Home ]

2002/07/23:::UMNO: KEMBALILAH KEPADA ISLAM

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

UMNO: KEMBALILAH KEPADA ISLAM 

           Tohmahan  yang mengatakan bahawa orang PAS fanatik kepada pemimpin mereka nampaknya berkumandang lagi.   Utusan Malaysia yang  melaporkan bahawa, Perdana Menteri berkata:     “Malangnya kerana sikap fanatik mereka tidak menerima penjelasan kita.”  (Utusan Malaysia 22 Julai 2002).   PAS dikatakan telah berjaya membasuh minda masyarakat.   Kata Dr. Mahathir:  “apabila kita beritahu perkara yang baik, rakyat tidak nak terima.”

 

          Sehari sebelum ini, cendikiawan Islam dalam Forum Antarabangsa mengenai Islam (KALIF 2002) turut sibuk dengan saranan supaya umat Islam tidak taksub.  (Mingguan Malaysia 21 Julai 2002).  Sebenarnya sikap I’tisam (berpegang teguh dengan kebenaran) adalah sebuah tuntutan.   Ini boleh kita lihat dalam seruan Allah Subhanahu Wataala melalui firmanNya yang bermaksud:  “Berpegang teguhlah (I’tisam) kamu  dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai.”

                                                                     (Surah Al Imran:  Ayat 103)

  

          Apa dia berpegang teguh kepada tali Allah jika tidak kepada Al-Quran dan Hadith?    Hakikat bahawa para sahabat berjuang sampai mengorbankan  harta,  masa,  jiwa  dan  raga  adalah contoh  i’tisam yang boleh dilihat disepanjang sejarah.   Ini bukan fanatik.  Daripada i’tisamlah lahirnya sabar dan jihad sebagai dua tonggak serentak yang menjunjung Islam.  Islam lalu menjadi agama Allah yang membangun, berkembang dan maju.  Penglibatan PAS adalah penerusan kepada sikap berpegang teguh dengan kebenaran dalam meneruskan usaha jihad bagi menegakkan kebenaran.   Inilah yang disifatkan oleh Allah sebagai Al Bayyinah.   “Dan tidaklah berpecah belah orang-orang yang didatangkan Al Kitab (kepada mereka) melainkan  sesudah  datang  kepada  mereka  bukti  yang  nyata.”    (Surah Al  Bayyinah:  Ayat  4). 

Begitulah hingga sampai ke hari kiamat, InsyaAllah.

 

Ini  sangat berbeza dengan istilah yang digunakan oleh Perdana Menteri.   Istilah fanatik itu sendiri sudah tidak kena untuk dihubungkan dengan PAS.  Fanatik bermakna menyokong secara membabi buta.   Ini tidak berlaku dalam PAS.   Yang ada ialah i’tisam.   Mereka menyokong kuat PAS kerana PAS berpegang teguh dengan kebenaran.

 

          Ertinya di sini, kerja amal kita hendaklah didasarkan kepada perintah dan larangan Al-Quran serta Sunnah Nabi Muhammad S.A.W.   Jika UMNO mahu rakyat i’tisam kepada mereka, mereka perlu buktikan terlebih dahulu segala yang dibuat, sama ada undang-undang  atau  peraturan  atau  pelaksanaan  kepada sebarang  dasar dan program pembangunan tidak bercanggah dengan tali-tali Allah.   Contohnya, jika menuduh biar ada bukti.   Setiap kesalahan perlu disabitkan di Mahkamah.   Pendakwaan pula tidak boleh dilakukan secara terpilih.   Amalan rasuah perlu disiasat dan diselesaikan tanpa campur tangan.   Projek-projek membazir perlu dihentikan.   Amalan menyalahgunakan wang rakyat untuk “bail out” anak pinak dan kroni perlu dielakkan.   Undang-Undang Hudud tidak boleh dicemuh malah perlu diusaha untuk ditegakkan.   Ringkasnya UMNO perlu membuktikan bahawa dia tidak berdolak dalik.  Lidahnya tidak bercabang.    Sehingga ini, terlalu banyak bukti yang menunjukkan UMNO tidak konsistan dengan pegangan agama.  Satu contoh mudah ialah judi.   Bagaimana rakyat boleh menyerahkan kepercayaan kepada UMNO jika dalam hal judi, ada Pengerusi Genting Berhad di Malaysia menyebutkan:   “Beliau tidak berjumpa ayat Al-Quran yang mengharamkan judi.”

 

Apa sikap UMNO?  Diam sahaja;  malah makin asyik melulus dan meluaskan penglibatan dalam aktiviti judi.   Sedangkan judi ini diharamkan oleh semua agama di dunia.   Al-Quran sendiri meletakkan judi setaraf dengan arak.  Kedua-duanya najis (rijsun).  Rakyat boleh semak saham penglibatan kerajaan dalam syarikat yang dilaburkan seperti Genting Berhad, Resorts World Bhd., Metroplex Bhd.,  Berjaya Group Bhd. dan Sports Toto Malaysia Bhd.   Ini ada tercatat di dalam Akaun Awam Persekutuan 1999.   Itu belum  lagi  dihitung  pelaburan  tidak  langsung oleh kerajaan dalam saham-saham  yang terlibat dengan judi.    Hasil yang diperolehi oleh

kerajaan dalam industri judi terlalu besar.   Ini dengan jelas membuktikan bahawa kerajaan terlibat secara langsung dengan industri dosa ini.   Perkara ini pernah dibahas dan diakui dalam Sidang Parlimen dua tiga bulan yang lalu.

         

Jadi saya tidak fahamlah bagaimana pemimpin kita boleh berkata:  “Tunjukkanlah apa yang tidak baik yang kita buat.”   (Perdana Menteri:   Utusan Malaysia 22 Julai 2002).   Judi itu tentu tidak baik.   Ia berdosa.   Jika Perdana Menteri meminta PAS tunjukkan apa yang tidak baik, maka ini salah satu daripadanya.   Sangat jelas!

 

          Dalam keadaan beginilah, rakyat khususnya orang Melayu yang beragama Islam semakin hilang keyakinan kepada UMNO.   Kalau perlu saya nasihat UMNO, maka sukalah saya menyeru malah merayu mereka untuk kembali kepada Al-Quran dan Hadith sebelum terlambat .   Perihal tidak fanatiknya kita kepada pemimpin kita amat jelas.     UMNO  terima sahaja Al-Quran dan Hadith dengan meminda

Perlembagaan atau lain-lain penyesuaian perundangan. Buktikan kesungguhan untuk memerintah menurut ajaran Islam dengan sepenuhnya. Tidak ada sebab untuk PAS terus beri’tisam dengan pemimpinnya.   Bagi PAS, siapa yang menduduki “pilot seat” tidak penting.   Islam wajib ditempatkan di atas.   Itu sahaja.   Tidak sekali di atas dan sekali di bawah.   Tidak pernah sekalipun tetap pendiriannya.

          Dalam analisa prestasi Barisan Nasional di Anak Bukit , UMNO masih angkuh tidak mahu menerima kekalahan.   Perdana Menteri

menyalahkan sikap penyokong PAS yang fanatik.  (Lihat Utusan Malaysia 20 Julai 2002).    Kalau nak persoalkan perkara fanatik ini,  apakah kemenangan UMNO di Parlimen Pendang turut melambangkan  sikap  fanatik  penyokong  UMNO  kepada  UMNO.

UMNO telah terbukti serba tidak kena.   Dia mengkhianati hampir segala amanah Allah S.W.T. serta seluruh aspirasi orang Melayu.   Saya pun boleh berkata bahawa kemenangan UMNO itu kerana penyokongnya yang fanatik, walaupun saya tidak mahu berkata begitu.   Apa yang ingin saya katakan ialah pengundi Anak Bukit beri’tisam kepada pemimpin PAS kerana pemimpin PAS telah mampu membuktikan komitmen yang sebenar kepada perjuangan Islam.   Jika UMNO cemburukan populariti kami, tirulah macam kami.  Buktikan kecintaan UMNO terhadap Islam dengan segala iltizam dan keikhlasan.   Cuba cari punca kenapa orang lari dan tidak mahu mendengar cakap kita.   Bermuhasabahlah.   Jangan terlalu emosi dan menggelabah dengan cuba menyalahkan parti  lawan ketika kalah semata-mata  kerana  kami  lebih  mempunyai  hujah.    Dulu, kata Islam tidak sesuai kerana halangan masyarakat majmuk.  Apabila tidak tahan berdepan dengan hujah PAS, UMNO isytihar Negara Islam!   Dulu,  nak haramkan penggunaan perkataan Islam.   Ini yang dikatakan macam cacing kepanasan.  Lain  kali,  berhiaslah dengan lebih rapi menggunakan  alat solek yang dibekalkan oleh Al-Quran  dan  Hadith  untuk  menarik lebih perhatian.    Baru dipanggil perlumbaan yang sihat.   Ini baru “gentleman”.    PAS tiada halangan.  Percayalah.  Kembalilah kepada Islam.   InsyaAllah; selamat.   Biduk lalu kiambang bertaut.

 

 

 

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

Kota Bharu. 

Bertarikh:12 Jamadil Awal 1423 / 23 Julai  2002.

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates