Home ]

* 2002/11/11::: UMNO Turki Hancur

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

‘UMNO TURKI HANCUR’

 

Kehendak dan perancangan manusia tidak akan dapat mengatasi Qada’ dan Qadar Allah.   Mereka boleh berbuat makar setakat yang diizinkan tetapi apabila Allah S.W.T. mahu mengatasi, segala-galanya akan berjalan dan berlaku mengikut ketentuanNYA.  (Al Jabbar rul Mutakabbir).

 

            Demikian juga kejatuhan parti sekular yang diasaskan  sendiri oleh Mustafa Kamal Ataturk 79 tahun yang lalu.   Pemimpin sekularnya yang telah bertakhta selama 40 tahun bernama Bulent Ecevit mengetuai Parti Kiri Demokratik (DSP) telah hancur lebur dalam Pilihan Raya Turki yang telah diadakan pada 3 November 2002.   Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) telah menguasai 363 dari jumlah keseluruhan Kerusi Parlimen yang sebanyak 550.  Ini adalah kemenangan yang terlalu besar bagi Islam.    Bayangkan, sebuah pangkalan terbesar pemerintah sekular yang pertama sekali diasaskan di dunia boleh ranap di tangan sebuah parti Islam.   Ini kuasa Allah.   Ini kehendak Islam yang bersifat fitrah.   Ini gelombang yang sedang bertiup merentasi hampir seluruh planet bumi.   Lihat sahaja di Kashmir dan Pakistan.   Pervez Musharraf yang ‘mencuri kuasa’   ditahun 1999 melalui sebuah “coup de tat’ tidak berdarah terpaksa turut akur dengan kehendak peti undi.   Kini beliau sedang cuba buat-buat sibuk untuk berunding dengan Parti Pakistan Muslim  -  League – Quaid (PML – Q) dan saki baki pengaruh penyokong Benazir  Bhutto iaitu People’s Party (PPP).    Sebuah kerajaan campuran sedang dirangka melalui broker kuasa dari Musharraf dimana pemimpin PPP, Asif  Ali Savdari yang sedang menjalani tahanan politik dijanjikan pembebasan jika sanggup berkongsi kuasa.  Demikian secebis berita luar negara terkini. 

           

Di Malaysia, kita turut mendengar kegoncangan kuasa parti sekular bernama UMNO.   Dia berkongsi kuasa dengan sekutu-sekutunya sejak kira-kira 40 tahun yang lalu.   Kini, setelah ditolak kencang oleh orang Islam dan Melayu  dalam tahun 1999, UMNO cuba mengumpan sokongan kepada kaum Cina dan India dengan pelbagai gula-gula.  Terkadang-kadang, mungkin kerana terlalu lama, banyak kali UMNO tersilap.   Amalan berbohong, fitnah dan melaga-lagakan orang, lama-kelamaan menjerat dirinya sendiri.    Lihatlah penggunaan Bahasa Inggeris.   Lihatlah isu pengganas yang cuba dilumur selutnya kepada PAS.   Sekali menentang rasuah, sekali pula seakan-akan melindunginya.   UMNO yang menghina Islam tetapi dituduh PAS yang mendokong Islam sebagai punca kemunduran umat.   Pengharaman perkataan Islam dalam mana-mana pertubuhan pernah dicadangkan oleh UMNO.   Nasib baik ia diselamatkan oleh Mufti-Mufti dan Raja-Raja Melayu.   Mengisytiharkan Malaysia  Negara Islam pada 29 September 2001 tetapi tidak boleh dipinda apa-apa dan tidak perlu dibahaskan.  Pendek kata, panjang sungguh senarai bukti berbentuk prima face sikap UMNO yang sekular.

 

            Saya cuma termenung sendiri, jika ‘UMNO Turki’ yang berusia 79 tahun di bawah Presidennya bernama Bulent Ecevit boleh jatuh, dan koyak rabak, apakah mustahil UMNO Malaysia?    Bulent menjadi Presiden selama 20 tahun.   Perdana Menteri Malaysia pun sudah 21 tahun berada di takhta.   Beliaupun sudah isytihar akan berundur pada bulan Oktober 2003.   Jika tibalah tarikh tersebut, UMNO hanyut dengan pengunduran Presidennya, apakah akan berlaku rundingan dan mungkin pengampunan dengan seorang tahanan politik di Penjara Sungai Buluh?   Jika Musharraf sedang nazak bergelut dalam kepayahan rundingan perkongsian kuasa dengan Asif Ali Zavdari demi mengekalkan kuasa yang telah dinafikan oleh rakyatnya, apakah tidak mustahil ini akan berlaku di Malaysia? 

           

Pada 3 November 2002 pun BA telah ditawarkan untuk memasuki pintu BN yang sedang dibuka dengan seluas-luasnya.   Pada tarikh 3 November 2002 jugalah parti sekular di Turki telah ditumbangkan.   Nampak persamaan!

 

            Apa macam?   Satu soalan besar dan memerlukan renungan yang  mendalam oleh seluruh rakyat Malaysia.   Jika UMNO Turki boleh lingkup, UMNO Malaysia bagaimana?

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 5 Ramadhan 1423 / 10 November 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates