Mana Hudud UMNO
Bercakap soal Hudud di Malaysia
terkini, kita telah menyaksikan sogokan ofensif sepihak yang menguasai seluruh media dengan tuduhan ‘Hudud PAS’. Soalnya
mana ‘Hudud UMNO’? Jika dua cangkir kopi yang disediakan oleh pembancuh Kelantan dan Terengganu masih
ditolak mati-matian sebagai bukan kopi, maka cuba kita mahu lihat versi kopi yang dikira kopi asli yang sebenar.
Begitulah analoginya. Cukup mudah. Sesungguhnya tidak sukar untuk menguji. Hudud adalah
dari Allah. Ia boleh disemak dari Al-Quran dan Hadith. Tiadalah yang lebih objektif melainkan kita kembali
kepada sumber asal. Air boleh disahkan air daripada mata air.
Sebelum kita menjadi tersasar dari topik perbincangan, mari kita izinkan diri kita dipimpin oleh Al-Quran secara langsung.
i)
“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum diantara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan (yaftinu ka) engkau dari suatu hukum yang telah
diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka
ketahuilah, hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan
daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq.”
(Surah Al-Maidah: Ayat 49)
Dalam Ayat ini Allah menggesa supaya ‘engkau’ jalankan hukum diantara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan
jangan ‘engkau’ turut hawa nafsu. Siapakah ‘engkau’? Di sini jelas bahawa dalam hal menjalankan hukum
Allah itu tiada pilihan. Ini soal dasar. Menduakan hukum Allah S.W.T., apa lagi meletakkan
Undang-Undang ciptaan manusia lebih mengatasi daripada Undang-Undang Allah seperti yang jelas dimaktubkan dalam Perkara 4 Ceraian 1
Perlembagaan Persekutuan adalah bertentangan sama sekali dengan tuntutan Ayat ini. Ia melanggar hukum dan had yang
diizinkan Allah. Perkara berkenaan secara tegas berbunyi:
4. Supreme law of the Federation
(1)
This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this
Constitution shall, to the extent of the inconsistency, be void.
Apa kata UMNO dalam hal ini?
Kita khuatir percubaan UMNO untuk menjawab akan menjurus kepada hawa nafsu. Allah S.W.T. selanjutnya berpesan melalui
Ayat ini “supaya mereka tidak memesongkan ‘engkau’ dari sebahagian hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.”
Siapakah mereka dan engkau di sini? Lalu Allah S.W.T. menyimpulkan bahawa “Sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu
adalah orang-orang yang fasiq.” Marilah kita bertanyakan kedudukan kita di sini dalam kefahaman Ayat di atas.
Umat Islam yang dipimpin berada di mana dan UMNO selaku pemimpin berada di mana?
Tafsir Al-Azhar hasil usaha Pak Hamka ada menyebut bahawa Ibn. Ishak, Ibn. Jariri, Ibn. Abi Hatim dan Al Baihaqi sepakat
mengisbabkan punca turunnya Ayat ini adalah kerana sikap pemuka Yahudi iaitu Kaab Ibn. Ashraf, Abdullah Ibn. Shuriya dan Syaas Ibn.
Qais yang mencadangkan Nabi S.A.W. supaya menyebelahi mereka dalam satu konflik dalaman kaum Yahudi.
Mereka mahu Nabi mengubah hukum agar memenangkan
mereka dengan janji akan memeluk Islam jika Nabi berbuat demikian. Sudah tentu ini ditolak oleh Nabi S.A.W.
