Home ]

* 2003/01/21:::UMNO perlu berubah kepada Islam

Back ] Next ]

 

MINDA TOK GURU

 

UMNO PERLU BERUBAH KEPADA ISLAM

 

Mengikuti ucapan Presiden UMNO di Padang Sekolah Menengah Sultan Ismail di Kota Bharu pada 15 Januari 2003 yang lalu samalah seperti mengikuti jiwa seorang pemimpin yang amat gelisah.   Kandungannya benar-benar berbentuk melepas geram.    Dalam banyak hal dia cuba menyerang walaupun ramai orang melihat yang Perdana Menteri Malaysia yang berjanji untuk berundur pada sekitar bulan Oktober ini sedang penat mempertahankan diri.   Beliau begitu defensif.   UMNO sedang bersandar di tali menghadapi asakan tinju dan penumbuk berbentuk kritik kiri kanan dari pelbagai lapisan rakyat dalam isu Sekolah Agama Rakyat (SAR).   Beliau sampai serak-serak mahu meyakinkan masyarakat Kelantan tentang niat baiknya dengan menyekat pemberian bantuan perkapita dan memotong sumbangan kepada semua SAR seratus peratus.   Maka bertepuklah kira-kira 7,000 penonton yang diangkut dan kebanyakannya digertak dari warga pendidikan serata negeri untuk mengambil hati beliau.   Jemputan adalah dalam bentuk paksa dan dipantau kedatangannya melalui buku register besar mengikut pecahan 4 khemah berdasarkan zon PPD (Pejabat Pendidikan Daerah).   Sasaran asal kehadiran yang jauh dari tercapai benar-benar mengisyaratkan UMNO yang tinggal nyawa-nyawa ikan.   Jika UMNO  adalah  seekor  ayam,  lama  sudah  dia  perlu  di bawa  ke Jabatan Haiwan untuk dirawat.  Jika pesakit jantung, UMNO perlu diusung ke CCU untuk perhatian intensif.

 

SAR dikatakan membawa Islam yang menyeleweng.   Tenaga penggerak SAR dituduh mengaut keuntungan besar dan menjadikan pelajar sebagai mangsa.  Murid-murid diajar membenci pemimpin.  Memanggil beliau sebagai Firaun.   Guru SAR tidak terlatih.   Infrastruktur SAR tidak mencukupi.    Semuanya tanpa bukti.   Cukupkah dengan kenyataan “saya diberitahu”?   Dalam kes perlucutan DSAI  sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dahulupun pendekatan inilah yang digunakan.   Kini sudah hampir 6 tahun.  Api kepanasannya tidak pernah reda.

 

            Ambil sahaja tuduhan Timbalan Menteri Pendidikan yang mengatakan guru-guru SAR menakut-nakutkan murid yang mahu berpindah ke Sekolah Kebangsaan sebagai akan memasuki neraka.   Berita di akhbar keesokan harinya pula mendedahkan 2 orang ADUN PAS telah mengeluarkan anak mereka dari SAR dan memasukkan ke Sekolah Kebangsaan.    Lihat bagaimana fitnah berputar dan menjerat batang tengkok UMNO sendiri tanpa perlu dijawab.

 

Perangai UMNO tidak pernah  berubah.   Buat sesuatu tanpa fikir.   Isytihar secara tergesa-gesa dan mencari kewajaran kemudian.   Jika dilihat isu berpanjangan,  mulalah gunakan ISA sebagai senjata akhir.  Hatta dalam NST bertarikh 20 Januari 2003 Dato’ Mustapa masih menyebutkan bahawa tindakan ke atas SAR  ini adalah untuk memperkukuhkan SAR  “Infact, we are trying to strengthen Islamic Education”.  Kata beliau. Adakah agaknya orang boleh menerima kenyataan ini.   Tidak memberi dedak kepada ayam supaya ayam menjadi gemuk? Benarkah pengukuhan boleh berlaku apabila bantuan perkapita dihentikan di semua sekolah SAR dan ibubapa  diberi  tempoh  sehingga  6  Februari  2003  untuk mengosongkan semua sekolah SAR dan memindahkan semua anak ke Sekolah-Sekolah Kebangsaan  seluruh negara?  Jika tidak, bagaimana?  Ugut lagi! Lihatlah sebuah sandiwara yang tidak sukar untuk difahami jalan ceritanya inilah yang selalu dikatakan oleh orang Arab “ Nasib baik engkau dilanggar, jika tidak engkau masih tidak kenal apa itu Hospital ! “.  Dalam hal ini UMNO bernasib baik kerana berpeluang ditegur oleh PAS dan rakyat boleh membuat penilaian.  Perdana Menteri pernah menggunakan istilah ‘pakatan jahat oleh pembangkang’.   Saya tahu beliau meniru kata-kata George W. Bush yang menujukan  label itu kepada Iraq, Iran dan Korea Utara.   Dalam konteks di Malaysia,  BA lah dikira menjadi  kumpulan  pakatan  jahat yang dimaksudkan.    Apa yang jahatnya saya tidak tahu.   Kita mahu kembali kepada Al Quran dan Hadith, jahatkah?   Islam mahu keadilan dipertahankan, jahatkah?    Pejuang Islam mahu hak kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Islam, Perlembagaan dan Sistem Demokrasi Berparlimen dinikmati oleh seluruh rakyat,  jahatkah?   Kita, pejuang Islam sedang memperjuangkan sistem pemerintahan yang telus, mengurangkan rasuah tanpa mengira orang UMNO atau bukan UMNO, jahatkah?    Kita mahu ISA dihapuskan, jahatkah?   Kita mahu melahirkan sebuah masyarakat Malaysia yang tidak menjadi mangsa kepada nasionalis Melayu yang mengherdik orang Melayu di depan orang Cina dan orang Cina di depan orang Melayu,  jahat dan berdosakah?

 

            Rupa-rupanya di penghujung lawatan beliau, walaupun Dato’ Ibrahim Ali kelihatan menangis-nangis di dalam salah satu ucapan yang dibuat liputan oleh TV1 dan tidak diketahui tujuan kesedihannya, Presiden UMNO mengisytiharkan juga rombakan pucuk pimpinan UMNO Negeri.    Jika sudah kukuh, kenapa perlu dirombak?  Tepatkah rombakan yang dibuat dan pengganti baru yang dipilih untuk menerajui UMNO di Kelantan?   Perdana Menteri sendiri pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.  Begitu juga YBM Tengku Razaleigh  dalam tempoh 13 tahun yang lalu  -   kedua-dua mereka sudah dikira berada dalam kelas satu kepimpinan UMNO.   Pendek kata Kelantan sudah jatuh ke tangan UMNO jika ukurannya adalah perubahan dalam orang. Setengah orang beranalisis, perkembangan ini menghantar UMNO kepada perbalahan baru antara “UMNO tua dengan UMNO muda”.   Ini adalah seperti kata-kata:   “Kita (UMNO tua) yang kait buah, mereka (UMNO muda) yang tukang makan”.  Walaupun itu urusan UMNO tetapi saya khuatir apabila melihat kereta UMNO yang kehabisan minyak, tiba-tiba tayar pula yang  diganti.    Kami  di dalam  PAS  tidak  berminat  menukarkan orang.     Kita menukar minda orang.  Saudara Abdul Razak Abas (Abe Jak) dan Dato’ Kamaruddin Jaafar adalah dua contoh orang kuat UMNO yang telah bertukar minda.     Oleh kerana itu kita tidak takut dengan pasukan baru UMNO yang baru diisytiharkan oleh Presiden UMNO.  Selaku pemimpin UMNO, mereka tetap sekular dan membawa wajah kebangsaan yang serba pragmatik.   Cakap dari orang dan parti yang pragmatik akan sentiasa berdolak dalik.   Tidak satupun dari perkataan orang UMNO yang boleh dipegang.  Perhatikan dalam isu SAR yang  telah disebut lebih awal.  Demikian juga dalam hal Negara Islam, penentangan terhadap Hudud, rampasan terhadap royalti Negeri Terengganu, membuka kuota bukan bumiputera dalam kemasukan ke MRSM, Tanah Rizab Melayu, KMM dan BN yang disenaraikan sebagai pengganas oleh PBB baru seketika.  Semuanya penuh bermasalah.

 

            Seperti kelaziman, ucapan Presiden UMNO telah menabur banyak janji.   Pembangunan akan menjadi lebih rancak.   Pembangunan serancak Pahang Darul Makmur dan sehebat Pulau Pinang atau Johor Bahru.  Begitulah agaknya. Mungkin juga perubahan  yang  dimaksudkan  akan  membuka semula kelab-kelab malam, pusat judi dan pelbagai jenis hiburan yang telah berjaya dikurangkan oleh Kerajaan Negeri yang ada sekarang.   Kelantan akan dibanjiri  semula dengan limpahan rezeki yang tidak kira halal atau haram asalkan negeri membangun.   Akhlak manusia runtuh barangkali bagi UMNO tidak mengapa.  Begitulah, jika mampu  saya bayangkan kaedah pembangunan dan pembaharuan yang akan dibuat oleh UMNO nanti.

 

            Dalam ucapan Dr. Mahathir juga, beliau mati-matian mahu menetapkan  UMNO sebagai  pejuang  Islam.     Saya  tidak  mahu menjadi seorang yang dituduh cuba menegakkan benang yang basah.      Jika itulah yang cuba didakwa oleh Dr. Mahathir  maka kita serahkan kepada rakyat.   Pengundi biasanya tahu membezakan diantara itik dengan ayam.  Lebih-lebih lagi di Kelantan; mereka fasih benar dan tahu benar yang mana ayam dan yang mana musang.   Cuma saya kehairanan juga  apabila sebuah parti dan Presiden parti yang kira-kiranya menjadi pejuang Islam, tiba-tiba terpaksa menggunakan kerahan untuk meramaikan orang di padang.    Semua orang tahu bagaimana beredarnya Surat Arahan daripada Jabatan Pendidikan Negeri  yang diedarkan ke semua sekolah bagi menjemput dalam nada yang berunsur paksa.    Setelah pelbagai ikhtiar dilakukan, orang ramai yang menyambut Presiden Parti yang kononnya memperjuangkan Islam itu tidak seramai yang dicita-citakan.   Kata-katanya yang disasarkan adalah 50,000 orang tetapi yang hadir… 7,000 orang,  8,000 orang… entah!

 

            UMNO akan menabur duit untuk menghadapi pilihan raya.    UMNO memang ketandusan akidah Islam.    Dia tidak faham cara untuk membangunkan manusia di dunia dan menyelamatkan manusia di akhirat.    Rakyat Kelantan  telah masak dengan kekurangan UMNO ini.   Nampaknya sekali lagilah rakyat Kelantan akan mendapat limpahan rezeki.   Jalan baru, bangunan baru, longkang baru, padang baru, basikal baru, payung baru, periuk baru, kain baru dan pelbagai subsidi.  Tidak terkejut jika ada lembu dan unta percuma  sebagai hadiah dimusim-musim perayaan Aidil Adha.   Sendawa besarlah orang Kelantan.   Tidak mengapa.    Kita bersyukur kepada Allah.   Alhamdulillah.   Undi adalah rahsia.   Ia adalah selera masing-masing.   Apa yang saya khuatir ialah berkembangnya semangat rasuah di hati rakyat.   Tidak khuatirkah UMNO bahawa cara politik begini akan menyebabkan menjalarnya semangat rasuah?   Perdana Menteri nak buang tongkat orang Melayu.   Kalau tidak buang amalan rasuah yang sedang disuburkan oleh UMNO kini, sampai bilapun tidak akan dapat dibuang tongkat itu.    Orang memberi sesuatu kerana wang dan habuan.    Akhirnya UMNO juga yang bising dan sibuk mahu membanteras politik wang.   UMNO yang gali lubang dan dia pula yang bimbangkan lubang itu menjadi  gaung yang boleh membunuh mangsanya.   Saya takut lubang yang digali itu akan menguburkan UMNO sendiri.

 

            Alangkah baiknya jika Presiden UMNO mengeluarkan kata-kata manis kepada rakyat sebagai sebuah cenderahati sebelum  beliau  bersara  daripada  jawatan  Perdana Menteri  menjelang bulan Oktober 2003.    Ini akan menjadi lebih menarik untuk didengar oleh rakyat jelata.    Lebihkan berwasiat daripada memberi amanat yang merepek dan meleret-leret.  Pesankan rakyat supaya hidup baik-baik di bawah pimpinan Islam.   Banyakkan solat dan taubat.   Kelantan perlu menjadi Negeri Tadahan Wahyu.  Sarankan cara-cara untuk memperkukuhkan pendidikan Islam.   Galakkan rakyat menutup aurat.  Gesa umat Islam di Kelantan memakmurkan masjid dan ambil kesempatan diatas dasar-dasar MBI yang sedang rancak diatur oleh Kerajaan Negeri.  Tegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membenarkan PAS melaksanakan Hudud apabila rakyat telah memahami hikmahnya.  Umumkan bantuan mengejut kepada SAR sebagai bukti yang UMNO menyokong pendidikan Islam.  Dengan demikian, ingatan kita terhadap mati akan lebih hampir dan kita akan  bercakap dengan nada yang lebih waras.

 

            Ini tidak.    Dalam suasana mahu bersara, Presiden UMNO itu masih menunjukkan taring kuasanya untuk menindas SAR.   Semasa berucap di Sidang Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), beliau  telah  menyindir  kuasa-kuasa  besar   yang menggunakan kaedah kekuatan yang menyamai zaman batu.    Bagaimanapun nampaknya Perdana Menteri telah  mengguna kaedah yang sama apabila melayani parti-parti pembangkang dan rakyat jelata yang tidak sependapat dengan beliau.     Saya khuatir, ludah oleh UMNO akan jatuh ke muka sendiri.

 

            Pada saya, UMNO sedang kembali ke zaman batu dengan hati yang sekeras batu.   Dia tidak mahu mendengar suara rakyatnya.   Yang UMNO tahu ialah memaksa rakyat supaya masuk UMNO.   Mereka yang memilih selain dari UMNO akan dihukum dalam bermacam cara.  Percayalah, UMNO/BN sedang ditolak oleh rakyat.   Tukarlah drebar dua kali sehari sekalipun.   Jika UMNO  mengkhianati agama dan bangsanya sendiri, tengoklah kesudahannya.   Cuba fikir.   Boleh bertahan selama manakah  apabila kerajaan berkelahi dengan rakyatnya?

 

 

 

NIK ABDUL AZIZ  BIN NIK MAT

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 18 Zulkaedah 1423 / 21 Januari 2003

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates