SIAPA SEBENARNYA YANG MAHU BALAS DENDAM?
Oleh
Annual Bakri Haron
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Merujuk
kepada kenyataan Tengku Razaleigh di dalam akhbar-akhbar tempatan pada 28 April
2001 bahawa kononnya cadangan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meminda
perlembagaan negeri itu adalah merupakan cubaan untuk membalas dendam terhadap
Sultan Kelantan, terdapat beberapa perkara penting berkaitan dengannya yang
perlu dijelaskan kepada beliau:
Pertama,
Tengku Razaleigh selaku seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO seharusnya berterima
kasih di atas usaha Kerajaan Negeri Kelantan ini kerana tujuan pindaan ini
dibuat adalah semata-mata untuk menyelaraskan perlembagaan di peringkat negeri
dengan pindaan yang telah dibuat oleh parti yang didokonginya di peringkat pusat
pada tahun 1994 itu.
Kedua,
Tengku Razaleigh tentu tahu bahawa salah satu aspek penting yang ingin dipinda
di dalam perlembagaan negeri ialah yang berhubung dengan maksud nasihat yang
membawa konotasi bahawa pindaan akan mewajibkan nasihat dari Menteri Besar
diterima dan inilah yang sedia wujud di peringkat pusat di mana nasihat Perdana
Menteri mesti dipatuhi oleh Yang di-Pertuan Agung.
Ketiga,
Sekiranya Tengku Razaleigh mahu mengaitkan pindaan perlembagaan ini dengan
dendam, tolong jelaskan apakah sewaktu Perdana Menteri mencadangkan pindaan ini
di peringkat pusat pada tahun 1994 dulu pun ianya dilakukan kerana dendam juga
kerana Kerajaan Negeri Kelantan hanyalah sekadar mahu mengikut apa yang
dilakukan oleh Perdana Menteri.
Keempat,
Bagaimanakah kami dikatakan berdendam sedangkan isu campur tangan pihak istana
di dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan negeri telah berjalan sejak zaman
pre-1990 lagi, hatta Tan Sri Mohamad Yaakob pernah diharamkan memasuki istana
dan Tan Sri Hussein Ahmad pernah di tarik balik bintang kebesarannya di waktu
pemerintahan UMNO/BN lagi.
Kelima,
Tengku Razaleigh membayangkan bahawa kemungkinan Sultan tidak akan
menandatangani perkenan, tetapi tidakkah dengan ini Sultan telah tidak bertindak
mengikut perlembagaan. Apakah ini yang Tengku Razaleigh mahu?
Keenam,
Tidak timbul soal Kerajaan Negeri Kelantan tidak melaksanakan pindaan ini
justeru ia menentang Perdana Menteri sebelum ini kerana pada hakikatnya kesemua
Ahli Parlimen PAS menyokong pindaan ini di dalam sidang Dewan Rakyat pada 10 Mei
1994 dan di dalam sidang Dewan Negara pada 17 Mei 1994.
Ketujuh,
Sebagai pemegang amanah parti yang akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat
kelak, YAB Menteri Besar Kelantan telah lama mahu menunaikan kehendak parti yang
mahukan pindaan ini dibuat, tetapi hanya setelah memenangi majoriti 2/3 di Dewan
Undangan Negeri Kelantan pada penghujung tahun 1999 barulah kehendak parti itu
dapat insya'allah direalisasikan.
Kelapan,
Hasil daripada kemenangan ini, desakan-desakan supaya pindaan ini disegerakan
telah ditimbulkan oleh berbagai-bagai pihak, khususnya Muktamar Agung PAS Ke 46
pada 4 Jun 2000, dan, di atas arahan Pejabat Agung PAS, usul daripada muktamar
agung ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Harian PAS Negeri Kelantan pada 13
Februari 2001.
Kesembilan,
Kesemua urutan ini memberikan gambaran tentang sejarah berbangkitnya kesedaran
pindaan perlembagaan post-1999 yang sekaligus mengenepikan peranan emosi di
dalamnya, di mana hanya setelah agak lama menantikan suasana perang dingin yang
tidak produktif apatah lagi menguntungkan sesiapa itu berlalu barulah pindaan
ini dilaksanakan.
Kesepuluh,
Kita juga mahu menanyakan Tengku Razaleigh sama ada beliau sendiri yang
sebenarnya mahu melepaskan dendamnya apabila beliau mengeluarkan kenyataan
sebegini kerana apabila beliau menyatakan penentangannya kepada cadangan pindaan
ini tidakkah ini bermakna yang beliau kini masih lagi menentang pindaan asal di
peringkat pusat dahulu?
|