Menurut Hamka, “orang semacam ini memang telah rosak budi mereka. Mereka berani memutar hukum, lari dari Taurat kepada
Hukum Al-Quran kerana mengharap mencari yang lebih ringan.” (Lihat Tafsir Al Azhar muka surat 311 – 312 Juzu’ 4, 5
dan 6). Inilah yang merunsingkan umat Islam apabila Perdana Menteri Malaysia turut meminta Al-Quran di tafsirkan
semula pada ucapan-ucapan beliau bertarikh 4 Oktober 1991, 3 Julai 1992, 2 Februari 1994, 17 Jun 1994, 26 Julai 1996 dan 22 Ogos
1997. Ini boleh diikuti dalam Buku ‘Mendekati Pemikiran Islam Dr. Mahathir di muka surat 6’.
Mari kita
beralih kepada menghayati petikan Ayat Al-Quran yang kedua:
ii)
“Katakanlah wahai Muhammad): “patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari
Hakim selain dari Allah, padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu Kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang
yang benar dan yang salah)? Dan orang-orang yang kami berikan kitab, mengetahui Al-Quran itu adalah diturunkan dari
Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang
ragu-ragu.”
(Surah Al-An’am: Ayat 114)
Di sini, Allah bertanyakan
“Wahai Muhammad dalam bentuk tepuk dada tanya selera. Apa maksud patutkah ‘aku’ hendak mencari Hakim selain
daripada Allah, padahal Dialah yang menurunkan Kitab Al-Quran”? Siapakah ‘aku’ di sini?
Allah S.W.T. lalu mematikan Ayat ini dengan seruan supaya jangan ‘kamu’ sekali-kali menjadi golongan yang ragu.
Siapakah ‘kamu’ yang dimaksudkan? Salahkah jika rakyat mempersoalkan sikap pemimpin UMNO yang pernah membangkitkan
kesukaran dunia hari ini untuk mendapatkan 4 orang saksi yang tidak fasik. Bersifat yakinkah UMNO dengan hukum Allah
atau ragu dan cuba menimbulkan keraguan kepada Umat Islam seluruhnya dengan pertanyaan sebegini? Jika
dihubungkan sikap ragu sebegini dengan penjelasan dari Tafsir Al-Azhar mengenai maksud Ayat di atas, Hamka menegaskan: “Segala
peraturan yang datang dari manusia betapapun lemak manis bunyinya, indah berhias tutur katanya, tidak lain dari tipu daya belaka.”
(Lihat Tafsiran Al-Azhar Jilid 7, 8 dan 9 di muka surat 72).
Cuba kita beralih lagi ke petikan Ayat Al-Quran yang ketiga:
iii)
“Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang
telah mereka usahakan, juga sebagai pencegah dari Allah.”
(Surah Al-Maidah: Ayat 38)
Apa kata pemimpim UMNO?
Cukuplah kita ambil petikan komen YAB Perdana Menteri Malaysia yang berbunyi: “Bagaimana orang Islam boleh maju, kalau
orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki kerana Hukum Hudud? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain
kalau sifatnya sudah tidak cukup?”
(Dr.
Mahathir, ucapan beliau di Papar, Sabah pada 1 Mei 1992)
Bersifat menolak atau
menerimakah Hukum Hudud dengan kata-kata yang sejelas ini? Tanpa cuba menghukum, biarlah logik dan dhomir kita mencari
jawapannya.
Beralih lagi kita kepada petikan Ayat yang keempat yang bermaksud:
iv)
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak
membawa empat orang saksi, maka sabitlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu
selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq.”
(Surah An-Nuur: Ayat 4)
Syarat yang ditetapkan
untuk mengadakan empat (4) orang saksi adalah ketetapan Allah. Ini bukan kerja PAS. Tidak timbul soal “the law of Hadi”. Bagaimana rakyat mahu bersangka baik apabila mendengar bahawa Dr. Mahathir
pernah berkata dengan lantang dalam ucapan penangguhan Presiden kira-kira 10 minit sebelum mengumumkan peletakan jawatan.
Bunyi herdikan beliau sungguh menyayatkan hati. Beliau terang-terang mempersoalkan kewajaran dan kesukaran untuk
mendapatkan empat orang saksi seperti yang dikehendaki oleh Islam. Malangnya ia disambut oleh gelak ketawa perwakilan
UMNO yang tidak faham-faham. Dengan sikap ini, adakah UMNO sedang menyerang PAS atau sudah terlanjur jauh menolak prinsip persaksian
Hudud yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Ini perkara yang cukup serius. Jika diminta saksi, maka
saksinya ialah seluruh penonton daripada rakyat Malaysia yang mengikuti siaran langsung ucapan beliau pada kira-kira jam 5.50 minit
petang Hari Sabtu, 22 Jun 2002 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Dengan 4 petikan Ayat dan huraian berkenaan, sukar sungguh untuk menolak kewajipan menjalankan Hudud dan bersangka baik tentang
UMNO. Diatas rasa tanggungjawab dan kesedaran yang mendalam tentang kewajipan mendaulatkan Hukum Allah inilah maka PAS
mengorak langkah. Dalam senario yang menyeluruh inilah juga Negeri Kelantan telah tampil dengan Enakmen Undang-Undang
Kanun Jenayah Syariah (II) 1993nya dan diikuti oleh Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) yang dibentangkan di
Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 7, 8 dan 9 Julai 2002.
Perkara kelemahan darihal
pengertian mukallaf, penjenisan kesalahan-kesalahan Hudud sama ada 6 atau 8 dan 4 saksi yang adil dalam kes zina dan rogol seperti
yang disebutkan dalam buku bertajuk ‘Hudud: Siapa Khianat Hukum Allah’ oleh Ketua Penerangan UMNO Kedah adalah
perkara yang boleh dibincang dan diperbaiki. Cacat dalam draf lalu diperbetulkan tidaklah pula sampai menghalalkan
UMNO dari mencadangkan pembatalan terus. Sikap “outright turn down” seperti anjuran Menteri Pembangunan Wanita
tanpa meninggalkan sisa baki setitik pun dari Hudud boleh ditafsirkan sebagai berniat jahat, tidak bijak dan tidak logik sama sekali.
(Lihat sikap beliau dalam Utusan Malaysia 7 Jun 2002). Malah, ini menimbulkan tandatanya yang sangat besar tentang sikap
UMNO sendiri terhadap Hudud. Jika salah, diperbetulkan. Jika cacat, dibaiki. Jika kekurangan
ditambah. Dan jika terlanjur, ditegur. Ini semangatnya. Jika dalam hal melaksanakan semula dasar
ingin menjadikan Bahasa Inggeris sebagai Bahasa pengantarpun, Perdana Menteri tahu kepentingan meminta komen rakyat, begitulah juga
sepatutnya semangat terhadap Hudud. Cuba buka peluang kepada umat Islam untuk membuat penyertaan dengan azam “Kita
mahu laksanakan”. “Zoning Plan” dalam kaedah pelaksanaan pelan struktur di bandar-bandarpun meminta “public
scoping and representation”. Pokoknya, UMNO perlu jelas sama ada mahu laksanakan Hudud atau tidak.
Aspek-aspek “technicalities” adalah perkara lazim yang terdapat di mana-mana. Dalam proses
penggubalan mana-mana
dasar awam pun, ini menjadi lumrah. Ia bukan helah untuk menangguk kesempatan dan
menjustifikasikan pembatalan.
Ini; sekali beralih dari halangan masyarakat majmuk kepada penduduk Malaysia masih miskin, kepada negara kita tidak mempunyai
penduduk Islam seratus peratus (Lihat teks wawancara Dr. Mahathir dengan Utusan Malaysia bertarikh 16 Julai 1983 sempena ulangtahun
kedua pemerintahan beliau). Kemudian, ditakut-takutkan pula dengan tidak dapat bersaingnya umat Islam dengan
bangsa lain kerana ramai yang akan kudung tangan dan kaki (Lihat kenyataan Dr. Mahathir dalam Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei 1992).
Dalam akhbar yang sama bertarikh 3 Mei 1993 pula beliau menegaskan bahawa “Hukum Hudud tidak akan dilaksanakan di negeri-negeri
yang diperintah oleh BN”. Selain daripada itu, Dr. Mahathir juga menafsirkan bahawa Undang-Undang Islam hanyalah
undang-undang diri atau undang-undang peribadi orang-orang Islam sahaja (Lihat wawancara Dr. Mahathir dengan Utusan Malaysia
bertarikh 16 Julai 1983).” Lebih jauh dari itu, Dr. Mahathir juga telah dilihat cuba menggugat keyakinan Umat
Islam dengan mengatakan bahawa Undang-Undang Islam sebenarnya adalah hasil rumusan ulama’ silam. Sekiranya Bukhari,
Muslim dan Termizi mungkin tersilap, maka kemungkinan untuk ulama’-ulama’ silam turut tersilap adalah lebih besar lagi (Lihat
ucapan Dr. Mahathir di The International Seminar on the administration of Islamic Law, di IKIM pada 23 Julai 1996).
Akhir-akhir ini, UMNO beralih pula stailnya dengan menegaskan yang kerajaan tidak menolak Hudud tetapi hanya tidak cukup persediaan.
Dulu lain, sekarang lain. Esok?. Setelah ditanya wartawan tentang bilakah akan cukup persediaan, maka “Abdul
Hamid berkata, bahawa masa yang tepat tidak diketahui.” (Lihat Berita Harian 2 Julai 2002). Cukup mudah
berpolitik kalau sudah pragmatik!
Akhirnya, mana pula Hudud yang hendak dilaksanakan? Derafnya dimana? Jika deraf yang dikemukakan PAS itu
digelarkan sebagai tidak adil, mari kita tengok deraf yang disediakan UMNO. Jika Perdana Menteri mencabar PAS kemukakan
bentuk negara Islam secara bertulis maka kita pun mahu melontarkan cabaran yang sama. Mana dia deraf Hudud UMNO?
Pada 3 Mac 1993, Perdana Menteri pernah mengesahkan tentang adanya usaha untuk mengkaji Hudud oleh UMNO dalam ucapan beliau di Nilam
Puri (Lihat Utusan Melayu 5 Mac 1993). Dalam Utusan Malaysia pada 3 Julai 2002 pula, Dr. Abdul Munir Yaakob pun
mengesahkan yang penyelidikan mengenai Hudud telah dimulakan sejak empat tahun yang lalu. Apa hal sekalipun, sama ada
sejak tahun 1993 atau sejak 1998; takkanlah kajian dibuat sebegitu lama dan tidak siap-siap sampai ke hari ini.
Ringkasnya
tidak keterlaluan untuk rakyat menuntut sebuah kejujuran dari hati nurani UMNO. Jika ada, mana dia? Jika
tiada, kenapa? Berterus teranglah. Kalau dalam menguatkuasakan penggunaan Bahasa Inggeris untuk mata
pelajaran sains dan matematik, ia boleh ditegaskan dengan satu arahan yang solid, tidak boleh diengkari dan jelas tarikh mulanya;
kemanakah perginya “political will” UMNO dalam membuktikan komitmen terhadap agamanya sendiri? Sebuah
negara Islam sebenar tidak mudah mengizinkan artis untuk mengiktiraf diri seorang pemimpin nasionalis lagi pragmatis dengan gelaran
semulia Khalifah. Bandingkanlah jasa-jasa Khalifah Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali r.a. Kesemua Khalifah
empat yang menjadi sanjungan umat Islam sepanjang zaman meletakkan paksi pemerintahan di atas landasan Al-Quran dan Hadith.
UMNO pula bergerak di atas paksi pragmatis yang dipimpin oleh ‘bapanya’ yang bernama ‘Machiavelli’.
Khalifah Islam mempunyai dasar yang tetap. Sebab itu mereka berpegang kepada prinsip sabar dan jihad.
‘Khalifah kita’ dalam UMNO pula terus pragmatik dan tidak akan tetap pendiriannya sampai bila-bila. Ukuran dan penentuan
dalam membuat keputusan adalah demi mempertahankan nafsu dan kuasa semata-mata.
Apa boleh buat. Semuanya akan tetap dibenarkan. Apa jua
pandangan yang bertentangan akan terus diserang dan dipersalahkan. Ya Allah.
Anual
Bakhri bin Haron
Setiausaha
Politik
Menteri
Besar Kelantan
Tanggal: 9 Julai 2002
|