Home ]

 

Minda Tok Guru

TAQWA “PERKATAAN ATAU PELAKSANAAN”?

 

 

             Saya sempat juga melihat sebuah e-mail yang menyuruh saya meletakkan taqwa antara dua mata saya. (Lihat Mingguan Malaysia 15 September 2002).  Dengan mengandaikan hantaran SMS bernombor telefon 012-2753372 sebagai benar, sukalah saya bertanyakan satu soalan mudah.  Apa itu taqwa? Dalam bahasa yang ringkas, taqwa itu bermaksud berhati-hati dan sentiasa duduk dalam keadaan beringat serta berjaga-jaga dalam mematuhi segala hukum Allah di sepanjang hidup kita.  Junjung segala suruhan Allah dan tinggalkan segala laranganNya.  Ciri-ciri taqwa ada disenaraikan dengan banyak di dalam ayat-ayat Allah s.w.t yang boleh dikesan di dalam Surah Al-Baqarah 2-5 dan 177, Al-Imran 133-135, An-Nahl 30-32,  Al-Anbiyaa 48-49,  Azzumar 33 dan Al-Lail 17-19 .  Ringkasan kandungan ciri-ciri taqwa dari ayat-ayat berkenaan adalah seperti berikut :

Seseorang yang mendirikan solat, beriman kepada Al-Quran dan kitab-kitab, yakin tetang adanya pembalasan di akhirat, beriman kepada yang ghaib, menafkahkan sebahagian hartanya baik di waktu lapang atau sempit, menahan nafsu amarah, bila melakukan perbuatan yang keji dia ingatkan balasan Allah, suka memohon keampunan, tidak meneruskan perbuatan keji, takut akan azab Tuhan mereka, membawa kebenaran Nabi Muhammad s.a.w dan membenarkannya, bersembahyang malam, dan menafkahkan sebahagian harta di jalan Allah.

   

 Ertinya,  setiap orang baik PAS atau UMNO ; selama menganut agama Islam, dia wajib beramal di atas ciri-ciri ini secara keseluruhan. Kalau sembahyang mesti khusyuk, kalau beriman kepada Al-Quran mesti secara syumul, benar-benar takutkan pembalasan di akhirat, bila melakukan kesalahan dan perbuatan keji dan mungkar terus cepat-cepat menyesal dan mengubah sikap setelah bertaubat. Demikianlah tuntutan Islam ke atas kita semua umat Islam jika mahu  hidup dalam keadaan bertaqwa.

    

Sejak dari kira-kira 40 tahun yang lalu sampailah sekarang, saya tidak putus-putus berikhtiar untuk cuba hidup dalam suasana taqwa seperti yang diisyaratkan oleh maksud ayat-ayat  di atas. Baik semasa mendidik anak,  isteri atau rakyat Kelantan, saya amat mengambil berat tentang prinsip taqwa. Saya memberi kuliah agama dan tazkirah setiap selepas sembahyang Subuh dan pada setiap malam  Khamis dan Jumaat. Ini telah dijadualkan. Saya mengupas tafsir Al-Quran di hujung minggu pada setiap pagi Jumaat. Di sebelah siangnya saya sibuk melaksanakan amanah yang di berikan oleh rakyat untuk memerintah dengan keadilan Islam selaku Menteri Besar Kelantan. Begitulah sebahagian dari komitmen saya. Di samping itu, di setiap pentas ceramah yang datang silih berganti sama ada malam atau siang di sepanjang hidup saya, saya akan ketengahkan hujah-hujah yang berteraskan “ittaqullah”.  Ma’ruf wajib ditegakkan dan mungkar itu wajib pula ditentang. Insyallah dan Alhamdulillah ; saya bina setiap hujah di atas landasan taqwa berasaskan hujah Al-Quran dan Hadith.

    

Tidak cukup dengan itu, saya telah dan terus akan melaksanakan Islam secara istiqamah . Di sepanjang 12 tahun yang lalu, Kelantan telah menyaksikan usaha-usaha ke arah ini. Bermula dari anjuran menyebarkan salam, kempen menutup aurat, memberikan    cuti 2 hari seminggu kepada semua penjawat awam, menambah cuti rehat kepada wanita yang bersalin, memindahkan simpanan kerajaan ke akaun Bank Islam, menganjurkan bulan sembahyang, mensyaratkan penyediaan 3 bilik untuk setiap Rumah Awam Kos Rendah, melancarkan program Ihya’ Ramadhan, mewujudkan Tabung Serambi Mekah, membentang dan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1992, mengadakan Enakmen Kawalan Hiburan 1998, menyediakan peruntukan purata tahunan sebanyak RM 30 juta dalam merangsang kemajuan di bidang pendidikan Islam, menutup Nite Club,  tidak memberikan kebenaran premis untuk kegiatan perjudian dan mengawal pengeluaran lesen tempat-tempat penjualan arak. Pendek kata, banyak lagi. Saya akan berkhutbah Jumaat di atas Mimbar  bila berkelapangan. Saya sentiasa pastikan setiap keputusan yang diambil dalam Mesyuarat Exco dan Kerajaan Negeri tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Hadith. Walaupun saya tahu bahawa ini masih belum mencukupi tetapi sekurang-kurangnya saya telah mencuba sedaya- upaya saya .

