Home ]

* 2002/10/17::: PERSEFAHAMAN DENGAN SAHABAT-SAHABAT DI LUAR ISLAM

Back ] Next ]

 

 

PERSEFAHAMAN DENGAN SAHABAT-SAHABAT DI LUAR ISLAM

 

Pilihanraya terkini di Pakistan menyaksikan satu trend penerimaan rakyat pelbagai agama terhadap Islam.   Jika sebelum langkah tahaluf, Parti Islam di Pakistan  cuma memenangi antara 6 hingga 7 kerusi sahaja  tetapi keputusan pilihanraya di Pakistan yang lepas mencatat kemenangan sebanyak 66 buah kerusi.  PAS  telah mengamalkan prinsip tahaluf sejak awal penubuhannya ditahun 1951.   Tidak mustahil langkah Parti-Parti Islam Pakistan yang kelihatan meniru strategi tahaluf PAS benar-benar membuahkan hasil.

 

          Pesta 3 hari Sambutan Kebudayaan dan Kesenian Cina Kelantan yang disertai oleh lebih 46 Persatuan-Persatuan Cina pelbagai kepentingan dari seluruh Malaysia pada hari Jumaat 11 hingga 13 Oktober 2002  yang telah diadakan di Dewan Perniagaan Cina, Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu sekali lagi membuktikan hakikat penerimaan ini.   Ditahun 2000, cuma terdapat 13 NGO Cina manakala ia meningkat sedikit ditahun 2001 menjadi 36 buah penyertaan.   Ertinya pakatan tahaluf atau langkah mencari persefahaman berteraskan “prinsip mendaulatkan Islam, kebenaran dan keadilan secara aman melalui saluran demokrasi”  seperti amalan PAS telah kelihatan menjadi.    Ia benar-benar menyakinkan semua pihak tentang usaha penyatuan dan pentauhidan harus dengan keikhlasan bermula dari Islam.   Ia agama fitrah.   Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa.   Islam datang untuk membebaskan manusia dari segala faham kebangsaan yang sempit.   Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa dan suku kaum.

       

Kalaupun  manusia boleh berbeza agama, bangsa dan keturunan, tetapi Islam wajib ditampilkan untuk mempelopori penyatuan.   Dalam Islam ada toleransi dan tolak ansur.   Dalam Islam ada jaminan keselamatan terhadap nyawa, maruah, harta, nasab dan keturunan.   PAS sedang membawa falsafah perjuangan universal ini dengan penuh keyakinan.

 

Bermula dari Gerak, PAS terus melangkah dengan gagah dan bermaruah mempelopori Gagasan Barisan Alternatif (BA).   Seluruh kerabat BA termasuk DAP menerima Islam dalam persefahaman tahaluf.   Diatas nama menerima Islamlah, kita sedia untuk bersama.   Walaupun, kita terpaksa melepaskan DAP dengan penuh hiba, tetapi kerana apa yang dituntut oleh DAP menyentuh prinsip dasar Islam itu sendiri, kami terpaksa membuat keputusan yang pahit.   Walaupun sukar, pengwujudan  “Negara Islam” adalah premis utama perjuangan kita.   PAS tidak akan berkompromi dengan nafsu sempit perkiraan dan kepentingan politik jangka pendek demi kuasa semata-mata.   Menggugurkan Negara Islam samalah seperti menggugurkan Islam itu sendiri.  Kami jelas.

 

 

UMNO yang telah begitu lama membuka persefahaman dengan MCA dan MIC nampaknya semakin kucar-kacir.   Ini tidak lain berpunca dari dasar asas persefahaman yang dijalin sesama mereka diteraskan kepada semangat kebangsaan.   Bagaimana mungkin satu bangsa boleh jujur dan melaksanakan keadilan semata-mata berpandukan faham bangsa tanpa panduan agama.   Kalau UMNO cuba bersikap adil pun, ia cuma curi-curi ambil dari nilai keadilan yang ada di dalam Islam itu sendiri.   Itulah yang menjadikan  nilai  amalan  adil UMNO  tidak   pernah konsisten; tidak stabil sestabil mata dacing yang digambarkannya di poster-poster pilihanraya.   Lalu hiduplah mereka dalam curiga prejudis dan prasangka.

 

          Jika kita kembali kepada sejarah, kita dapat melihat bagaimana Nabi S.A.W. telah didatangi Jibril A.S. di Masjid Nabawi yang menjelma berupa manusia yang berpakaian bersih serba putih.  Didalam dialog yang bertemu lutut dengan Rasulullah S.A.W., Islam telah dikuliahkan dalam hubungan dengan Iman, Ehsan dan Hari Kiamat.   Islam itu sendiri adalah penyerahan diri manusia kepada segala kekuasaan Allah yang sepenuhnya.   Imanlah puncak keyakinan yang menentukan tindak tanduk.   Ehsan pula adalah kepercayaan yang sesungguhnya bahawa segala sesuatu itu perlu diyakini tentang sentiasa berada didalam pengetahuan Allah.   Manusia perlu hidup dan beribadah seolah-olah dia sedang melihat Allah  dan  jika  dia  tidak  melihat  Allah,  maka  yakinlah  yang  Allah sedang melihatnya.  Segala amal baik dan jahat akan diadili oleh Allah S.W.T.  mengikut kebenaran Al Quran dan akan diberikan pembalasan di Hari Akhirat kelak.   Inilah paksi tahaluf yang dibawa oleh PAS dalam mana-mana ikatan persefahaman.   Ia telah menerima peranan pengabdian kepada Allah S.W.T. dari sejak mula lagi dengan penuh keyakinan tentang kebenaran Islam.  Melalui Islam yang serba sempurna itulah, segala ajaran yang bersifat universal telah diperkenalkan melalui dakwah dan kuliah bagi menyelesaikan sebarang masalah dan menyelamatkan umat manusia baik di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.   PAS tidak akan meneruskan tahaluf jika hanya bersyaratkan keuntungan politik jangka pendek semata-mata diatas korban kepentingan Islam.  Diatas kesetiaan dan istiqamah inilah PAS sedang membina pendirian dan mengembangkan sayapnya.   UMNO perlu faham.  Sebarang sandiwara yang hanya mahu “kelihatan seakan-akan Islam” tetapi  “tidak sebenar-benar Islam”  adalah satu pengeliruan yang merosakkan dan akan mengorbankan UMNO itu sendiri.  

 

          UMNO hanya berminat mengambil Islam.   Dia meninggalkan “iman wal yaumil akhir.”    UMNO tidak pernah bersedia untuk memberi gambaran Islam yang sebenar dan lengkap seperti yang ada di dalam Al Quran secara syumul dan “cohesive” kepada rakan-rakan  kongsinya  MCA  dan  MIC.    Jika  Islam  yang  sebenar  itu sempurna dimaklumkan, UMNO khuatir segala rasuah, penyalahgunaan kuasa penyelewengan, fitnah, pemalsuan fakta, kronisme penindasan dan skandal pembaziran wang rakyatnya akan terbongkar.   Selagi MCA dan MIC bersekongkol dengan UMNO, mereka tidak akan faham apa itu Islam yang original seperti yang ada di dalam Al Quran.   Sebaliknya rakan-rakan di luar Islam dalam BA sedang menikmati kefahaman Islam yang sihat.  Berkat tahaluf dan muzakarah berterusan, Islam sedang muncul sebagai punca kuasa alternatif.

 

          Hanya tinggal sedikit sahaja masa yang ada lagi untuk menentukan terserlahnya sebuah kemenangan.

 

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh:   9 Syaaban 1423 / 16 Oktober 2002

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates