Home ]

* 2002/09/29::: Saya Tidak Pandai Bahasa Arab

Back ] Next ]

 

Minda Tok Guru

 

“Saya tidak pandai Bahasa Arab”:Perdana Menteri.

 

 

   “It was a slip of tongue” (ia tersilap cakap) ; demikian satu petikan dari New Straits Times bertarikh 26 September 2002 . Ia berupa kenyataan saya untuk membetulkan kenyataan saya yang terdahulu di dalam sebuah ceramah di Beris Lalang , Bachok  baru-baru ini  yang menyebutkan bahawa Perdana Menteri tidak tahu baca Quran . Apa yang saya ingin sampaikan sebenarnya ialah Perdana Menteri tidak pandai berbahasa Arab . Pengakuan ini terkandung dalam penggulungan ucapan beliau di Perhimpunan Agong UMNO yang lalu . Kalau perlu dikutip , ia berbunyi : “ Tuhan yang PAS sembah Bismillahi samseng , hi penjahat , saya tak tahulah Bahasa Arab. Samseng wa penjahat . Inilah tuhan yang PAS sembah sebab itu dia sesat “ (Berita Minggu 23 Jun 2002- Mukasurat 14).

 

     Dengan ini saya telah membetulkan kenyataan saya . Tersilap cakap , maka tersilaplah ; kita perbetulkan . Ada juga wartawan yang meminta saya memohon maaf . Saya berkata bahawa ia sudah cukup . Takkanlah berhutang RM10 disuruh bayar RM11 .  Ada orang mahu menganalisa bahawa tidak tahu berbahasa Arab juga bermakna tidak faham dan tidak boleh bertutur Bahasa Arab . Bagaimana pula beliau(Perdana Menteri) boleh benar-benar menyelami , menafsir dan menguasai maksud sebenar ajaran Al-Quran sedangkan beliau tidak mengetahui Bahasa Arab  . Mereka berkata lagi bahawa sebab itulah timbul banyak fitnah terhadap Islam apabila beliau yang tidak menguasai Bahasa Arab cuba pandai-pandai membuat tafsiran sendiri mengenai hukum-hukum yang terdapat di dalam Al-Quran.Saya tidaklah pula mahu campur tangan urusan yang terlalu mendalam melibatkan analisis yang sejauh itu .

 

    Cuma saya tetap merasa kejanggalan yang amat melampau apabila mendengar Perdana Menteri sampai hati mengubah lafaz mulia “Bismillahirrahmanirrahim”  dengan “Bismillah hisamseng hipenjahat” atau  “wa penjahat”  dalam ucapan beliau (lihat Berita Minggu 23 Jun 2002). Kalaupun mahu menyindir PAS sekalipun, janganlah sampai terlajak sehingga sanggup mengubah kalimat yang sebegitu mulia . Ini ayat Al-Quran . Mungkin urusan ini elok kita pulangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan samada untuk memanggil Perdana Menteri dan menasihati atau memilih untuk terus berdiam diri kerana dianggap itulah cara berhikmah . Orang UMNO tak adalah pula nampaknya membuat repot polis tentang berlakunya penghinaan . Pelik juga. Biasanya rajin membuat kerja repot –merepot ni . Saya pun tidak tahulah!

 

    Tempat yang saya tersilap cakap, saya mengaku tetapi tempat yang saya berdiri dan enggan memohon maaf, saya tetap berbuat demikian . Dalam isu “samseng” saya tetap dengan pendirian kebenaran . Saya akan terus menunggu Tan Sri Abdul Hamid Othman dan turut beliau walau sampai ke lubang cacing . Saya enggan bertaubat seperti yang didesak oleh beliau dan tetap menanti untuk mendengar bagaimana Abdul Hamid menafsirkan nama Allah “Al-Mutakabbir”  dalam Bahasa Melayu yang tidak menyerupai sifat makhluk . Bertaubat bagaimana kalau ianya memang tidak salah!

 

     Selaras dengan ini , saya teringatkan nasib Ezam Mohd. Nor dan Gobalakrishnan yang telah didapati mahkamah sebagai ditahan secara salah . Penderitaan yang ditanggung oleh kedua-dua mereka semasa dikurung di bilik gelap tentunya berat . Mereka disoal siasat di bawah tahanan reman yang hanya Allah s.w.t sahajalah Maha Mengetahui akan kesulitannya . Isteri , anak-anak , ibubapa dan saudara-mara yang turut mengalami penderitaan zahir dan batin adalah satu lagi kezaliman . Tidak syak lagi mereka telah dikhianati . Telah berlaku sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku . Jika saya sanggup membetulkan kenyataan ini kerana ini anjuran Islam , kenapa kita masih tidak mendengar pun pengakuan maaf terbuka dari Menteri Dalam Negeri mengenai perkara ini? Di mana maruah Menteri berkenaan? Mangsa, keluarga mangsa dan seluruh rakyat Malaysia masih menunggu sikap berlapang dada yang sedia bermohon maaf di atas kesilapan yang sebesar ini . Kalau di negara luar , ianya mungkin akan melibatkan perletakan jawatan Menteri di portfolio berkenaan . Ini , maaf pun tidak , mengakui kesilapan pun tidak sedangkan kesilapan telah disahkan sendiri oleh mahkamah . Masing-masing buat tidak faham . Jika dibuat pemerhatian secara menyeluruh kepada isu-isu semasa khususnya selepas penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 1998 , ramai orang mengeluh kepada saya dengan kata-kata ; faham-faham sajalah . Yang benar disalah-salahkan . Yang salah didiamkan atau dibenar-benarkan . Semuanya dalam keadaan serba salah .

Tak tahulah!

 

 

 

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Menteri Besar Kelantan

26 September 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates