SAR : SIAPA BERPOLITIK?
Melihat surat arahan bertarikh 8 Januari 2003
yang meminta kehadiran semua Ketua Sektor Pengurusan,
Ketua Penolong Pengarah Pusat-Pusat Sumber, Pejabat Pendidikan
Daerah, Pegawai Jabatan Pendidikan Kelantan, Pegawai Pejabat
Pendidikan Daerah, Pengetua-Pengetua Sekolah, Guru-Guru Besar,
semua guru sekolah-sekolah Kelantan dan semua staf sokongan di
segenap peringkat hadir ke majlis menyambut Presiden UMNO dan
Pengerusi Barisan Nasional menjemput di SIC di Kota Bharu pada
15 Januari 2003, jam 3.30 petang, jelaslah
bahawa seluruh jentera kerajaan di sektor pendidikan berada
dalam dua keadaan. Sama ada satu, sedang berpolitik atau
kedua sedang dipaksa bermain politik. Apapun kemungkinan, ia
jelas menampakkan penyelewengan. Surat Arahan itu berakhir
dengan perisytiharan Cuti Am di semua sekolah hari yang
berikutnya.
SAR yang dituduh berpolitik sedangkan bila
diminta bukti, tidak satupun bukti yang dapat dikemukakan
sampai ke hari ini, baik tuduhan guru yang mengajar membenci
pemimpin atau tuduhan guru SAR menakutkan murid yang akan
pergi ke Sekolah Kebangsaan sebagai akan masuk neraka.
Bukti yang kita maksudkan mesti
menyebut siapa, di mana dan bila yang boleh dibutir dan
disabitkan kesalahannya di Mahkamah. Jika sekadar mengulangi
dan menyogok SAR yang bertentangan dengan Islam dalam ucapan
sehala yang tidak berjawab maka ini bukan hujah. Tuduhan
seperti “tidak ikhlas”, “bukan Islam yang sebenar” dan
“lukis bendera bulan” adalah diantara “sweeping
statement” yang meleret-leret tanpa sebarang graviti dari
segi bukti dan hujah. Bukti yang jentera Sekolah Kebangsaan
berpolitik atau dipaksa menghadiri majlis politik UMNO
sebaliknya pula amat jelas. Surat Arahan berkenaanlah
buktinya. Penyertaan sebahagian dari warga pendidikan dan
dirakamkan di kaca TV di padang berkenaanlah menjadi saksinya.
Jika orang bertanyakan salahkah penjawat awam terlibat dalam
politik, maka jawapannya ada terkandung di dalam Perintah Am
Bab D. Ia berbunyi:
(2)
Kecuali
sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perintah Am 19 (4)
seseorang pegawai dalam Kumpulan “A” adalah dilarang mengambil
bahagian dalam kegiatan-kegiatan politik atau memakai
mana-mana lambang sesuatu parti politik. Pegawai itu
hendaklah mengecualikan dirinya dalam hal-hal politik, dan
khususnya ia tidak boleh -
a) membuat pernyataan kepada orang ramai
sama ada secara lisan secara bertulis yang menyebelahi
mana-mana parti politik mengenai sebarang perkara yang menjadi
pertikaian diantara parti-parti politik;
b) Menerbitkan
atau mengedarkan buku artikel atau risalah yang mengandungi
pandangannya jika pandangannya itu menyebelahi mana-mana parti
politik;
(Lihat
Perintah Am Bab D muka surat 327 - 328)
Apa lagi apabila kita hubungkan
dengan matlamat untuk “memasyarakatkan sekolah” seperti
yang turut menjadi matlamat Kementerian Pendidikan dari dulu
hingga kini. Sekolah hendaklah menjadi satu jentera yang
berkecuali. Begitu juga dengan lain-lain jabatan kerajaan.
Jika ditanya Ketua Setiausaha Negara sekalipun, jawapannya
akan tetap sama.
Jika orang masih persoalkan bahawa
majlis itu ialah pertemuan para guru dengan Perdana Menteri
Malaysia untuk menghalalkan tindakan,
rakyat juga masih boleh persoalkan bahawa surat-surat jemputan
tidak membawa tajuk sedemikian. Begitu juga dengan perkataan
di sepanduk-sepanduk dan kain rentang. Jika ia majlis
perhimpunan rakyat Kelantan bersama pemimpin; kenapa tidak
sekepingpun bendera Malaysia yang kelihatan berkibar melainkan
bendera UMNO dan BN. Ini terang-terang melambangkan majlis
itu adalah majlis politik. Guru-guru dan staf seluruh jentera
pendidikan negeri telah berpolitik atau dikerah berpolitik.
Di sini SAR kah yang berpolitik atau sekolah-sekolah
kebangsaan? Itu belum lagi disentuh tentang kedudukan
siaran langsung yang menggunakan “air time” yang
dibayar oleh rakyat untuk satu majlis sebuah parti bernama
UMNO yang hampir seratus peratus adalah menyerang lawannya
iaitu PAS!
Apabila diperincikan ucapan Presiden
UMNO yang dikononkan sebagai “amanat yang amat keramat”
oleh juruacara TV1, maka semakin sahlah ia sebuah pidato
politik yang bulat. Ia bulat sebulat bulan. Sepenuhnya ia
telah menggunakan kesempatan yang ada untuk meracau fikiran
rakyat dan sekaligus menghasut rakyat membenci pemimpin sebuah
Kerajaan Negeri yang sah. Apa kata jika andainya PM pergi
ke Johor atau Pahang lalu meminta rakyat Johor menolak YAB
Dato’ Hj. Abdul Ghani bin Othman di Stadium Larkin atau YAB
Dato’ Seri Adnan Yaakob di Stadium Darul Makmur di Kuantan.
Wajarkah dan maniskah? Jawapannya mungkin “tetap manis”
dan “tidak apa”. Perlu Permitkah? Menghasutkah?
Menimbulkan kegelisahankah? Memfitnahkah?
Apa yang dikata? “Kelantan kotor”.
“Air tidak boleh diminum? Ia tidak boleh
diminum? Demikian tuduhan seorang Perdana Menteri.
Sedang Tukang Karut dikir barat yang diupah pula menyebut
dengan nyaringnya kata-kata “Tok Guru bawa ajaran salah”.
Perdana Menteri Malaysia telah ditunjukkan dalam siaran
langsung itu. Kadang kala beliau kelihatan mengikuti lirik
sambil bertepuk dan senyum ketawa. Jika seluruh penduduk
Malaysia menonton siaran itu, maka bererti 23 juta rakyat
Malaysia telah diminta untuk percaya bahawa Tok Guru yang
sedang memimpin sebuah negeri sedang membawa ajaran salah.
Demikianlah hebatnya penghinaan ke atas seorang Menteri Besar
dan Presiden UMNO selaku Perdana Menteri Malaysia, tidak
berkata apa-apa. Beliau seakan-akan merestuinya.
Saya sebenarnya khuatir
“backlash” ke atas UMNO. Kita jangan sampai dilihat oleh
rakyat Kelantan sebagai seorang Melayu yang cuba mengajar
Benggali roti untuk menguli roti canai. Apa yang dicanang
ialah yang salah adalah pembangkang. Yang memecah belah
ialah PAS. Yang menyeleweng dari Islam ialah PAS. Yang
ikhlas berjuang untuk Islam ialah UMNO. Yang kata Islam itu
agama untuk individu ialah UMNO, yang mempertahankan
Perlembagaan Persekutuan tanpa perlu dipinda ialah UMNO.
Setelah merosakkan Bahasa Melayu, quota Melayu,
peluang-peluang Melayu melalui senjata meritokrasi dalam
pelbagai cara, UMNO kini beralih pula kepada agamanya sendiri.
Dari mahu mengharamkan penggunaan
perkataan Islam untuk digunakan oleh pertubuhan, kini UMNO
menekan SAR pula; sebuah Institusi yang berkaitan dengan
agamanya Islam. Ada juga orang bertanya, Negara Islam macam
mana jika mengancam Sekolah Agama (Islam). Semestinya
diatas nama pembelaan. Demikianpun apa yang
berlaku ke atas nasib tulisan jawi 30 tahun yang lalu. UMNO
juga yang berjasa dalam meminggirkan tulisan jawi yang begitu
sinonim dengan orang Melayu. Perihal seriusnya kesan
langkah ini sehinggakan akhbar Utusan Melayu (versi jawi) kini
sedang tercungap-cungap dan menunggu masa untuk dihentikan
penerbitannya kerana tiada pembaca.
Demikianlah sedikit senario gelagat
Presiden UMNO di Padang SIC Kota Bharu Kelantan yang penuh
cita-cita. Jika diamati dan dibedahlah ucapan Presiden UMNO
itu untuk diperiksa kandungan arseniknya, ia terbukti amat
defensif. Ia kelihatan sesak nafas dan semput bertahan untuk
mewajarkan tindakan ke atas SAR yang sampai bilapun
diperhatikan akan terbukti ketidak wajarannya. Dr. Mahathir
sedang mengajak UMNO untuk mendaki gunung
tinggi lagi mendongak. Kesian! Tidak cukup
dengan kuasa dan lamanya berkuasa di Pusat, ucapan itu
memancarkan sebuah “embition orang lama” yang masih
bernafsu untuk menggugat kekuatan PAS yang berviagra. UMNO
mabuk untuk kembali di tengah-tengah suasana penolakan yang
cukup nyata isyaratnya. “Tubuh ucapan” beliau keseluruhannya
cuba memperagakan body UMNO sebagai pejuang Islam. Mampukah
dia mempengaruhi khalayak yang tidak melebihi 7,000 orang itu
dan penonton di luar sana? Berjayakah UMNO membuang lencana
“Islamic mover” dari dada keyakinan majoriti orang
Melayu yang telah mengiktiraf PAS?. Ucapan itu sesungguhnya
cuba memalingkan sejarah mengikut orientasi baru bagi
mengislamkan UMNO yang sekular. Aaah! betapa sukarnya!
Mampukah ia meninggalkan kesan
kebencian kepada pemerintahan yang dipimpin oleh seorang ulama’
bernama Nik Abdul Aziz bin Nik Mat melalui gimik dan
cakap-cakap politik “demi membela agama lalu menindas
Sekolah-Sekolah Agama”. Sungguh keliru tetapi itulah UMNO.
Isytihar Negara Islam tetapi tidak mahu Membangun Bersama
Islam.Semoga dikir orang UMNO yang berdepan dengan zikir orang
Islam keseluruhan akan menyerlahkan wajah UMNO yang sebenar.
UMNO tidak akan mampu bertopeng dalam semua ketika.
HJ. ANUAL BAKHRI BIN HARON
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh: 13 Zulkaedah 1423 /
16 Januari 2003. |