Home ]

2002/06/20:::Tok Guru Tegur Menteri Pembangunan Wanita

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

TOK GURU TEGUR MENTERI PEMBANGUNAN WANITA

 

Terkejut juga kita tengok Menteri Pembangunan Wanita yang tiba-tiba begitu peka dengan Cadangan Undang-Undang Hudud yang didrafkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.   Kita ingat dia bangun nak sokong, rupanya berdiri tegak nak tentang.   Kalut hingga panggil semua badan NGO berseminar pada  6 Jun 2002  di Kuala Lumpur untuk bulatkan tekad menentang Seksyen 9 dan menuntut Undang-Undang itu dibatalkan.    Saya nak tanyalah sikit yang draf itu makna apa?   Dan pulak, draf itu dibentangkan dalam sebuah Seminar Hudud yang diadakan di Dewan Besar Kota Darul Iman pada 11 Mei 2002.    Kerajaan Negeri Terengganu panggil semua pihak termasuk UMNO Pusat.   Kita panggil kerana membuka perbincangan.   Kita nak dengar pandangan semua pihak.   Kita percaya kepada permuafakatan.   Soalnya, dah peka sangat kenapa tidak hadir.   Hak yang Menteri itu sebut teguran mengenai Seksyen 9 bukan benda baru.   Teguran itu telah diperbincangkan dalam Seminar Hudud anjuran Kerajaan Negeri Terengganu.   Rumusan Seminar pun telah mengambil  ketetapan tentang perlunya perkara teknikal dihalusi sedikit lagi.   Soal “substance” tidak berubah.   Jadi kira-kiranya apa yang Menteri Wanita UMNO itu nak jadi juara itu sudah ada dalam kepala pemimpin kita jauh lebih awal.

 

          Hairan juga saya melihat telatah mereka.   Kalau dengan Hudud, bukan main cepat nak membela wanita.   Konon bimbangkan penindasan.   Kalau  ya  pun, suruhlah kaji semula.    Ini ada sedikit sahaja nampak cacat,               

 

digesa batal terus.   Sepatutnya cadangkanlah alternatif pembaikian kepada Seksyen 9, sesuai dengan semangat Surah An Nur Ayat 2 itu.    Bersifat ilmiah dan bersifat mukminahlah sikit.     Negara kitapun sudah Islam ikut PM.   Hudud ni kan Undang-Undang Islam.   Kalau apa yang PAS draf bukan Undang-Undang Hudud Islam, cuba nak tengok draf Undang-Undang Hudud UMNO.    Ada ke tak ada.   Pelaksanaan dan kuatkuasa ketetapan dari surah An Nur Ayat 2 yang Allah S.W.T.   sendiri putuskan akan jadi lagu mana?   Yang sebenarnya, UMNO ni nak laksana Hudud atau tidak.    Kalau nak, buat cara nak.   Bantulah sepatutnya.    Dah rasa ada kelemahan dalam draf Hudud yang disediakan PAS, cepat-cepat kemukakan cadangan pembetulan.    Ini himpun orang ramai-ramai, panggil semua NGO,   tenyeh cukup-cukup Seksyen 9 yang dikira lemah lalu gesa tekan dan desak Draf Undang-Undang Hudud dan Qisas itu dibatalkan terus.    Tak ada terima kasih langsung.   Tidak nampak nak langsung.

 

          Konon prihatin sangat wanita dari dizalimi.   Kalau nak kira, sudah berapa lama nite club, pertunjukan ratu cantik, wanita sebagai GRO, perempuan dijadikan komoditi untuk iklan barang   -    semua itu menzalimi wanita.   Wanita UMNO buat apa?   Tidak nampak gawat dan cemas pun.   Majalah-majalah yang mendedah aurat wanita dilulus dan beredar di pasaran selamba sahaja.   Berapa banyak kes rogol, kes buang anak?   Saya kata salah satu punca ialah wanita yang dedahkan aurat.   Bukan main riuh rendah.

 

          Betulkah tak mahu Seksyen 9, ke tak mahu Hudud?.   Tak mahu Hudud, negara Islam lagu mana kerana Hudud ini ada dalam Al-Quran dan ada nasnya.    Undang-Undang Hudud itu nak membela wanitalah sebahagiannya.    Ia  datang  dari  Allah S.W.T.,  Tuhan  yang  mencipta  dan menjadikan wanita itu.   Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk wanita dan cara pakaiannya, cara berhiasnya, cara berjalannya, cara bercakapnya semua sekali ada diatur oleh Allah S.W.T.  dan Sunnah Nabi S.A.W.     Pembaca Berita  wanita di TV milik kerajaan sampai sekarang, saya tengok masih tidak pakai tudung.   Ada Menteri Wanita UMNO pun tak pakai tudung.  Malah ada Menteri Wanita UMNO yang kata soal tudung soal peribadi. UMNO buat apa?    Ini misal-misal yang boleh menimbulkan keraguan rakyat, UMNO ni nak sungguh kah kepada Islam atau bagaimana?

 

          Saya tengok artikel-artikel dan komen dalam akhbar-akhbar semasa  makin menyuburkan kekeliruan dan keraguan kepada Undang-Undang Hudud.   Akhir-akhir ini begitulah.   Orang cuba-cuba baiki, ini tidak.    Ikut katanya macam-macam nak, tapi gaya macam tidak.   Baiklah, jika selesai Seksyen 9,  kira-kiranya, UMNO bersetujulah dengan Hudud yang akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Terengganu bulan Julai ini.   Kalau nak dikirakan begitulah.   Mari kita sama-sama perhatikan.   Apa pulalah agaknya alasan.  Rakyat semua tengok-tengoklah.

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

KOTA BHARU.

Bertarikh : 7 Rabiul Akhir 2002 / 18 Jun 2002.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates