Home ]

Kelantan Boleh

Back ] Next ]

 

  ‘KELANTAN BOLEH’

 

Pelik jugalah dengar orang Pusat cabar Kerajaan Negeri supaya membangunkan negeri sehebat BN di pusat dan negeri-negeri lain.  Macam cerita Mohamad Ali cabar budak kampung bertumbuk.   Dia yang kutip cukai, tol, rampas royalti, monopoli minyak, road tax, income tax, hasil import eksport dan pelbagai wang rakyat tentulah banyak duit.   Logiklah anda membina itu dan ini.   Itu tanggungjawab.   Bina jalan, jambatan, elektrik, air,  kawasan industri, Bandar baru, lapangan terbang, pelabuhan, bangunan jabatan kerajaan, dewan, kompleks sukan, sekolah, hospital dan lain-lain.   Kerajaan Pusat di Perancis, Amerika dan Republik Soviet di Rusia pun begitu.   Kita tengok di Indonesia, Thailand dan Singapura pun sama.  Cabaran yang tidak munasabah!

          Kita pun membangun.  Tak kiralah dibangunkan oleh Kerajaan Pusat ke atau Kerajaan Negeri ke atau pihak swasta.   Berapa kali nak cakap.   Kalau kata tidak ada pembangunan, tu peruntukan yang disalurkan melalui JPP itu apa?    Buat pelbagai projek di Kelantan berbilion-bilion ringgit setahun.   Nak buat pembangunan buatlah, kita tidak halang.   Macam buat kerja baiklah dalam agama kita.   Kita Sembahyang, dia Sembahyang.  Sama-sama dapat pahala.   Apa pula cabar-cabar.    Kalau  dah  ikhlas,  cukuplah.     Kita sama-sama buat pembangunan.   Kelantan pun membangun.   Anda suka, saya suka.   Mari pilihanraya, rakyat buat pilihan.   Apa pula kata Kelantan tiada pembangunan.   Kempen yang bukan-bukan.  Kalau benar, tak apa.   Ini tidak berasas.

          Yang lebih istimewa ialah selain dari membangun secara fizikal, Kerajaan Negeri tekankan pembangunan rohani.  Pembangunan insan ini penting kerana ia menekankan soal dosa dan pahala.  Ia amat pentingkan perkara Syurga dan Neraka. Baiklah.  Kalau nak banding sangat, mana ada Kerajaan Negeri lain yang menggunakan sumber Peruntukan Negeri sendiri dan memberikan tumpuan serta perhatian seserius Kelantan dalam bidang pendidikan agama.  Kita bukan setakat menyediakan peruntukan yang besar malah menubuhkan Yayasan Islam Kelantan, khusus untuk mengendalikan sekolah-sekolah agama secara komited dengan jumlah peruntukan yang hampir RM40 juta setahun setiap tahun.    Kita membiayai  87 buah sekolah agama keseluruhannya dengan tenaga pengajar seramai 2,213 orang  yang mengendalikan pembangunan insan seramai 40,166 orang pelajar kemaskini.  Tidak cukup dengan itu, kita ada pula berbelas-belas Pusat Pengajian Pondok.   Yakin dengan kesungguhan dan keikhlasan ini, Kelantan kini dibanjiri oleh anak-anak dari negeri-negeri pantai barat termasuk Sabah, Sarawak, Singapura, Brunei, Thailand dan Kampuchea.  Malah, ada bukti dimana ibu bapa yang berketurunan Cina dari luar Kelantan menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Menengah Aliran Cina di Kelantan.   Semakin Pusat meracuni fikiran ibubapa dari luar Kelantan menjauhi sekolah-sekolah Agama dan Pondok di Kota Serambi Mekah ini, kita nampak Kelantan semakin diberikan kepercayaan.   Ini kuasa Allah.   Makin ditekan, makin ramai pelancong.  Makin ditakut-takutkan, makin ramai pelabur  yang datang.   Hotel dan Chalet kita bertambah.  Kota Bharu menjadi semakin sesak. Sektor perbankan berkembang dengan baik.   Jemaah Haji dari Kelantan semakin meningkat setiap tahun.

          Memang tidak ada sebab kita tidak boleh membangun seperti yang dikatakan oleh PM kerana Kelantan sesungguhnya sedang rancak membangun.   Kita boleh dan memang ‘Kelantan boleh’.   Tapi kita bangun perlahan-lahanlah.   Cara kitalah.   Membangun Bersama Islam.   Cuba kalau bagi layanan yang sama rata seperti negeri-negeri lain, tentu kita akan lebih membangun.

          Hak susahnya campur aduk dengan politik.   Ini yang kurang cerdik.  Demokrasi beri kita pilih setiap 5 tahun.   Orang Kelantan pilih bulan.   Nak buat macam mana.   Mereka sayang kepada  Islam.   Apa pula didiskriminasi dan wujudkan kerajaan dalam kerajaan. JPP tu semacam kerajaanlah.   Ini yang kita tak faham.  Saja nak timbulkan perpecahan.  Nak pecahkan sokongan rakyat kepada dua.   Ini kerja apa ni kalau tidak khianat.   Kenapa tidak wujud JPP di Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor?   Adakan pula jawatan Penolong Pegawai Pembangunan di setiap Jajahan.   Apa dia ni kalau tidak  membazir.   Rugi wang rakyat.   Bayar gaji pegawai superscale dan pegawai-pegawai kanan di JPP, terpaksa sewa bangunan baru, bayaran elektrik, air, telefon, kenderaan jabatan, termasuk mengadakan beratus jawatan Ketua Kerani, Kerani, Juruteknik, Tukang Pelan, Jurutaip,  Pembantu Am Rendah, Drebar dan Jaga.    Adakan  pula  Penyelia Pembangunan Mukim semata-mata untuk menganggu tugas-tugas Penggawa dan Penghulu lantikan Kerajaan Negeri;   macam cerita dua Imam pula.    Tujuannya semata-mata nak tulis atas papan tanda setiap projek Pusat  -   Satu lagi projek BN.   Dekat pilihanraya macam sekarang mulalah cabar  -   minta PAS buktikan.   Buktikan apa?.   Buktikan BN yang membazir.   Buktikan BN kutip cukai dari rakyat termasuk rakyat Kelantan dan dabik dada bahawa dia buat itu dan ini.    Tanya sikit; duit siapa?   Kalau duit rakyat lalu buat projek untuk rakyat;  itu bukan luar biasa.   Itu biasalah.   Siapa suruh jadi Kerajaan Pusat  kalau tidak mahu pikul tanggungjawab.    Jika kita duduk di Pusat pun, kita akan buat pembangunan dengan lebih hebat.   Tapi kita jamin kita tidak akan membazir.   Kita akan adil, kita akan hormati demokrasi.   Kita akan lebih bertoleransi.  Tengok Kelantan sekarang inilah.   Tak ada pun militan.   Orang Islam suka.  Orang bukan Islam pun selesa.   Melayu happy, Cina happy dan semua happy.    OK semua.    All right semua.   Mereka semua kata Thank you.  

Pejabat Menteri Besar

Kelantan

Kota Bharu. 

Bertarikh:25 Safar 1423 / 8 Mei 2002 

 

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates