Home ]

2002/06/20:::Hudud Tak Adil

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

 HUDUD TAK ADIL?

Perdana Menteri buka gelanggang Persidangan UMNO Ke 56 dan memberi taklimat kepada 2,033 perwakilan dengan terus mengherdik PAS semalam, 18 Jun 2002.   Draf Enakmen Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang dicadang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu pada awal bulan Julai 2002 nanti telah diserang sebagai tidak adil.    Tidak adil maka tidak Islam.   Betulkah tidak adil?   PAS tidak pernah diberi ruang yang selesa untuk menjawab sepenuhnya di akhbar atau lain-lain media elektronik mengenai aspek yang diserang itu.   Ini masalahnya.  Yang ada ialah semua tafsiran dan ulasan diberi oleh pemimpin UMNO.   Malah semalam Ketua Wanita UMNO dah menggosok tapak tangan tanda tak sabar untuk mengganyang PAS dengan “tidak adil”.  Menteri Pembangunan Wanita pula sibuk mencanangkan wanita Malaysia akan menjadi macam wanita Pakistan, Nigeria dan Afghanistan.

 

          Saya nak tanyalah.   Tidak beri peluang kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk menjelaskan isu yang ditimbulkan tu, adilkah?   ISA itu pula adilkah?   Tahan orang tanpa bukti, masa dalam soal siasat 60 hari itu  -  entah apa yang dibuatnya hanya Allahlah yang Maha mengetahui  -   itu adilkah?    Anak isteri meratap menangis, siapa yang nak tanggung nafkah,  membeli susu anak, yuran anak-anak sekolah, beras, lauk pauk, nak bayar duit sewa rumah, bil elektrik, air, insuran kereta dan pelbagai cukai.   Itu adilkah?   Pemimpin UMNO senyap sunyi melihat ISA yang tidak adil.    Kita tanya pula berapa ramai, orang UMNO yang kena ISA berbanding dengan orang yang tidak UMNO?    Kemudian Menteri Dalam Negeri sibuk nak pertahankan yang konon ISA bukan anti pembangkang.   Kalau halusi lagi, ISA ni nampak menghina Mahkamah.   Mahkamah sangat pentingkan bukti.   Seseorang itu dikira tidak bersalah selagi Mahkamah tidak membukti dan mensabitkan bahawa dia bersalah.   Dah tangkap, kurung, siksa untuk akhirnya disumbat ke Penjara Kemunting itu apa?   Saya kata ini hina Mahkamah.   Bercanggah terus dengan Perlembagaan.   Negara Islam apa kalau tidak adil.   Tidak adil maka tidak Islam.   PM sebut macam itu, saya pun nak sebut macam itu jugaklah.

 

          Sebab itu, kita tengok ramai rakyat terlibat dalam demonstrasi membantah ISA.  Kempen hapuskan  ISA, bebaskan mogok puasa turun ke jalan.   Orang tidak bantahpun hukum gantung ke atas pengedar dadah.  Kenapa?   Inilah; kena faham mana yang adil mana yang tidak.

 

          Saya lihat kita orang Malaysia ni terlalu lama duduk di bawah penjajah.    Kita sunting dan timbang keadilan dalam kayu ukur keadilan Eropah.   Kita terbawa-bawa sampai ke hari ini.   Sebab itu, apabila datang keadilan dari kaca mata Islam, kita  jadi keliru dan teragak-agak.   Tidak ada sebenarnya keadilan yang lebih baik daripada Undang-Undang Islam.   Cubalah fahami kebenaran Islam ini dari kaca mata seorang Islam.   Bebaskan diri dari menggunakan kayu ukur Eropah.   Saya anjurkan semua pihak mencuba kaedah ini. 

 

          Saya tengok dalam Utusan Malaysia 19 Jun 2002, muka surat 2, bukan main lagi PM sebut “yang Menteri Besar Terengganu akan buat dosa dan kalau mati besok dia akan hadapi neraka.   Dia akan terima balasan di akhirat.”  Begitulah bunyi fatwa PM.  Sekarang dah pandai sebut fasal dosa pula.   Dulu kata tidak ada sesiapa yang boleh tentukan orang itu masuk Syurga atau Neraka.   Sekarang boleh pula?   Ini kira-kira dah bercanggah dengan Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.   Kita nak dengarlah pendapat Majlis Fatwa berkenaan mengenai perkembangan ini.   Pelik sungguh.    Orang  sedang  berusaha  untuk  laksanakan  perintah Allah dan Hukum Allah, tiba-tiba dia boleh tentukan pula yang ‘orang itu’ akan hadapi Neraka.

 

          Kita suruh dia laksana Hudud, dia buat alasan macam-macam.  Sampai berpuluh tahun.   Masa Kerajaan Negeri Kelantan buat Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II, ditahun 1993, dia tentang juga.    Dia kata Pusat bersetuju menubuhkan sebuah badan bagi mengkaji Undang-Undang tersebut.   Itu ada dalam Utusan Malaysia pada 5 Mac 1994.    Dah masuk 8 tahun dah.    Apa jadi?   Dah tubuh ke belum?    Siapa anggotanya?   Berapa kali bersidang?   Mana drafnya?   Waktu itu saya sudah minta UMNO buat Hudud UMNO kalau dah ni Hudud PAS.    Kita tengok mana satu yang lebih dekat dengan Islam.   Semaklah akhbar.   Boleh jumpa.   Mana draf Rang Undang-Undang Hudud UMNO, kita nak tengok?   Lama benar kaji!   Waktu tahun 1994, cakap sedang kaji dan belum tamat.  Dah, sekarang macam mana?   Saya ada simpan semua guntingan surat khabar.  

         

Pendek kata, UMNO dah mati hujah dengan PAS; apa jadi berdepan dengan Tok Munkar Nakir?  Belum tanya lagi tentang soal jawab di Padang Mahsyar.  Sah dah.   UMNO terbelit dan terperangkap dalam lidahnya yang bercabang-cabang.   Orang yang selalu berbohong biasanya akan berjumpa buku dengan ruas.   Lambat laun, begitulah.   Itu orang.   Parti politik pula, saya tak tahu lah.   Boleh jadi begitu juga lah tu.   Dulu Islam sederhana.   Sekarang Islam fundamentalis.   Dulu tak boleh tentukan siapa masuk Syurga Neraka, sekarang boleh pula.   Dulu nak tubuh badan kaji Hudud, sekarang mana Hudud yang telah dikaji itu.   Hudud PAS tidak adil, Hudud UMNO mana?  Mana? Ke lagu mana?

 

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

Kota Bharu. 

Bertarikh:    8 Rabiul Akhir 1423 / 19 Jun 2002.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates