Home ]

Negara Islam?

Back ] Next ]

 

MALAYSIA NEGARA ISLAM?

Sudah sepanjang  44 tahun, Islam dikatakan tidak boleh kerana faktor masyarakat majmuk.   Itulah yang diulang,  pagi, petang, siang dan malam.   Sekarang dah isytihar Negara Islam pulak.   Masyarakat Malaysia sudah tidak majmuk lagikah?

 

Dua tiga bulan lalu; nak haram penggunaan perkataan Islam.   Kelam kabut Majlis Raja-Raja Melayu dibuatnya.   Sekarang nak pakai Islam pula?  Islam yang mana satu ni yang nak dipakai dan mana satu pula yang nak dibuang.   Main pakai ikut suka hati ke Islam ni.

 

Yang peliknya lagi, isytihar Negara Islam tanpa perlu ubah Perlembagaan.   Jika begitu, Islam akan tetap kekal dibawahlah nampaknya melalui Perkara 4 Ceraian (I) yang dengan jelas menyebutkan iaitu:

 

“This Constitution is the supreme law of the Federation and any law passed after Merdeka Day which is inconsistent with this Constitution shall, to the extent of the inconsistency, be void.”

 

Negara Islam macam mana ni kalau Al-Quran dan Hadith diatasi oleh undang-undang dan peraturan manusia?   Al-Quran dan Hadith boleh datang dekat tetapi jika bercanggah maka ianya hendaklah dianggap tertolak!   Kan hairan tu.  Mana Islamnya?   Mentang-mentang Melayu mudah lupa,  jangan pukul borong yang semua Melayu adalah pelupa.

 

Isytihar pula di hadapan Persidangan  Perwakilan  Ke 30 Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) pada 29 September 2001 dimana tak seorang Raja, Mufti, Kadhi, Tok Imam dan Tok Siak pun yang hadir.   Nak isytihar sesuatu yang mengenai Islam dalam ketiadaan orang Islam!  Ai!  semakin lain macam.   Kemudian tidak payah bahas.   Tidak payah bincang-bincang lagi.   Kalau dah dia kata Negara Islam, maka Negara Islamlah.   Ai! Mudah benar.

 

Main pakai kira negara ini telah Islam sejak Kerajaan Melaka lagi.   Mengikut riwayat mereka, jika sesebuah negara itu pernah diperintah oleh orang Islam satu ketika dulu, maka dah cukup untuk menamainya sebagai Negara Islam.   Jika begitu bolehlah kita namakan Itali sekarang ni Negara Islam kerana Rom pernah diperintah oleh Islam satu ketika dahulu.   Begitu juga Sepanyol dan Pattani.

 

Cukupkah semata-mata dengan kita diterima untuk menganggotai Pertubuhan OIC?   Memadaikah dengan memanggil kayu itu emas lalu kayu menjadi emas?   Jika seekor gajah dipanggil gajah apabila ia sempurna sebagai seekor gajah dengan segala zat, sifat dan fe’el perangainya yang lengkap sebagai seekor gajah lalu dipanggillah gajah; maka  begitulah juga dengan Negara Islam.   Ia hendaklah bersifat keseluruhan. Islamnya harus dilandasi oleh semangat Al-Quran dan Hadith dari hujung rambut ke hujung kaki.   Gajah tidak mungkin menjadi gajah apabila ia bertaring seperti harimau atau mengiau bagaikan kucing.    Gugur  salah satu dari ciri asasnya

 

samalah seperti gugurnya kelayakan yang melayakkan dia dipanggil dalam panggilannya yang original.    Habis,  apa yang hendak dilakukan?    Jawapannya mudah.   Mari kita tinjau apa yang dikatakan oleh para sarjana dan pakar-pakar yang sebelum ini:

 

i)Memorandum UMNO kepada Suruhanjaya Reid berbunyi:

 

“Agama bagi Malaysia hendaklah Agama Islam.   Pengakuan dasar ini tidaklah akan mengenakan apa-apa sekatan bagi orang-orang bukan Islam untuk menganuti dan mengamali agama mereka sendiri, dan tidaklah akan membawa pengertian bahawa negara ini bukan sebuah negara sekular.”

 

Sumber: (Arkib negara, Fail Sulit UMNO/SUA 108/56 Bil. 800 bertarikh 14 April 1956 dan 15 Oktober 1956).

 

 

ii) “Kertas Putih dari Suruhanjaya Reid berbunyi:

 

“Telah dimasukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan suatu pengisytiharan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan.   Ini tidaklah dengan apa cara sekalipun menjejaskan kedudukan Persekutuan SEBAGAI SEKULAR sebagaimana terdapat pada masa sekarang ini.”

 

Sumber:  (Federation of Malaya Constitutional Proposal 1957 (Legislative Council Paper No. 42 of 1957), Kuala Lumpur).

 

 

iii)Pandangan Tunku Abd. Rahman Putra (Almarhum)

 

“Saya ingin menjelaskan bahawa negara ini bukanlah negara Islam sepertimana ianya difaham umum.   Kita hanya memperuntukkan bahawa Islam hendaklah menjadi Agama rasmi negara.”

 

Sumber: (Official Report of Legislative Council Debates, 1 May 1958).

 

“Didalam kenyataan saya yang terdahulu tentang agama, saya telah menyebut yang negara ini adalah negara sekular.   Maksudnya ialah negara ini bukan negara Islam.”

 

Sumber: (Tunku Abd. Rahman Putra, Contemporary Issues on Malaysian Religious, Kuala Lumpur: Pelanduk Publications, 1986).

 

“Walaupun orang-orang Islam mahu melihat ia terjadi, tidak akan wujud sebuah negara Islam di Malaysia ini.”

 

Sumber: (New Straits Times, 28 September 1989,Tunku’s No to Islamic States).

 

iv)Pandangan Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim berbunyi:

 

“Oleh sebab Islam menjadi Agama Rasmi Persekutuan dan juga Agama Rasmi untuk beberapa buah negeri di Malaysia, Undang-Undang Islam harus dikembalikan kepada tempatnya yang asal sebagai menjadi Undang-Undang Asas dan Undang-Undang Negeri di Malaysia.

 

Seksyen 3 dan 5 dalam Akta Undang-Undang Sivil hendaklah dimansuhkan.   Dengan ini kita tidak akan merujuk kepada Undang-Undang Inggeris yang lapuk itu, tetapi bebas menerima  Undang-Undang lain yang tidak bertentangan dengan Undang-Undang Islam.  Suatu fasal hendaklah diadakan dalam Perlembagaan yang bertujuan bahawa jika terdapat mana-mana Undang-Undang di Malaysia yang bertentangan dengan Undang-Undang Islam, maka hendaklah Undang-Undang itu terbatal setakat mana ianya bertentangan.

 

Dengan 2 cara ini bolehlah kita mengesahkan bahawa Undang-Undang di Malaysia sekurang-kurangnya tidak bertentangan dengan Undang-Undang Islam.”

 

Sumber: (Sekatan-Sekatan Dalam Pelaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia Al-Ahkam Jilid 4 Islam Dalam Perlembagaan  (K. Lumpur: DBP,1994).

 

 

v)Pandangan Prof. Dato’ Mahmood Zuhdi Ab. Majid

 

“Perlembagaan negara kita mungkin agak jelas di dalam hal ini.  Ianya dibentuk untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah Negara Sekular.  Meskipun ada beberapa perkara yang nampaknya menguntungkan Islam dalam Perlembagaan tersebut, namun keuntungan itu tidak seberapa berbanding dengan beberapa nilai negatif yang berbangkit dari kedudukan yang ada sekarang ini.

 

Dengan mengenepikan kedudukan Undang-Undang Islam sebagai Undang-Undang Negara, Perlembagaan negara kita sekarang telah merupakan suatu halangan besar ke arah cita-cita merealisasikan Undang-Undang Islam di negara kita ini.

 

Adalah menjadi tanggungjawab semua mereka yang berkewajiban memperjuangkan pelaksanaan Undang-Undang Islam di negara ini untuk mencari jalan bagi mengatasi halangan politik dan perlembagaan ini.”

 

Sumber: (Prof. Dato’ Mahmood Zuhdi, Ke arah Merealisasikan Undang-Undang Islam di Malaysia, Seminar Syariah, Akademi Islam Universiti Malaya, 1987).

 

Sekarang, mari pula kita tinjau apa kata Bekas-Bekas Ketua Hakim Negara:

i)           Pandangan Tun Mohd. Suffian Hashim(Allahyarham)

                  

“Parti Perikatan menghuraikan (kepada Raja-Raja Negeri Melayu) bahawa ….. tujuan menjadikan Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan adalah terutamanya bagi maksud-maksud upacara, misalnya membaca doa mengikut cara Islam dalam majlis-majlis rasmi seperti Pertabalan Yang di Pertuan Agung, Hari Merdeka dan majlis-majlis yang serupa itu.   (Huraian ini telah diterima oleh Raja-Raja dan dengan demikian Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan)”

 

ii)          Pandangan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullah-Lahu Shah: 

“Baha: Tuanku, berhubung dengan kebangkitan semangat Islam sekarang, ada orang berpendapat Perlembagaan kita ini jauh berbeza dengan Iran, Pakistan, Saudi Arabia…

 DYMM: Kita negara sekular.   Kita negara berbilang kaum.  Bila kita menggubal Perlembagaan dulu, semua hal ini sudah dibincangkan masak-masak, antara Raja-Raja, Perikatan dan Kerajaan British.   Dengan berdasarkan itulah Perlembagaan kita digubal.   Kenapa kita patut ada Perlembagaan macam Iran, sebuah teokratik?

 Baha:Jadi, kalau nak tegakkan kerajaan Islam, atau negara Islam, kita mesti ubah Perlembagaan?

 DYYM: Kita mesti mansuhkan.   Itulah bahayanya.” 

 (Era, No. 41, 7 Disember 1985, Wawancara Khas Dengan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullah-Lahu Shah). 

 

iii)        Pandangan Tun Mohd. Salleh Abbas

Pandangan Tun Mohd. Salleh Abas ini adalah pandangan rasmi badan kehakiman negara yang disampaikan mewakili Hakim-Hakim Mahkamah  Agung  yang  lainnya ketika mereka menolak hujah pihak

perayu didalam kes-kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwa Raya dan Wan Jalil bin Wan Abdul Rahman & seorang  Lain  lawan Pendakwa Raya bahawa hukuman mati  mandatori untuk kesalahan mengedar dadah (di bawah Akta Dadah Berbahaya) dan kesalahan memiliki senjata api (di bawah Akta Senjata Api) (Hukuman Tambahan) adalah batal kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam yang dikanunkan sebagai agama Persekutuan di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

          Sewaktu menolak rayuan tersebut, beliau yang menyampaikan keputusan Mahkamah Agung telah menyatakan bahawa istilah “Islam atau agama Islam” seperti yang terdapat di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan hanyalah tidak lebih dari meliputi perkara-perkara tertentu yang berkaitan dengan upacara dan istiadat agama sahaja. 

(Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwa Raya dan Wan Jalil bin Wan Abdul Rahman & Seorang lain lawan Pendakwa Raya, (1988) 2 MLJ 55).

 

Selaras dengan ini, apa kata jika kita ikuti pula pandangan rasmi PAS mengenai Negara Islam melalui penjelasan Timbalan Presidennya yang berbunyi: 

“Negara Islam itu ialah negara yang mendaulatkan hukum Allah s.w.t. dimana ia mestilah dibuktikan dengan perkara-perkara berikut: 

a)                 Syariat Islamiyyah hendaklah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan perlembagaan, perundangan dan segala nizamnya. 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah dipesankan dengannya akan Nabi Nuh, yang diwahyukan kepadamu dan dipesankan dengannya akan Ibrahim, Musa dan Isa agar kamu menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya.”

(Ayat 13 Surah Al-Syura)

 

Jika negara itu dari awal-awal lagi tidak meletakkan Islam ke taraf yang tersebut, seperti hanya diberi tempat dan ruang di dalam perlembagaan disamping mengizinkan hukum-hukum lain mengatasi hukum Islam, maka ia dianggap syirik dan tiada nilai keIslaman yang sebenar dalam kegiatan Islam atau yang bernama Islam kerana Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: 

 

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Nabi-Nabi yang sebelummu, jika kamu syirik, nescaya akan hapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.”

(Ayat 65 Surah Al-Zumar)

         

b)         Syariat Islamiyyah itu hendaklah diletakkan paling tinggi.

Firman allah s.w.t. yang bermaksud: 

“Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan RasulNya s.a.w. dan bertaqwa kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Ayat  1 Surah Al-Hujurat)

Yakni janganlah pandangan kamu atau ada hukum dan undang-undang yang diadakan di kalangan kamu itu yang mengatasi Syariat Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w.   Adalah bertentangan dengan Islam bahkan menipu rakyat apabila negara itu sekadar menjadikan Islam sebagai agama negara atau Islam hanyalah dijadikan salah satu sumber rujukan sahaja disamping membenarkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

 

c)                Pelaksanaan yang syumul (menyeluruh)

Seperti yang difahami bahawa Islam itu adalah agama yang syumul dan sempurna dimana ajarannya mencakupi segala aspek, aqidah, syariah, akhlak dan nizam, menyentuh kerohanian dan kebendaan, kepentingan individu dan masyarakat, dan tiap-tiap aspek itu tali menali diantara satu sama lain, tanpa pelaksanaan yang menyeluruh nescaya gagal mengatasi segala masalah, oleh itu wajiblah kepada negara Islam menjalankan sifatnya yang syumul. 

Kita tidak menafikan adanya perkara-perkara yang dilakukan secara tadarruj (berperingkat), tetapi penerimaannya secara menyeluruh sebagai dasar dan hukum negara adalah wajib.   Islam tidak mengiktiraf penerimaan secara serpihan.   Tindakan mengambilnya secara serpihan adalah penyelewengan.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara diantara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu.”

                                                            (Ayat 49 Surah Al-Maidah)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Sesiapa yang dengan pertolongannya menghalang pelaksanaan Hukum Hudud (Kanun Keseksaan), maka sesungguhnya ia menentang Allah pada hukumNya.”

(Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

(Dipetik dari Buku YAB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, bertajuk    “Konsep Negara Islam Dan Matlamatnya”  bertarikh 15 Oktober 1986). 

 

Malah jika diambil pandangan Encik Karpal Singh yang termuat di dalam akhbar-akhbar perdana pada 1 Oktober 2001, pengisytiharan Negara Islam oleh Perdana Menteri ditolak mentah-mentah.   Bangkangan diasaskan kepada sandaran mudah yang perlembagaan kita dibangunkan diatas dasar Undang-Undang Inggeris yang sekular dalam serba serbi.  Sebuah buku bertajuk “Benarkah Malaysia Negara Islam” oleh Kamarul Zaman Hj. Yusoff boleh menjawab kemusykilan lanjut jika masih lagi timbul keraguan.

 

Kalaupun betul bersetuju untuk menukar dasar dari sekular kepada Islam, ianya memerlukan pindaan dilakukan keatas Perlembagaan Persekutuan.  Perubahan ini bersifat dasar.  Ia mengubah struktur.   Ia perlu diisytihar dalam bentuk sebuah manifesto yang telus, terang dan nyata.   Sekular dan Islam adalah dua sistem yang berasingan.   Setelah melalui proses konsultasi dan deklarasi barulah ia diuji melalui pilihanraya.   Sungguh mengelirukan apabila  ia  seakan-akan  dirombak  ditengah  jalan  dalam  keadaannya yang tergesa-gesa.   Diisytihar tetapi tidak dibenarkan pindaan.   Diisytiharkan tetapi tidak boleh dibahaskan.   Lalu jadilah Negara Islam yang diisytiharkan itu sebuah “mockery” justeru ia dipaksa bernafas dalam ruang perundangan yang serba enggan dan serba menolak.

 

Dengan penjelasan-penjelasan ini, masih tidak jelaskah lagi yang negara ini adalah sebuah negara sekular.   Malah opsyen yang diberikan oleh Presiden UMNO yang membuka peluang kepada rakyat bukan Islam untuk menganggap negara ini sebagai negara sekular telah mengesahkan bahawa UMNO goyang dengan keputusan ini sejak dari permulaan.   Ia nescaya akan menjadi semakin pucat dan menggelabah apabila berdepan dengan penjelasan bekas Perdana Menteri, bekas-bekas Ketua Hakim, para ilmuan dan Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Ab. Hadi seperti di atas.   Lalu diawal-awal lagi Perdana Menteri mematikan ayatnya dengan:

“…UMNO Malaysia sudah memenuhi syarat yang cukup untuk mengaku sebagai Negara Islam.”

(lihat Mingguan Malaysia Ahad, 30 September 2001)

 

Seperti biasa, ianya disambut pula dengan tepukan kompang Dato’ Seri Abdullah Badawi yang menegaskan bahawa:

“…semua telah bersetuju dengan penerangan Perdana Menteri berhubung isu itu dan turut mengaku negara ini adalah Negara Islam.”

(Mingguan Malaysia, 7 Oktober 2001)

 

Demikianlah berakhirnya sebuah riwayat ceritera pengislaman sebuah empayar Melayu yang bergelar Malaysia pada 29 September tahun 2001.  Ia berlaku secepat kilat.  Sepantas mi maggi.   Cepat dimasak, cepat dimakan dan mungkin akan cepat dibuang.

 

Senang sungguh membuat pengisytiharan!   Sesenang itukah sebuah kebenaran?

 

ANUAL BAKHRI BIN HARON

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 23 Rejab 1422 / 11 Oktober 2001. 

Back ] Next ]

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates