Home ]

* 2003/01/06::: Selak kain, siapa berpolitik?

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

SELAK KAIN, SIAPA BERPOLITIK? 

PAS sekali lagi dituduh cuba mempolitikkan isu keputusan Mahkamah yang mendapati Saudara Ab. Razak Abas (Abe Jak) sebagai tidak bersalah.   Dengan keputusan ini sahlah bahawa tertuduh tidak bersalah.  Apa lagi?   Yang  jelas berpolitik ialah UMNO.  Dari awal lagi kes dicetuskan iaitu semasa Pilihan Raya Kecil DUN Anak Bukit dan Parlimen Pendang pada 18 Julai 2002,  rakyat sudah dapat mengagak yang ianya politik UMNO.   Siapa yang mendakwa Abe Jak kalau tidak Puteri UMNO.   Malah dalam Mahkamah sekalipun para pemerhati sering melihat kehadiran tidak kurang dari 3 orang peguam UMNO yang sering berkeliaran.   Bagaimana pula bekas Setiausaha Parlimen yang kini dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri  Penerangan telah dengan tiba-tiba menuduh  PAS berpolitik.

 

           Jika benar-benar mahu mencari siapa lebih berpolitik selepas keputusan Mahkamah, tidakkah kenyataan Perdana Menteri pada 2 Januari 2003 dalam Utusan Malaysia yang didakwa Karpal Singh sebagai menghina Mahkamah telah menjelaskan kedudukannya.   Dato’ Seri Dr. Mahathir berkata: 

 

“Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, pihak berkuasa hanya akan dapat menangani secara baik kes-kes menyelak kain dan menunjuk kemaluan pada masa akan datang dengan cara merampas segera kain tersebut.”

 

“Saya tidak tahulah macam mana kain itu hendak buktikan bahawa dia (tertuduh) menyelak kain.”

 

Tidakkah mungkin kenyataan ini boleh membawa kepada tuduhan menghina keputusan Mahkamah.    Ia seakan-akan mempertikaikan keperluan kain pelikat yang telah diputuskan oleh Mahkamah dijadikan sebagai bahan kes.   Apakah sangka baik yang boleh kita berikan kepada UMNO dalam hal ini.   Nampaknya, UMNO bukan setakat berpolitik tetapi seolah-olah mempersoalkan kewajaran keputusan Mahkamah.   PAS tidak sampai ke situ.

 

          Perihal kalutnya UMNO untuk mempertahankan diri kerana dituduh mungkin telah menghina Mahkamah boleh dilihat dalam percubaan menjawab yang dibuat oleh Dato’ Rais Yatim.   Walaupun tercungap-cungap, beliau gagahkan diri juga untuk mempertahankan Perdana Menteri.   Mari kita perhatikan betapa sukarnya Rais: 

 

“Dr. Rais berkata sama ada ia menghina atau tidak, ini soal kehakiman.   Beliau berkata, Perdana Menteri tidak melakukan tindakan mencerca proses kehakiman kerana seseorang berhak mengeluarkan pendapat mengenai proses perbicaraan.    Menurut  beliau, mana-mana pihak sama ada PAS atau UMNO mestilah menghormati keadilan.”

 

Sekali bercakap boleh, sekali tak boleh dan sekali lagi mesti menghormati keadilan pula.  Mana satu yang betul?   (Lihat Berita Harian 4 Januari 2003)

 

          Kenyataan Dato’ Mustapa Mohamad pula lagi pelik.   Katanya “PAS harus menegur pemimpin berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan tesebut dan parti itu (PAS) harus meminta maaf kepada masyarakat” (Berita Harian 5 Januari 2003).   Apa yang hendak ditegur apabila Mahkamah sendiri memutuskan bahawa beliau tidak bersalah?   Begitu juga dengan tuntutan Mustapa supaya beliau meminta maaf kepada masyarakat.   Soal Ab. Razak yang dijadikan ‘hero’ tidak berbangkit kerana disepanjang hampir separuh abad di dalam UMNO, beliau memang telah dijadikan ‘hero’.   Ab.  Razak  boleh  menceritakan  satu  persatu  peristiwa pembakaran sebuah  jambatan  di  Rantau  Panjang  dalam satu pilihan raya untuk menyekat penyokong PAS dari keluar mengundi.   Ini adalah hasil  ‘kerja mulia’ pemimpin UMNO.   Mustapa perlu membuat “homework” selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.   Jangan asyik ghairah mahu bercakap sahaja tanpa fakta.   Ab. Razak adalah orang lama UMNO yang telah masak dengan kezaliman UMNO.    Beliau memasuki PAS kerana yakinkan kebenaran;  bukan kerana subsidi pangkat atau wang.     Apa yang telah dilakukan beliau dalam PAS kini ialah mendedahkan kezaliman UMNO.     Ini punca sebenar yang mendedahkan beliau kepada seribu satu macam gangguan.  

 

          Keupayaan Mustapa sering dipersoalkan oleh rakyat dalam pelbagai isu.    Semasa menuduh pegawai BPR Kelantan yang tidak mengambil tindakan apabila pemimpin UMNO membuat laporan terhadap pemimpin PAS yang kononnya rasuah dipertengahan tahun lepas, sekali lagi Mustapa menampakkan kegopohan.   Isu menjadi senyap apabila Pengarah BPR mengeluarkan satu Kenyataan Akhbar.    Pengundi hantu dan pemegang dua Kad Pengenalan di negeri-negeri sempadan adalah satu lagi isu yang cuba dimainkan Mustapa.   Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam kerja-kerja Kad Pengenalan.    Apa kaitannya dengan PAS?     Kenapa harus  marah-marahkan  PAS.    Ini  semua menjadi bahan ketawa.   Saya melihat  gesaan Timbalan Perdana Menteri  di UiTM Cawangan Machang, Kelantan pada 20 Disember 2002 yang lalu ada relevannya.   Telah tiba masanya bagi UMNO untuk memberikan laluan kepada pemimpin yang lebih muda bagi berdepan dengan PAS.    Barangkali Mustapa sendiripun sudah hilang kelayakan untuk bertanding di dalam Pilihan Raya yang akan datang.    Apapun,  itu semua  adalah perkara-perkara dalaman UMNO.   Saya tidak ada masalah.   Saya malah seronok sebenarnya dengan adanya Mustapa.    Sekali sekala boleh ketawa! 

         

Saya melihat,  kami lebih menjadi mangsa dalam kes ini.  Ab. Razak dituduh.  Ab. Razak dibawa ke Mahkamah.  Ab. Razak berdepan dengan pelbagai jenis soalan.   Beliau bertindak dalam kandang ‘orang yang dituduh’ dari awal hingga ke akhir.   Pihak yang menuduh pula tidak lain tidak bukan ialah seorang ahli Puteri UMNO yang bernama Yusnita bt. Romly.    Tidakkah pemimpin-pemimpin besar UMNO pada hari pertama kes disebut berpesan agar biarlah Mahkamah yang membuat keputusan.   Sekarang,  apa masalahnya?   UMNO kalah dan PAS menang.   Itulah keputusannya. 

 

Daripada saudara Zainudin Maidin menghabiskan masa untuk menuduh PAS  sebagai berpolitik, lebih baik beliau perbaiki diri beliau yang semakin hilang kepercayaan rakyat.   Akhir-akhir ini, rakyat mulai melihat Zainudin dengan pelbagai keraguan.   Hampir semua serangan politik beliau tidak menjadi.   Tidakkah penyediaan resepi  ‘Kelantan Dalam Gerhana’  yang menjadikan ramai rakyat termuntah-muntah terang-terang membuktikan kegagalan ZAM dalam kerja-kerja politiknya yang cemar.    Siri-siri yang tersedia dalam 21 slot,   yang telah menyalahgunakan “air time” RTM yang cukup mahal itu telah secara terang-terangan membuktikan UMNO yang terlebih berpolitik.   Rupanya dalam UMNO, lain pula ukurannya.   Seseorang itu barangkali akan dinaikkan pangkat apabila berjaya membuktikan yang ‘dia’ sanggup melakukan apa yang tidak sanggup dilakukan oleh lain-lain orang yang waras.    Rakyat melihat, seorang lagi Timbalan Menteri di Kementerian Pendidikan yang ada kini juga mendapat habuan apabila nama beliau dipercayai terlibat dalam kerja-kerja konspirasi untuk menjatuhkan seorang Timbalan Perdana Menteri di tahun 1998.   Malah seorang  bekas Ahli Parlimen Pasir Mas yang turut lantang dalam usaha membela Perdana Menteri dalam kes DSAI juga turut dianugerahkan pangkat Timbalan Menteri di satu masa.   Kini, beliau ditolak rakyat dan entah tersadai di mana. 

 

Pendek kata, UMNO adalah parti politik.   Berpolitiklah dan tiada siapa yang boleh menyekatnya.   PAS pun parti politik.   Walau bagaimanapun berpolitiklah ke arah memartabatkan Islam.   Gunakan kuasa yang Allah pinjamkan untuk membawa keadilan.   Gunakan kuasa untuk melaksanakan hukum Allah.   Bebaskan mereka yang tidak bersalah.   Bawa mereka yang ditahan di bawah ISA ke  Mahkamah terbuka.   Hentikan pembekuan bantuan perkapita ke Sekolah-Sekolah Agama Rakyat.   Berikan ruang kebebasan berhimpun dan berceramah seperti yang dijamin oleh perlembagaan.   Kembalikan royalti yang dirampas dari Kerajaan Negeri Terengganu.   Bawa mereka yang dituduh rasuah ke muka pengadilan biarpun ia melibatkan Menteri atau kroni.   Hentikan kezaliman.   Hanya inilah sahaja peluang untuk ZAM dan rakan-rakan yang sewaktu dengan beliau untuk menebus segala dosa.   Jika tidak, tunggulah hukumannya; tidak di dunia kena juga di akhirat.   ZAM pun dah mulai pandai sebut akhirat.   Baguslah.   Ujian peringkat pertama ialah Pilihan Raya Umum akan datang.   Di mana agaknya Zainudin akan bertanding?  Jangan bimbang.   PAS akan tentukan regu calon yang setimpal dengan beliau.  Jangan tinggalkan gelanggang dan asyik masuk ikut pintu belakang.   Eloklah beliau bersedia dari sekarang.   Rasanya rakyat sudah faham siapa itu ‘ZAM’. 

 

 

 

HJ. NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan 

Bertarikh: 2 Zulkaedah 1423 / 5 Januari 2003

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates