Home ]

Selamatkan Malaysiaku

Back ] Next ]

 

SELAMATKAN MALAYSIAKU

 

Sibuk benar Dato’ Pa mendedahkan kerugian pelaburan berjumlah RM 2.3 billion di Kelantan. Entahkan ya entahkan tidak angkanya pun satu hal. Satu untuk projek di Pengkalan Kubur dan satu lagi di Kuala Krai.  Demikianlah katanya.  Dari berpuluh-puluh projek swasta  yang berjaya, Dato’ Pa pilih 2 yang tidak berjaya.  Biasalah tu bagi UMNO yang kebuluran modal dan hujjah.  Jika beliau benar-benar jujur, beliau perlu turut sama sebutkan projek-projek swasta yang cemerlang dan kini tersergam gagah boleh disaksikan dengan mata kepala seluruh rakyat.  Jika perlu disenaraikan, kita boleh sebut projek-projek seperti Hotel Diamond Puteri, Renaissance, Billion, Hotel New Pasific, Wisma Abrar, Perpustakaan Dar Nur Azzahra, pelbagai institusi pendidikan, skim-skim bekalan air, perubatan, sekolah-sekolah baru, klinik-klinik baru yang bertaburan serta lain-lain kemudahan infrastruktur.  Senarainya terlalu panjang.  Terdapat berbelas-belas lagi pusat membeli belah yang bersih menawarkan beranika barangan berkualiti, murah dan 'competitive' baik di Kota Bharu, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur.  Dengan segala tarikan keunikan budaya, kebaikan akhlak dan keindahan alam semulajadi, Kelantan telah mampu menarik pelancung dan menjadi tumpuan destinasi musim cuti dan diluar cuti sekolah dari segenap penjuru alam.  Segala puji bagi Allah. “Tuan boleh sekat satu laluan tetapi tuan tidak akan mampu menyekat seribu laluan rezeki gantian yang dibuka oleh Allah.”  Demikian kata seorang ustaz yang jujur di TV3 mengenai topik rezeki di satu pagi di satu masa.

 

Apa yang disebut oleh Dato’ Pa sebagai kegagalan hanyalah sebuah gimik murah berbentuk generalisasi.  Jika mahu lebih beranalisis, kita perlu akui bahawa apa yang dirancang kadangkala tidak serupa dengan perkembangan semasa.  Adakalanya pihak swasta berkenaan mengalami masalah “cash flow” dalaman dan ada ketikanya mereka berdepan dengan “unculculated risk” yang diluar jangka.  Bagi kerajaan negeri ini tiada masalah.  Kita boleh tamatkan perjanjian (revoke) dan buat keputusan lain dengan pihak-pihak yang lebih berupaya  di masa akan datang.  Ini adalah biasa.  Namun tidaklah pula sampai mengheret kerajaan negeri untuk menyelamatkan kroni seperti amalan Kerajaan Persekutuan.  Malah pengalaman Kerajaan Persekutuan turut menyaksikan fenomena yang sama malah lebih teruk dalam banyak hal.  Mustahil Datuk Pa selaku orang penting MTEN kurang memahami semua ini.

 

Janganlah dinafikan wujudnya satu senarai panjang “projek-projek sakit” di ICU di Jabatan Perdana Menteri. Apa itu projek sakit jika tidak kerana prestasi pelaksanaan yang berada dalam pelbagai peringkat masalah.  Ia bernilai berbillion ringgit secara keseluruhannya.  Kalau nak dilihat kegagalan, maka ini kegagalan dan kelemahan dalam pelaksanaan.  Kerajaan Persekutuan di bawah teraju UMNO perlu meningkatkan usaha pemantauan dan mungkin perlu segera membentuk sebuah “High Power Committee” untuk menanganinya.  Sudahkah dibuat atau belum dan sudahkah berjaya?.

 

Sama juga dengan projek-projek mega yang diuruskan secara penswastaan oleh Kerajaan Persekutuan.  Contoh-contoh seperti projek haidro elektrik Bakun, PUTERA ,LRT, STAR, MAS, PLUS Highway dan berpuluh-puluh projek dibawah UEM, DRB Hicom, Renong Group atau Island and Peninsular yang dimonopoli Daim, Tajuddin Ramli dan Halim Saat sedikit masa dahulu.  Ia terlalu menonjol (glaring) untuk menjadi bukti kejayaan UMNO/BN dalam membazirkan wang rakyat.  Hakikat Danaharta dan Danamodal diwujudkan benar-benar memanifestasikan langkah “economic redress” yang terpaksa diambil untuk menyelesaikan perkara “non-performing loans” (NPL) dalam bentuk bail out.  Ia serious.  Ia kronik dan melibatkan usaha menyelamatkan kroni atau membankrupkan kroni yang dilihat tidak berguna lagi.  Kini Tan Seri Al Bukhary pula “tycoon” baru yang cuba dibina (lihat tulisan dalam majalah  The Edge bertajuk “ When one man gets too much”).  Datuk Pa tidak boleh menafikan ini semua kerana ia sedang berlaku dihadapan mata rakyat.  Jika apa yang kita perkatakan ini dikira hanya helah politik dan jawapan politik, kita meminta semua rakyat bertanyakan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri atau Kementerian Kewangan Malaysia di Jalan Duta.  Ini fakta dan bukan data yang dicungkil di tepi longkang.  Rakyat boleh semak definisi projek sakit dan senarainya atau lihat peranan dan bidang tugas Dahaharta serta Danamodal dibawah tajuk Kementerian Kewangan di laman web yang tersedia di internet.   Buka sekarang dan dapatkan jawapannya. 

 

Dalam dunia ICT yang semakin menyempitkan perkampungan dunia dan kian lahirnya “paperless society”, permainan fakta yang kononnya sebuah pendedahan oleh Datuk Pa terlalu mudah ditertawakan orang.  Datuk Pa perlu jawab segala kegagalan yang berlaku dalam program penswastaan baik di darat, di laut, di air dan di udara tajaan UMNO terlebih dahulu kerana ia melibatkan pembaziran wang rakyat yang bersifat raksaksa.  Mana dia “good corporate governance”, “transparency”,"accountability" dan “due deligence report” yang menjadi keperluan?.

 

Kerajaan Malaysia sering berbangga dengan kesejahteraan.  Ekonominya mantap.  Jika benar-benar kukuh, kenapa masih perlu berhutang?.  Kini, hutang luar negara bertambah berpuluh-puluh lipat kali ganda.  Jumlah sebenarnya biarlah menjadi “chewing gum” pegawai-pegawai di Bank Negara dan Kementerian Kewangan untuk dikunyah secara rahsia demi akujanji yang terpaksa ditandatangani.  Soalnya, siapakah yang akan dibebankan dengan tanggungjawab membayar hutang ini?.  Dua tiga kerat pemimpin UMNO/BN yang menggali lubang besar kerana lahapkan pengaruh, rakyatlah yang terbongkok-bongkok dipaksa menimbusnya nanti.  Ini akan dipikul bergenerasi.  Bukan setakat anak-anak Datuk Pa tetapi cucu cicit dia dan kita semua rakyat Malaysia yang tidak berdosa.  Ini bukan cerita Pengkalan Kubur dan kes Kuala Krai yang terpencil dan terpisah tetapi sebuah gegaran melibatkan masa depan; yang menghantar umat Islam dan rakyat Malaysia amnya ke gaung kehancuran.  Kenapa tidak dipapar dengan jujur oleh seluruh media masa tentang kroniknya suasana yang sedang kita alami?.  Patutlah UMNO beria-ia menguasai semua media termasuk China Press dan Nanyang Siang Pau.  Diatas premis inilah pembangkang ditutup mulut dengan pelbagai akta dan peraturan.  Mereka sebenarnya bimbang dengan penjelasan pembangkang mengenai segala “misappropriation” dan salah laku pengurusan kewangan negara.  Tidakkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dihalau keluar dari rumah UMNO, dihina merempat kini dipenjara semata-mata kerana keengganan beliau untuk bersekongkol dengan penyelewengan-penyelewengan jahat ini?. 

 

Secara defensif, akhirnya kerajaan mengambil sikap untuk meleka-lekakan rakyat dengan Jade Drama, La Usur Padora, Miss Tres Hermanas, Teater Lagenda, Gusti, Panggung Sabtu, Pop Kuiz dan pelbagai liputan festival kesenian seperti Citrawarna untuk melalai dan melarikan tumpuan.  Biar rakyat letih, mabuk dan terus mengantuk dengan hiburan, lagu, tarian dan sitcom komidi gelak ketawa.  Celik-celik mata, mereka terus disogok dengan propaganda hasil “brain work”  nakal Khalil Yaakob dan orang-orang UMNO yang sewaktu dengannya.  Astaghfirullah! Kata Nicolas Boileau Despreaux; “a fool always finds a greater fool to admire him”.  Sedangkal itukah masyarakat Malaysia terkini?.  Kempen dan iklan RTM yang hampir setiap waktu  menjemput penonton ke Berita TV1 dan Radio 1 membuktikan perihal terdesak dan hilang pengaruhnya UMNO/BN.  Ini tidak lain dari bertujuan untuk menyempurnakan lagi proses melekadan melarikan rakyat ke perangkap propaganda.  Rakyat sudah tahu.  Ini trick lama.  Kenapa pembangkang tidak diberikan “air time” seperti amalan dasar media di Bangkok atau Jakarta jika benar-benar sihatlah demokrasi kita?.  Cadangan Pengerusi SPR agar pihak pembangkang dibenar menggunakan media TV secara bayaran; kenapa senyap menikus sampai sekarang?.  UMNO sesungguhnya sudah kehilangan hujjah.  Dia sudah “irrelevant” .  Dia hanya gah dengan baju tebal dan undang-undang kebal bikinannya di parlimen.  Melalui demokrasi, dia halalkan kuku besi untuk perlahan-lahan membunuh demokrasi.  Selepas berjumpa dengan Fidel Castro dan Muammar Ghadaffi, UMNO merafak sembah berlutut ampun di tangga White House dan kini ke Vatican City pula untuk berjumpa ketua paderi.  Tidak terasa nak berjumpakah dengan Imam Besar Masjid Mekah atau Al Fadhil Dr. Yusuf Al-Qardhawi untuk mendapatkan fatwa?.  Jika Ku Li difitnahkan dengan segala kejijikan apabila kononnya bertengkolok salib di tahun 1990 ketika cuma bersalam dengan Dr Joseph Pairin Kitingan, apa pula status pemimpin UMNO yang merangkak ke kerusi besar bersalib tinggi di bandar Vatican semalam.  Ini semua tandatanya.

 

Ringkasnya, Datuk Pa perlu lebih banyak bermuhasabah.  Apa yang didedahkan setakat ini cuma kelihatan mampu melondehkan kain UMNO sahaja.  Tidak lebih dari itu.  Hanya mengaibkan aurat diri sendiri.  PAS adalah PAS.  Dia slow and steady tetapi sentiasa ready. Cubalah.  Lagi.

 

( Anual Bakhri bin Haron )

Setiausaha Politik

Menteri Besar

Kelantan 

Bertarikh:  27Rabiul Awal 1423 / 9 Jun 2002                               

 


www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates