Minda Tok Guru
TAQWA “PERKATAAN ATAU
PELAKSANAAN”?
Saya sempat juga melihat sebuah e-mail yang
menyuruh saya meletakkan taqwa antara dua mata saya. (Lihat
Mingguan Malaysia 15 September 2002). Dengan mengandaikan
hantaran SMS bernombor telefon 012-2753372 sebagai benar,
sukalah saya bertanyakan satu soalan mudah. Apa itu taqwa?
Dalam bahasa yang ringkas, taqwa itu bermaksud berhati-hati
dan sentiasa duduk dalam keadaan beringat serta berjaga-jaga
dalam mematuhi segala hukum Allah di sepanjang hidup kita.
Junjung segala suruhan Allah dan tinggalkan segala laranganNya.
Ciri-ciri taqwa ada disenaraikan dengan banyak di dalam
ayat-ayat Allah s.w.t yang boleh dikesan di dalam Surah Al-Baqarah
2-5 dan 177, Al-Imran 133-135, An-Nahl 30-32, Al-Anbiyaa
48-49, Azzumar 33 dan Al-Lail 17-19 . Ringkasan kandungan
ciri-ciri taqwa dari ayat-ayat berkenaan adalah seperti
berikut :
Seseorang yang mendirikan solat, beriman kepada Al-Quran dan
kitab-kitab, yakin tetang adanya pembalasan di akhirat,
beriman kepada yang ghaib, menafkahkan sebahagian hartanya
baik di waktu lapang atau sempit, menahan nafsu amarah, bila
melakukan perbuatan yang keji dia ingatkan balasan Allah, suka
memohon keampunan, tidak meneruskan perbuatan keji, takut akan
azab Tuhan mereka, membawa kebenaran Nabi Muhammad s.a.w dan
membenarkannya, bersembahyang malam, dan menafkahkan
sebahagian harta di jalan Allah.
Ertinya, setiap orang baik PAS atau UMNO ; selama menganut
agama Islam, dia wajib beramal di atas ciri-ciri ini secara
keseluruhan. Kalau sembahyang mesti khusyuk, kalau beriman
kepada Al-Quran mesti secara syumul, benar-benar takutkan
pembalasan di akhirat, bila melakukan kesalahan dan perbuatan
keji dan mungkar terus cepat-cepat menyesal dan mengubah sikap
setelah bertaubat. Demikianlah tuntutan Islam ke atas kita
semua umat Islam jika mahu hidup dalam keadaan bertaqwa.
Sejak dari kira-kira 40 tahun yang lalu sampailah sekarang,
saya tidak putus-putus berikhtiar untuk cuba hidup dalam
suasana taqwa seperti yang diisyaratkan oleh maksud ayat-ayat
di atas. Baik semasa mendidik anak, isteri atau rakyat
Kelantan, saya amat mengambil berat tentang prinsip taqwa.
Saya memberi kuliah agama dan tazkirah setiap selepas
sembahyang Subuh dan pada setiap malam Khamis dan Jumaat. Ini
telah dijadualkan. Saya mengupas tafsir Al-Quran di hujung
minggu pada setiap pagi Jumaat. Di sebelah siangnya saya sibuk
melaksanakan amanah yang di berikan oleh rakyat untuk
memerintah dengan keadilan Islam selaku Menteri Besar Kelantan.
Begitulah sebahagian dari komitmen saya. Di samping itu, di
setiap pentas ceramah yang datang silih berganti sama ada
malam atau siang di sepanjang hidup saya, saya akan
ketengahkan hujah-hujah yang berteraskan “ittaqullah”. Ma’ruf
wajib ditegakkan dan mungkar itu wajib pula ditentang.
Insyallah dan Alhamdulillah ; saya bina setiap hujah di atas
landasan taqwa berasaskan hujah Al-Quran dan Hadith.
Tidak cukup dengan itu, saya telah dan terus akan melaksanakan
Islam secara istiqamah . Di sepanjang 12 tahun yang lalu,
Kelantan telah menyaksikan usaha-usaha ke arah ini. Bermula
dari anjuran menyebarkan salam, kempen menutup aurat,
memberikan
cuti 2 hari seminggu kepada semua penjawat awam, menambah cuti
rehat kepada wanita yang bersalin, memindahkan simpanan
kerajaan ke akaun Bank Islam, menganjurkan bulan sembahyang,
mensyaratkan penyediaan 3 bilik untuk setiap Rumah Awam Kos
Rendah, melancarkan program Ihya’ Ramadhan, mewujudkan Tabung
Serambi Mekah, membentang dan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah
Syariah II 1992, mengadakan Enakmen Kawalan Hiburan 1998,
menyediakan peruntukan purata tahunan sebanyak RM 30 juta
dalam merangsang kemajuan di bidang pendidikan Islam, menutup
Nite Club, tidak memberikan kebenaran premis untuk kegiatan
perjudian dan mengawal pengeluaran lesen tempat-tempat
penjualan arak. Pendek kata, banyak lagi. Saya akan berkhutbah
Jumaat di atas Mimbar bila berkelapangan. Saya sentiasa
pastikan setiap keputusan yang diambil dalam Mesyuarat Exco
dan Kerajaan Negeri tidak bercanggah dengan Al-Quran dan
Hadith. Walaupun saya tahu bahawa ini masih belum mencukupi
tetapi sekurang-kurangnya saya telah mencuba sedaya- upaya
saya .
Untuk mempastikan berlaku kesinambungan, kami telah mengorak
langkah jangka panjang sejak daripada tahun 1995 dengan
merangka program pendidikan bersepadu yang memuatkan ilmu
Sains, Matematik dan lain-lain matapelajaran akademik dengan
mata-matapelajaran agama yang meliputi aspek Feqah, Sirah,
Akhlaq dan Tasawwuf dalam satu kurikulum. Di bawah sekolah–sekolah
YIK, program pendidikan bersifat integrasi berkenaan adalah
langkah melahirkan pemimpin dan insan cemerlang. Mereka bukan
hanya akan menjadi pakar di pelbagai ilmu keduniaan seperti
ahli biologi, geologi atau saintis tetapi sekaligus mereka
adalah alim ulama’ yang menguasai ilmu akhirat. Sebab itulah
apabila Allah s.w.t menyebutkan tentang ilmu mengenai hujan
dari langit serta buah-buahan dan sifat gunung-gunung yang
bergaris putih dan beraneka warna dalam ayat ke 27 Surah
Faathir, Allah telah menyambung dengan ayat ke 28 yang
bermaksud “dan demikian (pula) di antara manusia,
binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang
bermacam-macam warnanya (dan jenisnya). Sesungguhnya yang
takut kepada Allah di antara hamba-hambanya hanyalah ulama’.
Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah
Faathir ayat 28). Hikmah Allah S.W.T menamatkan sifat ulamak
yang takutkan kepada Allah setelah menyebut ilmu mengenai
hujan, langit, galian, logam dan binatang ternak benar-benar
merumuskan kepelbagaian keperluan yang menjadi kewajipan
ulamak menguasainya. Semua langkah ini sedang berjalan bagi
melahirkan generasi pemimpin dan rakyat yang berilmu,
bertaqwa dan berkebolehan dalam pelbagai bidang.
Tidakkah ini semua kerja taqwa? Soal anjuran yang meminta saya
meletakkan taqwa di antara kedua-dua mata jelas sekali
menampakkan unsur kekeliruan. Ia cuba bersifat sinis dan ada
unsur penghinaan. Tidak ada sangkaan lain yang boleh saya buat
diperingkat ini ke atas penulis e-mail tersebut selain
daripada beliau sama ada bertaraf budak suruhan atau seorang
yang tidak mempunyai maklumat yang cukup. Dengan ringkasan
contoh-contoh yang telah diberikan saya bukan lagi meletakkan
taqwa di dahi, malah saya telah menjunjung taqwa di atas
kepala saya dengan sepenuh-penuhnya. Demi taqwalah saya kini
sedang berdepan dengan rintangan dan pengkhianatan. Saya
telah dicuba, diuji, digertak, diancam dan difitnah sedang
saya diberkas rapi dengan segala macam ikatan. . Di atas nama
taqwa jugalah saya bersabar. Di atas nama sifat taqwa jugalah
saya menjawab walaupun lorong saluran suara saya telah
dicengkam peraturan, akta itu dan ini sesempit lubang
tempurung. Saya terus melangkah dalam kesulitan demi sebuah
Islam yang saya kasihi. Saya sedar ini semua adalah asam garam
pendakwah yang pernah dilalui oleh para nabi dan rasul. Mereka
lebih dahulu dan lebih berat menanggung ujian.
Jika apa yang saya ikhtiarkan ini masih dikira tidak bertaqwa,
maka saya sudah tidak tahu lagi. Mungkin yang perlu ialah
semakan keatas apa yang dilakukan oleh UMNO kini. Manalah
tahu mereka lebih bertaqwa? Mari sama-sama kita lihat 14
amalan kerajaan Pusat yang berkaitan.
a) Terdapat 27 kilang arak yang sedang beroperasi secara
berlesen di seluruh negara tajaan Kerajaan Malaysia ;
b) Harga 1 tin arak sama murah dengan Coca-Cola di Pulau
Lagenda ;
c) Kerajaan menimba keuntungan tahunan bernilai jutaan
ringgit setiap tahun dari industri judi;
d) Kerajaan tidak pernah bercadang atau berura-ura pun
melancarkan kempen menutup aurat. Semasa melancarkan kempen
bulan sembahyang di Kelantan, saya telah dikritik hebat oleh
seorang bekas ADUN yang bernama Ustaz Zainal Abidin daripada
Melor kerana dikira membazirkan wang rakyat;
e) Kerajaan Pusat menolak perlaksanaan hukum hudud dan
qisas sedangkan ini adalah nas yang tidak boleh ditolak.
Alasannya ialah hudud PAS. Jika hudud PAS kononnya dikatakan
zalim, mana hudud UMNO yang dikatakan tidak zalim;
f) Kerajaan Pusat tidak mengambil apa-apa tindakan pun
keatas orang yang menghina janggut Nabi;
g) Kerajaan Pusat isytiharkan negara Islam tetapi enggan
berbahas mengenainya. Mengikut Perdana Menteri ia mesti
dilaksanakan tanpa apa-apa perubahan. Selagi tiada pindaan,
Quran dan Hadith akan terus berada di bawah dari undang-undang
ciptaan manusia;
h) Tidak terdapat akta yang mengawal etika berpakaian,
berhibur dan berseronok-seronok yang menampakkan komitmen
moral kerajaan yang sungguh-sungguh untuk mengawal keruntuhan
akhlak yang sentiasa diheboh-hebohkan;
i) Persatuan Ulama’ Malaysia telah dituduh sebagai hilang
akal kerana menyokong saya;
j) Timbul pelbagai keraguan tentang pengendalian proses
pengadilan dalam kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim;
k) Bagaimana pula dengan kisah Menteri Perdagangan
Antarabangsa, Dato’ Seri Rafidah Aziz atau Tan Sri Eric Chia
yang dituduh mengamalkan rasuah bernilai jutaan ringgit? ;
l) Kes bekas Ketua Menteri Melaka masih menjadi misteri
hingga sekarang .
m) Apakah penyalahgunaan wang PPRT berjumlah RM36.5 juta
yang disebut-sebut turut melibatkan bekas Menteri Pembangunan
Luar Bandar membayangkan amalan taqwa?
n) Berita mengenai laporan polis yang dibuat oleh ADUN
Beserah Datuk Fauzi Abdul Rahman yang melibatkan tuduhan
penyelewengan Tan Sri Khalil Yaakob sudah dua tahun belalu
tanpa sebarang kemajuan. Ustaz Bunyamin Yaakob bekas ahli
Parimen Malaysia pula terus dibuka fail dan menjadi kes
dimahkamah dalam tempoh dua bulan sahaja.
Dengan contoh di atas, dapatlah kiranya kita semua mengukur
tahap taqwa orang-orang UMNO. Jika menteri-menteri dalam
Kabinet Kerajaan Malaysia meletakkan taqwa di antara kedua
biji mata mereka, tentunya tidak akan berlaku amalan-amalan
terkutuk ini. Jika mengamalkan sangkaan baik, maka mungkin
saya boleh beranggapan bahawa nasihat yang terkandung dalam
hantaran SMS berkenaan telah tersilap nombor. Ia lebih
relevan ditujukan kepada Bapak Menteri atau Bapak-bapak
Menteri yang berpakaian biru. Relevan kepimpinan mereka
perlu dipersoalkan dari 14 soalan kuiz di atas. Jika semuanya
membuktikan tiada sifat ketaqwaan, maka itulah jawapannya.
Soal melaksanakan Islam secara bijaksana,
berperingkat-peringkat dan perlahan–lahan ; itu semua adalah
dalih dan alasan yang dibuat-buat. Telah terlalu lama rakyat
menunggu setelah 45 tahun penjajah dihalau dari bumi yang
kononnya merdeka ini. Dalam suasana begini saya mahu
bertanyakan ; apakah taqwa itu cuma sekadar perkataan yang
berputar-putar atau amalan yang jitu mengikut sukatan dari
resepi langit dalam segenap segi. Hanya pemimpin sekular dan
pengikut-pengikutnya sahaja yang boleh menghargai alasan yang
berdolak-dalik demi memburu harta, pangkat dan kuasa .
Dengan kata-kata itu saya ingin terus mengajak diri saya untuk
bertaqwa. Dalam kesempatan yang sama juga izinkan saya
menghantar mesej SMS saya yang agak panjang ini kepada penulis
e-mail berkenaan supaya turut juga bertaqwa. Tidak lupa juga
kepada para pemimpin Negara. Itupun jika mesej ini dapat
sampai ketangan tanpa apa-apa pindaan.
Nik
Abdul Aziz Bin Nik Mat
Mursyidul
Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan
Bertarikh
:14 Rejab 1423 / 21 September 2002
|