   

 Untuk mempastikan berlaku kesinambungan, kami telah mengorak langkah jangka panjang sejak daripada tahun 1995 dengan merangka program pendidikan bersepadu yang memuatkan ilmu Sains, Matematik dan lain-lain matapelajaran akademik dengan mata-matapelajaran agama yang meliputi aspek Feqah, Sirah, Akhlaq dan Tasawwuf dalam satu kurikulum. Di bawah sekolah–sekolah YIK, program pendidikan bersifat integrasi berkenaan adalah langkah melahirkan pemimpin dan insan cemerlang. Mereka bukan hanya akan menjadi pakar di pelbagai ilmu keduniaan seperti ahli biologi, geologi atau saintis tetapi sekaligus mereka adalah alim ulama’ yang menguasai ilmu akhirat.  Sebab itulah apabila Allah s.w.t menyebutkan tentang ilmu mengenai hujan dari langit serta buah-buahan dan sifat gunung-gunung yang bergaris putih dan beraneka warna dalam ayat ke 27 Surah Faathir, Allah telah menyambung dengan ayat ke 28 yang bermaksud “dan demikian (pula) di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya (dan jenisnya).  Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambanya  hanyalah ulama’.  Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”  (Surah Faathir ayat 28).  Hikmah Allah S.W.T menamatkan sifat ulamak yang takutkan kepada Allah setelah menyebut ilmu mengenai hujan, langit, galian, logam dan binatang ternak benar-benar merumuskan kepelbagaian keperluan yang menjadi kewajipan ulamak menguasainya.   Semua langkah ini sedang berjalan bagi melahirkan generasi  pemimpin dan rakyat yang berilmu, bertaqwa dan berkebolehan dalam pelbagai bidang.

 

Tidakkah ini semua kerja taqwa? Soal anjuran yang meminta saya meletakkan taqwa di antara kedua-dua mata jelas sekali menampakkan unsur kekeliruan. Ia cuba bersifat sinis dan ada unsur penghinaan. Tidak ada sangkaan lain yang boleh saya buat diperingkat ini ke atas penulis e-mail tersebut selain daripada beliau sama ada bertaraf budak suruhan atau seorang yang tidak mempunyai maklumat yang cukup. Dengan ringkasan contoh-contoh yang telah diberikan saya bukan lagi meletakkan taqwa di dahi, malah saya telah menjunjung taqwa di atas kepala saya dengan sepenuh-penuhnya.  Demi taqwalah saya kini sedang berdepan dengan rintangan dan pengkhianatan.  Saya telah dicuba, diuji, digertak, diancam dan difitnah sedang saya diberkas rapi dengan segala macam ikatan. .  Di atas nama taqwa jugalah saya bersabar.  Di atas nama sifat taqwa jugalah saya menjawab walaupun lorong saluran suara saya telah dicengkam peraturan, akta itu dan ini sesempit lubang tempurung.  Saya terus melangkah  dalam kesulitan demi sebuah Islam yang saya kasihi. Saya sedar ini semua adalah asam garam pendakwah yang pernah dilalui oleh para nabi dan rasul. Mereka lebih dahulu dan lebih berat menanggung ujian.

    

Jika apa yang saya ikhtiarkan ini masih dikira tidak bertaqwa,  maka saya  sudah tidak tahu lagi. Mungkin yang perlu ialah semakan keatas apa yang dilakukan oleh UMNO kini.  Manalah tahu mereka lebih bertaqwa?  Mari sama-sama kita lihat 14 amalan kerajaan Pusat yang berkaitan.

 

a)      Terdapat 27 kilang arak yang sedang beroperasi secara berlesen di seluruh negara tajaan Kerajaan Malaysia ;

 

b)      Harga 1 tin arak sama murah dengan Coca-Cola di Pulau Lagenda ;

 

c)      Kerajaan menimba keuntungan tahunan bernilai jutaan ringgit setiap tahun dari industri judi;

 

d)      Kerajaan tidak pernah bercadang atau berura-ura pun melancarkan kempen menutup aurat.  Semasa melancarkan kempen bulan sembahyang di Kelantan, saya telah dikritik hebat oleh seorang bekas ADUN yang bernama Ustaz Zainal Abidin daripada Melor kerana dikira membazirkan wang rakyat;

 

e)      Kerajaan Pusat menolak perlaksanaan hukum hudud dan qisas sedangkan ini adalah nas yang tidak boleh ditolak. Alasannya ialah hudud PAS.  Jika hudud PAS kononnya dikatakan zalim, mana hudud UMNO yang dikatakan tidak zalim;

 

f)        Kerajaan Pusat tidak mengambil apa-apa tindakan pun keatas orang yang menghina janggut Nabi;

 

g)      Kerajaan Pusat isytiharkan negara Islam tetapi enggan berbahas mengenainya.  Mengikut Perdana Menteri ia mesti dilaksanakan tanpa apa-apa perubahan.   Selagi tiada pindaan, Quran dan Hadith akan terus berada di bawah dari undang-undang ciptaan manusia;

 

h)      Tidak terdapat akta yang mengawal etika berpakaian, berhibur dan berseronok-seronok yang menampakkan komitmen moral kerajaan yang sungguh-sungguh untuk mengawal keruntuhan akhlak yang sentiasa diheboh-hebohkan;

 

i)        Persatuan Ulama’ Malaysia telah dituduh sebagai hilang akal kerana menyokong saya;

 

j)        Timbul pelbagai keraguan tentang pengendalian proses pengadilan dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim;

 

k)      Bagaimana pula dengan kisah Menteri Perdagangan Antarabangsa, Dato’ Seri Rafidah Aziz atau Tan Sri Eric Chia yang dituduh mengamalkan rasuah bernilai jutaan ringgit? ;

 

l)        Kes bekas Ketua Menteri Melaka masih menjadi misteri hingga sekarang .

 

m)    Apakah penyalahgunaan wang PPRT berjumlah RM36.5 juta yang disebut-sebut turut melibatkan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar membayangkan amalan taqwa?

 

n)      Berita mengenai laporan  polis yang dibuat oleh ADUN Beserah Datuk Fauzi Abdul Rahman yang melibatkan tuduhan penyelewengan Tan Sri Khalil Yaakob sudah dua tahun belalu tanpa sebarang kemajuan.  Ustaz Bunyamin Yaakob bekas ahli Parimen Malaysia pula terus dibuka fail dan menjadi kes dimahkamah dalam tempoh dua bulan sahaja.

 

Dengan contoh di atas, dapatlah kiranya kita semua mengukur tahap taqwa orang-orang UMNO. Jika menteri-menteri dalam Kabinet Kerajaan Malaysia meletakkan taqwa di antara kedua biji mata mereka, tentunya tidak akan berlaku amalan-amalan terkutuk ini.  Jika mengamalkan sangkaan baik, maka mungkin saya boleh beranggapan bahawa nasihat yang terkandung dalam hantaran SMS berkenaan telah tersilap nombor.  Ia lebih relevan ditujukan kepada Bapak Menteri atau Bapak-bapak Menteri yang berpakaian biru.   Relevan kepimpinan mereka perlu dipersoalkan dari 14 soalan kuiz di atas.  Jika semuanya membuktikan tiada sifat ketaqwaan,  maka itulah jawapannya.  Soal melaksanakan Islam secara bijaksana,  berperingkat-peringkat dan perlahan–lahan ; itu semua adalah dalih dan alasan yang dibuat-buat.  Telah terlalu lama rakyat menunggu setelah 45 tahun penjajah dihalau dari bumi yang kononnya merdeka ini.  Dalam suasana begini saya mahu bertanyakan ; apakah taqwa itu cuma sekadar perkataan yang berputar-putar atau amalan yang jitu mengikut sukatan dari resepi langit dalam segenap segi.  Hanya pemimpin sekular dan pengikut-pengikutnya sahaja yang boleh menghargai alasan yang berdolak-dalik demi memburu harta,  pangkat dan kuasa .

    

Dengan kata-kata itu saya ingin terus mengajak diri saya untuk bertaqwa. Dalam kesempatan yang sama juga izinkan saya menghantar mesej SMS saya yang agak panjang ini kepada penulis e-mail berkenaan supaya turut juga bertaqwa. Tidak lupa juga kepada para pemimpin Negara. Itupun jika mesej ini dapat sampai ketangan tanpa apa-apa pindaan.

 

 

 

 

Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat

Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan

Bertarikh :14 Rejab 1423 / 21 September 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates