NEGARA ISLAM
SEGERA
Segera bermakna dibuat
dengan serta merta. Jika terlalu segera, mungkin
ia turut melibatkan gopoh gapah dan tergesa-gesa.
Begitulah nampaknya jenis Negara Islam Segera Malaysia.
Buktinya cukup mudah. Rumah siap tetapi pahat
tidak henti-henti dari berbunyi. Baru semalam
akhbar memuatkan sanggahan Karpal Singh yang berbunyi:
“Malah
dalam undang-undang, Malaysia adalah negara sekular.”
Nak dikatakan Nik Ab. Aziz keliru seperti yang dituduh oleh
ZAM (Lihat Utusan Malaysia bertarikh 26 Mac 2002) , macam mana
kalau UMNO yang sekular enggan menyentuhpun Perkara 4(1) dan
Perkara 75 dari Perlembagaan Persekutuan dalam mengisytiharkan
Malaysia Negara Islam. Tidak ada yang kelirunya
bagi Nik Ab. Aziz yang telah menjadi Ahli Parlimen Malaysia
sejak dari tahun 1967 lagi. Beliau faham sangat
dengan maksud “tidak perlu disentuh Perlembagaan
Malaysia”, apa lagi untuk dipinda dalam
mengisytiharkan Malaysia Negara Islam. Ertinya,
kedua-dua perkara iaitu Perkara 4(1) dan Perkara 75 yang
dimaksudkan dikekalkan. Itulah ertinya.
Tidak perlu dibahas. Diisytihar dan diterima
dengan segera.
Mari kita cuba fahami apa yang terkandung di dalam kedua-dua
Perkara berkenaan. Di dalam Utusan Malaysia,
Karpal Singh berkata:
“Artikal
4(1) menjadikan Perlembagaan itu sebagai undang-undang mutlak
di negara ini dan mana-mana undang-undang yang diluluskan
selepas Hari Merdeka yang tidak konsisten, terbatal.”
Perkara
75 pula menyebut:
“Bahawa
jika mana-mana Undang-Undang Negeri tidak konsisten dengan
Undang-Undang Persekutuan, Undang-Undang Persekutuan
mengatasinya, dan Undang-Undang Negeri yang tidak konsisten,
terbatal.”
(Lihat
Utusan Malaysia Rabu 27 Mac 2002)
Tidak mungkin keliru Menteri Besar Kelantan itu.
Jika tidak sekular, apa lagi? Perihal segeranya
pengisytiharan Negara Islam amat jelas kerana ia dilancarkan
tanpa dibahas. Gopohnya pengisytiharan hingga
tidak sempat, tidak perlu dipinda atau diubah apa-apa.
Jika tidak diubah, jelaslah ia bukan Islam. Islam
bagaimana jika Quran dan Hadith tetap dikira terbatal kerana
ia “inconsistant” dengan Undang-Undang Persekutuan.
Inilah
bentuk “karipap segera” yang Nik Ab. Aziz maksudkan itu.
Inilah juga yang Encik Karpal Singh sahkan sebagai
Malaysia yang sekular.
Jika diambil pandangan bekas Perdana Menteri, ulama’, bekas
Ketua Hakim Negara dan seorang ahli akademik yang disegani,
penilaian mengenai status sebenar Negara Malaysia tetap sama.
Malaysia adalah sebuah negara sekular. Ikuti
pendapat-pendapat mereka seperti di bawah:
i)
“Saya ingin menjelaskan bahawa negara ini bukanlah negara
Islam sepertimana ianya difahami umum. Kita hanya
memperuntukkan bahawa Islam hendaklah menjadi agama rasmi
negara.” - Tunku Abdul Rahman, bekas
Perdana Menteri Malaysia
(Sumber:
Official Report of Legislative Council Debates, 1 May 1958.)
ii)
“Dengan mengetepikan kedudukan undang-undang Islam sebagai
undang-undang negara, Perlembagaan negara kita sekarang telah
merupakan suatu halangan besar ke arah cita-cita
merealisasikan undang-undang Islam di negara kita ini.
Adalah menjadi tanggungjawab semua mereka yang berkewajipan
memperjuangkan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini
untuk mencari jalan bagi mengatasi halangan politik dan
Perlembagaan ini.”
(Sumber:
Prof. Dato’ Mahmood Zuhdi Abdul Majid, Ke arah Merealisaskan
Undang-Undang Islam di Malaysia, Seminar Syari’ah,
Akademi Islam Universiti Malaya, 1987.)
iii)
“Parti Perikatan menghuraikan (kepada Raja-Raja Negeri
Melayu) bahawa … tujuan menjadikan Islam sebagai agama rasmi
bagi Persekutuan adalah terutamanya bagi maksud-maksud
upacara, misalnya membaca doa mengikut cara Islam dalam
majlis-majlis rasmi seperti pertabalan Yang di-Pertuan Agung,
Hari Merdeka dan majlis-majlis yang serupa itu.
(Huraian ini telah diterima oleh Raja-Raja dan dengan demikian
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan bahawa Islam
ialah agama bagi Persekutuan)”
(Sumber:
Tun Mohd. Suffian Hashim, “The Relationship between
Islam and the State in Malaya”, Intisari, Jilid 1, No.
1.)
iv)
“Undang-undang yang terpaksa kita ikuti di Malaysia, kecuali
jika ada undang-undang bertulis yang lain, ialah undang-undang
Inggeris, dan undang-undang Inggerislah yang menjadi
undang-undang asas dan undang-undang negeri di Malaysia.
Undang-undang Islam pada masa sekarang hanya dikenakan kepada
orang-orang Islam sahaja dan dalam perkara-perkara yang terhad
sahaja,iaitu perkara-perkara berhubung dengan keluarga dan
agama Islam dengan pengertian yang sempit… Oleh sebab Islam
menjadi agama rasmi Persekutuan dan juga agama rasmi untuk
beberapa buah negeri di Malaysia, undang-undang Islam harus
dikembalikan kepada tempatnya yang asal sebagai menjadi
undang-undang asas dan undang-undang negeri di Malaysia.
Seksyen 3 dan 5 dalam Akta Undang-Undang Sivil
hendaklah dimansuhkan. Dengan ini kita tidak akan
merujuk kepada undang-undang Inggeris yang lapuk itu, tetapi
bebas mencari undang-undang lain yang tidak bertentangan
dengan undang-undang Islam. Suatu fasal hendaklah
diadakan dalam Perlembagaan yang bertujuan bahawa jika
terdapat mana-mana undang-undang di Malaysia yang bertentangan
dengan undang-undang Islam, maka hendaklah undang-undang itu
terbatal setakat mana ia bertentangan.
Dengan dua cara ini bolehlah kita mengesahkan bahawa
undang-undang di Malaysia sekurang-kurangnya tidak
bertentangan dengan undang-undang Islam.”
(Sumber:
Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim, Sekatan-Sekatan Dalam
Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia, al-Ahkam Jilid
4, Islam Dalam Perlembagaan (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1994).
Perbahasan
detail mengenai perkara ini boleh diikuti dalam buku Negara
Islam - Nota-nota Penting Buat Dr. Mahathir
oleh Anual Bakhri Haron dan Kamarul Zaman Hj. Yusoff.
Sementara jelasnya kedudukan negara ini yang serba sekular,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Senator Brig. Jen.
(B) Datuk Ab. Hamid bin Hj. Zainal Abidin menyifatkan Menteri
Besar Kelantan sebagai sombong dan kelabu mata kerana masih
tidak nampak bukti dan fakta yang kukuh. Tegas
beliau bahawa apa lagi yang boleh diubah kerana ia memang
begitu malah semua orang dapat menerimanya.
(Lihat Berita Harian 27 Mac 2002).
Buat
beliau, sukacita kita hanya kunci dengan 3 soalan:
i)
Bukti kukuh yang Malaysia Negara Islam hanya boleh dicari
dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan
bersifat piagam dan “written declaration”.
Kita minta beliau buktikan. Atau, jika Ab. Hamid
mahu bersifat akademik, kita mohon beliau tunjukkan buku
sarjana atau Ketua Hakim mana yang berpendapat seperti yang
didakwa oleh beliau?
ii)
Bolehkah beliau tolong berikan tafsiran erti, konotasi dan
aplikasi atau pemakaian Perkara 4(1) dan Perkara 75
Perlembagaan Persekutuan dalam konteks bolehnya Al-Quran dan
Hadith mengatasi Perlembagaan yang sedia ada?
iii)
Adakah dakwaan beliau yang berbunyi:
“Semua orang dapat
menerimanya”
adalah hasil sebuah survey
yang sainstifik atau generalisasi beliau yang bersifat “saya
fikir” atau “saya rasa”?
Jika didasarkan kepada empat petikan pendapat tokoh-tokoh yang
kita telah ketengahkan, siapalah agaknya yang masih tidak
nampak dan kelabu mata. Nik Ab. Aziz
atau Ab. Hamid?
Bagaimanapun,
Menteri Besar Kelantan boleh bersetuju dengan pendirian Ketua
Pengarah JAKIM dalam kenyataan beliau yang menentang
kemunculan ulama’ segera. Ulama’ bukan
boleh lahir dalam sekelip mata. Baru keluar Azhar
atau setahun dua jadi ustaz, baik di Sekolah Agama, Pejabat
Kadhi, atau Jabatan Agama Islam belum lagi melayakkan diri
seseorang itu digelar ulama’. Ulama’ mesti komited
kepada perjuangan Islam, tidak tinggal Sembahyang jemaah, suka
membaca Al-Quran, mementingkan ibadah-ibadah sunat dan membawa
akhlak mulia berasaskan panduan hidup Rasulullah S.A.W.
Kembali kepada Negara Islam, perkara utama ialah
deklarasi bertulis yang meletakkan Quran dan Hadith sebagai
asas Perlembagaan Persekutuan. Ini wajib
didahulukan. Perubahan ini atau pindaan ini amat
penting dilakukan di Parlimen. Dengan demikian,
sesiapa juga yang mempersoalkan Quran dan Hadith selepas
ini adalah dikira menentang Perlembagaan.
Mana-mana perkara bercanggah dengan al-Quran dan Hadith adalah
terbatal dengan automatik setakat yang ianya bercanggah.
Takut untuk pinda dan letakkan deklarasi bertulis.
Kenapa?
Mengenai wanita, yang tidak diizinkan untuk menjadi calon
pilihanraya, ini bukan perkara segera. Ini telah
diluluskan oleh PAS sejak tahun 1950han dahulu lagi dimana dua
calon muslimah PAS pernah dibenarkan bertanding iaitu Khadijah
Sidek dan Salmah Sheikh Hussin. Ini
kisah benar. Semaklah sejarah. Hentikan
berbohong. Kalau dah hampir 50 tahun lalu
dibenarkan, maka keputusan PAS mengizinkan wanita untuk
bertanding sekarang bukan lagi ‘segera’ namanya tetapi
perkara lama yang diulang. Ini kekeliruan
Zainuddin Maidin; bukan kekeliruan Nik Ab. Aziz.
Selaras dengan ini, ZAM yang
sepatutnya membuat “homework”
yang lebih
sedikit bagi membetulkan fakta beliau. Seorang
Setiausaha Parlimen Kementerian yang “menerangkan fakta”
semestinya perlu bersifat memberi penjelasan dan bukan
menghidangkan fakta yang kabur, basi lagi mengelirukan.
Amalan melantik senator-senator yang semuanya wanita sejak PAS
menang di Kelantan ditahun 1990 hingga kini membuktikan lagi
dasar pintu terbuka PAS kepada kaum wanita.
Asalkan mereka berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat
kepimpinan muslimah dan muallimah, itu sudah mencukupi untuk
dipertimbangkan sebagai calon.
Kritik ZAM yang kononnya PAS menyekat wanita cantik dari
bekerjapun juga adalah lemparan fitnah basi yang tidak
berasas. Silalah ke Kelantan dan saksikan penyertaan
aktif kaum wanita dalam pelbagai lapangan perniagaan di
segenap ceruk bazar, pasar dan supermarket.
Untuk lebih konkrit, ZAM dijemput secara peribadi menjenguk
Kota Darulnaim atau Pejabat Menteri Besar di Kota Bharu,
Kelantan. Jangan terkejut jika YB Senator
Zainuddin bin Maidin kita ini disapa oleh wanita-wanita sopan,
bertudung, berakhlak dan mungkin manis-manis…
jemputlah bila-bila masa dari Hari Ahad hingga Khamis.
Jumaat dan Sabtu kami bercuti. Sorry!
Pendek
kata, tidak mungkin Nik Ab. Aziz keliru dalam pengalaman
politik beliau yang sudah sedemikian
panjang. Sebaliknya, apakah tidak mungkin
kekeliruan boleh berlaku di kalangan
seorang dua Senator yang kurang
latihan dan dihadiahkan dengan “majlis angkat sumpah”
untuk menjadi Menteri atau Setiausaha Parlimen secara segera
dengan percuma. Bertanding pun tidak. Itupun
baru dua tiga tahun sahaja tempoh lamanya. Alahai!
|