SIAPA
CAH KETING SIAPA?
Mendengar gesaan Ku Li supaya semua
ahli UMNO menghentikan politik cah keting benar-benar
mengesahkan kroniknya penyakit tersebut dalam UMNO Kelantan.
Permintaan terbuka beliau ada dimuatkan dalam Berita
Minggu bertarikh 3 Muharam
1423/17 Mac 2002.
Rupanya amalan cah keting adalah budaya UMNO.
Ia telah sebati.
Tidakkah Anwar Ibrahim tercampak keluar kerana cah
keting. Begitulah
Ghafar Baba dan Musa Hitam.
Ku Li yang hampir menang sebagai Presiden UMNO
dipemilihan Agung UMNO pada tahun 1987 dengan kekalahan tipis
43 undi juga telah menjadi mangsa cah keting selepas itu oleh
orang yang kini dipujanya.
Malah, sejarah
cah keting dalam UMNO turut boleh dilihat dalam amalan Ku Li
sendiri. Sejarah
Ku Li dalam karier politik beliau adalah dipenuhi dengan
episod nakal cah
keting demi cah keting.
Dia pernah cah
keting PAS setelah diberi tempat dengan penuh hati-hati tetapi
rela hati. PAS
yang tidak sampai hati melihat ‘Putera Kelantan’ yang
tercunggap-cunggap kelemasan telah menarik bekas Presiden
Parti Melayu Semangat 46 itu ketepi untuk menaiki perahunya.
Sebuah ‘Bahtera Besar’ lalu dibentuk dan diberi
nama Angkatan
Perpaduan Ummah (APU) untuk disesuaikan dengan perjuangan
Islam. Mungkin
kalau tidak kerana simpati dan murah hati PAS, Ku Li dah lama
terpadam dari kamus politik negara.
Rupanya galah yang dihulur ke tangan Ku Li telah diguna
dengan penuh bernafsu untuk menahan keting PAS agar jatuh
tersungkur kemudiannya.
Mulia sungguh
hati Yang
Berhormat Mulia Tengku
Razaleigh
Hamzah!
Keting siapa lagi yang dicah kalau tidak keting Tuan
Guru Dato’ Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Bagaimanapun, adat orang berpencak dan lama berguru
sehingga dipanggil Tuan Guru, Nik Abdul Aziz adalah Nik Abdul
Aziz. Walaupun Ku Lipun hebat orangnya tetapi amalan
cah keting beliau tidak ke mana.
Usahkan jatuh, tercalarpun tidak.
Luka jauh sekali.
Kita boleh saksikan sendiri Ku Li akhirnya membubar
parti yang dia sendiri menjadi presiden. Kini PAS menang ditahun 1999 dengan lebih mantap dan
lega bergaya tanpa Ku Li.
Brek Tok Guru makan.
Jangan dipermainkan.
Babak cah
keting Ku Li seawalnya pernah dapat dikesan melalui percaturan
sesama sendiri dipemilihan jawatan Naib Presiden UMNO ditahun
1978. Walaupun
persefahaman telah dicapai antara Musa Hitam dan Ku Li iaitu
perwakilan dari Kelantan dan Johor masing-masing memberi undi
secara timbal balik, tetapi keputusannya menunjukkan sesuatu yang sebaliknya.
Hanya perwakilan dari Johor sahaja yang memberi undi
yang solid kepada Ku Li diperingkat akhir. Ramai pemerhati politik membaca ini sebagai unsur cah
keting Ku Li yang sangat mengecewakan UMNO.
Sewaktu MAGERAN
diisytiharkan di Kelantan ditahun 1977, unsur cah keting Ku Li
keatas Kerajaan PAS turut terserlah.
Beliaupun sering berbangga dengan ‘jasa’
ini untuk merampas Kelantan.
Kini,
tinggallah Ku Li di lubang gelap disebuah gua yang amat
terperosok di Ulu Kelantan.
Nasib. Nasib.
Sekali sekala keluar dengan betis (keting) bergalur
dalam pendirian yang sentiasa tidak tetap.
Sekali seakan-akan nak sokong Musa kembali dan ada
ketikanya kelihatan seakan-akan nak cah keting Presiden
UMNOnya sendiri. Sekali
nak jadi Menteri, sekali nak jadi kuli, sekali nak jadi gurka
dan sekali olok-olok pakai cincin gurka.
Kesian!
Ku Li juga
pernah dilihat mahu cah keting Dr. Joseph Pairin Kitingan
dalam pembentukan Gagasan satu ketika dahulu.
Dia cah keting orang dan begitulah juga keting beliau
turut dicah dalam permainan bola sepak yang pragmatik, serba
boleh dan sentiasa tidak menentu akhlak, disiplin dan
peraturannya.
Kini, beliau
sibuk pula menyeru UMNO Kelantan supaya hentikan politik ‘cah
keting’.
Ini kerana Ku Li terlalu mahir dalam permainan ini.
Dia sudah lama memahami ragam pemain dan fasih benar
dalam membaca “body language” orang kanan, kiri, atas, bawah, belakang dan lapisan
depan UMNO di Kelantan.
Kenyataan beliau di Dewan Sek. Men. Bachok pada 16 Mac
2002 adalah manifestasi jujur beliau walaupun kelihatan
sedikit latah dalam mengharapkan perubahan amalan ahli-ahli
UMNO di Kelantan. Dia
sedang menyaksikan satu penyakit tambahan yang bersifat
“acute”. Dia
sedang ketakutan demi melihat
tidak mungkinnya UMNO untuk menang di Kelantan dalam tempoh
terdekat. A
yang cantas B dan B yang dicantas C lalu dibela oleh D yang
sedang berpakat dengan B untuk mencantas A.
PAS bukan tidak kenal siapa Ibrahim Ali, Mustapha
Mohamed, Zainal Abidin Ab. Kadir, Shukri Mohamad, Ahmad
Shahibuddin Mohd. Nor, Ilani Ishak, Ahmad Rastom, Aziz
Derashid, Anuar Musa, Abdullah Ahmad,
Ahmad Rusli Ibrahim
dan Ahmad Rujhan.
Mereka sedang
hidup dalam sebuah curiga.
Nampak sahaja tidur sebantal tapi sentiasa tidak lena
dari ketakutan mati dicekik pasangan sendiri
dalam permainan
bernama ‘cah
keting’. Keris
bersilangnya yang siap terhunus tidak mengenal erti kasih,
kawan dan kasihan.
Islam, kebenaran dan keadilan adalah mainan di
tirai-tirai wayang di PWTC menjelang setiap perhimpunan agung
sahaja. Tidak
lebih dari itu. Pendek
kata mengharapkan tiadanya cah keting dalam UMNO samalah
seperti mengharapkan kucing bertanduk.
Bukan UMNO kalau tiada cah keting.
Semuanya nak cepat berkuasa dan duduk di Kota Darulnaim
atau Wisma Darul Iman atau Putrajaya untuk mengaut apa jua
kepentingan. Tikam
menikam baik dari arah rusuk, depan atau belakang adalah UMNO
yang sedang tembus dan tenat dari semua arah.
Dia mustahil untuk dipulihkan.
Ku Li, UMNO Kelantan
dan UMNO Malaysia adalah parti sesat yang sudah
tersilap haluan dan jauh terlajak.
Dia enggan undur.
Dia terlalu malu.
Dia bagaikan seekor harimau yang luka.
Dia sudah hilang punca dalam percubaan akhir untuk
bangun. “Political
Viagra” UMNO
ialah Islam dan Melayu.
Malangnya diatas nama demokrasi yang dikhianati
kedua-duanya telah diperkosai UMNO dengan sepenuh-penuhnya.
Yang tinggal hanyalah sebuah UMNO yang rompong, yang
cuma hanya tinggal gigi dan tulang.
Dia hidup diatas rasukan jelmaan ‘hantu raya’.
Dia bagaikan
polong bermata merah dan pucat sebiru mayat. Dia
telah lama mati!
Kita saksikan takdir Allah S.W.T. dalam menguasai
tadbir dan ikhtiar akhir mereka.
Pada lazimnya takdir Allahlah yang akan mengatasi.
Ingatlah kita
akan sepotong maksud Firman Allah S.W.T. yang berbunyi:
"Dan
merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan Kami
merencanakan makar(pula), sedang mereka tidak menyedari."
(Ayat 50
Surah An Naml)
Anual Bakhri bin Haron
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan
Bertarikh:4 Muharam 1423
/ 18 Mac 2002
|