Home ]

* 2002/12/17::: NASIB SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR)II

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

NASIB SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR) II

 

Sikap dan hajat UMNO yang sebenar mengenai Sekolah Agama Rakyat (SAR) akhirnya terbongkar juga.   Alasannya beralih mengikut naik turun matahari.   Dihari pertama ia mendedahkan rahsia kononnya seorang anak orang UMNO iaitu pelajar SAR yang meminta ayahnya menurunkan gambar ‘firaun’.   Dua hari kemudian diisytiharkanlah berita sedih pemberhentian Bantuan Perkapita ke semua sekolah SAR.   Sementara itu, pada 10 November 2002, semasa menghadiri majlis Berbuka Puasa di Peringat, Kelantan Timbalan Perdana Menteri  menegaskan bahawa Kerajaan masih menyediakan laporan sedangkan bantuan telah dibekukan.   Kemudian alasan dipindahkan pula kepada dua faktor lain iaitu kekurangan kemudahan asas disemua SAR dan kekurangan guru-guru terlatih.   Ini disebut sendiri oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri iaitu Tan Sri Dr. Ab. Hamid Othman.    Berasaskan dua kekurangan itulah maka semua Sekolah Agama kemungkinan ditutup.    Daripada bekukan Bantuan Perkapita, sedang membuat laporan dan siasatan kepada kemungkinan menutup terus semua SAR.   Di dalam NST bertarikh 9 dan 10 Disember 2002, Dato’ Zainuddin Maidin dan Timbalan Menteri Pendidikan memperkukuhkan lagi kemungkinan ini dengan mengacah cadangan untuk menyerap semua pelajar SAR ke Sekolah-Sekolah Kebangsaan diatas alasan untuk mengintegrasi dan menyeragamkan pendidikan dalam satu sistem pendidikan yang selaras  untuk  memenuhi  aspirasi  masyarakat  Malaysia  yang berbilang kaum.   Demikianlah anjakan setapak ke setapak alasan demi alasan untuk akhirnya mewajarkan penutupan SAR.

 

          Saya  sampai sekarang masih melihat langkah kerajaan dalam isu pendidikan terkini dengan penuh kehairanan.   Jika dalam usaha untuk mengatasi masalah kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris kerajaan sanggup menjadikan mata pelajaran Sains dan Matematik sebagai kuda tunggangan, tidakkah dalam soal Islam, Kerajaan Pusat boleh memakai kaedah yang sama.   Jika ada kelemahan dari segi infrastruktur atau tenaga pengajarnya yang kurang kelayakan maka kenapa tidak diatasi.   Begitu juga dengan tuduhan yang kononnya ada guru-guru SAR yang mempolitikkan sekolah.   Sila tunjukkan buktinya supaya senang bagi pihak berkuasa mana-mana negeri mengambil tindakan.   Semuanya tidak berjawab.   Yang ada hanyalah sogokan tuduhan terhadap SAR dan tindakan yang tergopoh gapah.   Hanya dengan nyamuk seekorkah kerajaan mahu membakar seluruh kelambu dan mengorbankan pendidikan agama seluruh umat Islam.

 

          Walaupun nampaknya kerajaan beria-ia setakat ini untuk memindahkan seluruh pelajar SAR ke sistem Sekolah-Sekolah  Kebangsaan tetapi apakah mungkin Sekolah-Sekolah Kebangsaan mampu menyediakan resepi pendidikan agama yang menyeluruh dan komprehensif.   Kurikulum pendidikan di semua SAR amat khusus.   Tekanan kepada Bahasa Arab adalah salah satu daripada

 

 

elemen yang paling penting.   Apakah mungkin Sekolah-Sekolah Kebangsaan mampu memainkan peranan asuhan yang seintensif Sekolah-Sekolah SAR.   Saya sangat khuatir dalam jangka panjang nanti umat Islam akan mempelajari dan memahami Islam melalui teks-teks terjemahan.    Tidakkah ini mendedahkan umat dan generasi akan datang kepada bahaya tulisan orientalis?

 

          Saya sangat tertarik dengan amalan dan layanan Kerajaan Thailand  terhadap sekolah-sekolah agama.   Kerajaan Thailand telah memberi bantuan kepada semua sekolah-sekolah agama kerana mereka meniru amalan yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia.                             Saya bangga kerana mereka meniru kita.     Tahu-tahu, Malaysia pula telah menghentikan bantuan itu tanpa sebarang alasan yang konkrit. Mereka (Kerajaan Thailand)  nampaknya lebih lunak dalam dalam memberikan perhatian, bantuan kewangan dan sokongan kepada sekolah-sekolah agama.    Ini sekaligus telah mengurangkan ketegangan antara masyarakat Melayu dengan Kerajaan Thailand.   Saya sesungguhnya khuatir langkah kerajaan yang dilihat sangat memusuhi SAR ini akan menambahkan lagi ketegangan dan kegelisahan antara orang Melayu dengan kerajaannya.  Adakah UMNO faham tetapi buat-buat tak tahu dengan langkah ini.   Sesuatu dasar awam jangan dipandang mudah kerana orang awam itu juga merupakan warga sebuah sistem dalam kerajaan demokrasi.    Mereka juga pengundi.   Mustahil UMNO tidak sedar bahawa mereka sedang mengganggu cara hidup, kepercayaan dan keyakinan orang Melayu yang beragama Islam.Ini amat sensitif .

 

         

UMNO nampaknya tidak sudah-sudah mengamalkan pendekatan permusuhan dengan orang-orang Melayu.   Peristiwa Memali, Peristiwa Lubuk Merbau, rampasan royalti minyak di Terengganu, amalan diskriminasi dalam subsidi baja di Kelantan, penindasan kepada para kontraktor yang menyokong pembangkang, paksaan kepada guru-guru untuk menunjukkan no. keahlian UMNO dalam kenaikan pangkat dan pertukaran; penubuhan Kelab-Kelab UMNO di luar negara.   Malah terlalu banyak contoh-contohnya.

 

UMNO telah banyak memecah belahkan perpaduan orang Melayu walaupun sangat gemar menyebut tentang pentingnya perpaduan.    Tiga Perdana Menteri yang lepas tidak pernah mengamalkan kaedah permusuhan seteruk Perdana Menteri yang ada sekarang.   Sebab itu, telah berlaku detik-detik perpecahan orang Melayu yang amat ketara dalam tempoh 20 tahun ini.   Sekurang-kurangnya, UMNO pernah berpecah dalam Team A  dan Team B.   Kemunculan Parti Melayu Semangat 46 adalah kemuncak kepada perpecahan yang berlaku ditahun 1987.   Tidak serik dengan kejadian itu, Presiden UMNO menendang keluar Timbalan Presidennya yang bernama Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahun 1998.    Orang Melayu berpecah lagi di bawah bendera Parti Keadilan Nasional.   Sejak tahun 1998, UMNO terus terusan menindas orang Melayu dengan pelbagai dasar yang menekan.    Dengan selamba UMNO mengherdik bangsanya sebagai  satu bangsa yang jumud, miskin dan lemah.   Dalam Perhimpunan  Agung  pada  bulan  Jun  2002,  orang  Melayu  telah

 

 

disahkan sebagai kumpulan yang tidak setanding dengan bangsa-bangsa lain.   Melayu mudah lupa.   Melayu perlu dibuang tongkatnya.   Semua bukti menunjukkan kegagalan UMNO dalam mempertahankan maruah orang Melayu.    Apa tak gagalnya apabila semua bukti menunjukkan:

 

·        Penagih dadah terbesar negara adalah orang Melayu;

 

·        Golongan termiskin rata-ratanya orang Melayu.   Peratus yang rasuah dan pecah amanah tinggi di kalangan orang Melayu;

 

·        Tidak kurang juga dengan skandal penyalahgunaan kuasa banyak melibatkan pemimpin Melayu;

 

·        Mereka yang ketinggalan dalam pelajaran adalah anak Melayu;

 

·        Penguasaan di bidang teknologi dan perniagaan menampakkan kekurangan orang Melayu;

 

·        Peratus kes-kes pecah rumah, lepak, vandalisme, buang bayi, sumbang mahram, rogol, judi, penghidu gam, pengambil pil-pil khayal, GRO, penghibur di nite club

 

 

termasuk pelbagai jenayah kolar putih rata-ratanya melibatkan anak Melayu.

 

          Jika dibuat kajian, penagih dadah, GRO, pemuda lepak, sindrom hidu gam, perogol, peminat pil khayal, pengunjung nite club dan jenayah kolar putih adakah ianya dari lepasan SAR atau sekolah-sekolah Kebangsaan?   Saya cuma bertanya.   Mungkin satu kajian bebas boleh dilakukan untuk membandingkan bahaya sekolah-sekolah SAR secara berbanding dengan lepasan dari Sekolah-Sekolah Kebangsaan.

 

          Dalam kesibukan mencadangkan pelajar SAR diserap masuk ke sekolah-sekolah kebangsaan, Perdana Menteri sebaliknya turut mendedahkan penyelewengan Sekolah-Sekolah Kebangsaan dari matlamat asal.   Penyelewengan dikira berpunca dari adanya penekanan yang berlebihan kepada kurikulum dan disiplin agama Islam yang diamalkan oleh sesetengah tenaga pengajar.   Ini dianggap telah menakut-nakutkan ibu bapa bukan Islam dari menghantar anak-anak ke Sekolah-Sekolah Kebangsaan.  Jika inipun sudah dianggap sebagai menyeleweng, saya sudah tidak dapat membayangkan apa lagi jenis kelonggaran yang akan dibuat di Sekolah-Sekolah Kebangsaan dalam menguatkuasakan disiplin Islam.  Bagaimana pula pemimpin UMNO boleh yakin bahawa Sekolah Kebangsaan sudah memadai bagi menyediakan pendidikan

 

 

 

agama untuk mengajar anak-anak mengenai ajaran Islam.   Sudahnya, SAR terhapus dan Sekolah Kebangsaan yang hanya memberikan pendidikan asas Fadhu Ain selama 45 minit sehari yang akan menggantikan seluruh kurikulum Islam.

 

          Dipertengahan tahun ini pula, kita mendengar langkah mahu menggunakan Bahasa Inggeris dengan secara yang lebih luas dalam Sistem Pendidikan Negara.    Lihatlah makalah-makalah yang ditulis oleh ahli-ahli dan pakar-pakar bahasa dalam majalah-majalah seperti Dewan Sastera dan Pelita Bahasa tentang keluhan protes bangsa Melayu terhadap langkah UMNO ini.   Hakikat terlancarnya satu kempen pungutan sejuta tanda tangan adalah manifestasi keluh kesah rakyat terhadap UMNO yang sudah kehilangan pedoman kemelayuannya.

 

          Permusuhan dengan orang Melayu diteruskan lagi dengan mengancam kehendak orang Melayu yang cenderung menghantar anak-anak mereka ke SAR.   Tanpa menghiraukan kegelisahan rakyat, UMNO nampaknya sangat sombong dengan kuasanya.

 

          Hatta di Mesir sekalipun masih terdapat dua sistem pendidikan yang diizinkan.   Ada sekolah-sekolah kerajaan dan ada sekolah-sekolah rakyat yang dipelopori oleh pihak swasta.   Universiti Al Azhar itu adalah sebuah Universiti Islam yang terunggul yang direstui dan dibiayai oleh rakyat.    Perkembangan ini tidak pernah menjadikan Kerajaan Mesir mahu menutupnya diatas nama mahu

 

menyeragamkan sistem pendidikan.   Ini soal pendemokrasian pendidikan.   Ia soal kebebasan memilih untuk menentukan apa yang terbaik yang difikirkan oleh setiap ibu bapa.  Salahkah jika lahirnya lepasan-lepasan pelajar SAR yang alim tentang agamanya.   Saya tidak faham bagaimana boleh Perdana Menteri Malaysia risau apabila sekolah-sekolah SAR mampu melahirkan lebih banyak ulama’  -  (Lihat Berita Harian 28 November 2002).    Lebih-lebih lagi dalam perkembangan SAR terkini, telah ada aliran sains dan mata pelajaran-mata pelajaran akademik.    Kenapa harus keliru dan mengelirukan istilah ulama’.   Asalkan generasi muda kita bertaqwa kepada Allah maka itu sudah cukup dan SARlah salah satu dari kilang penting yang menghasilkan generasi ini.

 

          Generasi yang lahir dari acuan SAR yang terbaru ini akan tidak syak lagi mampu menyumbangkan kepakaran dalam pelbagai bidang.

 

          Saya amat yakin bahawa pihak luar yang  pertama bersukacita dengan langkah UMNO ini ialah kaum Yahudi.   Mereka sangat setuju jika pemimpin Islam sendiri mahu sekolah-sekolah agama Islam dihapuskan.    Tidakkah UMNO sedar bahawa setiap kali kita membaca Al Faatihah, maka kita sedang menolak ajaran dan pegangan kaum Yahudi dan Nasora   -   (Ghoiiril Magh dhu Bi ‘alaihim Waladh dho lliin).    Sikap UMNO yang mahu menekan SAR sangat-sangat selari kira-kiranya dengan perangai kaum Yahudi.

 

          Takut sangat orang terpengaruh dengan PAS apabila anak-anak dihantar ke SAR.   Saya mahu tanya bentuk Kurikulum baru yang konon dikatakan mencukupi bagi mendidik pendidikan agama Islam sedangkan acuan Sekolah-Sekolah Kebangsaan adalah acuan

pendidikan sekular.   Pendidikan agama hanya tidak lebih dari 45 minit sehari.    Mata pelajaran selainnya adalah bebas lepas dari dihubungkan dengan kepentingan Islam.

 

          Kita sudah ada pengalaman pahit apabila keputusan  kerajaan yang menghapuskan tulisan jawi.   Kini kita menyesal.   Kita kembali pula kepada tulisan jawi.    Apa kata jika dengan langkah pembubaran SAR ini,  kita menyesal setelah melihat generasi yang lahir sudah tidak mendalam amalan Islamnya.   Tazkirahpun tiada.   Usrah dipersempitkan.   Pintu Masjid  kadang kala disempitkan untuk Sembahyang Jemaah sahaja.    30 tahun akan datang , berpatah balikkah kita untuk kali kedua?    Usah diperjudikan nasib agama semata-mata diatas perkiraan politik dan nafsu untuk mempertahankan kuasa.   Carilah jalan lain untuk popular.    Jangan jadikan Islam sebagai cagaran.   Korbannya adalah umat Islam itu sendiri.

 

          Boleh jadi UMNO mahu mengambil hati pengundi-pengundi dari masyarakat Cina.   UMNO mungkin mahu memancing orang

Cina dengan menjadikan bukti toleransi mereka yang menekan agamanya sendiri.   Saya sungguh tidak sangka sebuah negara yang

baru menamakan dirinya Negara Islam sanggup menindas generasi Islam dan ibu bapa yang kasihkan pendidikan dalam acuan SAR.   Logiknya sebuah Negara Islam sangat dahagakan ulama’ untuk membantu proses bagi memartabatkan Islam.   SARlah kira-kiranya

menjadi  wasilah bagi melahirkan semangat sayangkan Islam dan kasihkan agama.    Jika pengisytiharan Malaysia sebagai Negara Islam pada 29 September 2001 itu benar-benar jujur, tidak ada sebab SAR mahu diganggu gugat dan ditutup.  Pendek kata , pendirian UMNO dalam isu ini benar-benar memecahkan tembelang siapa UMNO yang sebenarnya.

 

          Adakah dengan menutup semua Sekolah Agama Rakyat, UMNO telah membela Islam atau ada niat buruk yang lain di sebaliknya.   Saya pulangkan kepada seluruh ibu bapa untuk meneka jawapannya.

 

 

 

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh   :  7 Syawal 1423 / 12 Disember 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates