Home ]

* 2002/10/17::: Sedikit Nota Berhubung Kenyataan Dato' Noh Bin Omar Pada 8 Oktober 2002

Back ] Next ]

 

 

                            

SEDIKIT NOTA

BERHUBUNG KENYATAAN DATO’ NOH BIN OMAR PADA 8 OKTOBER 2002

---------------------------------------------------------------------------------

 

1)      Kenyataan berputar belit Dato’ Noh Omar, Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri di Parlimen pada Sidang Dewan Rakyat bertarikh 8 Oktober 2002 (Lihat Berita Harian 9 Oktober 2002) sudah sampai keparas kecemasan yang membimbangkan.   Jika musim banjir, ia mungkin boleh melemas dan menghanyutkan demokrasi.

 

Dalam percubaan menangkis hujah YB Mohd. Apandi Mohamed (PAS Jeli) yang kukuh, Noh Omar telah menggelabah dan kelihatan cuba menyondol apa sahaja; dinding, pusu, semak atau umbi getah.   Apa sahaja yang tercapai di tangan akan dibaling.  Kena atau tidak kena sudah barangkali tidak memberi makna apa-apa lagi.   Hatta jika sampai ke peringkat berbohongpun, itu akan tetap dilakukan.   Sekurang-kurangnya terdapat dua fakta yang telah dipalsukan oleh beliau iaitu:

 

i)                   “Keberkesanan laporan polis ini dapat dilihat apabila Menteri Besar Kelantan membuat kesilapan kedua dengan mengatakan Perdana Menteri tak pandai baca al-Quran.

 

“Apabila dipanggil oleh polis dan dilakukan siasatan beliau mengaku apa yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri tidak tahu berbahasa Arab.”

                                   (Berita Harian 9 Oktober 2002, m.s. 15)

 

ii)       PAS memutar belit “kononnya Perdana Menteri anti Hudud dan pada masa yang sama tiada sebarang tindakan memperbetulkan kelemahan Enakmen tersebut dilakukan.”

                                        (Berita Harian 9 Oktober 2002, m.s. 15)

 

 

2)      Saya dengan ini menyeru seluruh rakyat untuk bertenang sementara waktu sebelum memberi kepercayaan kepada “fakta” yang cuba dipermainkan oleh YB Noh Omar ini.  Fakta sebenar ada pada kami.     Saya mahu lihat tarian beliau yang selanjutnya.   Jika seorang Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri boleh memutar belitkan fakta disebuah ‘Dewan sesuci Parlimen’   (dalam pengertian demokrasi), saya tidak dapat bayangkan tahap putar belit UMNO dengan rakyat di kampung-kampung.

 

3)    Saya sengaja tidak mahu memberitahu fakta sebenar buat sementara waktu.  Saya mahu memberikan kesempatan YB Noh membuat semakan kerja rumah sekali lagi secara yang lebih teliti sebelum menyondol bagi  kali kedua.    Jangan sampai tersangkut di pukat dan patah tanduk, taring, gigi dan gusi!   Sakitnya menanggung fitnah; dan sayalah mangsa yang diberi tempat “paling istimewa” setakat ini.   Maruah saya dihiris sesuka hati dalam sebuah pertempuran propaganda dimana segala alat senjata hampir semua diborong sepihak.  

 

4.      Semoga saya boleh kongsikan sedikit kesakitan kesan hirisan untuk turut ditanggung oleh Noh Omar.   Ini bukan fitnah tetapi peluang bagi beliau membetulkan putar belitnya sendiri. Tidaklah salah jika saya mengatakan saya sedang mengikuti rentak beliau dari sekarang.

 

 

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:   3 Syaaban 1423 / 10 Oktober 2002  

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates