Sikap Menteri Pelancongan nampaknya semakin menarik dari segi Islam. Mungkin beliau “over exited” dengan anugerah peringkat
antarabangsa yang diterimanya beberapa bulan lalu. Sikap “over” ini amat jelas dalam 2 perkembangan mutakhir. Ia kebetulan
mempertembungkan 2 kepentingan yakni antara kepentingan dunia dan kepentingan hukum hakam.
Dalam hal Terengganu yang baru berura-ura untuk adakan semacam kod pakaian untuk dihormati oleh pelancong asing, beliau
mengulas iaitu:
“Kerajaan kerugian berjuta-juta ringgit berikutan arahan Kerajaan PAS Terengganu
mengharamkan pemakaian bikini manakala wanita tidak boleh mandi bersama lelaki di negeri itu.”
(Utusan Malaysia 29 April 2002)
Dalam hal Penutup Pesta Air yang diadakan di Tok Bali pula pada malam 11 Mei 2002, beliau dilaporkan sebagai berkata:
“Persembahan tarian dan nyanyian melibatkan wanita di tempat awam tidak bertentangan dengan ajaran Islam atau undang-undang duniawi.
“Tidak ada salahnya diperdengarkan suara wanita di khalayak ramai.” Jelasnya.
(Utusan Malaysia 15 Mei 2002)
Jelas sungguh kelirunya Menteri UMNO itu dalam hal beramal dengan
Islam. Dalam kes pertama, ia melibatkan soal aurat. Kalau sektor pelancongan terbukti berpotensi sekalipun, tidakkah boleh beliau
lebih berhati-hati. Seorang Menteri Penuh beragama Islam tentunya kelihatan janggal apabila menaikkan hujah “negara rugi
berjuta-juta ringgit” jika ura-ura kod pakaian kepada pelancong asing dikuatkuasakan. Berhati-hati boleh bermaksud mengambil
sikap “reserve” terlebih dahulu sementara menanti draf kod berkenaan siap. Sikap mengulas terlalu awal mungkin nampak pro
aktif tetapi dibimbangi terlalu “premature” dan terlebih ke hadapan. “You might need to walk back
later”.
Berhati-hati juga menyentuh semangat beragama Dato’ Abdul Kadir dan penganut Islam
yang melebihi 50.18% penduduk Malaysia. Jika soal negara akan rugi berjuta-juta ringgit menjadi satu-satulah perkiraan,
sekali lagi dikhuatiri yang negara kita cuma bertuhankan wang. Bukankah negara ini adalah negara Islam mengikut Perdana Menteri.
Islam bertuhankan Allah S.W.T. Segala sesuatu dalam Islam wajib berpusatkan kepentingan Allah. Islam tidak larang untuk wang
tetapi jangan sampai lupakan dosa pahala. Jika diikutkan hujah beliau, nampaknya kiblat perkiraan hanya berpusatkan material
semata-mata.
Menyentuh tentang Islam, kita wajar memahami punca kenapa perlu adanya kawalan
berpakaian baik lelaki, lebih-lebih lagi wanita.
Tanpa perlu berkhutbah, buku-buku yang menyenaraikan kebaikan menutup aurat amat banyak. Keburukan pendedahan aurat di khalayak
ramai telah terbukti amat mudharat. Tidakkah kegawatan sosial seperti bersekedudukan, zina, rogol dan sumbang mahram adalah
fenomena yang ada kaitan dengan amalan ini. Masakan beliau gagal menjangkaui maksud tersirat dari langkah yang dicadangkan oleh
Kerajaan Negeri Terengganu.
Jika Islam yang kita rujuk adalah Islam yang berlandaskan wahyu, tentu kita tidak
dapat elak dari berbicara mengenai Ayat-Ayat ini. Ini nasnya. Saya kutip:
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya,
dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah
mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,
atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau
putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau (budak-budak
yang mereka miliki), atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum
mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentak kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
(Surah
An Nuur, Ayat 31)
“Hai Nabi Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan
isteri-isteri orang mu’min: “Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih
mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah Al-Ahzab, Ayat 59)
Sy. Jarier R.A. berkata:
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W. dari hal melihat wanita yang tidak
dengan sengaja, beliau bersabda: “Palingkanlah mukamu!”
(Riwayat Imam-Imam Muslim, Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Nasaai).Hadith Nabi
Sy. Buraidah R.A.
berkata:
“Bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda kepada Sy. Ali R.A.: “Ya Ali !
Janganlah kamu ikutkan satu pandangan dengan satu pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya bagi kamu pandangan yang pertama dan
tidak bagi kamu pandangan y ang kedua.”
(Riwayat Imam-Imam Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Al-Hakim) Hadith Nabi
Beliau kena faham bahawa mulai 29
September 2001, Malaysia sudah menjadi Negara Islam. Beliau
setuju atau tidak, itu tidak boleh menahan Dr. Mahathir dari membuat pengisytiharan. Kira-kiranya, mulai tarikh tersebut,
segala sesuatu perlu melalui neraca Islam terlebih dahulu untuk menentukan benar salahnya atau lebih tepat dosa pahalanya. (Melainkan
pengisytiharan itu semata-mata mainan politik). Jika diukur dari 2 petikanAyat dan 2 maksud hadith di atas, Dato’
Ab. Kadir bolehlah nilai beliau sedang atau
sudah berada jauh di mana ketika dan sesudah mengeluarkan kenyataan itu. Adakah beliau berfakta, bersandarkan ilmu atau hanya
lemas dalam kekeliruan nafsu? Takkanlah ‘wang’ adalah segala-galanya. Jika tuan lemas adakah selaku nakhoda, tuan
mahu lemaskan orang yang dipimpin? Di sinilah wajibnya pemimpin yang beriman dan beramal untuk dipilih. Parlimen akan rosak
apabila majoriti pemimpin yang memenuhi Dewan Rakyat keliru sekelirunya beliau.
Kes kedua ialah persembahan tarian dan nyanyian membabitkan wanita di tempat awam
yang kononnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam hal ini, jawapan Ahli EXCO Kerajaan Negeri Kelantan iaitu Anuar Tan
bin Abdullah merupakan satu bidasan yang cukup mengenai batang hidung. Beliau mengajak Menteri Pelancongan ke Majlis Fatwa
Kebangsaan atau ke mana-mana pejabat Mufti Negeri untuk mengesahkan kebenaran.
(Berita Harian 12 Mei 2002 serta Utusan Malaysia 15
Mei 2002).
Tegas beliau:
“Sepanjang pengetahuan saya yang muallaf ini, saya merasa kesimpulan hukum yang
dibuat oleh Menteri itu amat tidak tepat danmengelirukan.”
Dalam kesempatan inilah, TV3 seperti biasa mula mengeruhkan air supaya kelihatan
berselut. Dengan sedikit kacau ganggu di liputan-liputan akhbar di antara 13 – 17 Mei 2002, TV3 telah memasukkan sebuah klip video
pada malam 19 Mei 2002 untuk
mencelarukan kefahaman rakyat. Ia bertujuan menyalahkan PAS sekali lagi agar rakyat melihat PAS sebagai berfikiran sempit, anti
budaya, anti kesenian dan anti pelancongan. Demikianlah sebuah pengkhianatan. Pementasannya adalah stereotaip dan mudah diteka
oleh sesiapa. Lihat sahaja ulasan Pengarah IKIM iaitu Dato’ Dr. Ab. Munir Yaakob yang seolah-olah tidak terjumpa nas yang melarang
wanita mengadakan persembahan di pentas tanpa menutup aurat. Sampai hati beliau menurunkan darjat ilmunya. Sungguh menjijikkan
apabila seorang Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia tidak boleh faham maksud larangan Nas dalam Surah An Nuur Ayat 31 dan Al
Ahzab Ayat 59 serta Hadith-Hadith larangan pandang memandang.
Kita sungguh hairan, jika suara wanitapun sudah menimbulkan khilaf di kalangan
ulama’ apatah lagi jika ia melibatkan persembahan lagu yang berlirik, bersenikata, berirama dan bercampur dengan suasana keceriaan
lelaki dan perempuan. Kita sedang menghadapi gejala sosial yang merumitkan. Masihkah kita wajar mengambil sikap sambil lewa
dalam mengawal persembahan hiburan atau kita mematuhi sebuah enakmen yang mempunyai “moral fibre” yang tinggi?
Demi memandang serius kepada gejala keruntuhan akhlak dan percayakan yang majlis
itu boleh menyuburkan maksiat, pergaulan bebas dan pendedahan auratlah, Tok Guru Nik Ab. Aziz dan Kerajaan Negerinya menunjukkan
komitmen beliau dimalam berkenaan. Tidak hadir beliau sesungguhnya bersebab. Kalau UMNO cuma percaya untuk mengubat penyakit
setelah parah, PAS melihat faktor pencegahan “at source” lebih utama dalam menjauhkan penyakit. “Prevention is better
than cure”. Siapa lebih bijaksana dan lebih berpandangan jauh?
Kepentingan akhlak dan moral juga ada unsur untung ruginya di akhirat. Sebuah
kerajaan yang bertanggungjawab wajib mendidik rakyatnya ke arah ini; bukan setakat fikirkan kerugian di dunia yang
berjuta-juta di sektor pelancongan sahaja. Kos untuk memulihkan akhlak seperti membiayai penjara, pusat serenti, sekolah-sekolah
pemulihan dan merawat pesakit HIV dan AIDS turut mengorbankan berjuta-juta wang rakyat.
Dalam suasana beginilah kita melihat tidak lojiknya kepercayaan yang cuba disogokkan oleh Pak Lah Badawi iaitu pembangkang
sudah tiada isu. Hairan! Jika dipadamkan lampu dan diminta mana-mana rakyat Malaysia yang akil baligh untuk menyenaraikan
isu-isu terkini dalam tempoh 3 minit dia akan mampu menyenaraikan 10 fakta seperti di bawah:
i)Isu DSAI yang dituduh liwat sedangkan tidak pernah ada 4 orang saksi. Kini
merengkoklah bekas TPM itu di penjara sepanjang 15 tahun;
ii)Isu dakwaan Azalina yang dikatakan mempunyai hubungan asmara secara lesbian dengan Datin
Sabrina. Anehnya PM meminta ianya dibiarkan begitu sahaja tanpa perlu dinafikan atau diakui atau dibawa ke Mahkamah;
iii)Isu dakwaan amalan-amalan rasuah seorang Dato’ Seri di Negeri Selangor Darul Ehsan;
iv)Isu dakwaan kehilangan wang PPRT sebanyak RM36.5 juta yang melibatkan seorang bekas
Menteri dari Peringat, Kelantan;
v)Isu kehilangan Wang Tabung Haji berjumlah RM200 juta;
vi)Isu PM Malaysia yang menghukum “suicide bombers” di Palestin sebagai menempa mati secara
sia-sia dan jauh dari mati syahid. Sedangkan ini bertentangan sama sekali dengan fatwa Ulama’-Ulama’ masyhur sedunia;
vii)Isu menangkap musuh-musuh politik menggunakan senjata ISA yang dikecam oleh seluruh
dunia;
viii)Isu Ops Warta II yang menimbulkan keraguan dan keresahan rakyat tentang kesahihan
tindakan Polis mengenakan saman berganda walaupun pesalah tidak diberikan Notis Pemberitahuan;
ix)Isu yang mengkhianati perkembangan Bahasa Melayu yang telah diperjuangkan selama 30
tahun untuk dimartabatkan. Tiba-tiba setelah Bahasa Melayu melalui proses evolusi dan terbukti memantapkan kedudukannya di segenap
bidang, kita mempersoalkan pula kemampuannya. Bijakkah? Tidak ada cara lainkah untuk mengatasi kelemahan berbahasa Inggeris?
Apakah Jepun, Thailand dan Perancis ketinggalan dan menyesal dengan langkah memartabatkan bahasanya sendiri?
x)Isu dasar meritokrasi yang kononnya berjaya sedangkan ia menyekat peluang pemegang
Diploma untuk ke IPTA
negara. Kalau dulu pelajar bumiputera mendapat keistimewaan dari sistem kuota,
kini sistem meritokrasi hanya memberi laluan kepada 4 orang sahaja untuk mengikuti Kursus Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaya. Ini
contoh. Jika diikutkan kuota bumiputera sebelum ini, terdapat 88 tempat untuk kursus berkenaan di Universiti tersebut.
Ini terkandung dalam gesaan GPMS yang mahukan Sistem Merit dikaji semula.
(Utusan Malaysia 17 Mei 2002).
Ini belum lagi disentuh tentang isu perpecahan UMNO di Kelantan. Isu Negara Islam yang diisytiharkan tanpa perbahasan.
Isu 12 rahsia besar yang ada di tangan Ustaz Taib Azamuddin, bekas Imam Besar Masjid Negara. Isu dakwaan amalan salah laku Tan Sri
Khalil Yaakub oleh Dato’ Fauzi Abd. Rahman, ADUN BN Beserah. Isu pembohongan laporan Ahli PAS yang kononnya 124 orang memasuki
UMNO di Bukit Kechil, Pasir Puteh sedangkan hanya 4 keluarga sahaja (Berita Harian 14 Mei 2002). Isu Presiden Bush yang
mengatakan bahawa pendirian Amerika Syarikat tidak berubah yang Anwar Ibrahim adalah “tahanan politik” dan isu pindaan Akta
Pilihanraya yang amat tidak masuk akal. (Mungkin ia perlukan protes sedunia dari segi demokrasi).
Pendek kata, barisan pembangkang mempunyai isu yang melimpah ruah . Cuma
kesempatan sahaja yang tidak diberikan. Semuanya ditutup. Kononnya takut pecah belah! Takut pecah belah ke atau takut kalah?
Jarang sekali kita melihat UMNO dengan jujurnya menggunakan panduan Al-Quran dan Hadith atau demokrasi dari permulaan
untuk menentukan sesuatu dasar yang hendak digubal. Perkataan-perkataan Dato’ Ab. Kadir di kedua-dua isu adalah representasi dan
manisfestasi yang amat jelas tentang “outright rejection” UMNO terhadap Islam. UMNO kini semakin jelas
bagaikan tidak mengiktiraf wahyu dari langit. Berita tohmahan keji tentang kelakuan DSAI misalnya telah digendangkan dengan
seriuh-riuhnya dibulan September 1998. Hingga kini pun ia masih enggan berhenti. Sikap Islam tidak suka tersebarnya berita keji
apa lagi jika berita itu tidak benar. Ini jelas di dalam Surah An-Nuur Ayat 19:
“Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu
tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang,
kamu tidak mengetahui.”
(Surah An-Nuur Ayat 19)
Dalam isu Anwar, ia diumpat semahu-mahunya, sedangkan dalam isu Azalina, ia ditutup serapi-rapinya. Inikah cara Islam
dan itukah cara demokrasi? Pembawa berita yang bernama Khalid Jafri diberikan lampu hijau untuk membongkar kisah Anwar dalam
bukunya berjudul ’50 dalil’ tiga tahun yang lalu. Kini, pengarang yang sama tiba-tiba dianggap berfikiran bankrap pula
oleh PM yang sama. Jelaslah UMNO sudah putus hubungannya dengan langit. UMNO tidak bertanya khabar untuk mendapat isyarat
dan pimpinan wahyu. Dia nyata kehilangan kiblat.
Presidennya hidup dengan kepalsuan kekuatan yang dibuat-buat. Kononnya generasi
muda yang dipunggah ke Stadium Melawati di Shah Alam hasil kerja Dato’ Seri Khir Toyo pada hari sambutan UMNO kali ke 56 itu adalah
petunjuk tentang sokongan generasi muda.
UMNO hanya tertipu dengan bayang-bayangnya. Jangan-jangan 15,000 orang itu termasuk belon-belon campakan Khir Toyo sahaja.
Jangan-jangan kerana nak lihat artis dan penyanyi sahaja. Tidak binasa si Luncai melainkan kerana labu-labunya. Kita hanya mahu
ingatkan sahaja yang pilihanraya tahun 1999 menyaksikan hampir 70% pengundi Melayu berada dalam BA. Setengah penganalisis
menyimpulkan yang ia faktor Anwar. Kini, adakah ‘hero’ yang
menjadi kesayangan rakyat Malaysia itu bebas dan sihat walafiat? Adakah fakta ini masih kukuh?. Satu soalan yang cukup
sentimental untuk dijawab oleh setiap hati para pengundi dalam Pilihanraya Umum akan datang. Pulihkah Malaysia dengan hanya
lambungan belon atau kibaran bendera? Satu Syair dari India ada menyebut:
“Mawar kertas tidak akan semerbak wangi walau bagaimana indah
rupanya.”