Home ]

Siapa Militan? UMNO atau PAS?

Back ] Next ]

 

 SIAPA MILITAN?   PAS ATAU UMNO

 

                 Semua orang tahu bahawa menuduh biarlah berfakta.   Dan fakta pula biarlah yang sesungguh-sungguhnya.   “Tiada yang benar melainkan benar dan segala-galanya adalah benar”.   Biar begitu sifat konkrit, saintifik dan realistiknya sesebuah fakta.   Sebarang tuduhan harus mampu  menjawab soalan-soalan asas seperti siapa, di mana, bila dan bagaimana.   Jika disebut pelancar roket, atau bom buatan sendiri untuk membunuh pemimpin negara dalam kes penahanan 6 orang tokoh reformasi di bawah ISA beberapa bulan dulu misalnya, bukti harus mampu meraih kesemua bahan-bahan ini ketengah-tengah.   Ia pula perlu dibawa ke Mahkamah untuk proses pengadilan terbuka dan akhirnya dijatuhkan hukuman jika didapati bersalah.   Dari sinilah barangkali baru boleh dibuat analisis tentang ada atau tidaknya unsur militan di negara kita.   Begitulah juga dalam kes Nik Adli dan lain-lain mangsa ISA  yang mulai ditahan tanpa bicara pada 3 Ogos 2001.  Jika tiada fakta maka itu dinamakan fitnah.   Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud:

 “Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh.”  

 Cakap-cakap seperti “kami mempunyai bukti yang kukuh” tentunya tidak mencukupi untuk ditelan oleh rakyat yang telah lama pandai menulis dan membaca.

           Jika diteliti, negara kita mula mengiklankan unsur militan ini seawal-awalnya melalui Kes Al Maunah dipenghujung tahun 2000.   Setelah gagal di sini, PAS atau BA pula cuba dilihat lagi sebagai militan melalui sebuah objek yang diperkenalkan kepada orang ramai iaitu KMM.   Soalnya benarkah ini?  PAS tidak tahu menahupun tentang kumpulan Mujahidin Malaysia yang dikatakan wujud itu.    Sekali disebut Kumpulan Mujahidin Malaysia (3 Ogos 2001) dan sekali lagi disebut Kumpulan Militan Malaysia (13 Ogos 2001).   Entah mana satu yang palsu; kita pun sudah tidak tahu.

 Oleh kerana orientasi kita adalah bukti dan fakta, PAS boleh turunkan hujah-hujah disepanjang penyertaannya dalam politik demokrasi negara.   Ini adalah seperti:

 

i)                  Sentiasa akur dengan kehendak demokrasi;

 

ii)                 Tidak pernah meminta atau mengarahkan ahlinya untuk melakukan keganasan melalui aksi, apa lagi menggunakan senjata;

 

iii)               Setiap ceramah dikawal oleh Unit Kawalan Keselamatan yang dilantik khas;

 

iv)              Sentiasa mengingatkan orang ramai agar mematuhi arahan keselamatan dan memberikan kerjasama kepada pasukan keselamatan disetiap ceramahnya;

 

v)                Sentiasa menghargai pasukan keselamatan;

 

vi)              Mematuhi had waktu yang diizinkan;

 

vii)            Berpesan tentang kebesaran Allah S.W.T. dan pengajaran-pengajaran dari hadith Nabi S.A.W. dalam konteks aplikasi mengikut kesesuaian isu semasa;

 

viii)          Jika ada anjuran demonstrasi, ia dilakukan dengan aman seperti yang diizinkan oleh Perlembagaan;

 

ix)              Jika diambil tempoh 3 dekad (30 tahun) sebagai asas pemerhatian, tidak pernah satupun kes ceramah anjuran PAS yang berakhir dengan  keganasan;

 

x)                Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat teramat jauh dari bersifat militan;

  

xi)              Tidak pernah dalam sejarahnya menubuhkan Pasukan Pemuda Tahan Lasak;

 

xii)            Tidak pernah terjumpa senjata tajam atau berbahaya dalam mana-mana ceramah anjuran PAS.

  

                Jadi siapa yang sebenarnya militan?    Soalan ini boleh dijawab melalui semakan “check list” seperti berikut: 

i)                   Siapa yang menubuhkan pasukan Pemuda Tahan Lasak di Kelantan dan beroperasi di Kelantan ditahun 1968?

 

ii)                 Siapa yang mengepung dan membaling batu dan kayu yang memusnahkan kenderaan Tuan Guru Dato’ Menteri Besar Kelantan satu ketika dahulu ditahun 1968   iaitu di Kg. Setek, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan; 

 

iii)               Siapa yang menjatuhkan batu besar dari atas sebuah bukit yang menimpa bumbung kenderaan Dato’ Wan Hashim bin Wan Ahmad, Presiden Parti  BERJASA  di Kg.  Kubang  Palas,  Banggu,  Nilam  Puri pada tahun 1969?

 

iv)              Pihak manakah yang menangkap Tok-Tok Guru seperti Tok Guru Kob dari Chabang Empat, Tok Guru Hj. Nor Teliar; Tok Guru Hj. Omar, Tok Guru Hj. Hassan Lemal, Tok Guru Hj. Ghani Kubang Bemban, Pasir Mas lalu disiksa di bawah kurungan ISA ditahun 1963;

 

v)                Pengikut dan penyokong parti mana yang didera baik secara diskriminasi projek, kemudahan atau deraan fizikal.   Siapa atau pihak manakah yang memukul Allahyarham YB Tuan Hj. Samad Gul dengan sebilah senjata tajam di kepala di tahun 1967 sehingga membawa kepada kematian;

 

vi)              Siapa yang mengepung dan menembak mati Almarhum Ustaz Ibrahim Libya serta 14 orang yang lain di peristiwa berdarah di Memali tahun 1985;

 

vii)              Bagaimana pula dengan pembunuhan dua orang ahli PAS dalam peristiwa Lubuk Merbau pada tahun 1985;

 

viii)              Seorang Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dari parti manakah yang telah disabitkan kesalahan membunuh seorang EXCO Kanan Kerajaan Negeri di Gemencheh, Negeri Sembilan ditahun 1982;

 

ix)              Siapa yang menyerbu dan memecah masuk ke rumah Bekas Timbalan Perdana Menteri pada 2 September 1998 dengan sepasukan manusia yang bersenjatakan senjata-senjata berbahaya seperti pistol dan M16 yang ditutup mukanya dengan balaclavas siap dengan sebuah ketumbukan pasukan FRU yang cukup mengerikan;

 

x)       Kerja siapa yang menumbuk dan melebamkan mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu;

 

xi)      Siapa yang sering memukul orang ramai dengan belantan, merosakkan kenderaan, menendang dan meneranjang, menyimbah         dan menyembur air asid serta melontarkan semburan-semburan gas pemedih mata;

 xii)     Siapa yang menelanjangkan seorang wanita yang ditangkap menyertai demonstrasi di Lebuhraya KESAS;

 

xiii)          Siapa yang menyembur gas pemedih mata dari jarak dekat yang mengenai terus ke biji mata seorang yang melaksanakan sebuah hak iaitu berdemonstrasi secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan;

 

xiv)          Siapakah Menteri Dalam Negeri dimana PDRM berada di bawahnya yang disahkan oleh SUHAKAM sebagai bersalah dalam mengasari orang awam dalam kes demonstrasi aman di Lebuhraya KESAS bulan November 2000;

 

xv)     Kerja siapa yang ‘mencolek’ Wakil-Wakil Rakyat di Kelantan dan Terengganu dalam usaha untuk melumpuhkan kerajaan yang sah di suatu ketika dahulu di tahun 1960’an. 

 

Jika semua  jawapan dapat dicari di dalam kocek baju UMNO maka kita sudah tidak nampak lain-lain kemungkinan.  Malah jika disaksikan simbol UMNO yang dilambangkan dengan keris bersilang telanjang, sahlah parti itu minatkan pertelingkahan.   PAS yang bersimbolkan bulan kelihatan lebih romantik.  ‘Tidakkah bulan melambangkan paduan cinta dan kasih asmara’.   Demikian sepatah usikan berbentuk analogi yang pernah disebut oleh Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan semasa ucapan beliau sempena Jubli Emas 50 tahun usia PAS pada 8 September 2001 yang lalu.

 

Dalam keadaan sempitnya ruang demokrasi yang diberikan inipun, PAS tetap masih percaya dengan perjuangan dalam pendekatan yang aman.  PAS terus mengulangi kepercayaan yang tidak berbelah bahagi untuk mendaulatkan Islam,  kebenaran dan keadilan melalui saluran demokrasi   semurni kesepakatan yang dibuat dalam Manifesto Bersama di hujung bulan November 1999. BA telah berikrar untuk menyediakan alternatif pemerintahan kepada rakyat Malaysia melalui saluran demokrasi.   Dari dulu sampai kini,  PAS  yang  mempelopori  BA  telah melaungkan keyakinannya

terhadap demokrasi dengan senyaring-nyaringnya yang tidak mungkin boleh disalah ertikan oleh sesiapa.   Jika masih juga ada yang berbuat demikian, maka itu adalah sebuah kesengajaan.

 

          Dengan senarai bukti yang sepanjang ini dan mungkin  banyak lagi, jelaslah bahawa PAS terlalu jauh dari bersifat  militan.  

 

Apa pula yang boleh membuat sesebuah pertubuhan itu dianggap militan?    Pertanyaan ini memerlukan kita membuat sedikit pemeriksaan ke atas ciri-ciri militan yang biasa difahami umum.   Apabila disemak “archive”, insiden-insiden militan di seluruh dunia yang dikumpul dari sorotan akhbar sejak 1 Januari 1999 hingga 12 September 2001 yang boleh kita lakukan melalui kemudahan internet, sekurang-kurangnya militan harus membawa salah satu, dua atau kombinasi dari amalan-amalan seperti di bawah iaitu:

i)               Plot pembunuhan (assasination plot);

ii)               Rampasan kapalterbang (plane hijack);

iii)              Meletupkan bangunan awam atau kenderaan (bombing of public    buildings and vehicles);

iv)              Serangan bersenjata (Armed attack);

v)               Komplot pemisahan Wilayah (Separatist movement);

vi)               Latihan-latihan ketenteraan;

vii)              Pemilikan dan penggunaan senjata api secara berleluasa;

viii)             Serangan-serangan mengejut ke atas orang awam;

ix)              Rampasan kuasa atau percubaan merampas kuasa;

x)               Menempah dan menggunakan senjata canggih; 

xi)              Pengwujudan skuad-skuad berani  mati;             

xii)             Merancang dan terbukti merancang mengguling kerajaan dengan kekerasan; 

xiii)          Tidak menghormati dan mematuhi undang-undang; 

xv)            Mencabar Polis dengan melancarkan serangan ke atas depot-depot keselamatan; 

xvi)          Membunuh pemimpin dan hakim-hakim. 

Peristiwa-peristiwa militan ini disemak disepanjang tiga tahun yang pernah berlaku di serata dunia meliputi Los Angeles, Palestin, Kashmir, Islamabad,  Washington, Seoul, Jakarta, Acheh, Bangkok, Tel Aviv dan Syria.   Ini dibuat untuk memahami maksud militan dari segenap penjurunya. 

Soalnya di sini pernahkah elemen-elemen ini  lahir dalam PAS di sepanjang usianya yang genap 50 tahun?   Dengan mengunci pertanyaan yang tidak perlu kita atur jawapannya “… to be pushed into everyone’s throat as normally done by certain quarters”,  cukuplah kita cuba pejamkan mata buat sejenak.   Jika dalam tenang, diam, hening dan waras itu, jawapan yang datang ke ilham kita ialah ‘tiada’, maka itulah dia jawapannya.    PAS tidak militan

Kalaupun ada unsur itu, ia dihasilkan oleh penjenayah atau mungkin kumpulan individu yang bergerak tanpa pengetahuan PAS yang tidak ada kena-mengena dengan PAS.   Ini boleh dibuktikan dari segi perlembagaan bertulisnya, dan penegasan lisan ucapan-ucapan para pemimpin partinya.    Masyarakat Malaysia boleh membuat semakan pada bila-bila masa.   Bagaimanapun pastikan teks dan versinya diambil dari punca yang asal.   Bukan yang modify!

 

          Malah apa yang ada ialah gesaan berupa peringatan kepada kerajaan agar lebih bertindak mengikut lunas  undang-undang berdasarkan prinsip “everyone is innocent until he is found to be guilty”.    Gesaan yang datang jelas meminta setiap tuduhan dibuktikan, dibawa ke Mahkamah dan diputuskan melalui instrumen kehakiman yang telus, bebas, adil dan tanpa campur tangan.   Dimana silapnya?.   Ini piawai antarabangsa.  Dalam hal inilah,  BA timbulkan kritikan yang kencang ke atas penahanan orang atau mana-mana rakyat Malaysia dari pelbagai keturunan dan kepercayaan secara ISA kerana ia jelas membelakangi prinsip hak asasi dengan segala jaminan hak bersuara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Adalah terlalu tidak adil untuk memalitkan lumpur comot semata-mata kerana adanya peristiwa-peristiwa keganasan serantau seperti di Indonesia, Acheh, Jakarta, empat wilayah di Selatan Thai atau Filipina lalu menyimpulkan yang “how Malaysia are surrounded by movements that will influence the Malay Muslim populace”.    Ini andaian!    Ini  percubaan  generalisasi   namanya  yang  sedikit  kurang  cermat.   Perkataan-perkataan

seumpama ini boleh dilihat dalam sebuah slot Sunday focus Akhbar NST bertarikh 16 September 2001 oleh Shamsul Akmar yang membawa tajuk “Factors behind S.E. ASIA  militancy”.  Mungkin penulis ini  ada mempunyai tujuannya yang tersendiri. Pada kita, jika kita bercakap tentang Malaysia, biarlah kita merujuk kepada tanah dan air yang merentasi dan memanjang dari Perlis hinggalah ke Sabah yang dikatakan sudah merdeka seperti yang terdapat dalam lagu patriotik kita itu.    Mengambil insiden-insiden keganasan serantau secara terpilih di luar Malaysia untuk melahirkan panik  yang   disengajakan  ke arah mewujudkan  “threat”  jadi-jadian  yang kononnya sedang meracuni pendirian dan sedang mempengaruhi pemikiran penduduk Melayu Muslim di Malaysia adalah sebuah percubaan yang agak nakal dan mengelirukan.

 

          Sikap seakan-akan menggertak dan sengaja menimbulkan unsur “insecure” dengan kata-kata  “it is still difficult for Malaysians to believe that their fellow citizens are capable of turning militants”  dikhuatiri ada unsur mala fide dalam ertikata cuba menyogok orang ramai agar panik tidak bersebab.   Lebih mendukacitakan apabila penulis yang muslim ini sedang menjadikan saudara-saudara seagamanya sendiri untuk diragui kebaikannya oleh “fellow Malaysian dan fellow citizennya”!    Kenapa begini!  Apakah maksud penulis adalah untuk menggesa seluruh masyarakat Malaysia agar mulai sekarang saling mencurigai dan patut takutkan ancaman militan dari “fellow Malaysian”nya  yang  berbangsa  Melayu  dan  beragama  Islam?  

Kenapa harus diganggu semangat kesetiakawan, keharmonian dan suasana “non-prejudice” yang amat berharga dan sedang dinikmati oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini?   Daripada tidak ragu, eloklah diragukan.   Begitukah?

           Tentunya tidak salah untuk mengkaji dan menyenaraikan faktor-faktor yang boleh menerbitkan keganasan.   Tetapi janganlah pula sampai cuba membina “public opinion”  untuk menyuburkan syak wasangka yang bukan-bukan! 

Malaysia setakat ini aman.   Alhamdulillah.  Mungkin juga kelihatan aman apabila semuanya telah diikat. Malaysia semakin tipis  dan  tirus  amalan  demokrasinya  hasil  dari  proses  rampasan   dan  rompakan  yang  dilakukan oleh tangan-tangan dari atas.   Ini yang menimbulkan sedikit keresahan.   Keamanan yang menjadi milik bersama ini boleh tergugat dengan agitasi-agitasi yang sering ditimbulkan.   Bagaimanapun segala kegelisahan masih dengan warasnya dizahirkan dalam ruang dan batas demokrasi yang masih tinggal sedikit itu.    Ini  boleh  disemak  dari  manifestasi  bertulis setiap  parti  Komponen BA dari  perlembagaan  masing-masing  dan  turut boleh dibuktikan melalui amalan memohon permit meminta kebenaran untuk mengadakan rapat umum, memohon permit KDN untuk tujuan penerbitan, mematuhi  arahan  polis  dan  lain-lain  yang  terlalu  panjang  untuk disenaraikan. Walaupun terasa penat  tetapi  demi  masih  percaya  dan  yakinkan  demokrasi, PAS  dan  BA  masih terus bersabar dengan karenah-karenah demokrasi “made in Malaysia”.  Kalaupun perlu turun padang, demonstrasi aman yang diatur   masih dibuat dalam lunas-lunas demokrasi juga. Segala kekecewaan yang dialami tetap diluahkan secara yang masih waras.   Ada yang meminta pertemuan dengan Ketua Polis Negara atau Menteri Dalam Negeri.   Ada yang memohon untuk mendapatkan penjelasan.   Ada yang menghantar memorandum kepada Parlimen dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.   Ada yang merayu kepada SUHAKAM untuk campur tangan.   Dan ada juga yang menyembahkan surat terbuka kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong/Sultan-Sultan untuk meluahkan isi hati masing-masing. 

Demikianlah nasib warga demokrasi yang mungkin telah berada di hujung hayatnya. 

Sementara ini berlaku, sikap pemimpin dan Ahli-Ahli  Dewan rakyat dari parti Pembangkang di Parlimen serta di Dewan-Dewan Undangan Negeri sentiasa konstruktif dalam membuat penyertaan bagi menyampaikan keluhan rakyat mengenai amalan demokrasi yang kian disalahgunakan.   Apakah ini militan? 

          Hantaran kawat takziah sambil mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang dilakukan oleh sesiapa jua ke atas Amerika Syarikat pada 12 September 2001 yang lalu yang telah dibuat oleh Presiden PAS adalah sebuah  manifestasi  terkini  dan  bukti  nyata  sikap  PAS  yang non-militan. 

Diatas sikap yang memusuhi pendekatan militan, PAS tidak keberatan untuk sekali lagi bersedia membuka pintu muzakarah untuk melayan siapa sahaja mengenai isu ini. 

          Pendirian PAS diasaskan kepada pengertian Ayat Al-Quran seperti berikut: 

“Datangkan bukti kebenaran kamu jika kamu adalah orang-orang yang benar.”                                                          (Al-Baqarah:   Ayat 111)

 

Jemputlah PAS jika tidak percaya!

  

 

Anual Bakhri bin Haron

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh:1 Rejab  1422,19 September 2001

Back ] Next ]

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates