Home ]

* 2002/11/14::: NASIB SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR)

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

NASIB SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR)

 

 

Belumpun  reda isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, Sekolah Agama Rakyat (SAR) kini ‘diletupkan’  sebagai beban tambahan kerajaan.   Elok-elok tiada isu,  UMNO timbul-timbulkan elemen pembangkang di dalam Sekolah  Agama Rakyat.   Penyakit lama UMNO tidak pernah diubati.    Penyakit yang dimaksudkan ialah mendahului keputusan sebagai ‘bersalah’ sebelum membuat siasatan dan mendapatkan laporan.    Kehadiran Timbalan Perdana Menteri dalam Majlis Berbuka Puasa pada  10 November 2002 di Yayasan Kemiskinan Kelantan, Peringat yang menyebut beliau sedang menunggu laporan mengesahkan perangai lama ini.  Peruntukan Perkapita kepada  semua SAR telah dihentikan secara serta merta.  Lihatlah, bagaimana keputusan ‘bersalah’ dibuat dahulu sebelum siasatan dijalankan.  

 

Dalam hal ini, PAS dituduh sebagai mempolitikkan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat.     Bila diminta bukti, mereka menjawab mereka sedang sibuk mencari bukti dan menyediakan laporan.  Saya, sampai sekarang tidak faham dengan istilah mempolitikkan isu.   Tidakkah UMNO juga parti politik seperti PAS yang merupakan sebuah parti siasah yang berdaftar.   UMNO bukan pertubuhan sosial,  badan kebajikan atau badan khairat kematian.   Dakwaan UMNO itu sendiri bahawa PAS mempolitikkan sekolah-sekolah SARpun sudah dikira  berpolitik.    Seluruh rakyat yang berumur 21 tahun ke atas juga berhak untuk menilai cara ‘politiking’ UMNO dalam isu ini  kerana mereka juga terlibat dalam politik pilihanraya dalam menilai siapa yang lebih benar dan layak untuk dipilih sebagai Wakil-Wakil  Rakyat di Parlimen nanti.

 

Yang saya nampak benar-benar berpolitik  dibidang pendidikan dan menggunakan  platform  pendidikan  sebagai  gelanggang ialah UMNO.  

 

Tidakkah Mesyuarat  Agung  PIBG  di serata  ceruk negara menjemput pemimpin-pemimpin UMNO untuk berucap dan melakukan perasmian.   Logo UMNO dan nama Ketua Bahagian terpampang besar di pintu masuk Universiti, IPTA dan IPTS termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah-Sekolah Menengah. Malah, bangunan-bangunan sekolah yang sedang dibina pun dinaikkan cogan kata “ Satu Lagi Projek BN “.   Siapa mahu menafikan bahawa pemimpin UMNO boleh keluar masuk untuk berpidato di mana-mana kampus Universiti  tanpa berpintu.   Mereka boleh menyindir, mengherdik, menghina dan kadang kala memfitnah pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu yang dipilih secara sah melalui proses demokrasi berpilihan raya.   Majlis-majlis penyampaian beg-beg sekolah dan bantuan alat tulis termasuk basikal dan uniform sekolah turut melibatkan pemimpin-pemimpin bersongkok tinggi dari UMNO.   Hatta,  pertukaran dan naik pangkat guru-guru pun telah dicampur aduk dengan rekod-rekod sama ada menyokong UMNO atau sebaliknya.   Orang yang kuat parti akan cepat menjadi Pengetua/Guru Besar.  Berjalanlah ke mana-mana sekolah, rakyat Malaysia tidak akan berjumpa barang secalitpun warna hijau melainkan kebanyakannya biru.   Perkara ini boleh disemak untuk pengesahan.     Demikian secebis ‘trauma’ tanda ketakutan yang amat sangat UMNO kepada PAS.   Dia yang berpolitik dan mempolitikkan isu, kemudian telah melontarkan tuduhan sebegini untuk ditanggung oleh PAS.

 

4.         Kursus-Kursus anjuran Biro Tata Negara (BTN) semakin menjelaskan keadaan ini.  Penceramah boleh dikatakan sentiasa terdiri daripada orang-orang UMNO  atau orang-orang yang berkecenderungan UMNO.   Kerahan tenaga yang kini diperingkat cadangan diperhatikan sebagai lebih berupa program gerak saraf untuk “brainwash” generasi muda Malaysia supaya taksubkan UMNO dan melihat pihak-pihak di luar UMNO sebagai musuh negara.   Rakyat mula meragui keikhlasan pelaksanaan Kerahan Tenaga kerana rekod penglibatan Biro Tata Negara yang amat sinonim dengan UMNO.

 

Berbalik kepada SAR, saya kadang-kadang terasa amat berkecil hati dengan sikap pemimpin UMNO.   Tergamak, Bantuan Perkapita yang telah sekian lama  diberipun,  kini telah dihentikan secara serta merta.   Sampai hati!  Saya khuatir UMNO sedang mendera anak bangsa dan anak buahnya sendiri.  SAR bukan milik PAS dan hanya untuk anak-anak ahli PAS.     Ia terbuka untuk semua orang tanpa mengenal rupa bangsa dan faham politik.   Kalau hendak dikirakan, SARlah Institusi yang paling lama berjuang untuk mempertahankan tulisan jawi.   SAR juga boleh dikatakan sebagai benteng pertahanan terakhir tapak semaian generasi Islam yang mendapat benih pendidikan awal mengikut Kurikulum Pendidikan Islam.  Tekanan ini boleh sampai keperingkat menyebabkan SAR tidak dapat menjelaskan bil elektrik dan air.   Kepungan peruntukan yang berupa sekatan bantuan oleh Kerajaan Pusat tajaan UMNO  seakan-akan menyerupai langkah diskriminasi Kaum Musyrikin di Mekah terhadap Nabi Muhammad S.A.W. dan penyokong-penyokongnya 1,400 tahun yang lalu.   Abdullah bin Ubai pernah mengetuai langkah kepungan ekonomi semasa  Nabi S.A.W berada di Madinah.  Peristiwa malang ini ada dirakamkan dalam Al-Quran yang bermaksud, “ Janganlah Kamu Membelanjakan Harta Kamu Kepada Orang-Orang Yang Ada Bersama Rasulullah Supaya Mereka Bersurai ( Meninggalkannya ) - Lihat Sebahagian Dari Maksud Surah Al-Munafiquun Ayat 7. Tidak banyak bezanya.

 

6.         Saya masih menekankan soal bukti.  Tidak cermat namanya apabila pemimpin negara asaskan keputusan bersandarkan laporan lisan seorang kanak-kanak kecil, anak seorang UMNO yang bila pulang ke rumah kononnya,  meminta diturunkan gambar ‘firaun’.    Katakan jika ianya benar sekalipun, takkanlah  satu keputusan yang sebesar itu boleh dibuat hanya dengan suara rungutan seorang kanak-kanak.   Mangsa adalah 68,463 orang dari pelajar SAR dan 58,992 orang pelajar dari sekolah-sekolah Agama negeri dipelbagai peringkat umur di seluruh negara.    Jika laporanlah yang TPM sedang tunggu, maka mungkin artikel ini boleh membantu memberi pandangan kedua bagi pihak seluruh ibu bapa dan umat Islam di Malaysia.  Hentikan kerja membuat keputusan dengan gopoh gapah.   Jika boleh saya merayu, mohonlah kiranya semua pihak mengambil sikap dengan lebih bertenang dan  berlemah lembut.   Kita berada di bulan Ramadhan.  Ini bulan Syahrul-Muwaasaati.   Kitapun kira-kira dah jadi Negara Islam. Lihatlah kepentingan agama Islam dalam konteks yang menyeluruh.   Ketepikan soal nafsu.  Kalaupun UMNO mahu berpolitik, janganlah pula sampai melebihi paras yang patut.  Jangan ditambah kemarahan  rakyat.   Tanganilah  isu-isu  sedia  ada  tanpa  mencarikan  punca kebencian tambahan terhadap UMNO/BN.    Jika  PAS  sering  dituduh  sebagai  parti  yang  tidak  memberikan nasihat, maka  inilah salah satu dari nasihat.    Fikir-fikirkanlah.   Kata pepatah; ikut hati mati, ikut rasa binasa.   UMNO sedang mengikut apa?

 

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:9 Ramadhan 1423 / 14 November 2002.

 

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates