MINDA TOK GURU
‘Pahala’ Dan ‘Rahmat’ Menyokong PAS
(Menjawab Awang Sulung UM 8 Jun 2002)
Saya perlu memuji dan mengucapkan terima kasih
diatas sikap Awang Sulung yang cuba meluaskan skop ‘dosa’
dan ‘pahala’ dengan perkara
‘rahmat’ pula. Sikap beliau yang bertanyakan khabar
mengenai “dengan pahalakah atau dengan rahmatkah seseorang itu dimasukkan ke Syurga”;
adalah baik. Ini akan memberi ruang kepada adanya soal jawab. Dalam hubungan ini, saya teringatkan sikap Nabi S.A.W.
yang tidak pernah menutup mulut sesiapa juga termasuk orang bukan Islam untuk melahirkan pendapat yang berbeza. Apa yang
ada ialah mengemukakan jawapan balas. Nabi juga tidak pernah kenakan ISA dan Nabi tidak pernah menutup mulut sesiapa
pun. Kalau Nabi begitu, maka begitulah juga kita. Itulah cara Nabi. Cara sekat orang dari bersoal jawab tidak betul.
Cara Awang Sulung mengendalikan ruangan ‘BISIK-BISIK’
dalam Utusan Malaysia keluaran 8 Jun 2002 sudah
betul; sekurang-kurangnya untuk hari itu. Dia buat cara yang betul.
Sebagai jawapan, saya boleh terimalah
bahawa jawapan “Manusia boleh dimasukkan ke Syurga pada akhirnya kerana rahmat Allah.”
Ini jawapan yang berkecenderungan Tasauf. Bagaimanapun saya masih suka mengambil pendekatan dakwah secara biasa yakni
turun ke akar umbi.
Apabila kita bercakap mengenai akar umbi, kita mesti menyebutkan soal dosa dan
pahala. Ini merupakan kaedah tauhid. Orang sufi bercakap memasuki Syurga dengan rahmat tetapi bagi orang awam
yang terdiri daripada rakyat majoriti, saya lebih suka mengambil pendekatan mendidik melalui pahala dan dosa yang agak
mudah. Perkataan ‘rahmat’ itu adab berbahasa
sahaja kerana dikhuatiri menjadi terlalu ‘muktazilah’,
sekadar itu sahaja. Sekadar untuk mengelak daripada lidah kita seolah-olah memaksa Tuhan memasukkan kita ke dalam Syurga
kerana pahala semata-mata. Jika Awang Sulung masih mahu menukarkan semua perkataan ‘pahala’ kepada ‘rahmat’ maka
terpaksalah beliau bekerja keras untuk mencari perkataan ‘pahala’ dan menukarnya kepada perkataan ‘rahmat’ satu persatu.
Barulah beliau boleh menukarkan kenyataan saya iaitu “Mengundi PAS di tahun 1990 mendapat ‘rahmat’
daripada Allah S.W.T.” Bagi saya, undi PAS dapat ‘rahmat’ atau undi PAS
dapat ‘pahala’, tidak menjadi masalah. ‘Rahmat’ pun tidak mengapa dan ‘pahala’ pun tidak mengapa.
Dalam ‘BISIK-BISIK’, Awang Sulung ada
menyentuh tentang “orang-orang yang beriman kepada Allah dituntut bertakwa dan beramal soleh”.
Iman itu apa? Tentunya bermakna menyakini 6 Rukun
Iman iaitu asas-asas kepercayaan seorang Islam.
Diantara 6 perkara Rukun Iman itu, tidakkah kita dikehendaki percaya kepada Kitab,
yakni Al-Quran. Dalam Al-Quran ada disebutkan perkataan
“Athawwa atau Al Ajrun”.
Ini bermakna pahala. Ada pula disebut perkataan “Al Ithmu”
atau dosa. Cuba lihat dalam Surah Al-Hadiid Ayat 7
sebagai misalnya. Ia membawa maksud “Orang yang beriman dan berderma itu adalah memperolehi
pahala yang besar”. Di sini, beranikah
‘BISIK-BISIK’ tukarkan perkataan ‘pahala’ kepada perkataan ‘rahmat’? Munasabahkah atau tidak berdosakah?
Dalam hal beriman juga, ia menyentuh
tentang kepercayaan kepada adanya Hari Kiamat. Jumhur Ulama’ memahami hari selepas kiamat adalah Hari Pembalasan dimana
‘pahala’ dan ‘dosa’ yang dibuat oleh seseorang manusia di masa hidupnya akan dihitung dan diadili. ‘Pahala’ dan ‘dosa’ itu
sebagai kaedah. Ia cara untuk membalas segala ‘dosa’ dan segala ‘pahala’ dengan Syurga atau Neraka. Ia sesuai dengan
fitrah kejadian manusia yang sukakan penghargaan. “Reward”
akan menaikkan semangat beribadat. Walaupun Allah S.W.T boleh membuat paksaan , tetapi kaedah menawarkan pahala lebih
serasi dengan fitrah manusia. Sungguhpun kita akui bahawa Allah memasukkan seseorang ke Syurga pada akhirnya dengan
rahmatNya tetapi Allah tidak berikan ‘rahmat’ sesuka hati. Sebab itu ia kirim Nabi untuk mengajar umat manusia dengan
kaedah-kaedah berupa amalan dan perbuatan yang boleh menjadikan ianya taat atau maksiat; pahala atau dosa. Allah tidak
memasukkan seseorang ke Syurga atau melemparkan ke Neraka sesuka hati. Para Nabilah yang mengajar kaedah-kaedah yang
menjadi ikutan dan dipanggil Sunnah. Contohnya di Kelantan, kita haramkan riba kerana Islam, kita kempen menutup aurat
kerana Islam. Kita adakan rumah awam kos rendah 3 bilik
kerana Islam, kita beri cuti lebih sehari dalam seminggu kerana Islam, kita adakan Bulan Sembahyang dan Ihya Ramadhan
kerana Islam. Kita asuh rakyat kita supaya tidak mendekati maksiat kerana Islam. Kita tutup night club dan tidak
benarkan premis judi kerana Islam. Kita jumpa dengan pemimpin agama lain untuk mengembangkan Islam. Kita adakan dialog
Islam – Kristian yang dipengerusikan oleh Dr. Jomo Sundram di Kuala Lumpur pada bulan Februari 2001
kerana Islam. Oleh sebab itulah saya akhirnya menyatakan bahawa
mengundi PAS dalam Pilihanraya 1990 itu mendapat pahala. Ini kerana PAS membuat kerja-kerja yang menghapuskan kemungkaran
dan menyuburkan kebaikan. Kaedah ini adalah kaedah yang diajar oleh Nabi S.A.W. Dalam soal Hari Pembalasan juga, dalam
Surah Al-Faatihah sendiri menyebut tentang “Allahlah penguasa di Hari Pembalasan.”
Apa itu hari pembalasan di akhirat, jika tidak Tuhan mahu membalas kerja-kerja baik dengan ‘pahala’ dan kerja-kerja jahat
dengan ‘dosa’. Mahu balas dengan apa? Balasannya ialah dengan Syurga atau Neraka.
Ada juga disebut bahawa Nik Abd. Aziz
“tidak habis-habis mahu bercakap fasal pahala mengundi PAS”.
Jawabnya, memang saya tidak akan puas-puas menyebutkan tentang dosa dan pahala. Saya akan tetap sebut sampai bila-bila.
Selagi PAS memainkan peranan menegakkan makruf dan menentang kemungkaran maka selagi itulah mereka yang menyokong parti PAS
akan mendapat ‘pahala’. UMNO pun kalau nak sebut undi UMNO dapat pahala pun tak apa. Sebutlah. Biar rakyat pakat
dengar. Kenapa kalau badan NGO membuat kerja-kerja amal dianggap berpahala. Mengapa bila parti PAS yang berdaftar dan
mempunyai perlembagaan tiba-tiba pula dianggap sebagai tidak mendapat ‘pahala’ apabila membuat kerja yang sama. Sebenarnya
perkara asas untuk mendapat ‘pahala’ ialah setiap amal yang ikhlas berasaskan kepada Al-Quran dan Sunnah. Dasar
dan sandaran adalah Al-Quran dan Sunnah. Jika nakkan parti berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah, PAS ada dah dan jika
nakkan parti yang tidak pakai Al-Quran dan Sunnah, UMNO ada dah - pah Awang Sulung nak buat lagu mana? Kena buat parti
ketigalah nampaknya. Parti baru itu mestilah berjuang atas Al-Quran dan Sunnah. Nak berjuang atas Al-Quran dan Sunnah
bagaimana kalau parti sedemikian sudah ada iaitu Parti PAS. Perlembagaan kita jelas mahu Al-Quran dan Sunnah. Hukum
Hudud yang kita cadangkan jelas didasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah dan dasar-dasar yang kita putuskan di negeri-negeri
yang kita perintah semuanya bersemangatkan Islam.
Demi melaksanakan tuntutan sebagai
hambalah Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh PAS sedang menggunakan Al-Quran dan Hadith sebagai
panduan. Kita mencari ‘pahala’ dan mengelakkan diri dari melakukan dosa-dosa sambil berdoa agar sentiasa diberi ‘rahmat’
oleh Allah S.W.T. baik di dunia dan di akhirat nanti.
Saya berterima kasih kepada Awang
Sulung. Jawapan saya ini kira-kiranya sudah jelas dan tak mungkin lagi boleh menimbulkan kekeliruan bagi mereka yang mahu
mengerti.
Menteri Besar Kelantan
Kota Darulnaim
Kota Bharu.
Bertarikh: 28 Rabiul Awal 1423
/ 10 Jun 2002
|