RIADAH MINDA
PINDAAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI
KELANTAN:
ANTARA ADAB, LEGITIMASI DAN KEBIADABAN
Baru-baru
ini, Perdana Menteri mengatakan bahawa bukan Sultan Kelantan sahaja, Sultan
Kedah dan Sultan Johor juga tidak menandatangani pindaan perlembagaan di
negeri-negeri mereka. Tetapi Perdana Menteri perlu sedar bahawa 'belum'
dan 'tidak' adalah dua keadaan yang berlainan. Benar, Sultan Kedah dan
Sultan Johor tidak tandatangani,
tetapi ini berbeza dengan Sultan Kelantan yang belum tandatangani. Bagaimana boleh timbul persoalan Sultan Kelantan
enggan tandatangani dalam keadaan pindaan yang telah diluluskan pada 25 Jun 2001
itu pun masih belum dihantar, malah masih jauh lagi dari tempoh 30 hari?
Belum
dihantar bermakna belum dilihat. Tidakkah terlalu awal untuk diisytiharkan
Sultan Kelantan enggan tandatangani? Malah pihak yang menjadi "pengisytihar"
nampaknya menunjukkan bahawa mereka telah "over-react" di dalam hal
ini. Dalam hubungan inilah Menteri Besar Kelantan mengatakan kalaulah pada
akhirnya Sultan Kelantan benar-benar tidak tandatangani, rakyat boleh baca
tindakan Baginda ini disebabkan tekanan sebuah parti politik. Walaupun Dato'
Rais Yatim kata ini sukar dibuktikan, tetapi tidak cukupkah lagi bukti bahawa
Sultan Kelantan belum pun lihat lagi pindaan itu kerana ia belum pun dihantar,
tetapi telah siap sebuah reaksi "tidak akan menandatangani" dari
Tengku Razaleigh.
Berbalik
kepada Johor dan Kedah yang tidak tandatangani, kenapa pula boleh didiamkan
perkara ini? Keadaan tidak tandatangani ini telah berlaku bertahun-tahun lamanya.
Aspek-aspek pindaan pun sama, iaitu takrif "bertindak mengikut nasihat"
dan rang undang-undang menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari ia
diluluskan. Tetapi kenapa Kelantan diberikan "highlight", tumpuan,
diandai-andaikan dengan krisis perlembagaan, diletakkan pelbagai bacaan mengenai
niat yang bukan-bukan, tidak Johor dan Kedah, sedangkan Dewan Undangan Negeri
Kelantan baru sahaja meluluskan rang undang-undang itu pada 25 Jun 2001 yang
lalu. Nampak sangat beragenda! Apa lagi perlunya diteka-tekikan dengan
kemungkinan mempunyai niat yang lain? Niat itu sendiri letaknya di hati, bukan
di dahi. Niat adalah kerja Tuhan dan bukan kerja makhluk untuk membacanya.
Ada
juga orang mempersoalkan ianya sebagai tidak sah. Kita tidak tahu lagi apakah
tahap tertinggi sah atau tidak sah ini apabila sidang ini telah dihadiri sendiri
oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri di sepanjang tempoh persidangan pada 25
Jun 2001 lalu. Malah keseluruhan "exercise" pindaan ini telah
dinasihat, dipandu, direstu dan diberikan "lampu hijau" yang
senyata-nyatanya, bukan hanya dari YB Penasihat Undang-Undang Negeri sahaja,
bahkan dari YA Peguam Negara sendiri. Jika sudah "Mufti" dalam
Mahkamah Sivil, yakni YB Penasihat Undang-Undang Negeri, dan "Ketua
Mufti"nya, yakni YA Peguam Negara, telah memimpin pindaan ini, apa lagi
daya upaya mana-mana pihak untuk mempersoalkan legitimasinya?
Reda
dengan penjelasan ini, pihak-pihak ini beralih pula kepada soal kurang beradab.
Tanpa terlalu banyak mahu melayan, cukuplah jika ditanya--mana lebih biadab
antara Kerajaan Negeri yang mahu meminda perlembagaan undang-undang tubuh negeri
di atas dua perkara yang telah termaklum tanpa mengungkit kesahihan takhta KDYMM
Al-Sultan dengan pihak yang konon
begitu prihatin dan "caring" dengan Baginda Al-Sultan sehingga telah
dengan "beradabnya" sanggup menabalkan YAM Tengku Ibrahim Petra
sebagai Sultan Kelantan yang baru? Ini sejarah. Ia masih hangat dan tetap
terpahat dalam ingatan setiap rakyat Kelantan yang masih hidup hingga kini. Apa
pula hal jika kita lihat sikap Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas yang telah dengan jelasnya membangkitkan
tentang tidak sahnya takhta kesultanan Kelantan kini yang disemayami oleh KDYMM
Al-Sultan yang ada sekarang. Pada Ketua UMNO
Bahagian Pasir Mas, ada "orang lain" yang lebih berhak di atas takhta
tersebut. Ini pun ada tercatit dengan jelas dalam akhbar Utusan Malaysia
bertarikh 4 Ogos 1993. Kita mahu tanya, apakah ini beradab atau biadab?
Terbawa-bawa
dengan emosi, mereka lalu beralih kepada sejarah nenek moyang pula. Sikap
mengubah-ngubah kiblat dan perkiraan adalah tidak profesional, sungguh dikesali
dan sungguh-sungguh memalukan. Entah esok apa pulak yang nak diungkitkan. Begini
sajalah, jika nak pakai nenek moyang, ambillah waad Demang Lebar Daun yang telah
diakad dengan Baginda Tri Seri Buana seperti yang boleh diikuti dalam ucapan
usul pembentangan YAB Tuan Guru Menteri Besar (Tolong baca sikit). Di sana ada
syariat yang disandarkan dalam membina konsep "taat-durhaka". Jika
masih kurang jelas, bacalah Hikayat Sejarah Melayu yang masyhur itu. Bukankah UMNO
parti Melayu?
Anual Bakri
Haron,
Setiausaha
Politik Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh: 9 Julai 2001.
|