Home ]

UMNO - Ada hantu dalam Baju

Back ] Next ]

 

UMNO : Ada Hantu Dalam Bajunya

Apabila seorang Presiden sebuah Parti mengesahkan bahawa adanya hantu atau hantu-hantu dalam Partinya, maka ini satu berita. Hantu  sering dihubungkan dengan kejahatan.   Presiden UMNO biasanya tidak berani atau amat berhati-hati membuat komen-komen negatif mengenai Partinya.   Lebih-lebih lagi untuk Kelantan yang sangat sensitif.     Dalam pada itupun, beliau terpaksa meluahkan kenyataan yang sepahit itu untuk dikunyah oleh semua pemimpin UMNO.   Pahit itulah ubat kira-kiranya.

          Semuanya ini berbangkit dari berita muka depan NST Jumaat bertarikh 29 Mac 2002 bertajuk “Coup brewing in Kelantan UMNO”.   Pendedahan adalah tentang wujudnya Komplot 12 yang terdiri daripada 12 orang Ketua Bahagian UMNO yang bertemu lalu pada 16 Mac 2002 mengambil keputusan mahukan perubahan pucuk pimpinan UMNO Negeri.   Menurut berita itu, keputusan itu adalah kolektif.   Bermula dari Ketua Perhubungan, Setiausaha Perhubungan, Ketua Penerangan, Bendahari dan Setiausaha Eksekutif; semuanya.   Ini semata-mata untuk mempastikan UMNO yang lemah di Kelantan tidak semakin layu untuk berdepan dengan PAS yang sentiasa gagah perkasa menjelang pilihanraya yang akan datang.

Apabila ribut di cawan telah bertukar menjadi ombak yang membimbangkan, dengan tidak semena-mena PAS pula dijadikan punca sasaran.   Kita cuma terima fakta itu dari akhbar.   Kita hanya pengguna maklumat.   Pemeroses fakta dan pencerakin maklumat adalah media perdana.   Salahkah bagi Shamsul Akmar dari NST untuk memaparkan sesuatu yang benar?   Hakikat Presiden UMNO sendiri namakan kumpulan itu sebagai ‘hantu’   mengesahkan lagi yang mereka sememangnya wujud.   Mana silapnya.    Secara analisa,  jika ‘mereka’ adalah terdiri dari 12 Ketua Bahagian, maka 12 bahagian daripada 14 Bahagian UMNO atau 85.1% daripada UMNO di seluruh Kelantan kini sedang dikuasai oleh hantu.   Sebaliknya, jika mereka itu terdiri dari 5 pemegang jawatan utama dalam UMNO Kelantan kini, maka UMNO sedang dikuasai oleh ketua-ketua yang berpuaka.   Itu saja.   Sungguh mudah tetapi mencemaskan.   Semua ini tidak ada kena mengena dengan PAS.   Kamu makan nangka, kamu kena getah.   Jangan pula jadikan PAS sebagai dinding untuk disapu getah nangka yang melekat-lekit di jari-jari kamu sesama kamu.

          Dalam suasana sedikit panik dan mahu meredakan keadaan konon, tiba-tiba TPM Dato’ Lah Badawi pula mengatasi pengakuan Presidennya dengan berkeras mengatakan bahawa UMNO Kelantan tidak hadapi masalah.   Beliau menegaskan bahawa usaha menjatuhkan Datuk Mustapha Mohamed sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri  hanyalah khabar angin (Lihat Utusan Malaysia 8 April 2002).      Presiden akui adanya hantu yang khianat dalam UMNO Kelantan.  Timbalan Presiden pula kata itu khabar angin.   Apakah Pak Lah maksudkan yang Presidennya sudah cetek fikiran kerana percayakan khabar angin?    Atau  pihak akhbar New Straits Times keluaran Jumaat 29 Mac 2002 pula yang dituduh menyebar khabar angin?   Rasa-rasanya berat hukumannya bagi penyebar khabar angin jika sabit kesalahannya.  Entahlah.   Pak Lah ni bercakap macam orang tidak cukup tidur, tidak cukup maklumat, merapu dan kurang berpijak di bumi nyata.   Sakit tapi tidak mengaku sakit dan tidak percaya kepada symptom-symptom.    Bukankah sebelum ini YBM Tg. Razaleigh Hamzah sudah membuat seruan yang jelas tentang perlunya amalan ‘cah keting’  dalam UMNO dihentikan (lihat Utusan Malaysia 16 Mac 2002).    Ini penyakitnya.   Bukankah sebelum ini juga Dr. Mahathir dah ingatkan bahawa Pemimpin UMNO tidak boleh berniaga serta mengambil peluang dari apa jua projek kerajaan.  Ini penyakitnya.

          Sesungguhnya kedua-dua penyakit yakni berniaga dan mengaut keuntungan lalu membentuk puak dan kroni sambil ‘cah keting’   sesama  sendiri sementara menanti pilihanraya dengan harapan dapat menang adalah UMNO di Kelantan.   Amaran Ku Li dan Dr. Mahathir terlalu relevan untuk UMNO fahami.   Ia mustahak untuk memulihkan UMNO di Kelantan.   Walaupun seruan itu nampak ikhlas namun untuk memburu dan membunuh hantu tidak mudah untuk dibuat keatas sebuah tubuh UMNO yang sekular, semudah seruan Dato’ Seri Dr. Mahathir itu.

          Jika kita teliti harapan Lah Badawi lagi, beliau minta agar semua pihak tidak memperbesar-besarkan lagi cerita Dato’  Annuar Musa yang sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah mengenai skandal kehilangan Wang PPRT berjumlah RM36.7 juta.    Annuar Musa adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.   Beliau orang nombor 2 dalam UMNO Negeri.    Pendek kata, ada asas yang  cukup kuat bagi Dr. Mahathir untuk menyebut “hantu” dan “hentikan mengambil bahagian dalam projek-projek kerajaan.”    UMNO Kelantan perlu faham lampu signal yang dinyalakan oleh Presidennya itu kalau benar-benar mahu mengalahkan PAS.

          Sebenarnya  tidak banyak pemulihan yang dapat  rakyat harapkan dari seruan-seruan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang saling bercanggah.   Ianya telah berjalan lama sebelum ini.   Bagaimana mahu pulih apabila UMNO sendiri diasaskan diatas dasar sekular.   Perhitungan dosa pahala jarang disebut.   Malah jika PAS menyebut soal itu, PAS pula diserang.    Bila pahala dan dosa tidak menjadi agenda utama dan bila pembalasan di akhirat yang menyentuh Syurga dan Neraka pun sentiasa dipinggir-pinggirkan, maka yang ditakuti hanyalah ‘manusia’.    Manusia takut sesama manusia.

Rakyat ingatkan yang skandal BMF semasa Ku Li menjadi orang kuat di Kabinet kira-kira 20 tahun yang lalu adalah skandal terakhir.     Bergantang-gantang  harapan  yang  dicurahkan  kepada rakyat untuk mengembalikan kepercayaan.   Rupanya lepas satu, satu dan lepas satu, satu.   MAS yang rugi ratusan juta ringgit, perniagaan kapal selam yang tidak menjadi, bail out Syarikat Perkapalan dengan menggunakan wang PETRONAS,  pembaziran wang rakyat dalam pembinaan KLIA, RM7 billion kerugian dalam Perwaja Steel, kehilangan 8 juta wang  orang ramai dalam Tabung Haji yang diikuti pula dengan RM200 juta kemudiannya.   Yang terakhir ini ialah kerugian STAR dan PUTERA melibatkan wang rakyat yang bukan sedikit.   Ura-ura penswastaan air pula kini sedang dicanangkan.   Jika kita jujur, sedikit fakta kerugian yang disenaraikan ini adalah sebahagian dari kerja pembaziran UMNO/BN yang pernah melaungkan slogan “Bersih, Cekap Dan Amanah”  disuatu masa.    Kemana hilangnya ketiga-tiga nilai tersebut?

          PAS tidak pernah memimpin Kerajaan Pusat.   Belum lagi.  Ertinya di sini, kerugian demi kerugian yang Malaysia lalui adalah dihasilkan oleh tangan-tangan ‘bersih’ para pemimpin UMNO/BN di segenap peringkat, dulu, kini dan mungkin selama-lamanya jika tidak diubah.   Jika bercakap tentang nak ubah UMNO, Anwar Ibrahim yang menjadi harapan rakyat untuk memulihkan negara pun boleh tersadai, dipukul, diherdik, diaib dan akhirnya dipenjara.    Begitulah sifat UMNO  bila berdepan dengan kebenaran.    Janji dan seruan boleh datang dari mereka tetapi tidak banyak yang akan berubah.   Percayalah.   Faham sekularisme yang menghina agama tajaan pemimpin-pemimpin pragmatik UMNOlah yang menentukan segala penyakit tidak akan menemui ubatnya.   Setiap kali masalah meletup dan rakyat menuntut penyelesaian, pemimpin kita akan sibuklah mencipta “objek buat-buatan”  atau mencipta lagu patriotik untuk melarikan perhatian.   Cuba perhatikan.    Dia ingat, rakyat sekarang macam budak-budak!    Rakyat boleh lihat banyak kebuntuan tidak terjawab.    Dari kes Memali hinggalah ke misteri laporan Polis ke atas Tan Sri Khalil Yaakob dan skandal rasuah Tan Sri Eric Cheah.   Itu belum lagi diungkit tuduhan amalah rasuah, kronisme dan penyalahgunaan kuasa Dato’ Seri Khir Toyo yang kencang bergolak di Selangor dan Lembah Kelang terkini.

          Antara objek buatan yang paling semasa ialah masalah keselamatan.   Sikit-sikit keselamatan.  Semua permit ceramah dibatalkan atas alasan keselamatan.   Seolah-olah setiap kali ceramah PAS, mesti ada lah yang terbunuh dan tercedera.   Sebenarnya, UMNO tidak berdaya lagi untuk berterus terang dengan kebenaran apabila bertemu dengan hujah-hujah perkasa pemimpin Barisan Alternatif.   Itu yang sebenarnya.   Sanggup mereka rampas nilai-nilai demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dari tangan rakyat semata-mata untuk menjamin kekuasaan.   Pengkhianatan terhadap demokrasi ini dilakukan dengan jelas ke atas Perlembagaan dalam Perkara 5 yang menjamin hak asasi manusia (Fundamental Liberties),  Perkara 8 yang menyentuh persamaan hak tiap warganegara di bawah Undang-Undang dan Perkara 10 yang menyentuh hak kebebasan berhimpun dan berpersatuan.    Ceraian  (a),  (b)  dan  (c)  dari  Perkara  10  makin menjelaskan lagi hak-hak setiap warganegara yang dijamin oleh Perlembagaan kita.   Penjelasan yang panjang lebar telah dibuat oleh Ahli Parlimen Jeli YB Encik Mohd. Apandi bin Mohamad dalam Sidang Dewan Rakyat pada 19 Mac 2002 yang lalu.   Semuanya asal milik rakyat.      Ini adalah premis yang diterima dari British sebelum kita diberikan kemerdekaan.

          Buat PAS di Kelantan, Tok Guru Nik Abd. Aziz bukan jenis orang yang suka berslogan.    Cukuplah dengan satu pengisytiharan konsep  “Membangun  Bersama  Islam”.   Walaupun kita miskin, kita tetap membangun perlahan-lahan. Yang penting ialah kita bersama Islam.   Kita hindarkan pembaziran.   Kita amalkan penjimatan dalam segenap segi.   Kita asaskan pembangunan diatas dasar yang Allah redhai.   Kita memberi hak kepada yang berhak.   Kita tidak menindas bangsa lain diatas dasar bangsa.    Kita menentang judi kerana judi memudaratkan semua orang.   Kita menggalakkan wanita menutup aurat kerana ini perintah Allah.    Kita beri cuti  2 hari seminggu untuk  memberi ilmu dan kerehatan yang cukup kepada rakyat.    Kita mulakan Projek Rumah Awam Kos Rendah dengan menyediakan 3 bilik selaras dengan keperluan seperti yang bersemangatkan pesanan Rasulullah S.A.W. agar mengasingkan tempat tidur diantara anak lelaki dan anak perempuan yang berusia melebihi usia 10 tahun. Kita mahu laksanakan hudud walau disekat oleh kuasa pusat yang mengakui dirinya Negara Islam.   Kita kembalikan hak-hak demokrasi sepenuhnya kepada rakyat untuk menilai kita setiap kali pilihanraya.   Kita buka stadium kita untuk digunakan oleh mana-mana Menteri Besar, Ketua Menteri atau Menteri Kabinet untuk berceramah agama atau politik secara bersama dengan Menteri Besar kita bila-bila masa.   Mana yang dapat kita laksanakan untuk kepentingan Islam, kita laksanakan dan mana  yang belum dapat, kita akan terus berikhtiar untuk laksanakan secara perlahan, berhikmah dan penuh ramah.   Yakinkan ini semualah, kita selalu bertanyakan; dimanakah salah? Sekadar adakan klip video lalu ditayang berulang-ulang untuk menggambarkan itulah PAS; itu dipanggil pukul curi dalam ilmu silat, tidak gentleman dan amat khianat.   Kebenaran sepihak dimana pihak yang dicaci tidak berdaya untuk mengemukakan hujah samalah seperti penganiayaan yang dilakukan ke atas Anwar Ibrahim yang digari tangan dan ditutup mata untuk dibelasah.   Ianya juga samalah seperti penindasan bangsa Israel yang sedang mencabuli hak-hak penduduk Islam di Palestin.

          Buat UMNO di Kelantan, carilah ‘hantu’   yang telah disebut oleh Presiden tuan-tuan.    Asapkan kemenyan dan halau mereka sejauh-jauhnya.   Buat PAS, kita tunggulah dengan membaca Surah Yaasin banyak-banyak.   Biarkan hantu mengusik sesama mereka.

“Wahai manusia.    Ha!   Ha!    Ha!”

Pejabat Menteri Besar Kelantan

KOTA BHARU.

Bertarikh:26 Muharam 1423 /  9  April 2002

 


Bravenet.com

www.kelantan.net is managed by: kelantaniklan, tekno associate and public affilliate and world wide web associates