Cerita Dato’ Pa yang mengaku kena tipu oleh rakyat di Jeli
telah dilapor dalam Berita Harian pada 17 April 2002.
Beliau sendiri yang mengaku ditipu. Penyokong PAS yang mengundi ditahun 1999 telah menipu beliau kerana setelah disediakan segala
kemudahan seperti jambatan, mereka tetap memilih PAS. Itulah yang dia jadi kalah. Siapa yang cerdik dan siapa yang kurang cerdik
di sini tak tahulah.
Cuma saya nampak, orang Kelantan ni dia lihat
penyediaan kemudahan infrastruktur seperti jalan, elektrik, air dan jambatan adalah tanggungjawab kerajaan. Nak beri, berilah.
Undi adalah hak individu. Awak beri saya ambil. Namun, awak tidak boleh rampas hak memilih saya, lebih-lebih lagi memaksa saya
untuk memilih awak. Ini demokrasi. Tak timbul kena tipu. Kalau kena tipu juga, itu tak tahulah. Barangkali, soal cerdik, tak
cerdiklah.
Keduanya, orang Kelantan ini dia faham sangat.
Benda jalan, elektrik, air dan jambatan ini benda alat. Ia kemudahan. Dia bukan Tuhan. Hok dia nak ialah Allah. Pemerintah
dan kerajaan yang dasarkan pemerintahannya kepada Al-Quran dan Hadith. Dia yakin yang dengan memberi jalan dan jambatan, api dan
air, tidak selesai. Yang selesainya ialah sejauhmana sokongan mereka itu boleh selamat di dunia ada
selamat di akhirat. Dia tahu pendirian UMNO dalam hal Islam ni sangat-sangat meragukan. Banyak mengarut. Banyak mengapur.
Tidak jelas, tidak tegas, berdolak dalik, berpusing-pusing hingga mereka naik pening. Mana tidak pening, sekali kata nak haramkan
Islam dari digunakan, sekali kata sudah jadi Negara Islam. Sekali bermati-matian kata Islam tidak sesuai dengan masyarakat majmuk,
sekarang ini boleh pulak. Sekali nampak macam galak-galakkan maksiat seperti benarkan lesen judi, kelab malam, benarkan majalah
lucah, tetapi bila berlaku sumbang mahram dan meningkatnya pelbagai penyakit kelamin, dia mahu kenakan hukuman yang lebih berat.
Nak sebat lah. Bila PAS minta nak laksana Hukum Hudud yang berdasarkan Al-Quran dimana ada elemen sebat sebahagiannya, dia tolak.
Dia ancam nak ambil tindakan. Bila ura-ura Terengganu nak bentangkan Enakmen Hudud, sibuk pula Rais Yatim kata itu bercanggah
dengan Perlembagaan. Negara Islam macam mana kalau dah Hukum Allah tidak boleh didaulatkan? Mana Islamnya? Dalam TV dan Radio
selalu pesankan rakyat supaya jangan rasuah dan jangan membazir. Sedangkan rakyat lihat yang rasuah dan tidak diambil tindakan
ialah Menteri atau bekas Menteri UMNO. Yang membazir ialah pemimpin UMNO. Tengoklah kes Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO
Negeri Kelantan yang didedahkan dalam akhbar. Kereta ada entah berapa buah. Salah satu kereta mewah Mercedes Benz S320 beliau
telah dirampas dan diletakkan di Akademi BPR Jalan Duta. (Utusan Malaysia, 16 April 2002)
Tuduhan rasuah yang sering dilibatkan dengan beliau ialah skandal kehilangan Wang PPRT sejumlah
RM36.5 juta.
Pendek kata tengok UMNO, nampaklah rakyat tentang
amalan khurafat yang dibawanya. Dalam serba serbi. Dalam hal aurat, dalam hal rasuah, dalam hal pembaziran, kroni,
memperlekehkan hukum Allah. Berarak patung burung dan bawa penyanyi wanita buat show di pentas, baru minggu lepas. Baru
panas-panas. Mufti dah kata itu khurafat. Boleh bawa syirik. Ada UMNO dengar? Dato’ Pa sendiri berada di majlis itu
bersama dengan Presiden UMNO dan seluruh jentera parti. Macam manalah rakyat tidak keliru. Macam manalah rakyat nak setuju.
Padan dah kalau Dato’ Pa kata kena tipu. Sebenarnya bukan dia
yang kena tipu tetapi rakyat yang semakin cerdik. Rakyat ambil kemudahan itu dan ini dah demo nak bagi! Lagipun yang Pusat bagi
itu pun adalah hasil kutipan cukai, hasil duit rakyat, hasil duit mereka juga. Jadi mereka fikir, salahkah untuk guna duit mereka
yang secara kebetulan disalurkan oleh Menteri Pusat, Kerajaan Pusat atau Pemimpin Pusat? Pendeknya, kita tidak payah ‘balah lah’
siapa yang tipu dan siapa yang kena tipu. Buat malu saja!
Jika UMNO terima Al-Quran dan Hadith, dan buktikan penerimaan
dengan pinda Perlembagaan secara bertulis, bukankah senang. Baru betul Negara Islam. PAS pun tidak payah buat kerja dah.
Satukan orang Islam, orang Melayu semua sekali dengan kembali kepada Al-Quran dan Hadith. PAS sebenarnya cuma nak
betulkan saluran pemerintahan saja. Itu saja. Bukan minat
sangat nak jadi pemimpin. Awak nak jadi pemimpin, jadilah. Tapi biar betul-betul bawa rakyat berpandukan Al-Quran dan Hadith.
Bukan sekali, keli dan sekali haruan. Kepala nampak ikan, ekor nampak ular.
Dalam keadaan UMNO yang ada sekarang, jangan haraplah
UMNO boleh kelirukan rakyat. Hok sokong juga, itu hok jenis keliru, Hok nak cari dunia jah. Tak faham hulu hilir. Kalau
fahampun, saja nak cari makan dengan duit UMNO. Hok belum dapat penjelasan. Itu yang UMNO takut orang dengar ceramah. Sekat sana
sini. Takut orang faham Islam. Kalau dah faham Islam, UMNO payah. Bagi rakyat, walaupun mereka tahu PAS miskin, tapi mereka
tetap sokong sebab mereka lihat soal keikhlasan. Bukti kesungguhan. Dan tidak ada sebab UMNO dok tindas Kerajaan PAS. PAS
mampu tambat hati rakyat kerana pendirian PAS jelas. Tak ada selindung. PAS sediakan apa yang mereka mahu. PAS bimbing, pimpin dan
asuh rakyat dengan Al-Quran dan Hadith. Bukan dengan subsidi anak ayam, baja padi, jalan dan kemudahan tandas awam jah. Itu
semua alat saja. Bukan kesudahan. PAS pentingkan semua punca. Bermula dari cara-cara dan kesudahannya di akhirat. Semuanya
tidak boleh lari dari ajaran Al-Quran dan perintah Nabi. Ikut Allah dan ikut Nabi. Bukan hina Hukum Allah dan pandang ringan
panduan Nabi. Kita tidak keliru. Kita tidak tipu. Ini kami pegang dari dulu, kini dan selamanya.
Untuk semua rakyat Kelantan, saya serulah supaya jangan ditipu
oleh orang yang berpura-pura nak ke Islam. Jangan tertipu seperti mudahnya Dato’ Mustapha ditipu oleh rakyat di Jeli, Kelantan.
Sampai rakyat kampung di Jeli pun boleh tipu Menteri, entahlah.