Home ]

* 2002/05/09:::Kelantan dan Terusan KRA Thailand.

Back ] Next ]

 

KELANTAN DAN TERUSAN KRA DI THAILAND

Berita mengenai projek terusan dari Lautan Hindi ke Teluk Thailand yang dijangka bermula pada tahun 2005 terlalu menarik.   Khabar yang dibawa oleh Utusan Malaysia pada keluaran Selasa 7 Mei 2002 yang memberitakan tentang perlunya Malaysia meraih sama faedah dari projek Terusan Kra di Thailand itu amat wajar diberikan perhatian.  Ia telah seakan-akan meletakkan Kelantan ke peta dunia.  Kelantan telah secara tidak langsung diberikan pengiktirafan awal tentang kedudukannya yang amat strategic dalam rangka terusan baru yang sedang diperkatakan di Mesyuarat Agung  Antarabangsa ke 35 Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 6 Mei 2002 yang lalu.

Kita katakan begitu di atas tiga perkiraan mudah iaitu :

i)                   AFTA akan dilancarkan di tahun hadapan di mana kuatkuasa seluruh pakej perjanjiannya akan bermula di tahun 2005;

ii)                 Kedudukan Kelantan begitu central.  Ia terletak di tengah-tengah pingu masuk antara sebuah Semenanjung Malaysia, negara Singapura dan Filipina di sebelah selatan menuju ke negara Thailand, Myanmar, Kampuchea, Vietnam dan negara China di sebelah Asia Timur;

iii)               Kesan limpahan atau “Spill Over” dari terusan baru yang bermula dari Songkhla dipercayai akan turut menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Kelantan dalam pelbagai sector dan segi.

Dalam pertemuan saya dengan TYT Puan Ruchitra Hiranpunh, Duta Besar Thailand ke Malaysia dalam Kunjung Hormat di Pejabat saya pada 10 Januari 2001 di Kota Darulnaim, saya sejak dari awal meninjau kemungkinan ini dengan bertanyakan implikasi-implikasi jangkaan secara berterus terang takdirnya terusan ini menjadi kenyataan.  Saya telah memaklumkan di ketika itu tentang akan merosotnya pelabuhan-pelabuhan tradisional seperti di Singapura.  Mungkin Tanjung Pelepas akan turut “terlepas” dari menyertai arus pergerakan baru perubahan ekonomi berikutan dengan peralihan paradigma ini.  Seperti Terusan Suez dan Terusana Panama, perkembangan di Segenting Kra di tahun 2005 nanti akan menjejas setengah pihak dan mengubah arah haluan masa depan dan tumpuan ekonomi negara-negara serantau.  Walaupun saya tidak mahu percaya tentang unjuran akan terjejas dengan teruknya prestasi pelabuhan di Singapura, Tenjung Pelepas dan Pasir Gudang berikutan dengan perkembangan di Teluk Thailand ini tetapi saya juga tidak mahu menolak kemungkinan itu.  Malah saya amat mendoakan agar Allah S.W.T mencurahkan segala limpah rahmatnya agar Kelantan beroleh pelbagai faedah yang tidak ternilai dari semuanya ini.

Faktor-faktor geografi, ekonomi, sosio budaya dan pendidikan masing-masing meletakkan asas yang cukup kukuh tentang gambaran potensi Kelantan di masa hadapan.  Kelantan ada minyak dan gas.  Kedudukannya yang bersempadan dengan Thailand memudahkan pembangunan aktif berlaku di kedua-dua tebing yang sekali gus merancakkan aktiviti pemasaran baik ek dalam atau keluar titik.  Ia boleh disambut dengan kegiatan huluan (upstream activities) atau hiliran (down stream activities).  Begitu juga dengan factor sosio budaya masyarakatnya.  Kos buruh yang sederhana murah dengan budaya kerja kuat dan akhlak terpuji adalah asset-aset asas yang penting.  Persekitaran ilmu yang menjadi sebahagian daripada senario cara hidup masyarakat di sini juga turut menyediakan potensi tambahan.  Ini semua adalah potensi besar yang sedang dimiliki oleh Kelantan.  Perusahaan batik, kraf dan dasar jelapang makanan negara serta lokasi tempat-tempat pelancongan yang unik adalah antara aspek yang turut menjanjikan sesuatu.  Dengan sedikit penerokaan, ia boleh menjadi “senjata ekonomi” yang mampu menolak Kelantan jauh ke hadapan.  Mungkin dengan sebuah pelabuhan lengkap yang mampu dibangunkan di Pengkalan Kubur nanti akan menukar wajah Tumpat dari sebuah bandar mati kepada sebuah setelit berasaskan maritime.

Ini Cuma bacaan kehadapan.  Ia menarik.  Kelantan di waktu itu akan menjadi “Puteri Idaman” semua pihak.  UMNO faham ini semua.  Dia mahu timba peluang ini.  Kita bukan tidak tahu.  Di sinilah nanti Kelantan di bawah Kerajaan PAS akan terbukti redup dengan teduhan rahmat dari Allah S.W.T.  InsyaAllah.  Kita akan memiliki sebuah negeri yang makmur dari segi material dengan akhlak rakyat yang sentiasa terpelihara.  Mungkin Allah S.W.T. sedang menyimpan semuanya ini untuk dihadiahkan kepada orang-orang yang bertaqwa.  Berusahalah untuk terus bertaqwa sambil kita merancang masa depan.

Sama-samalah kita doakan semoga pengertian ayat Al-Quran yang bermaksud  “ Negeri kamu ini adalah negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang maha pengampun”  (Surah Saba’ ayat 15) menjadi kenyataan sepenuhnya di Kota ini.  Nanti.

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim 

Bertarikh:  10 Mei 2002

 

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates