Home ]

* 2003/02/05::: UMNO Undur BA masuk

Back ]

 

MINDA TOK GURU

 

BN Undur BA Masuk

 

Seronok juga mengikuti telatah pemimpin-pemimpin UMNO di Perak, di Pahang dan Perlis  yang menyatakan kesediaan untuk berundur secara sukarela dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.   Ia dipelopori oleh ketiga-tiga Menteri Besar .   PAS memandang berita pengakuan yang bertalu-talu itu dengan ya pun tidak, tidak pun tidak.  Itu masalah anda.   Jika semua Menteri Besar dan Ketua Menteri UMNO mahu meletakkan jawatan, itupun juga masalah anda.   Yang kurang seronoknya ialah anda yang makan nangka, anda yang kena getah tetapi anda yang mahu melumurkan getah nangka itu ke muka PAS.  Ini yang orang panggil   “tak ada pasal dicari pasal” atau “tak pasal-pasal”.    Adakah munasabah, dengan tidak semena-mena seorang Menteri Besar Perlis menggesa pemimpin PAS pula meletak jawatan.   Orang yang bermasalah yang patut berbuat demikian.

 

            Dalam ucapan Presiden UMNO pada 22 Jun 2002, beliau telah menyenaraikan kegagalan UMNO untuk menyelesaikan masalah orang Melayu.   Jika kita ringkaskan kegagalan Melayu, ia adalah seperti berikut:-

 

·        Penagih dadah terbesar negara adalah Melayu;

 

·        Golongan termiskin rata-ratanya orang Melayu.   Peratus yang rasuah dan pecah amanah tinggi di kalangan orang Melayu;

 

·        Skandal penyalahgunaan kuasa banyak melibatkan pemimpin Melayu;

 

·        Mereka yang ketinggalan dalam pelajaran adalah anak Melayu;

 

·        Penguasaan di bidang teknologi dan perniagaan menampakkan kekurangan orang Melayu;

 

·        Peratus kes-kes pecah rumah, lepak, vandalisme, sumbang mahram, rogol, judi, penghidu gam, pengambil pil-pil khayal, GRO,  penghibur di nite club termasuk pelbagai jenayah kolar putih rata-ratanya melibatkan anak Melayu.

 

Mustahil semua ini tidak ada kaitan dengan UMNO/BN sebagai parti pemerintah.   Tidak pernah lagi masyarakat Melayu dilanda krisis moral dan keruntuhan akhlak yang segawat ini.

 

            Jika dah gagal apa lagi?  Pemimpin PAS  tidak pernah sebut mahu berundur dan sememangnya tidak perlu berundur.     Dasarnya tepat.   Selagi PAS berpegang kepada Islam, PAS  akan sentiasa relevan.   PAS anggap duduk atas tikar Sembahyang sama juga dengan menduduki kerusi-kerusi EXCO Kerajaan Negeri dalam rangka beribadat kepada Allah.   Kami berpegang kepada Islam dan amat menghormati prinsip dan amalan demokrasi.   PAS tidak menangkap orang.   PAS tidak pernah mengenakan ISA kepada sesiapa.  PAS tidak terlibat dengan menyalahgunakan wang rakyat.   PAS tidak pernah mengherdik dan menghina bangsa dan orang Melayu.   PAS  tidak mahu mengharamkan penggunaan perkataan Islam.   PAS mempertahankan Sekolah Agama Rakyat  (SAR) kerana menghormati hak rakyat.   PAS tidak menghina Bahasa Melayu dan PAS juga tidak bermuka-muka dengan orang yang bukan Islam.   Kita konsisten.   Kita beristiqamah dengan apa yang disebut oleh Al Quran dan Hadith dalam semua keadaan.

 

Sesungguhnya pengakuan untuk berundur oleh pemimpin-pemimpin UMNO menandakan status UMNO yang nazak.   Jika sudah Presiden UMNO sendiri yang meminta pengakuan berundur ini dihentikan, ini menandakan yang ia sedang berada dalam kegawatan yang amat sangat.

si dimana pemimpin-pemimpinnya sedang menurunkan pelampung dengan cemasnya bagi menyelamatkan diri.  Ada yang bergayut di tiang-tiang panji yang patah.   Ada juga yang tercungap-cungap cuba menyeberang dan meninjau-ninjau kapal lain yang berdekatan untuk mencari tempat berlindung.   Mungkin UMNO akan ditimpa nasib yang sama seperti ‘Columbia Disaster’ yang terhempas di Texas.    Tidak mustahil jika ada 2, 3 kerat dari mereka yang mungkin sedang membelek-belek Passport Antarabangsa untuk satu rancangan yang saya sendiri pun tidak mengetahui.   Ini telah berlaku kepada mendiang Presiden Marcos, Pinochet, Milosevic dan Robert Mugabe.

 

            BA kini sedang menyediakan alternatif kepimpinan yang terbaik.   Kami ada alim ulama’.   Kami ada professional.   Kami ada bekas-bekas pemimpin UMNO yang tahu rahsia dan segala selok belok, gerak kerja dan konspirasi UMNO.   Kami ada orang muda yang bertenaga.   Kami ada grass root dari masyarakat marhaen di pinggir bandar dan di desa yang meluas.    Kami ada pemimpin mahasiswa-mahasiswi di semua IPTA dan IPTS yang bakal menjadi pelapis.   Kami ada penjawat awam yang besar sebagai  “silent majority”.    Kami ada sebuah keratan rentas sokongan non Islam pelbagai kaum yang sudah mesra  dan  tidak  takut  dengan  Islam.   Ia  melangkaui  batas-batas  kaum  yang chauvanistik.   Kami ada Islam yang global dan universal.   Kami ada Perdana Menteri Menanti (waiting Prime Minister) yang sedang dizalimi di Penjara Sungai Buloh.   Kami ada bertimbun-timbun isu untuk dikupas dan dinilai oleh rakyat tentang perihal cerita UMNO/BN yang semakin tidak relevan.

 

            Rakyat sedar semua mengenai perkara ini.   UMNO pun arif tentang hidup mereka yang sedang dikelilingi oleh ancaman api.   Wap kepanasan dalam rumah UMNO/BN sedang membakar dari dalam, luar, atas, bawah, depan, belakang, kiri dan kanan, tengah dan tepi.

 

            Kerana dengki dan tidak dapat menahan sambutan rakyat, maka kami disekat.  Suara kami baik secara tazkirah, ceramah, kuliah dan rally politik terbuka sering disambut dengan semburan air asid, cotar-cotar dan kadang-kala gas-gas pemedih mata dalam kepungan pasukan FRU yang dikerah dengan tidak pasal-pasal.

 

            Kami sampai sekarang tidak faham.   Islam mengizinkan kita untuk berbeza pendapat.   Sistem demokrasi pun membenarkan kita untuk menyatakan pandangan secara aman.   Perlembagaan kita pun menjamin hak-hak ini.  SUHAKAM juga turut meminta dilonggarkan perkara ini baik dimasa Dato’ Musa Hitam menjadi Pengerusi atau Tan Sri Abu Talib iaitu Pengerusi yang ada sekarang.   Saya tahu, UMNO/BN sebenarnya tidak mampu lagi berdepan dengan hujah BA yang cukup konkrit.   Sepatutnya, jika dalam sebuah perniagaan, kita tidak boleh sekat untuk orang berkerumun memasuki mana-mana kedai.   Jangan disekat.   Dia punya sukalah.   Apa yang boleh dibuat ialah UMNO teruslah berkempen untuk meramaikan orang memasuki kedai makan atau supermarketnya.   Jika saya boleh memberi sedikit panduan, UMNO barangkali  perlulah  semak  menu  dan  jenis  masakan  yang  dihidangkan atau kebersihan semua barang yang dikotori dengan rasuah  yang ada dalam pasarayanya.  Jangan jangan basi atau jangan jangan sudah habis tempoh “expiry date”nya.    Jual produk yang sudah tidak sesuai dengan peredaran masa dan memenuhi citarasa pelanggan semasa.   Mestilah ada sebab orang tidak masuk ke kedai kita.    Mungkin  UMNO  terlupa yang kita telah berada di tahun 2003.   Ini bukan tahun 1960an dimana land rover penerangan membuat penghebahan dengan masuk kampung keluar kampung semata-mata untuk mengingatkan rakyat yang pemimpin UMNO akan datang di sana sini.   Kerah penjawat awam untuk hadir.   Ini semua berlaku semasa lawatan Timbalan Presiden UMNO yakni Pak Lah pada 22 Disember 2002 dan Presiden UMNO di Padang SIC  Kota Bharu pada 15 Januari  2003.    Ini kisah benar.

 

            Kita tidak meminta yang bukan-bukan.   Tidak perlu Jeep Penerangan dan alat PA System kerajaan.   Tidak perlu juga siaran langsung oleh Radio dan Televisyen Malaysia.   Tidak  juga perlu liputan akhbar yang besar-besaran sebelum, semasa dan selepas majlis-majlis PAS dan BA.   Jika kami mintapun sememangnya tidak akan dilayan.  Kami cuma meminta cukuplah jangan diganggu ceramah-ceramah dan tazkirah BA yang dibuat secara aman.  Jika tidak beri permit di luar  premis parti dan lain-lain tempat awam, maka berilah permit dalam kawasan persendirian.   Kalau takutkan gangguan lalu lintas, berilah kami berkumpul untuk mengulas isu semasa  di ladang-ladang sawit atau kebun-kebun getah.   Kami ini pertubuhan politik yang berdaftar.   Kami bukan pertubuhan “underground”.   Kami bergerak ditengah-tengah ruang demokrasi yang terang benderang.   Saya sebenarnya tidak nampak alasan lain selain daripada melihat UMNO yang kehilangan daya tahan.   Kudis sekularnya sudah menyerang kulit kepala.   Nanah bisulnya perlu dipicit bersama-sama dengan tunas bisulnya.   Eloklah isyarat yang diberikan oleh pemimpin UMNO terkini.   Mereka mahu meninggalkan kerusi masing-masing.   Perdana Menteri pun dengar khabarnya sudah berjanji untuk turun dari takhtanya selepas bulan Oktober 2003.     Sama-samalah kita ikuti episod-episod UMNO di muka surat selanjutnya.    Mudah-mudahan tidak ada lagi drama.   Rakyat mahu tengok janji ditepati.   Yang  sudah  tu  sudahlah!   Kalau sudah tak larat sangat, undur sajalah.  Bagi PAS pula yang masuk.  UMNO nak undur, undurlah.    Izinkan saya akhiri dengan sepotong maksud Al Quran  dari Surah  Muhammad Ayat 38:

 

“Dan Allahlah Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang memerlukan(Nya); dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).”

 

 

 

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:2 Zulhijjah 1423 / 4 Februari 2003

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates