Home ]

* 2002/08/25::: PUM dan PAS, UMNO dan SIAPA?

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

PUM DAN PAS.   UMNO DAN SIAPA?

 

Jika UMNO masih tidak puas hati dengan keislaman Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan PAS  sebagai badan bebas dan parti politik Islam yang berdaftar, cuba tunjukkan kepada kita mana satukah lagi pertubuhan yang benar-benar Islam.   UMNO tentu sah tidak.   Perlembagaan Partinya tidak.   Perlembagaan Negara yang berkuatkuasa sekarang pun tidak.   Setiap kali Undang-undang Sivil mahu digubal atau dipinda, tidak pernahpun kita dengar Al-Quran dan Hadith dibuka dan dirujuk terlebih dahulu.    Apa yang dikaji dan ditelaah di atas meja ialah benda lain.  AG dan Jabatan Peguam Negara boleh sahkan perkara ini.

 

          Yang kita lihat benar-benar membuka Al-Quran dan Hadith sebelum sebarang penggubalan undang-undang dibuat ialah penyediaan semasa Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 atau Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993.   Persatuan Ulama’ Malaysia pun turut terbukti amat istiqamah dengan amalan merujuk Al-Quran dan Hadith terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan dan membuat pendirian. 

         

Jika  UMNO boleh tunjukkan kepada saya pertubuhan yang meletakkan Al-Quran dan Hadith sebagai sumber tertinggi, silakan.  

Saya dan seluruh masyarakat Islam di Malaysia amat mengalu-alukan.   Boleh kita sama-sama periksa, teliti dan jadikan contoh (jika boleh).   PAS boleh terima jika benar-benar ada.   Jika tidak ada lagi, maka periksalah PAS dari segi Perlembagaannya, sejarahnya, sikap dan pendiriannya dalam pelbagai isu.     Semua pegangan sama ada bantahan atau sokongan, baik yang lalu atau kini bertolak dari sikap  menegak makruf dan menentang kemungkaran.   Hatta diketika DAP memutuskan untuk keluar dari Barisan Alternatif disaat genting kita amat memerlukan sokongan mereka sekalipun, PAS masih sedia menerimanya walaupun berdukacita.  Ini membuktikan yang kita tidak   sanggup menggadai prinsip.   PAS konsistan dan berpendirian.  Islam itu terlalu mahal bagi kami.   Tiada harga jual beli.  Demikianlah.

 

          Kami bukan hanya tegakkan makruf secara selektif dan menentang kemungkaran ikut suka-suka sebagaimana UMNO.   Kami buka Al-Quran  dan berpegang kepada Hadith, baik dalam soal hudud, qisas, takzir, aurat, ibadat, perpaduan, ekonomi, pergaulan, pendidikan, hubungan luar, pembangunan; malah apa sahaja.   Kami beristiqamah.   Kami menentang kezaliman, rasuah, pembaziran dan segala bentuk kemungkaran  UMNO berpandukan hujah Al-Quran serta Hadith.   Kami berdakwah.  Kami menegur.   Kami mengkritik.

 

Kami mencuba segenap kaedah dan cara walaupun dihalang dan dihimpit dari segenap penjuru.   Semakin disekat, semakin terserlah.    Islam itu bagaikan air yang mengalir.   Dia bergerak.   Dia sebuah kebenaran.   Dia serasi dengan  fitrah.    Dia   meresap  dan terkumpul tenang atau  boleh juga melanda jika disekat keterlaluan.   Dia boleh menjadi arus deras yang mampu menghanyutkan.   Dia menghilangkan dahaga.   Islam adalah segala-galanya.   Inilah acuan dakwah Islam yang dipakai oleh PAS.   PAS tetap bersamanya dalam suka atau duka.  UMNO perlu faham.   Perkara yang benar akan tegak lurus pada bila-bila.   Tidak hari ini, esok.   Tidak esok, lusa.  Tengoklah.

 

          Soalnya,  jika Persatuan Ulama’ Malaysia dan PAS kini cuba dituduh sebagai bersama, tidak mengapalah.   Bagaimanapun, UMNO pula bersama siapa?  Lihat UMNO, lihatlah amalannya dan siapa yang bersama dengannya.

 

 

Pejabat Menteri Besar Kelantan

Kota Darulnaim

KOTA BHARU. 

Bertarikh:13 Jamadil Akhir 1423 / 22 Ogos 2002.

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates