Make your own free website on Tripod.com

Home ]

'Barua'

Back ] Next ]

 

  ‘BARUA’

 

Setiap aksi adalah reaksi kepada aksi yang lebih awal.   Tumbukan pertamalah yang biasanya melahirkan tumbukan kedua sebagai reaksi atau tindak balas.   Apabila kedua pihak sudah mula bergelut, soal siapa yang memukul lebih kuat sudah kurang penting lagi.   Demikian jugalah dalam sebuah pertentangan.   Soalnya siapa yang memulakan.

            Polimik mengenai ‘barua’  telah dikompang dengan riuhnya oleh radio dan televisyen Malaysia hampir setiap jam mulai 9 Mac 2002.    Sehingga rencana ini ditulis (5 Muharam 1423/19 Mac 2002) ia masih memutarkan hal yang sama dengan menagih komen Mufti Perak dan  Sabah pula untuk lebih memberikan kesan (siaran pada 19 Mac 2002).   Entah bila akan dihentikan pun tidaklah pula diketahui.   Ia dihidupkan sama ada sebagai satu slot di dalam berita atau berselang seli dengan iklan.   Entah ianya satu berita atau tidak bernilai berita dan bertukar menjadi propaganda sudah tidak penting lagi di sisi pemilik kekuasaan.

          Cubalah kita tanya apa latar belakangnya.   Seperti yang digalurkan dengan tepat oleh Menteri Besar Kelantan, ianya bermula dari peristiwa seorang Menteri UMNO yang diberi kebenaran berkhutbah di sebuah Masjid pada hari Jumaat, sehari sebelum hari pembuangan undi dalam Pilihanraya Kecil Indera Kayangan di Perlis.   Cuba kita tanya lagi apa yang sebenarnya berlaku dalam suasana memuncaknya kempen pilihanraya berkenaan.

          Tidakkah dalam satu Solat Subuh berjemaah di sebuah masjid yang dihadiri oleh Dato’ Nik Abdul Aziz, beliau bukan setakat tidak dipelawa untuk menjadi Imam, malah orang kuat masjid telah cepat-cepat merampas mikrofon, lalu memunggahnya ke dalam peti bergari sebaik-baik selesai Sembahyang.   Ini berlaku pada pagi Jumaat yang sama iaitu pada 18 Januari 2002.

          Kemudian, pada hari yang sama juga kita diberitahu tentang keganasan yang dilakukan ke atas beberapa kenderaan milik petugas Parti Keadilan dimana semua cermin depan dan tingkap dihancurkan.   Ada pula seorang anggota polis yang bernama Koperal Mohd. Salleh termasuk dua orang pemuda bernama Johari Md Yasin dan Ab. Rahim telah ditendang dan dibelasah dengan teruk.   Semuanya ini telah dirakam dalam keluaran Harakah bertarikh 1 – 15 Februari 2002 siap dengan bukti bergambar.   Ini latar belakangnya.

          Dalam keadaan Nik Ab.  Aziz yang tidak terfikirpun untuk menjamah mikrofon kerana sudah “tahu sama tahu” pada pagi itu,  tiba-tiba seorang Menteri yang mewakili Parti Kerajaan telah diberikan mimbar, tongkat dan mikforon sepenuhnya  di masjid untuk berkhutbah.   Tidakkah nyata senyata-nyatanya yang arahan “tidak boleh membawa politik ke dalam masjid”   hanya perlu dipatuhi oleh PAS sahaja.    Kalau ditanya apakah kandungan khutbah itu,   umat Islam seluruh Malaysia boleh sama-sama membuat tekaan dalam suasana esok hari pembuangan undi.   Faham-faham sahajalah.    Perkara ini berlaku di hadapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri.    OK  sahaja.   No  problem.   Cuba kalau Tuan Guru Dato’ Nik Ab. Aziz yang sebaliknya diberikan tongkat untuk membaca khutbah oleh ahli kariah.   Cuba   bayangkan apa pula bentuk reaksi dan implikasi.   Tentu akan keluar filem baru dalam versi yang lain.   Silap-silap, turun naik Balai Polislah jawabnya.

          Terlanjur menyentuh tentang reaksi, perkataan Tok Guru Nik Ab. Aziz jelas merupakan sebuah reaksi.   Ia sebuah tindak balas kepada intimidasi pemimpin UMNO yang terlalu tidak adil baik semasa Pilihanraya Kecil Indera Kayangan atau sebelumnya.   Ia berpanjangan.   Untuk mudah memahami erti intimidasi UMNO/BN, mari kita senarai ringkaskan sepuluh (10) “deadly sin” (kesalahan yang amat merbahaya) mereka dalam bentuk pertanyaan:

i)                   Pernahkah disepanjang 11 tahun menjadi Menteri Besar, Nik Abdul Aziz yang terkenal sebagai seorang ulama’ diberikan “air time” tanpa gangguan untuk menyampaikan ceramah?

ii)                 Kenapa hanya kali ini sahaja diberikan liputan meluas berbelas kali dalam sehari di saluran-saluran TV?  Dari segi kandungan ceramah, kenapa diambil badan dibuang lengan dan diambil lengan ditinggal siku dari ceramah beliau? Kepala dan ekor dimana?

iii)               Kenapa TV tidak heboh dan tayangkan Menteri Besar Selangor yang ghairah memanggil Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Ab. Aziz dan  Dato’  Seri  Hj.  Ab. Hadi Awang sebagai pendeta Yahudi dan Nasara   (Lihat Berita Harian bertarikh 9 Februari 2002).   Kenapa tidak ditayang secara berulang lengkap dengan ulasan Mufti dan reaksi orang ramai seperti yang sedang dibuat sekarang?

iv)              Tidakkah Dato’ Nik Ab. Aziz digelar dengan bermacam-macam nama sebelum ini seperti ulama’ pisau raut, dalam serban ada ular, ulama’ pelampau, ulama’ bapa pengganas, ulama’ militan, ulama’ yang tidak reti memerintah, ulama’ pondok kolot, ulama’ menyeleweng dan nak makan sup tangan, silalah ke Kelantan.

Mana sedutan filemnya?   Kenapa slot yang menunjukkan pemimpin UMNO yang mencela ulama’ tidak dipetik-petik dan muatkan secara “live” di TV secara berulang-ulang kali?

v)                Tidakkah langkah mengharamkan pembangkang dari berceramah mulai Julai 2001 sampai ke hari ini adalah “instigation”(hasutan),  “distortion”(memutar belit), “deprivation”(pelucutan), “suspension”(penggantungan) dan “intimidation”(ancaman) kepada segala hak-hak demokratik yang dijamin oleh Perlembagaan Negara kepada rakyatnya?

vi)              Tidakkah dengan tidak memberi permit setelah dipohon malah diikuti pula dengan kepungan, serbuan, semburan dan pukulan 

telah merampas hak berhimpun dan menyatakan pendapat dalam keadaan aman?

vii)            Bila masa ceramah PAS berakhir dengan keganasan?  Buktikan?

viii)          Kenapa diberkas tangan, kaki, lidah dan mulut rakyat dengan segala akta?

ix)              Kenapa tidak dibuat debat terbuka mengenai Malaysia Negara Islam atau bawa kes Memali ke Mahkamah walaupun sudah 17 tahun?   Memadaikah dengan menayangkan filem yang diubahsuai untuk mencari keadilan?

x)                Akhir sekali, tidakkah semua tekanan ini akan mengundang retaliasi (tindak balas) kerana ia berlawanan sama sekali dengan sifat dan naluri semula jadi setiap manusia?    Tidakkah air yang dicerek tetap tenang di atas api untuk seminit pertama?   Bagaimanapun ia akan menendang tudung dan melimpah tanda protes bila dipanaskan berpanjangan.

Sepuluh soalan di atas adalah latarbelakang.   Ia melengkapkan lagi syarat untuk meletupnya perkataan ‘barua’ daripada mulut Menteri Besar Kelantan di PUTIK pada malam ceramah tertutup PAS yang dimaksudkan itu.   Himpunan tekanan, kezaliman, herdikan dan intimidasi yang berulang dan berpanjangan inilah yang memungkinkan terlontarnya sebuah reaksi.   Ia adalah rentetan tindak balas dari aksi-aksi kezaliman yang diluar semangat perikemanusiaan, demokrasi dan Islam.    Ia menginjak seluruh nilai-nilai keinsanan lalu dinamakan oleh Tuan Guru Dato’ Hj. Nik Ab. Aziz dengan panggilan yang bukan berbunyi insan  lagi.    Ia selayaknya dipanggil begitu setelah ulama’ atau ulama'-ulama' atau kerajaan yang sepatutnya memainkan peranan mulianya yang sebenar iaitu memimpin pemimpin dan rakyat kepada yang hak dan menentang kemungkaran telah terpesong jauh dari memainkan peranan tunjangnya.    ‘Dia’  telah menjadi alat bagi menjayakan usaha-usaha memberkas ‘hak’ dan kebenaran dari terserlah.   ‘Dia’ berdiri di mimbar bukan lagi untuk menegur dan mengingatkan manusia dengan “ittaqullah” secara sesungguhnya kerana ‘dia’ sendiri sedang takut “dengan manusia”.     Bagaimana mahu takut kepada Allah dan mahu mengajak manusia untuk takut kepada Allah?

          Buat Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, sukacita kita menyeru beliau untuk lebih bertenang dalam meneliti isu.    Punca, sebab dan akibat keluarnya kata-kata kesat perlu diikuti dengan baik sebagaimana perlunya kita meneliti asbab turunnya Ayat Tabbat yang masyhur itu.   Sebelum beliau kononnya bersedih, kesal dan mula berdukacita seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 19 Mac 2002, eloklah beliau berdukacita dan menasihati sikap Menteri Besar Selangor yang memanggil Menteri Besar Kelantan dan Menteri Besar Terengganu sebagai pendeta Yahudi dan Nasara (Berita Harian 9 Februari 2002) terlebih dahulu.    Ab. Hamid Othman juga perlu menjawab 10 pertanyaan yang telah kita kemukakan untuk memahami kewajaran penggunaan perkataan  ‘barua’  oleh  seorang ulama’ yang ditujukan kepada ulama' atau ulama'-ulama' atau kerajaan’.    Mungkin ia juga sebuah peringatan.    Semestinya dalam uslub yang sedikit berlainan.

          Akhirnya, kita pulangkan kepada seluruh umat Islam untuk memanggil mana satukah dari mereka sebagai ulama’ sebenar dengan segala hujah dan latar belakang seperti yang telah diberikan.   Pilihlah.   Tiada paksaan dalam berhujah.     Sementara wayang dimainkan orang, fikir-fikirlah.

 

 

Anual Bakhri bin Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh:6 Muharam 1423/20  Mac 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates