DI ANTARA AMANAT HAJI HADI DAN AMANAT HAJI NAKHAEI
DAN…
Oleh
Annual Bakri Haron
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan
Merujuk
kepada cadangan pihak tertentu untuk mengkaji kemungkinan mengambil tindakan
perundangan ke atas YAB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di atas "amanat"
yang telah beliau ucapkan di Banggol Peradong, Terengganu, pada 7 April 1981
yang didakwa telah mengkafirkan UMNO, saya suka menarik perhatian semua pihak
bahawa sebenarnya tiada sebarang ungkapan pun di dalam ucapan YAB Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang itu yang telah mengkafirkan UMNO kerana apa yang ada di
dalamnya hanyalah sebuah ungkapan umum, iaitu "kita menjadi kafir dengan
mengatakan politik suku agama suku."
Sehubungan dengan ini, sekiranya pihak yang berkenaan benar-benar mahu
menghukum mereka yang dikatakan telah mengkafirkan UMNO, maka orang yang
sepatutnya perlu dihukum adalah bekas Naib Yang Dipertua Agung PAS yang juga
merupakan Yang Dipertua YADIM sekarang, iaitu Datuk Haji Mohd. Nakhaei Ahmad,
kerana beliau ini telah dengan berterangan menyifatkan UMNO sebagai sebuah
partai syirik di dalam ucapan yang telah dibuat oleh beliau di Kok Lanas,
Kelantan, pada satu tarikh yang lebih terkini dari ucapan yang telah dibuat oleh
YAB Tuan Guru Haji abdul Hadi Awang, iaitu pada 23 Mac 1986.
"Amanat" Datuk Haji Mohd. Nakhaei Ahmad berbunyi begini:
"Ini adalah program, program perjuangan kita, iaitulah ia mengandungi
usaha-usaha mengukuhkan aqidah umat Islam, usaha-usaha membersihkan pegangan dan
keyakinan umat Islam dari sebarang bentuk syirik"
"Perjuangan kita berlandaskan kepada tauhi, dan jangan siapa yang
mengatakan bahawa perjuangan PAS ini sama dengan perjuangan UMNO kerana UMNO
melalui pemimpinnya yang membuka persidangan Perhimpunan Pemuda UMNO berkata
bahawa UMNO bukan partai tauhid. Kalau tidak partai tauhid, partai apa
saudara-saudara? Partai syirik! Kalau tidak partai tauhid, kalau mereka tidak
memperjuangkan tauhid, maka mereka memperjuangkan syirik!"
"Kita mesti mengingatkan Allah dan mengukuhkan keazaman kita, perjuanagan
kita, matlamat kita, iaitu mengabdikan diri kepada Allah. Kita berjuang bukan
untuk mengabdikan diri kepada rakyat sebagaimana yang diucapkan oleh Dr.
Mahathir Mohamad, tetapi kita adalah suatu jemaah yang tujuan dan matlamat kita
ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT."
"Ini perjuangan kita, dan kita menolak bahawa orang yang hendak menyamakan
kita dengan UMNO kerana UMNO dengan terang-terang dia kata bahawa dia berjuang
untuk mengabdikan diri kepada rakyat, bagi kita tidak ada matlamat dan pilihan
selain daripada kita mengabdikan diri kepada Allah SWT di dalam perjuangan ini."
Malahan, jika kita perhatikan kandungan Amanat Haji Hadi, ia ternyata tidak
mengandungi sebarang cabaran kepada pihak kerajaan berbanding dengan Amanat haji
Nakhaei yang telah dengan berterangan mencabar pihak kerajaan supaya membuktikan
di manakah salah dan silapnya anjuran supaya umat Islam memilih untuk mati
syahid dengan brjuang menentang kerajaan yang engkar untuk melaksanakan hukum
Allah dan menghalang para ulama' yang berjuang untuk menegakkan Islam melalui
sambungan amanat beliau tadi yang berbunyi begini:
"Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kertas putih yang sebenarnya kertas
hitam kerana lahir dari hati yang hitam dan niat yang tidak ikhlas, niat yang
tidak jujur, hati yang busuk terhadap Islam."
"Kertas
putih kerajaan itu cuba menggambarkan sikap pelampau kerana menyebarkan ajaran
yang dikatakan ajaran dan semangat mati syahid, padahal ajaran ini adalah
daripada ajaran Islam yang diajarkan oleh Allah, yang diajarkan oleh Rasul-Nya.
Sebab itu mereka berkata bahawa apabila Ustaz Almarhum Asy-Syahid Ustaz Ibrahim
Mahmud mengembangkan ajaran mati syahid, mereka berkata ia mengajarkan suatu
ajaran yang sesat dan songsang. Tetapi bagi mereka yang sedar, bagi mereka yang
tahu, bagi mereka yang faham, bahawa percubaan-percubaan itu adalah percubaan
yang gagal."
Setelah
dihadapkan dengan kandungan Amanat Haji Nakhaei ini, rakyat tentunya menjadi
begitu keliru, bagaimana mungkin seorang pemimpin yang telah menghukum UMNO
sebagai sebuah partai yang syirik kini telah memasuki partai yang dikatakannya
syirik itu? Ironinya pula ialah bagaimana mungkin para pemimpin dan juga
ahli-ahli partai yang telah dihukumkan sebagai syirik oleh Datuk Haji Mohd.
Nakhaei Ahmad itu masih boleh menerima malah menjulang orang yang sekeliru
beliau ini pada satu kedudukan yang tinggi di dalam barisan pimpinan parti
mereka?
Sebelum
kita menjadi lebih-lebih keliru lagi, cukuplah kita menanyakan seluruh rakyat
Malaysia dengan empat soalan ini, iaitu:
Pertama:
Pernahkah Presiden UMNO menghina peribadi Nabi sebagaimana yang pernah
dilakukannya ke atas janggut Nabi di dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal
Agama Islam yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar pada penghujung tahun 1997
itu?
Kedua:
Pernahkah Presiden kamu mengikrarkan untuk tidak melaksanakan hukum hudud kerana
ia dikatakan tidak adil dan akan mendatangkan huru-hara sebagaimana yang turut
didakwanya di dalam Mesyuarat Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang
dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar pada penghujung tahun 1997 itu?
Ketiga:
Pernahkah Presiden UMNO menggesa supaya al-Qur'an itu ditafsirkan semula untuk
disesuaikan dengan keadaan semasa sebagaimana ianya dilaporkan di dalam
akhbar-akhbar tempatan pada 15 Oktober 1994, 10 Januari 1995 dan 24 September
1996 itu?
Keempat:
Pernahkah Presiden UMNO menggesa supaya umat Islam tidak bersyukur kepada Nabi
Muhammad kerana kalau Baginda tiada sekalipun tetap ada orang lain yang akan
menyampaikan mesej Islam sebagaimana ianya dilaporkan di dalam akhbar-akhbar
tempatan pada 12 Mei 2000 itu?
Jika
jawabnya "ya" dan "pernah", maka soalnya amanat siapa yang
lebih berbahaya, Haji Hadi atau Haji Nakhaei atau Haji Mahathir, dan apa pula
sikap JAKIM dan IKIM dalam mengamati dan menekuni amanat-amanat berpandangan
jauh Perdana Menteri ini?
Sekali
sekala betul juga untuk bersifat terus-terang seperti yang disebutkan oleh orang
Inggeris sebagai "let us call a spade a spade, and a spoon a spoon."
|