Home ]

* 2002/11/28::: PINJAMAN MUDAH KEPADA LUBNAN;SEMUDAH ITUKAH?

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

PINJAMAN MUDAH KEPADA LUBNAN;

SEMUDAH ITUKAH?

 

 

Sifat murah hati Malaysia yang memberi pinjaman mudah berbentuk “concessionary loan” berjumlah RM1.14 billion (US$300 juta) kepada Negara Lubnan (lihat NST 25 November 2002) menjadikan Malaysia pemberi pinjaman yang ketiga terbesar selepas Negara Arab Saudi dan Perancis.   Sikap sebegini kelihatan makin terpuji apabila ia dilakukan dalam bulan Ramadhan Al Mubarak.   Itu jika dilihat budi baik ini secara terpisah tanpa membuat perbandingan.

 

2.                Walau bagaimanapun, ia kelihatan sedikit janggal apabila kita cuba bandingkan langkah ini dengan lain-lain langkah yang juga utama atau mungkin lebih utama.   Semua orang tahu bahawa hutang luar Malaysia dicatat oleh setengah pihak kini sebagai akan mencecah RM167 billion ditahun 2003.   Dalam tahun ini (2002) sahaja, ia berjumlah RM145 billion.   (Lihat Berita Suara PRM Keluaran 15 November 2002).  Jika diasaskan kepada maklumat ini, saya cuma terfikir mana lebih utama untuk melangsaikan hutang sendiri terlebih dahulu atau memberi hutang kepada orang lain?  Saya melihat dari sudut keutamaan.   Walaupun mereka adalah saudara kita, tetapi rakyat kita lebih hampir dengan kita.  Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud:

 

 

“Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau  membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.”

                                                (Surah Al Israa’:  Ayat 26)

 

3.      Perdana Menteri Malaysia jangan pula terlupa yang pemberian Geran Wajib untuk Negeri Kelantan masih belum ditunaikan sehingga ke tarikh artikel ini ditulis.    Ia berjumlah melebihi RM100 juta.   Ini disebut wajib dalam Perlembagaan; bukan sunat.   Begitu juga dengan Bantuan Perkapita kepada Sekolah-Sekolah Agama Rakyat yang telah dibekukan dan dihentikan serta merta di seluruh negara.   Untuk Negeri Kelantan, ia melibatkan jumlah bantuan melebihi RM2.0 juta.    Walaupun orang boleh kata ianya sedikit tetapi ia tetap besar bagi kami yang sering digerhanakan dengan kemiskinan.    Apakah  masih mahu terus mendera kami dan menganak tirikan anak sendiri untuk nantinya diejek sebagai negeri miskin.   Jangan salahkan rakyat jika amalan ini digelar sebagai satu lagi bentuk diskriminasi Kerajaan UMNO/BN ke atas negeri yang diperintah oleh PAS secara sah.   Jangan sampai orang sebut bahawa UMNO/BN suka menyusu pihak lain di hutan dan meninggalkan anak kandung untuk mengalami kelaparan di atas riba sendiri. 

 

 

4.      Saya hanya khuatir kita cuma berbakti untuk semata-mata dilihat berdiri sama tinggi dengan Negara Arab Saudi atau Perancis yang sememangnya cukup kaya.  Sekaya merekakah kita?   Jika kaya, kenapa hutang negara kini sedemikian menggerunkan.  Kalau nak masak nasi, biarlah ikut ukuran periuk kita.   Potong bajupun sama; biar ikut badan sendiri.   Saya tidak sekali-kali menyekat orang  untuk berbuat kebaikan.   Apa yang dipersoalkan ialah dari segi meletak  dan  mengukur  keutamaan.   Siapa  agaknya  yang  akan

membayar hutang negara Malaysia yang kian meningkat?   Jika jawapannya ialah rakyat, maka berhati-hatilah dalam menggunakan setiap sen wang yang ada di Kementerian Kewangan.   Kurang cermat namanya jika soal itu dilihat sebagai perkara masa depan dan perlu difikirkan oleh pemimpin berikutnya.   Yang kasihannya ialah rakyat.

 

5.                Di Kelantan sebaliknya, kami amat mengambil sikap yang berhati-hati.   Kita tidak akan meminjam kecuali terdesak.   Kita rela membangun dengan seperlunya asalkan rakyat tidak dibebankan dengan kos hidup yang tertekan.   Jika kita sebut belanjawan yang mesra rakyat, kita jelmakan kemesraan itu dengan harga barang yang terkawal, cukai pintu yang rendah, caj bekalan air yang minimum, hasil dan cukai tanah yang sederhana serta kehidupan yang bebas dari kenaan tol.   Di lain-lain tempat, banding-bandingkanlah. 

 

6.                Mungkin jugalah Perdana Menteri Malaysia sedang berkira-kira untuk membuat kebajikan sebanyak mungkin sebelum beliau benar-benar meletakkan jawatan 10 bulan dari sekarang iaitu pada bulan Oktober 2003. 

 

 

 

 

NIK  ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:   22 Ramadhan 1423 / 27 November 2002                                           

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates