. 

    

Apabila saya teliti gesaan  Ab. Hamid  supaya saya bertaubat, tahulah saya yang ini sebenarnya yang melampau dan keterlaluan.   Ab. Hamid  jelas keterlaluan dan bukan  saya.   Beliau meminta saya bertaubat kerana kira-kiranya saya telah melakukan satu dosa besar kalaupun tidak murtad untuk menyamakan sifat Allah dengan makhluk.  (Lihat Berita Harian 2 Ogos 2002).    Apabila saya serius dan menjelaskan dasar ilmu yang membolehkan saya mengatakan demikian lalu saya memberi kata dua kepada Ab. Hamid sama ada mengaku bersalah secara terbuka atau bersedia menghadapi tindakan undang-undang (Lihat Berita Harian Selasa 20 Ogos 2002) beliau  mulai  kendur.    Beliau  mula  mengaku  bahawa  memang 

 

“… ada sifat manusia yang sama dengan Allah”  (Lihat Berita Harian 21 Ogos 2002).

 

Ini apa?   Siapa yang patut bertaubat?  Walaupun Ab. Hamid menggunakan perkataan “tetapi”, sayapun menggunakan perkataan “tetapi”.  Soalnya kenapa beliau tergopoh-gopoh dan terlalu cepat sangat menuduh saya terpesong akidah dan menyuruh saya bertaubat?  Ertinya di sini, Ab. Hamid telah mengaku bersalah.  Beliau telah memfitnah kebenaran ilmu yang sekaligus menimbulkan fitnah pula terhadap saya.   Maka terbongkarlah sebuah kepalsuan.

 

          Lojiknya, klip itu sudah tidak ada asas lagi untuk disiarkan.   Jika ia tetap keluar maka ia keterlaluan walaupun sudah terbukti tiada isu.   Dikeluarkan juga bermakna cuba mengelirukan perkara asal yang tidak mengelirukan.   Di sini, siapa yang keterlaluan, PAS atau UMNO? 

 

Selaras dengan exploitasi media ini, rakyat sesungguhnya tidak faham bagaimana boleh UMNO menyalahgunakan TV dan radio dengan begitu berterang-terangan.   Kenapa dalam soal memfitnah pembangkang, UMNO begitu ghairah?.   Saya sepatutnya diberi ruang yang mencukupi untuk menjawab dalam TV.  Kini, Ab. Hamid ternyata mengaku salah.   Janganlah rakyat boleh sampai menyimpulkan yang UMNO hanya bersilat seorang.   Melompat, menepis, menerkam, menghunus dan menikam lawan dalam kedaan yang terikat.    Berilah peluang yang sama untuk kami menjawab di TV.   Jangan main klip-klip.   Patutlah orang ramai sudah naik berbulu dan meluat melihat gelagat pemimpin UMNO.    Gaji  semua pegawai    Kementerian Penerangan dibayar oleh wang rakyat, tiba-tiba mereka dipaksa untuk membuat kerja-kerja UMNO untuk mengkhianati pembangkang.   Jika betul-betul “gentleman”,  gunakan saluran parti; laman web UMNO, akhbar UMNO dan jentera UMNO.     Ini salahgunakan pegawai kerajaan untuk membuat kerja-kerja UMNO setelah UMNO sendiri sudah tidak berdaya.UMNO sudah mewakili pendapat minoriti.Percayalah.

 

          Berbalik kita kepada perkara sifat Allah,apa sahaja sifat Allah S.W.T. ada terpancar kepada makhluk.   Umpama matahari dan bulan.   Bulan pun bercahaya seperti matahari, tetapi cahaya dari bulan cuma percikan dari sirna matahari.  Cermin yang berkilau ditengah hari adalah pantulan dari cahaya matahari.   Ini ilmu.   Ini analogi mudah untuk memahami nisbah sifat Allah S.W.T. yang serba kamalat dan bertaraf asli (lizaa tih) secara berbanding dengan makhluk yang bertaraf lighai rih. 

 

PAS berhujah bahawa dunia ini:  bumi, langit dan alam sekitar adalah ciptaan Allah.   Kita hanya menumpang.   Bukan ciptaan Amerika, Rusia atau hak pusaka Malaysia.   Kita hanya menumpang sahaja.  Lojiknya manusia perlu patuh kepada disiplin yang dikenakan oleh pencipta yang menjadi pemiliknya.   Adakah ini keterlaluan atau itulah lojiknya?  (Hak Allah segala-gala apa yang ada di langit dan di bumi   :  Sebahagian dari maksud Ayat Kursi).

 

Anda menumpang kapalterbang sebuah syarikat.   Anda menumpang bilik hotel,   anda menumpang makan di sebuah restoran,  anda menumpang belajar di sebuah institusi.   Adakah anda boleh melanggar peraturan/disiplin yang dikenakan?

 

Itulah sahaja yang PAS kempen dan dakwahkan kepada masyarakat.    Kempen   itulah   juga   yang   digunakan  oleh  para Rasul dan Anbia zaman berzaman sampai kiamat.   Keadaan dakwah seperti itu tidak terdapat dalam UMNO.   Patutlah 70% orang Melayu dimana-mana terutama golongan terpelajar kini telah  menerima BA dalam Pilihanraya 1999. Peratus ini dijangka terus bertambah melebihi 80% dalam pilihanraya yang akan datang, InsyaAllah.    Ini kerana mereka dapat menerima hujah-hujah kebenaran dari PAS dan BA tanpa kekeliruan.

 

Ab. Hamid selaku  penasihat kepada Yang Amat Berhormat PM perlu berfikiran secara realistik.   Islam adalah realiti dan fitrah. 

 

Sebarang penjelasan yang berdolak dalik akan memakan diri sendiri.  Umpamanya dalam kes ‘samseng’ ini, sekali kata Tuhan tidak boleh menyamai sifat makhluk, dan sekali pula kata “ada sifat manusia yang sama dengan sifat Allah”.

 

Masalah kami dituduh ketinggalan dalam perlumbaan adalah tidak berasas.    Pertama, di Negeri  Kelantan dan Terenganu, pembangunan tetap berjalan lancar.  Pembangunan Kelantan diurus oleh Kerajaan Pusat, Negeri dan Swasta.   Ab. Hamid ni nampaknya tidak tahupun apa yang Kerajaan Pusat buat di Kelantan. Dalam bidang pendidikan misalnya, Kelantan sendiri telah membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun untuk menyiapkan pelbagai projek bagi penyediaan tapak pembangunan insan (Tauhid, Feqah dan Akhlak) disamping membuka kelas-kelas baru.  Kini,  semakin bertambah bidang-bidang Sains Tulin di Sekolah-Sekolah Agama di bawah kendalian Kerajaan Negeri. Kita juga telah berjaya mengirim lepasan pelajar kita ke pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan di luar negeri dalam angka pencapaian seperti berikut:

 

Terdapat sejumlah 92 buah sekolah dibawah YIK dengan jumlah pelajar seramai 40,066 orang.   Dari tahun 1995 – 2000 jumlah pelajar yang berjaya memasuki Universiti dalam dan luar negeri adalah seramai 1,797 orang.   Dari segi Maahad Tahfiz pula, YIK telah berjaya melahirkan 80 orang tahfiz dalam tempoh 2 tahun 1999 – 2001

 

 

Dari segi pencapaian akademik, rekod menunjukkan di tahun 2000, peratus yang  mendapat tahap cemerlang A mengikut jenis peperiksaan adalah seperti berikut:

 

                             STPM        -        89.31%

                             STU           -        67.14%

                             SPM           -        95.54%

                             SMU           -        66.47%

                             PMR           -        42.94%

 

Ini usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri.   Usaha Kerajaan Persekutuan yang sering disebutkan berbilion-bilion ringgit turut perlu difahami oleh Ab. Hamid sebagai satu lagi punca yang sedang membangunkan Negeri kelantan.   Ini termasuk projek-projek jalan, elektrik, air dan taman-taman rekreasi.    Jangan-jangan Ab. Hamid tidak faham apa yang sedang berlaku.   Ini belum lagi dicampur dengan input pelaburan pihak swasta yang membangunkan negeri ini.

 

Kelantan yakin tidak lama lagi ahli politik, korporat dan professional akan terdiri daripada huffaz Al-Quran yang beriman kukuh dengan 6 Rukun Iman.   Diketika itu nanti, akan berkuranglah kes-kes rasuah, salahguna kuasa, zina, mabuk, menolak hukum Allah, menahan rakyat tanpa bicara dan mengkhianati wang orang ramai untuk projek-projek membazir.         

 

Apapun juga, saya masih ucapkan tahniah kepada Tan Sri Dr. Ab. Hamid kerana bersedia mengaku salah.   Sikap terbuka dan sedia mengakui kesilapan adalah terpuji.    Bagaimanapun, ia terlalu lewat sesudah membiarkan media seluruh negara mengkhianati dan mencabul kehormatan saya sebegitu lama.   Mungkinlah ini yang dikatakan orang, bentuk nasib malang kebenaran di dunia akhir zaman. 

 

 

 

(Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat)

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:   13 Jamadil Akhir 1423 / 22 Ogos 2002 

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates